
Program Perkampungan Menara Gading Kebangsaan 2009 (PMGK) bertujuan melatih generasi mahasiswa agar bersifat dinamik dan progresif sebagai persediaan untuk kepimpinan negara pada masa akan datang. Hasrat ini dilaksanakan dengan meletakkan tradisi budaya ilmu sebagai pra-syarat penting ke arah pembinaan sahsiah yang unggul, pembentukan bangsa yang mapan dan pembinaan tamadun yang tinggi. Namun segalanya hanya dapat direalisasikan jika semua pihak membantu menggembleng tenaga menjayakannya.
Program PMGK 2009 yang dirancang oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Pelajar Islam Wilayah Persekutuan (PPIWP) dengan anjuran bersama Kerajaan Negeri Selangor kali ini juga bertujuan untuk membantu mendedahkan kepada para pelajar tentang kehidupan di kampus serta memupuk sahsiah yang tinggi dengan memiliki matlamat yang jelas dan mampu untuk membangunkan diri, keluarga dan negara berlandaskan kefahaman dan penghayatan Islam yang syumul.
Objektif
1. Mengubah paradigma para pelajar ke arah yang lebih positif seiring dengan arus pembangunan dan perkembangan intelektual pada hari ini.
2. Mendedahkan kepada para pelajar tentang kehidupan di kampus serta sistem pendidikannya.
3. Membantu para peserta dalam mengenali potensi diri seterusnya mampu membuat pilihan yang tepat mengenai kerjaya dan masa depan.
4. Menyemai satu idealisme bagi membudayakan ilmu dalam setiap tindakan dan perancangan.
5. Memberi satu bentuk latihan kepimpinan dan keperibadian Islam.
6. Memantapkan pembangunan diri dari aspek rohani, jasmani, emosi dan intelektual.
Utk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari laman ini.
Jawatankuasa Pendidikan dan Penyelidikan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) terlebih dahulu ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik dan staf sokongan yang telah banyak berkorban masa dan tenaga demi menjayakan anak bangsa yang menjadi penerus kecemerlangan negara.
PKPIM berpendapat pemilihan tema "Guru Pembina Negara Bangsa" pada kali ini sememangnya amat bertepatan dengan senario dan keperluan semasa yang kian mendesak. Konflik politik, kemelesetan ekonomi dan kebijajahan sosial anak muda dilihat mampu menghalang usaha kerajaan merealisasikan pembinaan Negara Bangsa selaras dengan harapan "Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang dihasratkan oleh YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.
Statistik menunjukkan bahawa pada tahun 2007, negara mencatatkan peningkatan 13 peratus kadar keseluruhan jenayah dalam negara. Bagi jenayah rogol dan penderaan seksual, peningkatan yang lebih signifikan dicatatkan iaitu pada kadar 22 peratus di mana sebahagian besarnya melibatkan golongan belia. Di samping itu, penularan aktiviti jalanan haram khususnya "mat rempit" telah melahirkan lebih banyak sub-culture yang mengenepikan aturan agama dan nilai luhur kebudayaan tempatan dan adat ketimuran.
Selain itu, krisis DUN Perak telah memperlihat ketidakmatangan dan keseriusan segelintir pemimpin negara dalam mengenengah dan menguruskan permasalahan rakyat. Polemik yang berpanjangan ini telah sedikit sebanyak menjejaskan fokus dan komitmen kerajaan terhadap perkara yang jauh lebih penting dan mendasar.
Permasalahan yang ditimbulkan oleh para pelajar sehinggalah ke peringkat kepimpinan utama negara ini bakal merencatkan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk sekurang-kurangnya melengkapkan Teras Pertama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang hanya tinggal kurang setahun untuk disempurnakan.
Justeru, PKPIM melahirkan kebimbangan terhadap status semasa pencapaian keenam-enam teras PIPP tersebut iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan, dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Hal ini kerana perkara tersebut merupakan sandaran utama halatuju dan aspirasi kecemerlangan sektor pendidikan negara.
PKPIM menghargai komitmen kerajaan apabila menyuntikkan kira-kira RM200 juta menerusi Pakej Rangsangan Pertama dan lebih RM2 bilion menerusi Pakej Rangsangan Kedua (Mini Bajet) khusus untuk membantu melancarkan setiap program yang telah diatur oleh pihak Kementerian Pelajaran dan agensi-agensi berkaitan bagi mengelak kesan langsung ekoran krisis ekonomi dunia. Namun, sekadar modal tidak mencukupi untuk merealisasi agenda besar ini.
Justeru, PKPIM percaya komitmen dan kesungguhan para guru, pihak pentadbir, ibu bapa dan orang ramai harus digandingkan bersama bagi mencapai maksud tersebut. Guru dan masyarakat perlu memainkan peranan yang lebih berkesan dengan mempertonton akhlak dan budi pekerti yang baik agar dapat menjadi contoh teladan kepada generasi muda khususnya para pelajar sekolah yang selama ini sering dikaitkan denga masalah sosial yang semakin meningkat.
PKPIM berharap dengan komitmen semua pihak dan suntikan modal yang mencukupi dari kerajaan, PIPP yang bertujuan untuk memperkukuh perpaduan bangsa, membina identiti nasional, memperteguh semangat kebangsaan serta membangunkan sumber manusia bagi mengisi keperluan negara akan dapat direalisasikan. Semoga, dengan jati diri yang kental dan semangat patriotik yang tebal, akan lahirlah bangsa Malaysia yang utuh dan bermaruah.
Selain itu, PKPIM ingin menarik perhatian semua pihak kepada transformasi yang telah dan sedang dijalankan oleh kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia. Pembangunan fizikal dan modal insan selain dasar liberalisasi kemudahan teknologi maklumat telah menampakkan tanda-tanda kejayaannya. Namun, dalam melestarikan pengunaannya, roh dan idealisme pengguna khususnya para pelajar harus juga dibangunkan agar matlamat yang tepat dapat memandu penggunaan yang bermanfaat.
PKPIM juga menyambut baik ketegasan YAB Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di kalangan rakyat Malaysia selaras dengan peruntukan perlembagaan dan konsensus yang telah dicapai oleh generasi awal kemerdekaan.
PKPIM percaya menerusi pembangunan pendidikan yang kolektif dan bersepadu, yang menyambung kesinambungan sejarah lalu dan kelangsungan masa hadapan, dan merukuni kebudayaan setempat dan persaingan global, Malaysia mampu menempatkan diri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain namun dengan citra dan cara kita yang masih mengekalkan identiti keMalaysiaannya yang sebenar.
Akhirnya, PKPIM sedar bahawa proses pembangunan pendidikan adalah suatu proses yang panjang dan tidak berpenamat. Justeru, PKPIM komited untuk menjadi rakan pembangun dan tangan pelaksana kepada pihak kerajaan. Hal ini selaras dengan tuntutan collective responsibility sebagai seorang pelajar dan anak muda terhadap kecemerlangan diri dan kebajikan masyarakat.
Kepada para pendidik sekalian, Selamat Hari Guru! PKPIM menyanjung setiap pengorbanan dan kesungguhan cikgu.
"Guru Cemerlang, Pelajar Gemilang, Negara Terbilang"
ABU QASSIM NOR AZMI
Exco Pendidikan dan Penyelidikan
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Salam semua.
MAJLIS PENGAJIAN INTENSIF KITAB TURATH I'TIQAD ASWJ [Siri 2]
[23 – 24 Mei 2009 / 24-25 Jamadilawwal 1430H]
Anjuran PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM) dan Kolej Dar al-Hikmah.
OBJEKTIF
Menimbulkan kesedaran terhadap kepentingan aqidah dan iman di kalangan belia.
Mendedahkan umat Islam mengenai kewajiban beramal dengan ilmu daripada ahli agama Islam yang faqih.
Menghidupkan budaya bertalaqqi secara berkitab.
Memberi kefahaman tentang konsep dan perlaksanaan nilai-nilai Islam.
TEMA
Menghidupkan Ruhaniah Berlandaskan Pemantapan Akidah.
TARIKH & TEMPAT
23–24 Mei 2009 / 24-25 Jamadilawwal 1430H
Kolej Dar Hikmah, Jalan Sungai Ramal Dalam, 43000, Kajang, Selangor Darul Ehsan
TENAGA PENGAJAR
Al-Fadhil Ustaz Hj. Zamihan Mat Zin Al-Ghari
Al-Fadhil Ustaz Ahmad Faidzurrahim
Al-Fadhil Ustaz Mohd Rasyiq Alwi
SASARAN
Seramai 150 orang yang terdiri dari:
Ahli Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Orang Awam
Pelajar IPTA dan IPTS di Lembah Kelang
YURAN
RM 15 [INDIVIDU]
MODUS OPERANDI
Program diadakan selama 2 hari 1 malam. Mengikut kaedah pengajaran kulit ke kulit menggunakan Kitab I’tiqad Ahlussunnah Wal Jamaah; Kiyai Haji Siradjuddin Abbas, terbitan PUSTAKA TARBIYYAH Jakarta, Kitab Mukhtasor dan Kitab Aqidah Ibnu 'Asakir (Aqidah Mursyidah). [Insya-Allah akan dijual semasa program berlangsung]
(Talaqqi kitab/Pembentangan)
TENTATIF PROGRAM
Sabtu (23/05/2009)
7:30 pagi : Sarapan dan Pendaftaran
8:30 pagi : Taklimat & Aluan oleh Saudara Abd. Muntaqqim Bin Zulkifli (Timbalan Presiden PKPIM)
9: 15 pagi : Slot 1: Al-Fadhil Ustaz Ahmad Faidzurrahim
Syarah Kitab Aqidah Muslimin (Diiktiraf oleh Universiti Al-Azhar)
10:45 pagi : Minum pagi
11:00 pagi : Slot 2 : Al-Fadhil Ustaz Ahmad Faidzurrahim
Penjelasan Ajaran Bertentangan Dengan Ahli Sunnah Wal Jama'ah.
12:30 tghari : Makan Tengahari & solat Zohor
2:00 petang : Slot 3 : Al-Fadhil Ustaz Mohd Rasyiq Alwi
Syarah Kitab Mukhtasor (1).
4:00 petang : Slot 4 : Al-Fadhil Ustaz Mohd Rasyiq Alwi
Syarah Kitab Mukhtasor (2).
6:00 petang : Makan Malam
7:00 malam : Solat Maghrib & Kuliah/Tazkirah & solat Isya’
9:00 malam : Slot 5 : Al-Fadhil Ustaz Mohd Rasyiq Alwi
Penjelasan Bid'ah & Ancaman Terhadap Aqidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah.
9:45 malam: Slot 6 : Al-Fadhil Ustaz Mohd Rasyiq Alwi
Talaqqi & Ijazah Kitab Aqidah Ibnu 'Asakir (Aqidah Mursyidah).
10:00 malam : Minum malam & Berehat
Ahad (24/05/2009)
4:00 pagi : Qiamullail
6:00 pagi : Solat Subuh /Tazkirah /Sarapan pagi
8:30 pagi : Slot 7 : Al-Fadhil Ustaz Hj. Zamihan Mat Zin Al-Ghari
Syarah Kitab I’tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah
10:30 pagi : Minum pagi
11:00 pagi : Slot 8 : Al-Fadhil Ustaz Hj. Zamihan Mat Zin Al-Ghari
Syarah Kitab I’tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah
12:00 tghari : Ulasan & Penutup oleh Saudara Mohd Hilmi B. Ramli (Presiden PKPIM)
1:00 tghari : Makan Tengahari
2:00 petang : Bersurai
Sebarang Pertanyaan, Sila Hubungi:
Saudara Ikhram Husin [019-3731744] atau
Saudari Izzah Khanani [013-2197192]

