PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Perang adalah jenayah

oleh Hanna Mac 07, 2013 0 comments




History teaches that war begins when governments believe the price of aggression is cheap.-Ronald Reagan.

Kata pujangga di atas amat cocok sungguh dengan situasi wajah dunia hari ini. Kita membaca berita tentang perang dengan nada muak di dada-dada akhbar kerana nilainya sudah tiada. Sudah jadi terlalu biasa. Perang bikin nyawa manusia terlalu murah sampai dibunuhnya dengan cara paling tidak bermaruah. Ada yang berperang untuk mengejar kuasa politik, untuk menjaga kawah ekonomi, untuk menyekat pengaruh ideologi dan tidak kurang untuk menjarah tanah air orang lain.

 Saya pernah mengimpikan agar dunia ini aman tanpa perang ; agar anak-anak saya kelak tidak punya kesempatan untuk melihat perang dalam kehidupan mereka. Bunyinya memanglah agak utopia dan melankolik. Tetapi keinginan untuk melihat dunia aman tetap ada. Hakikat yang pahit tetapi terpaksa ditelan bahawa rata-rata negara yang bergolak kerana perang hari ini adalah negara umat Islam. Boleh Jadi kerana perbezaan fahaman politik dan ideologi, semangat berpuak yang masih menebal, masalah perpaduan umat yang lemah, tetapi bagi saya perkara yang tidak dapat dimaafkan adalah perang hasil campur tangan pihak luar demi kepentingan tertentu.

Perang boleh berlaku secara fizikal ataupun sekadar psikologikal. Perang fizikal adalah perang dengan menggunakan senjata yang menyebabakan banyak nyawa manusia tidak berdosa melayang mudah. Perang psikologikal seperti apa yang berlaku di Barat sekarang; dikenali dengan istilah Islamofobia yang menyebabkan umat Islam di sana hidup dalam ketakutan dan dipandang hina.



Tidak ada manusia yang merestui perang berlaku di tanah airnya. Hatta negara yang memilikan pasukan NATO itu sekalipun tidak membenarkan perang mencerobohi negaranya. Mereka kononnya mengatakan perang adalah pilihan terakhir untuk menyelesaikan sesuatu konflik, tetapi ternyata hari ini merekalah yang terlebih dahulu menjadi kepala kepada kebanyakan tragedi perang yang berlaku. Keadaan akan jadi lebih teruk apabila pemimpin negara umat Islam yang pro-Barat hanya tahu mengaminkan sahaja segala dasar yang telah digubal oleh white house demi kepentingan mereka.

Perang amat pahit. Saya sempat membaca kisah penderitaan genosid di negara Bosnia yang akhirnya mendapat campur tangan Amerika si kapitalis untuk menghapuskan pengaruh komunis (China dan Rusia) di Bosnia. Kemudian mereka melakukan pencerobohan di Afghanistan yang kononnya untuk menghapuskan Taliban tetapi telah telah menghancurkan kedaulatan sebuah negara yang telah merdeka. Tidak cukup itu, misi memburu pengganas Al-Qaeda di Iraq diteruskan dan mengumumkan pengunduran setelah puas menggomol khazanah negara orang sehingga Iraq persis padang jarak padang tekukur. Atau lihatlah muslihat retorik mereka untuk bersama rakyat menegakkan demokrasi di Algeria. Dan masih jelas sehingga ke hari ini apa yang berlaku di syria ketika Rusia dan China yang bersama Al-Assad demi kepentingan ekonomi(membekalkan senjata perang), manakala Amerika mengambil jalan berbeza kononnya bersama rakyat walhal mahu menadah minyak .

Amerika memang berlagak menjadi polis dunia yang mahu mengekalkan keamanan di bumi ini. Amat jengkel apabila berhadapan dengan isu Rhohingya yang merupakan genosid yang dilakukan oleh tentera junta Myammar, mereka membisu? Kita perlu sedar, perang adalah muslihat. Perang yang dilancarkan Amerika dan sekutunya adalah bersifat lost-win; hanya untuk memenuhi agenda sulit mereka.

Saya memandang perang sebagai isu serius kerana perang melanggar keamanan dan hak asasi seorang manusia. Memang tidak adil Amerika menggondol nyawa umat Islam tanpa pembelaan sedangkan kalau ada seorang rakyatnya yang terbunuh, bermatian-matian mereka berikrar mempertahankannya. Orang yang memulakan perang sepatutnya diheret ke tribunal jenayah seperti yang telah dicadangkan oleh Dr Mahathir setelah PBB dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa(ICC) gagal menggunakan undang-undang antarabangsa untuk mendakwa penjenayah perang yang telah mencetuskan banyak huru-hara.

Kesedaran anti-perang dan keamanan masih belum subur dalam masyarakat Malaysia berbanding Eropah. Mereka menggunakan sebaiknya ruang kebebasan bersuara untuk menyatakan kebencian mereka kepada perang dan kecintaan mereka pada keamananan. Mahasiswa juga masih lesu dalam memperjuangakan isu keamanan, kalau timbulpun hanya ketika ada negara Islam diceroboh. Tetapi sampai bilakah kita akan menjadi manusia yang responsif sebegini terhadap isu seserius ini?

Mari sama-sama isytiharkan perang itu adalah jenayah. Semangat cintakan keamanan perlu merentas sempadan geografi, bangsa dan agama. Ini adalah semangat warga dunia yang bertanggungjawab.


Oleh : Siti Nor Aishah bt Yazid 

Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta