Apakah itu Gerakan Massa? Berdasarkan kamus Dewan edisi ke-4:
- Gerakan bersinonim dengan anjakan (ganjakan, engsotan, pindahan) dan kegiatan (tindakan, usaha, langkah, ikhtiar,akal, jalan, kempen).Rujukan
- · Massa bermaksud kumpulan orang ramai yang bersatu kerana dasar atau pegangan tertentu.Rujukan
Maka, Gerakan Massa boleh diertikan sebagai kegiatan sesuatu kumpulan untuk menyampaikan mesej kepada orang di persekitarannya berdasarkan dasar atau pegangan yang telah mereka tetapkan. Sebagai sebuah persatuan yang dianggotai belia Islam, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang majoriti ahlinya terdiri daripada pelajar IPT, rasa bertanggungjawab untuk kehadapan dalam mendepani isu-isu semasa terutamanya didalam negara bagi mewakli suara mahasiswa. Oleh yang demikian, penggerak bagi gerakan masa ini adalah dipertanggungjawabkan kepada setiap ahli PKPIM dan mahasiswa disebabkan prioriti ilmu yang mereka miliki dan jawatan ‘mahasiswa’ yang mereka sandang untuk dikongsikan ilmu serta pandangan mereka bersama orang lain terutamanya masyarakat umum. Justeru, bertarikh 22-23 October 2011, telah diadakan Himpunan Gerakan Massa di Seketriat PKPIM Pusat.
Aktiviti
Aktiviti dimulakan dengan perkongsian daripada saudara Muhammad Faisal bin Abdul Aziz selaku Penolong Setiausaha Agung ABIM dan Mantan Presiden PKPIM sesi 2010. Beliau memulakan bicaranya dengan berpesan, penggerak massa harus mempunyai kekuatan ukhwah yang tinggi kerana hubungan sesama sahabat dapat membantu dalam memotivasikan diri seseorang untuk terus menyebarkan informasi. Cara paling mudah untuk merapatkan ukhwah adalah sentiasa mendoakan yang terbaik untuk sahabat-sahabat kita.
Orang yang berjaya secara biasa ialah ia berjaya seorang, orang yang berjaya secara luar biasa ialah mereka membawa orang lain juga berjaya. Oleh itu jangan kita saja nak jadi baik oleh itu niat untuk buat orang lain jadi baik- Ustaz Pahrol.
Perjuangan bukanlah sesuatu perkara yang boleh diada-adakan atau dicipta. Perjuangan muncul jika seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dengan rela dan penuh pengorbanan. Tokoh-tokoh Gerakan Massa seperti Mahatma Gandhi, seorang yang kaya raya tetapi berpakaian seperti orang kebayakkan, suaranya didengari dalam memperjuangkan kemerdekaan India suatu ketika dulu. Terkini, Prof. Aziz Bari, atas keberanian beliau berbicara mengenai AUKU suatu ketika dahulu walaupun beliau terikat dengan pihak universiti. Kesan daripada itu, beliau telah mendapat sokongan daripada banyak pihak terutamanya mahasiswa dalam menghadapi isu pergantungan jawatannya.
Saudara Faisal berkongsi lagi, media terbahagi kepada dua iaitu media lama dan media baru. Media lama terdiri daripada surat khabar, televisyen dan radio. Manakala media baru terdiri daripada Facebook, Twitter, blog dan lain-lain. Kedua-dua jenis media ini sama pentingnya. Media baru sangat pantas dalam penyampaian maklumat kesan daripada teknologi semasa. Justeru, semestinya penggerak massa perlu berkemahiran supaya kelebihannya dapat diperolehi semaksima mungkin. Disamping itu, hubungan yang rapat dengan pihak media dan jaringan dengan semua pihak tidak mengira status amat diperlukan. Hal ini kerana, kesahihan sesuatu berita dapat diperolehi dengan lebih cepat disamping dapat memudahkan jalinan usaha sama jika diperlukan kelak.
Zaman era 70-an, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah berjaya melakukan perubahan yang besar pada rakyat Malaysia yang beragama Islam. Kini ABIM telah berada dihati rakyat dan dikenali ramai rentetan daripada isu pemakaian tudung yang diperjuangkan menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia. Pada zaman moden ini, apabila berbicara mengenai kebebasan bersuara, dan kemanusiaan, pasti ia mendapat perhatian ramai. Oleh itu, dalam memilih untuk mengenengahkan sesuatu isu, penggerak massa harus menilai kerelevanan dan tahap konsistensi isu tersebut agar ia boleh diterima rakyat dengan syarat setiap apa yang dilakukan atau dinyatakan wajib berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Sebagai status mahasiswa, penggerak massa perlu menghasilkan isu dan bukan pengguna isu. Untuk memastikan sesuatu isu berjaya dilaksanakan, ia harus direncanakan secara berperingkat-peringkat.
Sesi bersama saudara Faisal diakhiri dengan penekanan tarbiyyah. Tarbiyyah perlu seiring berjalan dengan massa kerana peranan tarbiyyah akan mengukuhkan lagi massa agar perjuangan massa itu sendiri tidak terpesong daripada landasan yang telah dibentuk berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Bagi mendepani dari sekecil-kecil isu hinggalah sebesar-sebesar isu, biarlah ia terjawab berdasarkan sebab dan penyebab selari dengan syariat.
Pada sebelah malam, peserta dibahagikan kepada 2 kumpulan. Setiap Kumpulan perlu menyelesaikan beberapa tugasan iaitu memilih isu yang ingin dibangkitkan, memotong keratan akhbar yang berkaitan isu tersebut, pendokumentasian, membuat penulisan dan ia perlu diterbitkan dimana-mana bahagian penerbitan. Ini adalah pengalaman pertama bagi saya untuk menyiapkan tugasan seperti ini dalam masa 1 jam yang diberikan. Walaupun ia seperti mustahil untuk disiapkan dalam masa yang singkat, namun realitinya ia dapat diselesaikan, berkat kerjasama daripada semua ahli kumpulan dan bantuan daripada senior.
Kemudian aktiviti disambung dengan kembara ke Dataran Merdeka untuk melihat sendiri suasana malam disana dan menyertai “Occupy dataran” yang diketuai oleh Fahmi Reza seorang anak muda yang mempunyai pemikiran yang berbeza dari orang kebanyakkan. Atas sebab keselamatan, hanya peserta lelaki dibenarkan menyertai kembara ini. Kembara bermula pada jam 1030 malam dan selesai pada jam 230 pagi. Pada keesokkan harinya, sedikit perkongsian mengenai pengalaman kembara diceritakan oleh setiap peserta yang berpeluang merasainya. Menurut saudara Afif, Fahmi Reza punya semangat yang tinggi dan jitu. Pada jam 1200, beliau telah membuat Sekolah Demokrasi iaitu beliau akan memberikan ceramah bebas dan sesiapa sahaja boleh mendengarnya. Isi kandungan ceramahnya boleh disalah tafsirkan bagi sesiapa yang mendengar tanpa berfikir. Walaupun pendengarnya tidak seramai mana, namun semangat dan keberaniannya amat luar biasa dalam memperjuangkan ideanya. Anda akan dapat merasai semangatnya jika anda berada di tempat kejadian. Namun, ingin saya tekankan, bukan ideanya yang diutamakan tetapi semangat dan keberaniannya. Semangat dan keberanian seperti itulah yang diperlukan pada setiap ahli PKPIM dan mahasiswa. Ingat! Semangat dan keberanian itu hendaklah berdasarkan rasional dan syariat. Buatlah refleksi seketika. Adakah kita masih ada rasa gentar dan sekelumit ketakutan untuk melontarkan atau bertindak dengan idea kita? Orang lain sudah pasti tidak masuk akal fikirannya tekad dan yakin menyatakan pendirian mereka. Bagaimana kita? Berdiam sahajakah? Yakinlah, kita telah diberi jaminan oleh Rasulullah S.A.W. selagi berpegang teguh pada Al-Quran dan As-sunnah pasti kita berada diatas jalan kebenaran.
Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selepas (berpegang kepada) kedua-duanya: iaitu kitab Allah dan sunnah ku, dan kedua-duanya tidak akan terpisah sehinggalah kedua-duanya datang menemui ku di haud.[ al-Hakim dalam al-Mustadrak (1411 : 1/172). al-Baihaqi dalam “al-Sunan al-Kubra” (1414 : 10/195). Berkata al-Zahani : Bagi hadith ini syahid daripada hadis Abu Hurairah.] Rujukan
Program diakhiri dengan diskusi antara pihak Pusat PKPIM dan Kampus mengenai program-program yang telah dan akan dilaksanakan di kampus masing-masing. Pelbagai idea yang boleh diguna pakai oleh kampus untuk membangunkan lagi gerakan massa.
Konklusi
Himpunan Gerakan Massa 1.0 ini telah banyak memberi saya pencerahan tentang maksud gerakan massa itu sendiri dan kepentingannya. Detik ini, masih ada mahsaiswa lesu dengan isu semasa, bertumpukan pada akademik dan mengenepikan perihal semasa yang berlaku disekeliling. Ya, mungkin perihal dipersekitaran tidak berkaitan dengan kita, namun ia perlu diketahui kerana kitalah yang akan mencorak negara pada masa hadapan. Perkara yang berlaku pada masa ini lambat laun akan menjadi sejarah pada masa hadapan. Setidaknya, pengetahuan pada masa ini dapat membantu kita untuk bertindak dan berfikir dengan lebih matang kelak. Oleh yang demikian, setiap antara kita hendaklan membantu antara satu sama lain untuk menyedarkan rakan-rakan kita betapa pentingnya pegetahuan am dan cakna tentang isu terkini. Kita boleh bermula dengan diskusi bersama rakan-rakan tentang isu-isu nasional sambil-sambil makan pisang goreng berbanding berbual kosong. Pemikiran akan sentiasa bergerak dan sedikit sebanyak akan menjadi lebih matang jika ia berterusan dilakukan. Saya pasti, menteri-menteri tidak punya masa untuk berbual mengenai drama yang mereka tonton kelmarin (barangkali tidak sempat untuk menonton). Bagaimana kita?apa yang kita bualkan sesama rakan kita?Adakah kata yang kita keluarkan itu adalah zikir dan fikir? Atau hero to zero?
Daripada peringkat persatuan, pemahaman dan pemantapan fikiran ahli perlu dipergiatkan agar ahli memahami apa yang persatuan ingin pejuangkan. Peluang-peluang untuk membantu memantapkan idea-idea mereka perlu dicari dan disediakan. Sebagai contoh, usrah merupakan satu metod yang sangat mantap dalam memperkukuh ukhwah sesama ahli dan tarbiyyah diri masing-masing. Disamping itu, elemen gerakan massa boleh diselitkan walau seketika untuk memastikan ahli sentiasa cakna dan sekali gus membantu mereka secara tidak langsung. Provokasi atas keterpaksaan mereka untuk peka dengan isu semasa mampu menaikkan semangat seseorang dan meningkatkan keupayaan diri. Peluang lain perlu sentiasa dicari. Untuk melabel sesuatu isu adalah isu picisan atau tidak, ia mungkin berbeza pandangan bagi setiap individu. Oleh itu, selaras dengan status mahasiswa, perkara yang perlu dibincangkan adalah lebih baik jika bersifat matang, membuka minda, nasional dan bonus jika ia berkaitan global.
Ayuh rakan-rakan semua, mari kita bangkit dan cakna terhadap persekitaran kita. Tingkatkan lagi ilmu didalam diri, tidak kira ilmu yang dipelajari di kelas, ilmu ekonomi, sosial, politik, sirah, feqah dan bermacam jenis ilmu yang harus dipelajari oleh setiap daripada kita. Maksimakan kelebihan diri kita untuk manfaat orang lain. Pendakwah Indonesia Aa Gym berpesan, bermulah dengan 3M: Mulakan dengan diri sendiri, Mulakan dengan perkara kecil, Mulakan dari Sekarang.
Salam Perjuangan
AIMEE JAMIL
Oleh;
Sarah Syazwani Bt Shaifuddin
Bendahari Bengkel Penulis Muda 2011
Bertemakan “Membaca Bertemu Inspirasi, Menulis melakar Ekspresi”, Program Bengkel Penulis Muda 2011 telah diadakan di Dewan Kuliyyah 1, Kuliyyah Sains Kesihatan Bersekutu anjuran IIUM FACILITATOR TEAM (FACITEAM) dan ALLIED HEATH SCIENCES STUDENTS SOCIETY (HEALS).
Pada awalnya kita mensasarkan penulisan bukan kreatif yakni merangkum artikel ilmiah dan responsif terhadap isu semasa. Namun 80 peratus suapan daripada pengisi bengkel, Saudari Hazwani berkongsi tentang penulisan kreatif.
Sebenarnya bengkel ini lebih dari itu. Kita mahukan peserta seolah mendapat gambaran awal ataupun big picture bagaimana proses menulis itu dalam masa yang sama tidak mengabaikan beberapa aspek fundamental dalam membina diri sebagai seORANG penulis. Penulisan kreatif (fiksyen) dan penulisan bukan kreatif (non fiksyen) memanglah berlainan dari beberapa aspek teknikal, walaubagaimanapun dari sisi fundamentalnya ia tetap sama. Siapa penulis? Mengapa PERLU menulis? Apa tujuan menulis? Ke mana hendak dibawa tulisan kalian itu?
Mari kita imbas kembali apa yang telah disampaikan Kak Haz beberapa jam yang lalu. Sebelum bengkel bermula dengan proses berkenalan dengan semua peserta. Latar belakang jurusan apa dan bahan bacaan siapa penulis yang digemari - dan kita (sebagai penganjur) dapat mengenali mereka dari sudut yang berlainan.
Slot 1, peserta banyak didedahkan dengan pengalaman penyampai, kisah bagaimana beliau mula menulis; iaitu dengan membaca. Bertepatan dengan tajuk slot, 'Membaca Mendesak Penulisan', Kak Haz berkongsi tentang latar belakangnya sebagai seorang pelajar yang gemar membaca. Rata-rata bila berkenalan dengan mereka yang memang rajin membaca, mereka bersetuju dengan perkara ini. Kepelbagaian bahan bacaan biasanya memberi stimulasi kepada pembaca itu untuk mengekspresikan pemikirannya (hasil pembacaan itu) dalam bentuk penulisan. Sebab itu Kak Haz menyedarkan kita melalui kata-kata A. Samad Said yang berbunyi, 'Membaca, membaca, membacalah, dan kemudian menulislah.'
Mengapa tidak terus membaca ya? ;)Namun, ketika usia sementah itu, Kak Haz tidak selektif terhadap pembacaan, apatah lagi mampu menapis segala macam 'perang pemikiran' yang dilancarkan oleh penulis buku-buku tersebut. Menerima dan menerima sehingga pada satu ketika berlaku konflik dalam diri beliau, yang membawa kepada persoalan, 'Aku mahu menjadi yang bagaimana sebenarnya?'
Saat usia makin bertambah Kak Haz mula mengenali dan memahami dengan apa yang dikatakan pandangan alam Islam dan mula selektif dengan bahan bacaan; baca yang penting-penting saja, tak perlu buang masa.
Pandangan alam Islam itu tidak pernah akan berubah, yang berubah hanya situasi semasa. Penulis yang perlu menzahirkan pandangan alam Islam itu melalui karya mereka sesuai mengikut situasi semasa. Dan itu memerlukan penulis melalui satu proses berfikir. Bagaimana proses berfikir itu mampu dicetuskan? Melalui pembacaan. Kekeliruan antara ma'na ilmu dan juga istilah informasi dalam kalangan menulis membawa kesan kepada pembaca. Justeru, penulis harus punya ilmu untuk membedakan antara ilmu dan informasi, kemudian diharmonikan dalam karya, dan apabila ia sampai kepada sasaran pembaca, mesejnya jelas; ilmu yang membawa kepada ma'na diri.
Kak Haz berkongsi lagi. Keyakinan untuk menulis datangnya juga dengan ilmu. Tuhan memberi kepada yang ikhlas mencari. Kenapa masih belum menulis? Kerana proses berhujah dan berdebat dalam diri masih belum selesai. Membaca mencetus proses berfikir -> Proses berfikir melibatkan perdebatan dalam diri; Kerana sebagai seorang penulis, kita bukan sahaja mahu menzahirkan keluh-kesah dalam masyarakat, masalah-masalah sosial yang tak pernah sudah, konflik dalam dunia sains yang rencam, permainan politikus dalam mencatur dunia; Tetapi sebagai seorang penulis kesemuanya itu perlu direncana dalam satu sempadan yang terhad (penulisan cerpen memakan 8-10 halaman), diolah dengan gaya bahasa yang berpadanan dengan sasaran pembaca, dan kita mahu mencari resolusi juga, itu yang kebanyakan penulis lewat hari ini terlepas pandang.
Pandangan alam Islam juga menolak sekularisasi ilmu, mana mungkin berlaku dikotomi aliran sastera dan sains. Sebagai pelajar Sains yang cenderung menggunakan logik, Kak Haz berkongsi satu perkara yang saya kira ia sesuatu yang baru. Katanya, 'Akak menulis cerpen, tapi masih menggunakan tatacara dalam kaedah Sains (Hipotesis--->Kesimpulan).' Elemen logik & empirikal ; Berasaskan fakta dsb bila diharmonikan dengan elemen kreatif dalam sastera dan diolah dengan teknik tulisan naratif, memang mampu mencetuskan karya yang bermutu dan apa yang penting, isinya mampu dihadam pembaca. Sebab itu Kak Haz mengingatkan kita tentang krisis sarjana & menara gading, yang kadangkala ilmu itu tidak sampai kepada masyarakat. Ya, memang benar tahap intelektual dan tingkatan ilmu itu berbeza, namun ada beberapa perkara yang masyarakat perlu ambil tahu dan diberitahu.
Slot 2, banyak menyentuh aspek teknikal, format dan medium penulisan. Unsur-unsur yang sering dibicara dalam karya fiksyen seperti penghasilan watak, tema dan persoalan, latar, nilai, plot, gaya bahasa dan sudut pandang. Teknik story telling dalam membuat artikel bukan kreatif, membuat ayat provokatif di awal penceritaan dan sebagainya. Maaf, saya tidak banyak ulasan tentang ini, mungkin rakan hadirin yang lain boleh membantu.
Slot 3, aplikasi; Jom Menulis! Ya, siapa sangka Saudara Arif Alwan mampu membuat hadirin pecah perut dengan karya santai tapi mengangkat isu kapitalis dan pasaran bebas dengan beranalogikan ubat gigi, berus gigi dan floss, Saudari Najibah Mahirah dengan isu yang agak 'feminis' (mujur saja rakan hadirin arjuna kita ketika itu cuma tinggal dua orang), Saudari S. Khadijah (Kak Joh) yang polos dalam menzahirkan perasaannya dengan situasi di hospital, Saudari S. Khodijoh (Kak Dodi) - dialog antara si ibu dan si anak yang berbicara tentang definisi jahat, Saudari Naili yang turut membawa hadirin tenggelam dalam emosi watak yang berkecamuk, Saudari Asilah yang mengetengahkan falsafah sains dalam dua rangkap cerpen, Saudara Muziru memesrakan konsep taa'dib SMN Al Attas dalam dialog antara 2 watak yang diciptakan, Saudari Nik yang bercerita mengenai pengalaman di dalam kelas yang amat dekat sekali dengan kita sebagai seorang pelajar dalam satu naratif yang sangat kreatif! (sekadar menyebut beberapa nama)
Semuanya dalam masa 20 minit, satu tempoh yang kritikal saya kira :)
Tuhan beri lebih baik dari apa yang kita minta, apa yang kita rancangkan. Tanggungjawab kita sebagai pendakwah lewat hari ini bukanlah semudah yang disangka. Cabaran-cabaran yang perlu dipikul berubah mengikut peredaran zaman. Justeru, ayuh mempersiap diri dengan ilmu dan memperkukuh pandangan alam dalam menghadapi hari-hari yang mendatang.
Sekalung budi, seribu jasa
Buat semua penganjur peserta;
Tiada daya, tiada upaya
Tuhan saja bisa membalasnya.
Semarakkan penulisan dalam diri anda!
Bismillahirrahmanirrahim
"Bila kita kenal diri, maka kita kenal Pencipta"
Kenapa??
Kerana kita dariNya. Mengikut psikologi Islam, manusia terdiri dari empat unsur; akal, hati, nafsu dan roh. Antara empat unsur ini,
Siapakah raja? - Roh.
Tentera? - Nafsu
Bendahara? - Hati
Perdana menteri? – Akal
Raja memberi arahan, tentera mengikut arahan, perdana menteri pula menasihati. Jika tentera memberontak atau melakukan suatu perkara yang tidak selari dengan arahan,maka raja bertugas untuk terus berhubung dengan raja segala raja. Siapakah dia? Pastinya Allah Taala. Perhubungan secara langsung ini sebenarnya adalah satu nikmat yang tidak terhingga kepada manusia bergelar Muslim. Apabila seorang manusia itu berakhlak mulia, maka Allah mengatakan,"Aku sayang akan si fulan". Lalu, malaikat mendengar perkara tersebut dan berkata-kata antara satu sama lain, kemudian menyampaikan nya kepada alam-daun, pokok, haiwan dan sebagainya. Akhirnya, jika raja segala raja menyayangi si fulan, apakan tidak alam. Maka, seluruh alam menyayanginya. Oh indahnya. Psikologi Barat pula mengatakan, manusia terdiri dari dua unsur; jasad dan roh. Tapi mereka tidak mempercayai akan perhubungan secara langsung antara roh dan tuhan. Mereka percaya dunia ini adalah setakat ini sahaja tanpa adanya akhirat, maka mereka berusaha habis-habisan di atas dunia ini tanpa sekatan. Perikemanusiaan hilang, diktator menguasai.
Setelah kita mengenali diri, maka, saya ingin berkongsi tentang dapatan dalam usrah. Emosi manusia ada positif dan negatif. Rasulullah s.a.w adalah contoh terbaik dalam mengawal emosi yang dianugerahkan Allah Taala ini.

MARAH - Emosi negatif. Keadaan marah yang paling bagus dan terpuji ialah lambat marah dan lekas hilang. Jika kita marah, seeloknya kita menukar posisi badan, contohnya dari berdiri kepada duduk, duduk kepada baring. Selain itu, jika marah sudah tahap berapi, maka ambillah wudhu' untuk memadamkannya.
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w.“ Berwasiatlah kepadaku, “Lalu Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.” Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali, Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.”
(Riwayat al-Bukhari)
Sabda Nabi pada hadis yang lain: “Jauhilah kemarahan, kerana ia adalah bara api yang bernyala-nyala dalam hati anak Adam”. Cuba kita lihat bagaimana jika seseorang dalam keadaan marah. Kedua-dua matanya merah dan urat lehernya akan kelihatan timbul. Rasulullah pernah menerangkan: “Bahawa kemarahan itu dari syaitan. Dan sesungguhnya syaitan itu dijadikan dari api. Api hanya dapat dipadam dengan air. Apabila marah oleh seseorang kamu maka hendaklah ia berwudhuk”.
Abu Dzar al-Ghifari berkata: Rasulullah pernah berkata kepada kami: ”Apabila marah seorang kamu yang sedang berdiri maka hendaklah ia duduk supaya hilang kemarahannya. Kalau masih belum juga hilang maka hendaklah ia berbaring”.
Wallahu A’lam
(sumber Hadith 40 , Mustafa Abdul Rahman)

SEDIH - Rasulullah s.a.w mengalami tahun kesedihan apabila bapa saudaranya meninggal (Abi Talib) diikuti dengan isteri tercinta (Siti Khadijah). Untuk menghiburkan hati yang lara, Allah s.w.t menghiburkannya dengan menjemput Rasulullah bertemu dengannya di Sidratul Muntaha pada malam Isra' dan Mikraj. Lalu, baginda menerima hadiah yang sangat hebat dan dinikmati oleh seluruh umat manusia iaitu, solat. Solat adalah tiang agama dan solat adalah penghibur hati.
PENAT - Diceritakan pada suatu hari, Fatimah, anak kesayangan Rasulullah s.a.w mengadu kepadanya tentang kerja-kerja rumah yang sangat memenatkan dan dia meminta seorang khadam. Lalu Rasulullah s.a.w menghadiahkannya zikir Fatimah - Subhanallah (33x), Alhamdulillah(33x), Allahu Akbar(33x). [rujuk sahih bukhari]
Lagi, dalam konteks kita, gerakan aktivis, program datang tanpa henti, sehinggakan sampai satu masa kita rasa sangat penat. Muhasabah semula diri, apa sebab kita melakukan semua itu? Adakah kita berlebih-lebihan? Diriwayatkan daripada Aisyah r.a :” Ketika saya sedang duduk dengan seorang perempuan, datang rasulullah SAW dan bertanya kepada ku :”Siapa dia?” Aku menjawab :” Si fulanah” dan aku ceritakan kepada nabi SAW bahawa dia beribadah dengan berlebihan. Nabi SAW bersabda dengan memperlihatkan tanda tidak bersetujunya. “Perbuatan baik yang dilakukan secara berlebihan tidak akan membuat Allah letih (untuk memberi pahala) namun engkaulah yang akan letih dan ad-din (perbuatan baik-ibadah yang paling dicintai Allah SWT) adalah yang dikerjakan secara tetap.” (al-Bukhari)
Maka, bersederhanalah kita. Bagaimana? Pembahagian tugas dalam gerakan, tanya khabar kawan, bantu mereka.(sekadar menulis beberapa perkara).

TIDAK MENYUKAI SESUATU - Apabila Rasulullah tidak menyukai suatu makanan, Baginda diam. Baginda tidak mencela atau menghina. Kita juga harus begitu. Jika makan terlebih masin atau terkurang gula, diamkan sahaja kerana jika kita mengungkit, kemungkinan kita mengaibkan orang yang bersusah payah menyiapkan makanan untuk kita.
Ingatlah, emosi itu indah. Wanita selalu dikaitkan dengan 'keindahan' itu.
"eii, perempuan ni emo r"
"sikit-sikit merajuk, sikit-sikit marah"
" orang cakap sikit, dia nak lebih-lebih pula"
" terima kasih, sebab awak faham apa saya rasa"
"terima kasih, apa yang awak cakap menyentuh hati saya"
Oleh itu, wahai sebaik-baik perhiasan dunia, gunakanlah emosi dengan sebaiknya un
tuk mengimarahkan dunia. :)
Lagi perkongsian, jika kita memasuki suatu program atau majlis, amalkan doa ini, moga-moga kita saling menyayangi.
"ya Allah, kurniakan kecintaanku kepada orang-orang yang beriman dan kurniakan kecintaan orang-orang beriman kepadaku.amiin."
Lagi perkongsian, bagaimana kita ingin menjadikan dunia ini gembira dan bahagia?
Lemparkan senyuman :) dan sampaikanlah salam (assalamualaikum).
Sebelum menutup tirai, sila jawab soalan di bawah.
1. Burung apa? Murai.(lakukannya bersama kawan sebanyak 10 kali)
(jika anda tinggikan suara, maka..:))
2. Lihat pelangi, apa rasa?
Lihat sampah, apa rasa?
Lihat muka mak abah, apa rasa?
(jika anda dapat rasa sesuatu, maka, TAHNIAH! Anda seorang manusia.:)

Wallahua'alam.
Disediakan oleh,
EIFA NISA
Sumber: perkongsian dari usrah perindu (Sunnah Dalam Beremosi : 28/10/2011)
<http://pustakaalmanhar.com/2010/07/hadith-nabi-saw-tentang-marah.html>
<http://ii.islam.gov.my/hadith/hadith1.asp?keyID=330>
<http://zahrahdurrani.blogspot.com/2011/02/hadith-allah-tidak-pernah-penat.html>
Berderau darah Asad membaca surat yang dihantar kepadanya siang tadi. Tulisan tangan yang kelihatan seperti ditulis dalam keadaan marah itu dibacanya berulang kali.
Dia tahu siapa yang menghantarnya.Ah! Pedulikan. Mahu sahaja isi surat tadi dilupakan. Tapi, hati kecilnya sedikit resah dengan kehadiran surat tanpa nama itu. Dadanya kembali sesak.
‘’Menyesal pula aku terima jadi naqib.Menyusahkan. Sudahlah kena berfikir macam-macam, dapat pula ahli usrah yang teruk begini.’’, luah Asad dengan nada berbaur kesal dan marah.
Memang dia akui,menjadi naqib usrah bukan kehendaknya. Tidak pernah terlintas langsung di fikirannya untuk menjadi naqib usrah. Bukan dia tidak tahu tanggungjawab sebagai naqib yang memang berat untuk dilaksanakan.
Tapi,semuanya disebabkan pujukan Abg Jalil.
Murabbinya.
Dia? Awal- awal sudah menolak. Abg Jalil yang beria menyuruhnya menerima tanggungjawab sebagai naqib. Entah apa yang dipandang oleh Abg Jalil. Nak kata dia baik, jauh panggang dari api. Berilmu? Tidak juga. Ramai lagi kawan seangkatan dengannya yang lebih pandai dan jauh lagi hebat daripada dia yang seharusnya lebih layak diberikan peluang.
Hatinya mula menjadi sebak.Dia teringat abang Jalil. Murabbinya yang penyayang itulah yang menjadikannya ‘manusia’ sekarang. Sungguh!hati kecilnya memanggil – manggil sang murabbi berjiwa besar itu. Daripada murabbinya itulah Asad belajar makna kehidupan.
Kalaulah abang Jalil ada…
Diari coklat pemberian naqib kesayangannya itu segera dicapai.Itulah hadiah daripada abang Jalil sewaktu ulang tahun kelahirannya yang ke-2 1. Arif benar abang Jalil akan sifatnya yang lebih suka meluahkan sesuatu melalui penulisan berbanding bercerita masalahnya kepada orang lain.
Diari diselak perlahan.Sekarang hasratnya cuma satu. Mahu dilepaskan semua yang terpendam di hatinya selama ini di dalam diari itu bagi melegakan hatinya.
………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………...
Foto ditangannya ditatap dengan wajah suram. Banyak kenangan manis yang dilalui bersama dengan orang-orang di dalam foto tersebut.
Di belakang foto bersaiz kecil itu tertulis, “ semoga istiqamah dalam perjuangan”. Kata-kata yang penuh signifikan dan dalam maksudnya.Bibirnya menguntum senyum.
Foto lama itu mengingatkan dia akan ahli-ahli usrahnya. Semua masih tersimpan kemas dalam memorinya. Macam-macam perangai yang dipamerkan oleh setiap adik usrahnya terutama apabila mesej usrah dihantar. Ada yang mengatakan sibuk dengan pelajaran dan menyiapkan kerja rumah dan ada seorang dua yang mesej usrahnya langsung tidak berbalas.Tidak berminat barangkali. Mujur juga ada yang membalas dan menunjukkan komitmen.
Marah?Kecewa?Asad tersenyum. Kalau dulu mungkin ya.
Sekarang?
Dia bukan Asad yang dulu. Itu dia pasti.
Baginya,dia yang harus memulakan langkah terlebih dahulu. Memulakan dulu?Itulah yang perit. Tetapi keperitan itulah yang melonjakkan dirinya ke tahap sekarang.
Tanggungjawabnya sebagai naqib memaksa dia untuk berubah serba serbi. Bermula dengan perubahan pemikiran,sikap,disiplin diri sehingga kepada perkara yang kecil seperti kebersihan dan kekemasan diri turut diutamakannya. Setiap perkara cuba dilaksanakannya sebaik mungkin bagi menjadi contoh terbaik untuk orang sekelilingnya. Itu yang dipesan Abang Jalil kepadanya.
Begitu juga dengan majlis ilmu. Jika dulu, dia lah orang yang duduk nun jauh di belakang,berhampiran dengan pintu.
‘‘Senang nak keluar.”
Itu katanya apabila ditanya mengapa tidak memenuhi ruangan hadapan.
Itu Asad yang dulu.
Dia tersenyum lagi. Kali ini senyumannya lebih lebar. Barangkali ini hikmahnya dia dipilih Allah menjadi naqib. Terlalu banyak sikap buruknya yang berjaya dikikis. Masa dan usia mudanya tidak lagi terbuang dan dibazirkan begitu sahaja. Tenaga mudanya kini dikerah untuk memperbaiki diri dan mengajak orang sekelilingnya kearah kebaikan.Jika dulu niatnya menjadi naqib hanya kerana terpaksa, kali ini dia benar-benar yakin bahawa tugas ini dilakukan demi menyambung misi kenabian dengan menyebar rahmat ke seluruh alam.
Sekarang Allah telah meringankan kamu kerana Dia mengetahui bahawa ada kelemahan padamu. Maka jika di antara kamu ada seratus orang yang sabar, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh; dan jika di antara kamu ada seribu orang yang sabar, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ribu orang dengan seizin Allah. Allah beserta orang-orang yang sabar.
(Al-Anfal:65)
~HIDUP BIAR BERJASA~
- Imtinan Baharuddin -



