Bismillahirrahmanirrahim…
Alhamdulillah, selautan kesyukuran saya rafa’kan kepada Ilahi Rabbi atas segala nikmat kurniaaNya yang tidak terkira ini dan di atas kuasaNya juga yang memungkinkan kita untuk terus menghirup udara Bumi dan berjalan di atas muka Bumi-Nya ini, ya’ni untuk terus menyambung risalah perjuangan Baginda Nabi Muhammad s.a.w.InsyaAllah. Semoga kita sentiasa berada di bawah lembayung Rahmat dan Maghfirah-Nya.Mudah-mudahan.
“Barangsiapa bersyukur atas nikmat kurniaan-Ku nescaya akan Aku tambahkan nikmat-Ku. Dan barangsiapa kufur maka ingatlah bahawa azab-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim:7)
7 haribulan Julai 2009 menyaksikan pendaftaran adik-adik daripada pusat asasi UIA, Petaling Jaya ke kampus Kuantan. Di kesempatan ini, saya bagi pihak PKPIM UIAM Kuantan mengucapkan tahhiah kepada adik-adik sekalian dan semoga semangat perjuangan yang insyaAllah sebati dengan diri adik-adik tidak akan pudar ditelan zaman. Kerana saya yakin bahawa adik-adik sudah pun mengerti akan maksud dakwah yang sebenar dan dek kerana kefahaman itulah kita punya tanggungjawab untuk melaksanakan gerak kerja dakwah di Bumi Kuantan ini terutamanya, kerana di sinilah adik-adik datang dengan seribu satu tanggungjawab yang bukan hanya terfokus pada akademik semata-mata, tetapi juga merangkumi segala aspek dalam kehidupan adik-adik sebagai seorang mahasiswa Islam.Tidak mahu tidak, adik-adik harus memainkan peranan kerana sebagai seorang ahli gerakan pelajar, sudah tentu kita perlu menjadi seseorang yang berbeda daripada seseorang yang tidak menyertai apa-apa gerakan. Tidak kiralah dari segi aktivisme, intelektualisme ataupun spiritualisme.
Adik-adik, suka sekali untuk saya katakan bahawa, zaman mahasiswa ini penuh dengan dugaan dan cabaran yang datang silih berganti, dan kadang-kadang membuatkan kita berasa lemah dan tidak berdaya, sehingga punya keinginan untuk berhenti daripada melakukan kerja-kerja dakwah. Maka di sini adik-adik harus kembali kepadaNya, andai yakin dengan janji-janjiNya, mengapa perlu kita berubah arah? Tepuk dada tanyalah iman kalian, kerana saya yakin kalian sudah faham akan maksud dakwah itu sendiri dan tanggungjawab kita sebagai hamba dan khalifah di muka Bumi Allah ini.
Kami berasa bersyukur dan gembira dengan kehadiran adik-adik semua dan hanya Allah s.w.t yang tahu betapa kami memerlukan adik-adik untuk meneruskan gerak kerja dakwah di sini bersama-sama kami.Selain sentiasa mengikuti usrah dan mempertingkat amalan kerohanian, adik-adik juga harus rajin mendekatkan diri dengan majlis-majlis ilmu di sini, kerana majlis-majlis seumpama ini merupakan salah satu taman daripada taman syurga.Jangan kerana dek sibuk dengan pelajaran, kita lupa akan perkara-perkara sebegini. Kekuatan dalaman memainkan peranan penting dalam diri seorang dai’e, kita cuba membantu orang lain dan pada masa yang sama kita membantu diri kita sendiri.
Yakinlah, banyak perkara yang akan adik-adik pelajari di kampus Kuantan ini.Jadikanlah Allah sebagai tempat pergantungan setiap masa agar Dia juga sentiasa mengingati kita.InsyaAllah.Tidak sabar untuk bertemu dengan adik-adik pada “Malam Iftitah Perjuangan”, 13 hb Julai ini iaitu pada hari Isnin minggu hadapan.Di pusat asasi UIA, PJ kita menyulam ukhwah dan di kampus Kuantan inilah kita menyambung ukhwah dan seterusnya berusaha untuk mengukuhkannya kerana ukhwah merupakan asas penting dalam sesebuah jemaah selepas iman. Semoga ukhwah yang terjalin ini diredhaiNya kerana dengan ikatan ini kita akan menjadi lebih kuat dan gerak kerja dakwah akan mudah untuk dilaksanakan.InsyaAllah.
Allahu’alam
SITI FATIMAH KAMARUDDIN
SAINS BIOPERUBATAN/TAHUN KEDUA
Memaparkan catatan dengan label Alu-aluan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Alu-aluan. Papar semua catatan

