PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Al-Fatihah buat Allahyarhamah Normaslina

oleh Permata Tinta PKPIM Julai 30, 2009 0 comments

Salam semua.

Saya mewakili seluruh warga PKPIM-UIAM Kuantan mengucapkan takziah kepada keluarga rakan sekelas saya, Normaslina yang telah kembali ke rahmatullah tengah hari semalam akibat kemalangan. Jam 11.40 tengah hari, saya dimaklumkan berkenaan kemalangan dan diminta untuk menjadi wakil kelas untuk ke sana.

Kemudian pada jam 12 tengah hari, saya dimaklumkan bahawa arwah sudah tiada. Saya terus bergegas ke rumah mayat HTAA bagi mendapatkan kepastian. Jenazah kemudian dimandikan di surau belakang ECM dan disolatkan di situ.

Kemudian saya bersama-sama Ketua Jabatan CTS, Dr. Samsun untuk menghantar jenazah ke kediaman beliau di Felda Tersang, Raub, Pahang. Alhamdulillah, jenazah selamat dikebumikan pada jam 11 malam. Saya sempat bertemu pak cik dan ibu arwah untuk mengucapkan takziah dan memberi kata-kata sokongan. Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh warga staf UIAM Kuantan di atas tindakan pantas, kerjasama serta bantuan yang diberikan bagi mengurangkan beban keluarga arwah. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan para solehah. amin..

MUHAMMAD MU'IZZUDDIN BIN MUSTAFFAR

Mari Belajar Ilmu Ikhlas

oleh Permata Tinta PKPIM Julai 21, 2009 0 comments

Salam semua.

Kisah di bawah ini saya dapat melalui e-mel yang dikirim oleh seorang sahabat. Harap kita semua dapat mengambil iktibar daripada kisah ini.


"Mari ku ajarkan mu tentang ikhlas," kata seorang guru kepada muridnya.

"Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya."

"Tak payah, bawa sahaja karung guni."

"Karung guni?" soal anak muridnya, seperti tidak percaya.

"Mari kita ke pasar!" ajak gurunya.

Dalam perjalanan ke pasar, mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.

"Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu," kata guru itu memberi arahan.

Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.

"Cukup?"

"Belum, isi sampai penuh karung guni itu. Lebih banyak lebih baik."

Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa pun. Gurunya hanya berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar.

"Tok guru, kita tidak beli apa-apakah?"

"Tidak. Bukankah karung guni mu telah penuh?"

"Ya, ya..." kata murid itu sambil memikul guni yang berat itu kelelahan.

"Banyak beli barang," tegur seorang kenalan apabila melihat anak murid itu memikul guni yang berisi penuh dengan batu-batu.

"Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya. Banyak sungguh barang yang mereka beli," bisik orang yang lalu-lalang apabila melihat guru dan anak murid tersebut.

"Agaknya, mereka hendak buat kenduri dengan barang-barang yang banyak itu," kata orang yang lain.

Sampai sahaja di tempat tinggal mereka, murid tadi meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi.

"Oh, letih sungguh... apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni, Tok?"

"Tak buat apa-apa."

"Eh, kalau begitu letih sahajalah saya," balas anak murid.

"Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas..."

"Bagaimana?" tanya anak murid itu kehairanan.

"Kamu dah belajar apa akibatnya tidak ikhlas dalam beramal."

"Dengan memikul batu-batu ini?"

"Ya. Batu-batu itu umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan tetapi hanya batu-batu... "

"Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?"

"Ya, hanya beratnya sahaja yang terpaksa ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat, hanya penat..."

"Ya, sekarang saya sudah faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas!" ujar murid itu.

Sekarang dia sudah faham apa akibatnya RIAK dalam beramal.




Pengajaran:
Ramai manusia tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian orang. Padahal kata pujian daripada orang-orang itu tidak akan memberi manfaat pun kepadanya pada hari akhirat. Malah, mengharap pujian daripada manusia hanya akan menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka. Rugi benar orang yang tidak ikhlas, terseksa di dunia, terseksa di akhirat.




nota kaki:
teringat saya akan sebuah filem Indonesia "Kiamat Sudah Dekat". Filem ini mengisahkan seorang pemain dram bagi sebuah kumpulan rock yang tertarik dengan seorang gadis bertudung dan berusaha untuk melamarnya dengan memenuhi syarat yang diberikan oleh ayah gadis tersebut yang juga merupakan seorang ustaz. Salah satu daripada syarat-syaratnya ialah belajar tentang ilmu ikhlas.



Wallahua'lam.


HAWA MAS AZMAR AHMAD

Tahniah dan Selamat Datang!

oleh alifzaimimra Julai 08, 2009 0 comments



Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah, selautan kesyukuran saya rafa’kan kepada Ilahi Rabbi atas segala nikmat kurniaaNya yang tidak terkira ini dan di atas kuasaNya juga yang memungkinkan kita untuk terus menghirup udara Bumi dan berjalan di atas muka Bumi-Nya ini, ya’ni untuk terus menyambung risalah perjuangan Baginda Nabi Muhammad s.a.w.InsyaAllah. Semoga kita sentiasa berada di bawah lembayung Rahmat dan Maghfirah-Nya.Mudah-mudahan.

“Barangsiapa bersyukur atas nikmat kurniaan-Ku nescaya akan Aku tambahkan nikmat-Ku. Dan barangsiapa kufur maka ingatlah bahawa azab-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim:7)


7 haribulan Julai 2009 menyaksikan pendaftaran adik-adik daripada pusat asasi UIA, Petaling Jaya ke kampus Kuantan. Di kesempatan ini, saya bagi pihak PKPIM UIAM Kuantan mengucapkan tahhiah kepada adik-adik sekalian dan semoga semangat perjuangan yang insyaAllah sebati dengan diri adik-adik tidak akan pudar ditelan zaman. Kerana saya yakin bahawa adik-adik sudah pun mengerti akan maksud dakwah yang sebenar dan dek kerana kefahaman itulah kita punya tanggungjawab untuk melaksanakan gerak kerja dakwah di Bumi Kuantan ini terutamanya, kerana di sinilah adik-adik datang dengan seribu satu tanggungjawab yang bukan hanya terfokus pada akademik semata-mata, tetapi juga merangkumi segala aspek dalam kehidupan adik-adik sebagai seorang mahasiswa Islam.Tidak mahu tidak, adik-adik harus memainkan peranan kerana sebagai seorang ahli gerakan pelajar, sudah tentu kita perlu menjadi seseorang yang berbeda daripada seseorang yang tidak menyertai apa-apa gerakan. Tidak kiralah dari segi aktivisme, intelektualisme ataupun spiritualisme.

Adik-adik, suka sekali untuk saya katakan bahawa, zaman mahasiswa ini penuh dengan dugaan dan cabaran yang datang silih berganti, dan kadang-kadang membuatkan kita berasa lemah dan tidak berdaya, sehingga punya keinginan untuk berhenti daripada melakukan kerja-kerja dakwah. Maka di sini adik-adik harus kembali kepadaNya, andai yakin dengan janji-janjiNya, mengapa perlu kita berubah arah? Tepuk dada tanyalah iman kalian, kerana saya yakin kalian sudah faham akan maksud dakwah itu sendiri dan tanggungjawab kita sebagai hamba dan khalifah di muka Bumi Allah ini.

Kami berasa bersyukur dan gembira dengan kehadiran adik-adik semua dan hanya Allah s.w.t yang tahu betapa kami memerlukan adik-adik untuk meneruskan gerak kerja dakwah di sini bersama-sama kami.Selain sentiasa mengikuti usrah dan mempertingkat amalan kerohanian, adik-adik juga harus rajin mendekatkan diri dengan majlis-majlis ilmu di sini, kerana majlis-majlis seumpama ini merupakan salah satu taman daripada taman syurga.Jangan kerana dek sibuk dengan pelajaran, kita lupa akan perkara-perkara sebegini. Kekuatan dalaman memainkan peranan penting dalam diri seorang dai’e, kita cuba membantu orang lain dan pada masa yang sama kita membantu diri kita sendiri.

Yakinlah, banyak perkara yang akan adik-adik pelajari di kampus Kuantan ini.Jadikanlah Allah sebagai tempat pergantungan setiap masa agar Dia juga sentiasa mengingati kita.InsyaAllah.Tidak sabar untuk bertemu dengan adik-adik pada “Malam Iftitah Perjuangan”, 13 hb Julai ini iaitu pada hari Isnin minggu hadapan.Di pusat asasi UIA, PJ kita menyulam ukhwah dan di kampus Kuantan inilah kita menyambung ukhwah dan seterusnya berusaha untuk mengukuhkannya kerana ukhwah merupakan asas penting dalam sesebuah jemaah selepas iman. Semoga ukhwah yang terjalin ini diredhaiNya kerana dengan ikatan ini kita akan menjadi lebih kuat dan gerak kerja dakwah akan mudah untuk dilaksanakan.InsyaAllah.

Allahu’alam


SITI FATIMAH KAMARUDDIN
SAINS BIOPERUBATAN/TAHUN KEDUA

Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta