LAPORAN PERJALANAN POGRAM MAJLIS SAMBUTAN ISRAK MIKRAJ & MALAM MENITI SAAT PEMBEBASAN PALESTIN 09hb Julai 2010 / 27 Rejab 1431H, Masjid Salahuddin al-Ayyubi Taman Melati Gombak AlhamdulilLah, Majlis Sambutan Israk Mikraj & Malam Meniti Saat Pembebasan Palestin pada 09hb Julai 2010 lalu dapat direalisasikan dengan jayanya. Kami bersyukur kerana diberi nikmat kemudahan oleh Allah untuk menjayakan program ini, malah kami rasa sungguh terharu dengan sambutan daripada warga qaryah dan khalayak yang berpartisipasi pada malam tersebut. Majlis ini dianjurkan secara bersama oleh Grup Jil Salahuddin al-Ayyubi; sebuah sub-grup daripada Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Alumni Pelajar Islam SBP (APIS) dan telah mendapat sokongan dan kerjasama padu daripada pihak Masjid Salahuddin al-Ayyubi Taman Melati. Antara objektif dan matlamat penting diadakan majls ini ialah untuk menggerakkan kesedaran dan keprihatinan ummat tentang isu Palestin yang kian meruncing, menyebarkan idea penyatuan ummat melalui faham aqidah ahlus sunnah wal jamaah yang benar, mengiktiraf kelompok agamawan dan ulama` 'amilin yang sebenarnya merupakan satu asset berharga kepada pembentukan generasi Salahuddin yang baharu, merencana misi pembentukan generasi Salahuddin yang baharu secara jawhariy ke arah pembebasan Palestin dan dunia Islam daripada belenggu musuh, merobah kerangka fikir ummat yang selama ini telah diracuni oleh pengaruh sekularisme dan liberalisme, dan mengangkat martabat Ilmu-ilmu Islam yang sejati sebagai katalis kepada pembentukan Generasi Salahuddin. Program ini mensasarkan ahli jemaah masjid, ahli qaryah, professional, anak muda, mahasiswa dan khalayak awam. Dianggarkan kira-kira lebih 300 orang hadir ke majlis pada malam itu. Program ini terbahagi kepada dua sesi: sesi satu (1) iaitu sesi ceramah yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Mohd. Nasir Bin Mohd Tap, penyelidik di Akademi Kajian Ketamadunan (AKK) merangkap pensyarah Kolej Dar al-Hikmah, Kajang. Sesi dua (2) pula merupakan perkongsian pengalaman aktivis keamanan sejagat dari Malaysian Relief Agency (MRA), Encik Khairil Anuar Khalid. Majlis bermula dengan solat Maghrib secara berjemaah di ruang solat utama masjid. Selepas solat, wirid dan doa, program bermula dengan penyerahan majlis oleh Pengerusi Masjid Salahuddin al-ayyubi, Tuan Dato' Abdul Rahim kepada pengerusi majlis. Majlis kemudiaannya diteraju Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh selaku pengerusi majlis malam itu. Selepas sepatah dua kata oleh pengerusi majlis, majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh pimpinan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dr. Mahyudi yang juga merupakan pensyarah UIAM. Dalam ucapannya, beliau mengupas secara ringkas peristiwa besar Israk & Mikraj dari dimensi aqidah, fiqh dan akhlak. Beliau juga menyatakan hasrat untuk bersama membangunkan masyarakat khususnya belia di qaryah Taman Melati berikutan perpindahan Sekretariat ABIM Pusat ke Taman Melati baru-baru ini. Selepas pengisian oleh Ustaz Nasir, majlis berhenti seketika untuk solat Isyak secara berjemaah. Seusai solat sunat ba'diyah Isyak, majlis dilangsungkan dengan Persembahan Multimedia sejarah umat Islam yang memukau para jemaah. Persembahan Multimedia disediakan oleh Ketua Grup Salahuddin al-Ayyubi Saudara Zul Amin Ghazali. Seterusnya, perkongsian pengalaman oleh Encik Khairul Anuar Khalid, aktivis kemanusiaan yang pernah melakukan misi kemanusiaan di negara-negara dunia bergolak seperti Bosnia, Selatan Thai, Palestin dan lain-lain. Slide gambar di kawasan bergolak turut ditayangkan. Penerangan beliau begitu teliti dan mendalam, terasa seolah-olah berada di tempat kejadiaan. Kira-kira pukul 10.30 malam, program sampai ke kemuncaknya. Majlis menjemput Dato Abdul Rahim, Pengerusi Masjid Salahuddin untuk menyampaikan cenderahati kepada para penceramah. Selepas itu, majlis menjemput Exco ABIM Dr. Mahyudi bagi menyampaikan cenderahati kepada pihak masjid. Hadirin seterusnya dijemput menikmati jamuan malam yang disediakan pihak masjid. Dalam jamuan malam itu, pihak pengajur menyatakan kesediaan bekerjasama dengan pihak masjid bagi membngunkan masyarakat dan ahli qaryah. Program susulan akan dilangsungkan secara bersama pada masa kelak. Syukran, JazakalLah
Jemaah yang hadir kemudiannya mendapat suntikan semangat baru daripada sesi ceramah oleh Ustaz Mohd Nasir Mohd Tap. Ceramah beliau bertajuk "Israk Mikraj & Perjuangan Ummat; Rahsia di Sebalik 27 Rejab". Antara intipati penting dalam pengisian oleh Ustaz Nasir ialah tiga syarat utama kemenangan umat sepertimana yang dijanjikan Allah dalam surah al-Anfal; ayat 45-46 dan ini telah dibuktikan oleh para pejuang Agung Islam sepanjang zaman. Syarat pertama, kembali membetulkan kalimah 'La Ilaha IllaLah'. Syarat kedua ialah membanyakkan dzikir kepada Allah baik dengan hati, lidah dan amal perbuatan dan syarat ketiga, sentiasa taat kepada Allah dan Rasul. Beliau kerap kali mengungkap kisah perjuangan generasi JundulLah yang sentiasa berkesinambungan. Sebagai contoh, kejayaan Generasi Salahuddin al-Ayyubi membebaskan Baitul Maqdis adalah kemuncak kepada perjuangan generasi terdahulu dengan tampak jelas pada reformasi pendidikan oleh Imam al-Ghazali, diikuti oleh penekanan disiplin dan tarbiyah diteraju oleh madrasah Syeikh Abdul Qadir Jilani dan madrasah sekitarnya, seterusnya pembentukan generasi Nuruddin Zinki yang akhirnya merintis kewujudan generasi Salahuddin al-Ayyubi.
Sekian laporan ringkas perjalanan program. Moga ada manfaat untuk kita bersama. Segala yang baik adalah atas kehendak dan nikmat kasih sayang Allah. Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada semua yang terbabit dalam menjayakan program ini terutamanya pihak jawatankuasa Masjid Salahuddin al-Ayyubi, Sdr. Shakir Fahmi (ABIM), Sdr Suhail Ahmad (GPTD), Sdr Raimi (ABIM), Sdr. Zul Amin Ghazali (GPTD-GJSA), Sdri Azimah Mansor (GPTD-GJSA), Sdri Sarah Syafiqah (APIS), sdri Hannan Aqilah (GPTD-GJSA), Sdr Khairul Anuar Musa (PKPIM) dan individu yang tidak termampu untuk disebutkan namanya di sini. Hanya Allah yang bakal mengganjari kalian. Kejayaan hanya semata dari Allah. Allahu Ta'ala A'lam.
Mohd Fazril Saleh
Pengarah Program
Majlis Israk Mikraj & Malam Meniti Saat Pembebasan Palestin
Salam...
Wahai kawan, ketahuilah bahawa hidup di Dunia hanya sekali. Kita boleh buat apa yang kita nak. Serius, Allah bagi kita buat semua. Tapi Allah pesan, setiap perlakuan kita ada balasannya. Buat baik dibalas dengan kebaikan. Buat perkara tak baik dibalas dengan perkara yang sama.
Jangan sampai kita menyesal di kemudian hari. Terlajak perahu boleh patah balik. Tapi terlajak perbuatan, mana mungkin masa yang lalu dikembalikan.
Bertaubatlah. Allah Maha Pengampun mengampuni dosa-dosa hamba-hamba-Nya selagi mana Dia tidak diduakan. Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang juga menerima taubat hamba-hamba-Nya. Dan yang penting, jangan kalian putus asa untuk teruskan hidup. Percayalah, masih ada yang sayang. Masih ada yang mengambil berat. Percayalah!
Allah sayang kamu.
Percayalah!
nota kaki: hidup di Dunia hanya sekali. tapi hidupnya kita dua kali dan mati sekali. ;)
Salam. Pada Sabtu, 9 Januari 2010 yang lepas, telah berlangsung Seminar 'Mahasiswa Menggugat: Realiti atau Fantasi?' di Kuliah Sains, UIAM Kuantan. Seminar ini merupakan anjuran bersama PKPIM, Biro Latihan dan Pendidikan, Persatuan Pelajar Sains (SCIENCESS), dan Facilitator Team (FaciTeam).
Seminar ini juga telah dihadiri oleh pelajar-pelajar IPT sekitar Kuantan seperti IKIP, Shahputra, dan Kolej Profesional Mara.
Salah satu slot pengisian program ialah sesi pembentangan kertas kerja oleh saudara Sayed Munawar, pengacara 'Di Luar Lingkungan' di TV 1.
Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk hadir ke seminar, berikut ialah lampiran kertas kerja beliau.
'Mahasiswa Menggugat - Realiti atau Fantasi?'
Oleh: Sayed Munawar, Seminar Mahasiswa Menggugat: Realiti atau Fantasi, 090110, UIAM Kuantan
Menjawab persoalan di atas kelihatannya mudah. Ini kerana secara zahirnya gugatan yang tercermin dalam minda massa mempunyai penanda arasnya yang tersendiri yang dikaitkan dengan konteks pengalaman dan sejarah.
Pada umumnya masyarakat Malaysia akan mengukur keberkesanan gerakan mahasiswa dengan dampak yang digambarkan menerusi warisan memori dan koleksi sejarah 'Era 70-an'. Anehnya, koleksi memori ini pula seringkali mempunyai dimensi yang berbilang dan tidak utuh. Ia agak cair dari sudut keutuhan jalan ceritanya. Persepsi yang berbilang ini mungkin disebabkan tiadanya satu kemuncak jelas sementara perjuangannya pula seperti masih berterusan sehingga ke era pasca reformasi. Ia cerita yang masih belum usai.
Di sini saya ingin mengaitkan dengan satu ungkapan bahawa 'Sejarah Adalah Bikinan Orang-orang yang Menang'. Setakat ini memori bangsa Malaysia terhadap gerakan Mahasiswa didefinisikan oleh status quo semasa. Ia kelihatan tidak hebat dan tidak gemilang.
Mahasiswa Menggugat?
Kita harus bermula dengan melihat konteks mahasiswa itu sendiri dan menjawab beberapa persoalan asas. Mengapa dipersoalkan tentang gugatan mahasiswa? Apa pentingnya? Dan apa pentingnya pula mencari jawapan kepada persoalan itu? Dan selepas menjawab, apa pula dampak yang diharapkan?
Dari segi saiz, mahasiswa adalah subset kepada pemain utama dalam institusi penting Negara. Dalam pentas kampus, mahasiswa turut berinteraksi dan bertindak balas dalam forum yang turut digerakkan oleh Akademia dan Pentabdir. Justeru dunia mahasiswa itu sebenarnya dunia akademik yang murni dan tinggi.
Tetapi dalam konteks relevan, keberadaan mahasiswa itu memberikan kesan imperatif yang berbeza pula. Persoalan timbul, apakah dampak yang dibawakan oleh mahasiswa kini dalam konteks kenegaraan? Adakah mereka mempunyai suara dan perwakilan? Bahkan jika mempunyai suara dan perwakilan pun, apakah terdapat dampak perjuangan yang signifikan pula?
Apa yang boleh mahasiswa tawarkan di peringkat Negara dan dunia kini? Jika kita gagal mengesan jawapan yang ampuh, aspek gugatan mahasiswa boleh diabaikan.
Konteks Sosok dan Gugatan dalam Sejarah
Dalam sejarah tamaduh moden, memang terdapat beberapa sosok peribadi pemimpin pelajar yang memberikan dampak yang besar. Kita melihat hukbalahap yang dipelopori Jose Rizal di Filipina, sementara pemikiran baharu dipelopori oleh Syeikh Muhamad Abduh turut memercikkan sinar citra kemerdekaan di Malaysia, kemudian dimensi gerakan Islami yang diperkenalkan oleh Hassan Al-Banna, juga di Mesir. Menyorot sudut dunia yang berbeza pula memperlihatkan bahkan Bolshevik yang didokong oleh pemuda begitu juga dengan revolusi China jua.
Nusantara turut memperlihatkan peranan pemuda seperti kaitannya dengan Omar Said dan dokongan pemuda terhadap MASYUMI, begitu pun di bahagian utara kita melihat golongan muda menolak imuniti raja sehingga wujudnya sistem raja seperti kini di Thailand.
Kesemua ini menampakkan sumbangan pemuda dan sebahagian besarnya adalah kalangan siswa dan siswi dalam konteks lokaliti masing-masing. Ini boleh difahami kerana mahasiswa merupakan kelompok terdidik dan mempunyai pemikiran yang relatifnya lebih tinggi berbanding massa seluruhnya.
Namum begitu, keberadaan mahasiswa dalam konteks gugatan-gugatan di atas turut diperdebatkan. Ini kerana mahasiswa tidak tampil sebagai pemain utama, sebaliknya pendokong sementara sosok kepemimpinnya pula yang sudah melewati batas kemahasiswaan mereka. Justeru wajarkah episod sejarah berkenaan dikaitkan dengan mahasiswa secara langsung atau lebih sesuai dengan golongan ilmuwan dan cerdik pandai?
Persoalan ini harus dijawab kerana dalam konteks semasa, cerdik pandai dan ilmuwan tidak semestinya lahir daripada institusi pengajian tinggi dalam pengertian konvensionalnya semata-mata. Kini terdapat begitu banyak sekali entiti pengajian yang luwes, tidak konvensional, terbuka dan tidak mempunyai ciri-ciri kampus seperti yang lumrah kita fahami kini. Untuk membahaskan ini akan membuka lembaran polemik university vs multiversity. Kritik ilmuwan terhadap kelemahan-kelemahan asas institusi pengajian tinggi telah bermula sejak 70-an dan hingga kini ia masih berterusan.
Sekiranya wujud gugatan semasa didokongi oleh cerdik pandai yang tidak hanya lahir daripada rahim universiti dan kampus, maka memfokuskan gugatan oleh mahasiswa dalam pengertian konvensionalnya mungkin menjadi terlalu kecil dan tidak signifikan lagi. Hari ini golongan cerdik pandai boleh terbit secara tabii dalam ledakan maklumat yang dipercepat oleh teknologi. Malah sesekali kita mendengar kritik bahawa mahasiswa di kampus sudah tercabut daripada akar masyarakat. Mereka hidup dalam cocoon cita-cita individualistik yang kemudiannya mengucar-kacirkan masyarakat yang melabur dalam kepentingan pengajian mereka.
Ertinya, mahasiswa hari bukanlah satu-satunya entiti yang mencirikan golongan cerdik pandai. Oleh itu mengaitkan seolah-olah mereka memberi sumbangan langsung kepada episod sejarah 'gugatan' di atas, adalah terlalu simplistik.
Sudah tergugat? Atau masih kurang 'gigit'nya? Nantikan sambungannya di entri akan datang. ;)
Akhirnya program yang terpaksa ditangguh atas sebab-sebab tertentu terlaksana jua pada 10 Oktober baru-baru ini di Hotel Citiview, Kuantan. Alhamdulillah, saya dan lima orang lagi sahabat diberi kesempatan oleh Saudara Hasanin untuk turut serta dalam program yang saya kira sememangnya menuntut kita untuk sentiasa cakna dengan isu semasa dan lebih-lebih lagi isu yang berkait rapat dengan Islam yang sering kali berlegar-legar di ruangan masyarakat yang kadang-kadang tidak semua daripada kita mahu tahu dan ambil tahu. Apa yang paling utama ialah kesempatan ini diberikan oleh Yang Esa untuk dimanfaatkan sebaik mungkin. InsyaAllah.
Isu-isu Islam dan Demokrasi dibincangkan bersama dalam kumpulan-kumpulan kecil seramai 12-13 orang untuk satu kumpulan dan dikendalikan oleh seorang moderator yang akan bertanyakan beberapa soalan kepada setiap orang. Perbincangan mengambil masa lebih kurang 2 jam. Empat perkara utama yang dibincangkan iaitu mengenai hak-hak wanita (women’s right), hak kaum minoriti, toleransi agama (religious tolerance), dan yang terakhir urus tadbir yang baik (good governance).
Setiap peserta di dalam satu kumpulan diminta memberi pendapat masing-masing berkenaan isu-isu yang dilontarkan dan uniknya perbincangan ini adalah kerana setiap pandangan dan idea yang dilontarkan tiada yang salah dan tiada yang betul. Kumpulan saya menyaksikan wakil daripada PKPIM iaitu saya sendiri dan seorang lagi sahabat, wakil dari UMNO, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), badan-badan swasta, wakil daripada persatuan ibu tunggal, MUTIARA, HALUAN, dan ada juga beberapa orang yang datang secara individu. Sejujurnya sebelum ke program rasa gementar menyelubungi diri memandangkan diri tidak pernah membincangkan sesuatu yang serius di hadapan mereka yang lebih berpengalaman dan lebih berilmu. Tidak lupa juga untuk saya kongsikan bersama mereka pada tempoh hari mengenai kata-kata Hukama yang menyatakan bahawa manusia akan binasa kecuali yang berilmu, dan binasa jika tidak mengamalkan, dan juga binasa jika tidak ikhlas, maka di sini beruntunglah mereka yang melakukan amal dengan ikhlas semata-mata kerana Allah. Hal ini lebih tertumpu kepada golongan suri rumah tangga. Memandangkan ada seorang wakil daripada badan swasta yang menyentuh isu perlunya wanita duduk di rumah sahaja untuk mendidik anak-anak dan saya berpendapat biarlah wanita menggunakan peluang dan ruang yang ada untuk menuntut ilmu sebanyak mungkin dan menjadi suri rumah bukanlah halangan, dan apa yang paling utama mereka seharusnya cuba untuk mengamalkan ilmu yang diperoleh.
Seronok mendengar pandangan daripada non-muslim, di sini saya tahu bagaimana pemikirannya terhadap isu-isu sebegini dan dia juga sangat peramah dan senang sekali berbicara dengan semua yang rata-ratanya Muslim. Beliau mewakili badan yang memperjuangkan mereka yang kurang bernasib baik yang merangkumi wanita, remaja, dan kanak-kanak. Satu persoalan yang ingin saya timbulkan di sini, mengapa gerakan islam seolah-olah tidak begitu mengambil berat isu-isu wanita yang memerlukan pembelaan? Sedih melihat pusat jagaan orang-orang tua dan rumah kebajikan wanita yang dimonopoli orang bukan Islam. Mereka yang punya pengalaman mohon tunjukkan saya jalan agar kita sama-sama berusaha mewujudkan rumah-rumah jagaan golongan sebegini, mungkin saya tidak mampu memandangkan diri ini masih lagi belajar dan banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Kadang-kadang begitu hebat untuk kita berkata sesuatu yang besar ditambah dengan ayat-ayat berbunga dan penuh falsafah yang jarang difahami mad’u, apakah mesej itu sampai atau sekadar di bibir? Apa yang telah saya lakukan untuk ummat ini? Semoga Allah menunjuki kita jalan-Nya yang lurus agar kita bukanlah orang yang pandai bercakap mengenai perkara-perkara yang besar namun melupakan mereka yang di bawah. Nabi mengajar agar kita berhikmah dalam setiap apa yang kita lakukan dan perkatakan.. Astaghfirullahal’azim.
Banyak perkara yang disentuh Saudara Hasanin sewaktu perjalanan kami ke tempat program. Banyak juga yang difikirkan dan ada perkara yang masih lagi saya kecewa dengan diri yang sungguh banyak kelemahan. Hanya Allah yang mampu membantu. Pengalaman ini sememangnya berharga dan pencetus kepada suatu perubahan dan perangsang untuk diri. Insya-Allah… Perubahan yang bagaimana? Semuanya diri sendiri yang bisa menjawab. Segala yang dilakukan pasti akan ditanya di akhirat kelak. Di sana tiada lagi pembohongan, hanya amal yang mampu berkata-kata, "Ya Allah, kau tetapkanlah hati-hati ini semoga sentiasa berada di jalan-Mu dengan penuh ketaatan…"
Kesimpulannya, buat mereka yang bercita-cita merubah masyarakat melalui politik terutamanya, jadilah pemimpin yang bekerja untuk rakyat dan bukan berada di dunia sendiri. Permasalahan masyarakat yang begitu banyak kadang-kadang membuatkan satu kelompok terasa begitu beban, walhal ini adalah tanggungjawab kita bersama! Hidup Biar Berjasa!!!
Bismillahirrahmanirrahim…
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah S.A.W. dan seluruh kaum kerabat baginda. Alhamdulillah saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada-Nya yang mengurniakan saya dan sabahat-sahabat seperjuangan hidayah untuk berada di jalan yang kami berada pada saat ini. Semangat perjuangan yang menusup masuk hadir ke dalam jiwa merupakan rahmat dari Yang Esa. Saya berasa gembira, syukur, sedih, dan pelbagai lagi perasaan yang bercampur-baur selepas pulang menghadiri Tamrin Qiyadi Kebangsaan 2009 yang diadakan di Madrasah Sofa, Rembau. Tenang sungguh suasana di sana dan penuh barakah tempatnya, lantas saya tanamkan azam untuk mendidik bakal zuriat,Insya-Allah jika panjang umur, agar menjadi seorang tahfiz Al-Quran yang berjaya di dunia dan akhirat dan menjadi ummat yang meneruskan perjuangan Baginda Rasulullah S.A.W. Niat ini sudah lama tertanam di hati. Moga menjadi kenyataan. Insya-Allah.
Slot bersama Dr. Amran Mohammad, pemangku Setiausaha ABIM
Terkenang diri sewaktu menghadiri Tamrin Qiyadi Kebangsaan buat kali pertama di Maahad Derang di Kedah, iaitu sewaktu melangkah ke tahun kedua semester pertama di pusat matrikulasi. Betapa tenang suasana di sana dan ia merupakan tempat yang penuh barakah yang berjaya melahirkan ulama'-ulama' pewaris Nabi.
Pengalaman sewaktu menuntut di pusat matrikulasi di Petaling Jaya yang mengajar saya mengenali realiti dunia dan masyarakat sekeliling dengan lebih serius dan menjadi seorang aktivis gerakan, insya-Allah, kerap kali membawa diri kembali kepada janji Allah yang terkandung di dalam Surah Muhammad, Ayat 7, yang kerap kali kita, sebagai seorang dai’e dengar:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong agama Allah nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu."
Sungguh, keyakinan terhadap ayat inilah yang membantu diri menghadapi saat-saat getir sewaktu di matrikulasi. Saat berasa terbeban dengan amanah yang satu ini, diri kembali mengingati janji-janji-Nya. Masakan tidak, sebagai seorang insan biasa yang mendambakan sokongan dan perhatian dari sahabat-sahabat sefikrah, di situ mereka hadir memberi kata-kata semangat yang sungguh diri ini hargai walaupun pada hakikatnya saya tahu akan kenyataannya, cuma sebagai seorang yang masih lagi "muda" dalam mengenali jemaah, sudah pasti mahukan sokongan. Namun, proses pembelajaran itu berterusan sehingga kini dan sehingga saat diri ini dijemput Ilahi. Insya-Allah.
Buat sahabat-sahabat yang tidak hadir, ingin saya khabarkan di sini, banyak perkara yang saya kutip sepanjang tamrin berlangsung. Berbeza dengan Tamrin Qiyadi sebelum ini yang saya sertai. Apa yang menjadi persoalan akhirnya telah terungkai. Senang sekali kita berasa lemah akibat syaitan durjana, namun apabila ruh mengawal akal dan nafsu sudah tentu ketenangan yang kita capai.
sesi Tamrin dijalankan di dalam Perpustakaan Maahad Sofa.
Slot-slot daripada Dr. Amran Mohammad yang merupakan pemangku Setiausaha ABIM dan Saudara Sayed Munawar benar-benar meninggalkan kesan di hati. Agak susah untuk diceritakan dalam entri ini. Apa yang dapat saya katakan bahawa sahabat-sahabat sendiri harus merasainya. Saudara Sayed Munawar ada menegaskan bahawa jika kita merasakan kita dapat memberikan sumbangan yang banyak kepada masyarakat dan Islam dalam gerakan lain silakanlah untuk menyertainya dan meninggalkan gerakan yang sedia ada kerana jemaah yang sedia ada ini (dalam konteks Tamrin ini ialah PKPIM) hanyalah sebagai wadah. Perjuangan adalah demi Islam dan bukannya untuk sesebuah jemaah yang kita intima’. Bagi insan yang masih berkira-kira jemaah yang mana satukah yang ingin disertainya sehingga keluar masuk pelbagai jemaah, isthikharah dan fikirkanlah wadah yang bakal anda sumbangkan tenaga, apa yang telah kita lakukan untuk Islam? Apakah sumbangan kita demi Islam? Apabila pergantungan hanyalah pada Allah dan menjadikan Dia sebagai tempat untuk kita memohon pertolongan, Insya-Allah keputusan yang anda ambil pasti memberi pulangan yang bisa merubah diri anda. Siapa tahu?
Sebagai seorang mahasiswa yang menyertai gerakan dakwah, sudah pasti amalan-amalan kerohanian menjadi asas yang paling penting dalam pembentukan generasi rabbani. Selain menjadikan bahan bacaan yang serius sebagai bacaan utama di samping tidak meninggalkan aspek-aspek kerohanian.
Alhamdulillah, saya sempat membeli buku Seruan Tasawwuf karangan Al-Muhaddith Syed Prof Dr.Sayyid Muhammad Ibn Al Maliki Al Hasani yang diterjemahkan oleh Sheikh Fuad Kamaluddin Al-Maliki. Terpanggil untuk membeli kerana menyedari betapa diri ini jahil akan maksud tasawuf itu sendiri. Malah di dalam gerakan Islam sendiri, tanpa adanya tasawwuf dalam gerakan dakwah, tiada guna berbicara soal ummat dan agenda-agenda lain. Mengapa penting? Saya tidak akan menjawab tetapi cari dan baca sendiri! Yang pasti buku bukan segalanya, mungkin ada sesetengah daripada kita yang terlalu bergantung dengan buku semata-mata, harus diingat kita yang perlu mencari guru dan bukan guru yang mencari kita dan di dalam bab-bab ilmu agama, guru yang mursyid sememangnya guru yang dicari!
Suka benar dengan suasana di madrasah yang mengalunkan zikir dan qasidah, sempat juga saya membeli CD Qasidah Nabawiyyah As-Sofa. Dan sekarang sedang melayannya. Ada juga buku panduan kecil yang disertakan. Harga CD sekali dengan buku kecil RM20. Berbaloi! Sempat juga berbual-bual dengan muslimat-muslimat yang menghadirkan diri pada malam Ahad yang rata-ratanya berumur dalam lingkungan 40 tahun ke atas. Ada yang berumur sekitar 70-an tahun juga hadir. Kata mereka, seminggu sekali ada pengajian kitab di situ. Kesempatan yang ada mereka tidak sia-siakannya. Seronok juga berbual dengan mak cik-mak cik yang berpangkat "Wan" bagi diri saya. Orang Negeri Sembilan panggil nenek mereka dengan panggilan Wan. Saat malam itu akan disimpan rapi di ingatan!
Agak terkilan kerana slot bersama Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin Al-Maliki yang dijadualkan akan membincangkan tentang kepentingan Tasawuf dalam gerakan dakwah pada malam Ahad dibatalkan disebabkan Syeikh Fuad ada urusan lain yang harus beliau utamakan dan digantikan dengan membincangkan isu-isu serius yang melanda masyarakat Islam kini dan cadangan untuk mengatasi perkara-perkara yang diutarakan. Ada hikmahnya, saya sendiri telah membeli bukunya dan baru membacanya petang tadi tetapi hanya baru beberapa helaian kerana mata ini tidak mampu menahan aura mengantuk. Maklumlah, tamrin sebegini waktu yang diperuntukkan untuk tidur hanyalah sedikit. Adat bertamrin.
Namun, diri tetap bersyukur, kerana banyak perkara yang membuka mata dan memberi peluang untuk diri melihat dengan lebih jauh sesuatu isu yang dibincangkan. Kumpulan saya mendapat study case yang membincangkan perihal Sister in Islam. Sememangnya menggerunkan melihat apa yang dibawa mereka, namun langkah-langkah yang dicadangkan untuk jangka masa pendek dan panjang barangkali sememangnya mudah untuk diperkatakan, tetapi usaha untuk melaksanakannya agak payah. Di sinilah amal jama'ie dan budaya kerja terancang sangat diperlukan! Sungguh!
Barangkali ada yang memandang enteng akan isu semasa. Namun, isu semasa yang kerap kali kita dengar melibatkan kita ummat Islam, ummat akhir zaman yang penuh dengan cabaran dan dugaan yang datang silih berganti. Prihatinkah kita dengan isu-isu ummat Islam?
Jangan menganggap diri ini sudah cukup bagus apabila setiap kata yang dituturkan baik-baik belaka. Cuba koreksi diri dan nilailah peribadi kita kerana kita bukan insan kamil. Sudah tentu! Muhasabah diri selalu agar kita tidak menjadi insan yang riak dan takbur dengan apa yang kita miliki.
Amanat daripada Saudara Yusri, Presiden ABIM.
Pelbagai agenda yang dirancang demi mengkader dan seterusnya membimbing mereka ke arah penyebaran risalah Islam yang menjadikan gerakan Islam sebagai wadah. Masalah yang saya hadapi tidak perlu untuk diceritakan, kerana Insya-Allah saya yakin bahawa pergantungan kepada-Nya membawa diri keluar daripada masalah ini. Ditujukan buat sahabat-sahabat seperjuangan agar kuatkan semangat, kerana kita akan diuji bila-bila masa dengan pelbagai bentuk dan apa jua cara sekalipun. Persediaan rapi dari segi rohani, fizikal dan mental sangat diperlukan. Mampukah diri? Kepada diri, jika kau sudah pun meyakini akan janji-janji-Nya, maka teruskan dengan perjuanganmu tanpa mengabaikan pelajaran kerana dakwah dan pelajaran bergerak seiring.
Dalam menjadi seorang pemimpin yang berjaya, kasih sayang dari orang yang kita pimpin harus wujud. Keberkesanan dakwah itu sendiri bermula dengan mahabbah atau kasih sayang yang melibatkan perasaan cinta dan kasih kepada orang-orang lain kerana tidak mahu melihat mereka berada di dalam dunia kesesatan dan kejahilan.
Islam itu sendiri ada daya penariknya, tinggal lagi tugas kita untuk menyampaikannya. Jarang-jarang dalam kalangan kita yang mendekati orang bukan Islam, sedih kerana mereka yang seharusnya kita sampaikan mesej Islam, sayang andai melihat mereka meninggalkan dunia ini tanpa mengenal Islam sebenar. Ya Allah, betapa lemahnya daku! Namun bukan bermakna kita meninggalkan terus insan yang terkapai-kapai yang memerlukan bimbingan. Hakikat di luar sana ramai insan yang kian rosak akhlaknya, Islam yang hakiki sudah bertukar menjadi Islam yang sudah tidak dikenali.
Ya Muqallibal Qulub, Thabit Qulubana 'ala diinika wa'ala To'atik...
SITI FATIMAH KAMARUDDIN
Alhamdulillah 'ala kulli hal, baru sahaja pulang dari Program Perkampungan Menara Gading Kebangsaan (PMGK) 2009 dengan selamat (5-7 Jun 2009), yang diadakan di UIAM Gombak. Majlis Penutupan sebentar tadi dilaksanakan oleh Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIAM Gombak, Saudara Khairul. Tahniah kepada semua barisan fasilitator dan AJK Pelaksana yang telah menjayakan PMGK pada kali ini. Semoga usaha yang sedikit ini diberkati-Nya dan didoakan semoga para peserta yang terdiri daripada pelajar lepasan SPM/STPM memiliki kesedaran tentang kepentingan menjadi seorang mahasiswa yang berjiwa prihatin yang bukan sahaja bijak dalam bidang akademik tetapi juga bijak dalam menangani masalah ummat yang kian meruncing di akhir zaman ini. Semoga bakal ahasiswa yang lahir dari kancah permasalahan masyarakat ini dapat membantu menyelesaikan masalah ummat dengan segala kudrat yang ada dan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, Insya-Allah.
Sahabat sekalian, usaha dakwah adalah sesuatu yang besar, maka penyatuan semua jemaah menjadi prioriti. Saya sendiri sebagai salah seorang AJK pelaksana, Alhamdulillah mendapat sesuatu yang berharga daripada program ini.
Pada hari yang kedua, iaitu pada malam Sabtu, forum yang bertajuk "Mahasiswa Berjiwa Prihatin" menyaksikan Saudara Jufitri Joha, Pengerusi Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) yang juga selaku exco undang-undang ABIM dan juga Setiausaha Majlis Belia Negeri Sembilan, Saudari Nor Akmariah Abdullah, Presiden Hal Ehwal Siswi (HEWI) PKPIM, dan Saudara Ahmad Fahmi Mohd Samsuddin, Penolong Setiausaha MPP UIAM sebagai panel forum tersebut, manakala Saudara Abdul Halim sebagai moderator. Sejujurnya, saya suka akan perbincangan pada malam tersebut yang memberi tumpuan kepada kehidupan sebagai seorang mahasiswa di universiti yang melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan membantu mereka keluar dari kepompong kejahilan. Kita sudah pasti tidak mahu mahasiswa-mahasiswa yang sedia ada menjadi mahasiswa yang hanya tahu bercakap mengenai akademik sahaja, malah kita juga mahukan mahasiswa yang peka dengan masalah masyarakat dan menjadi suara utama dalam menegakkan isu-isu yang berkaitan dengan isu ummat lebih-lebih lagi isu ummat Islam terutamanya.
Slot sidang pleno yang diadakan pada hari terakhir tidak mungkin saya lepaskan untuk melihat gelagat dan idea para peserta. Masing-masing menampakkan kematangan dalam melontarkan idea-idea bernas walaupun sesekali mereka kekontangan ilham.
Barisan fasilitator dan AJK PMGK kali ini terdiri daripada mahasiswa-mahasiswa dari pelbagai universiti. Jadi, para peserta berpeluang untuk bertanyakan soalan-soalan berkaitan dunia universiti dan menimba pengalaman sebagai persediaan mereka dalam menempuhi dunia kampus akan datang.
Seterusnya, tahniah saya ucapkan kepada semua yang terlibat dan saya berharap agar semua fasilitator dan AJK tidak lupa untuk terus mengikuti perkembangan para peserta atau lebih mesra dipanggil adik-adik ini selepas program. Proses mengkader adik-adik merupakan sesuatu yang amat penting demi kelangsungan gerakan dakwah dan sedikit sebanyak memberi mereka kesedaran akan pentingnya peranan mereka sebagai agen perubah masyarakat lebih-lebih lagi dalam membawa Islam ke peringkat tertinggi.
Saya sendiri memperoleh banyak perkara yang dapat dijadikan pedoman dan nasihat buat diri sendiri. Benar, janji Allah itu pasti, maka yakinlah dengan janji-Nya. Andai di situ ada keyakinan dan pergantungan yang kuat pada Yang Esa disulami dengan usaha dan doa yang berterusan, masa dan saat yang dinantikan pasti akan tiba, Insya-Allah. Zaman mahasiswa yang digunakan dengan bijak dan dipenuhi dengan pencarian ilmu dan seterusnya disampaikan kepada yang lain, pasti akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang, dan tidak lupa juga sebagai saham di akhirat kelak. Insya-Allah.
SITI FATIMAH KAMARUDDIN
Salam'alaik..
Alhamdulillah wa syukurillah..Sabtu yang lepas bersamaan dengan 9 Mei 2009 saya diberi kesempatan oleh-Nya bersama dengan dua orang lagi adik saya untuk hadir ke konvensyen "Berakhirnya Agenda Zionis". Sejujurnya konvensyen tersebut sangat bagus dan alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan. Konvensenyen tersebut dirasmikan oleh Mufti Negeri Perlis, Dr. Juanda Jaya. Syabas kepada Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan dengan kerjasama AMAN Palestin kerana telah berjaya menganjurkan program seumpama ini. Ada yang sehingga beratur dek kerana ingin bertanyakan soalan pada para panel. Malangnya, disebabkan masa tidak mengizinkan hanya beberapa orang sahaja yang dibenarkan untuk bertanya.
Buat sahabat2 yang tidak hadir atas sebab2 tertentu, insyaAllah permintaan kalian akan saya tunaikan dalam entri ini. Tidak banyak yang dapat saya kongsikan. Moga ada manfaatnya. InsyaAllah. Menurut Dr Azzam al-Tamimy, Jordan adalah sebuah negara yang dibina atas sebuah geran yang diterima daripada Britain dan pada tahun 1965, Fatah ditubuhkan untuk membebaskan seluruh Palestin. Ada satu masa, di mana beliau begitu emosi sekali, beliau menyeru kepada kita semua sama-sama bangkit dan berjihad. Tapi, sudah tentu ada sesetengah daripada kita yang tidak mampu untuk pergi ke Palestin dan berjihad bersama-sama. Oleh itu, jihad kita adalah melalui penulisan, ceramah dan berterusan memboikot barangan Yahudi dan apa-apa sahaja yang ada kaitan dengan Israel.
Apabila berbicara soal Hamas, Palestin menyokong segala idea di mana Hamas memperjuangkan hak Palestin untuk membebaskan Bumi Palestin tetapi bukan menyokong pertubuhan tersebut.
Sememangnya pihak Yahudi sendiri mendapat sokongan kuasa-kuasa besar dunia dan tidak dinafikan pengaruh Yahudi sangat kuat. Untuk pengetahuan sahabat semua, sebanyak 530 resolusi PBB yang menyokong Palestin tidak pernah dilaksanakan. Kita dapat lihat PBB sendiri tidak memainkan peranan dalam soal ini dan mungkin barangkali mereka sendiri gerun dengan pihak Yahudi. Siapa tahu. Bayangkanlah, 70% daripada rakyat Palestin adalah pelarian, dan di antara kem-kem pelarian tersebut terdapat di Jordan dan Syria.
Dr Mohsen Salleh, seorang warga Palestin, mengatakan bahawa sekatan di sempadan Rafah merupakan persekongkolan antara Mesir dan Israel. Mengapa kerajaan Mesir sendiri menyekat bantuan untuk disalurkan ke Palestin?
Sejarah Palestin merupakan sejarah jihad untuk mencapai keredhaan Allah. Ibu-ibu di sana merelakan perjuangan anak mereka dan ingin melihat anak-anak mereka syahid di jalan Allah. Subhanallah...
Anak-anak di Palestin bukanlah kanak-kanak biasa seperti di Malaysia kerana sejak dari kecil mereka sudah memahami erti perjuangan. Walaupun batu yang menjadi senjata menentang askar-askar Israel yang kejam, namun mereka tidak pernah berasa gentar malah terus mara untuk melawan mereka. Mereka sedar tentera Israel mempunyai senjata yang lebih canggih, namun semangat jihadlah yang membakar semangat mereka untuk bertindak sedemikian. Bayangkan betapa pengecutnya belia-belia Israel apabila mereka hanya duduk di dalam kereta kebal dek kerana takutkan anak-anak Palestin ini dan ada di antara mereka yang memakai lampin pakai buang kerana takut untuk keluar dari kereta kebal.
Ya Allah betapa hebatnya anak-anak di sana. Tiada lagi zaman kanak-kanak yang indah, semuanya demi mempertahankan tanah Palestin dari genggaman Kafir laknatullah. Kata Dr Mohsin Salleh, "The existence of Israel depends on our backwardness and weaknesses, we should unite with iman and all our strength!"
Kita tanya dan muhasabah diri kita sama ada kita benar-benar mengambil berat akan saudara-saudara kita di sana. Ingin memboikot sedikit pun sudah payah. Adakah produk-produk Israel atau dalam erti kata lain orang Yahudi memberi manfaat pada kita. Mungkin kita tidak dapat lihat kesannya pada jangka masa yg pendek, tapi siapa tahu kesannya pada jangka masa panjang. Mungkin produk mereka ini sebenarnya melemahkan minda orang Islam sendiri. Ya, ini adalah serangan secara halus! Mereka tidak pernah berhenti untuk menghapuskan Islam di muka Bumi ini. Sedarlah wahai sahabat-sahabat, demi Islam marilah sama-sama kita istiqamah dalam memboikot produk-produk Israel. Bayangkanlah seperti kita menembak seorang anak Palestin sekiranya kita membeli produk orang-orang Yahudi yang sememangnya orang yang tidak dapat dipercayai.
Mereka di sana berterusan berjuang, satu gugur dan ada penggantinya. Jika dilihat masih ada lagi ibu-ibu yang mengandung dan melahirkan di saat negara mereka ingin dirampas. Zuriat-zuriat inilah yang bakal memperjuangkan agama Islam dan mempertahankan Masjidil Aqsa daripada cengkaman Yahudi dan insyaAllah mereka bakal menjadi General ummat ini.
Kita di sini begitu selesa dengan makanan yang cukup, tempat tinggal yang begitu selesa sekali dan masih mempunyai masa bergembira dan berseronok bersama keluarga dan sahabat handai. Secebis doa daripada kita semualah yg mereka begitu harapkan. Perasaan pada waktu mengenangkan nasib saudara seakidah di sana tidak dapat saya gambarkan, hanya Allah sahaja yang tahu.
Benar janji Allah adalah pasti. Di saat Islam akan kembali bangkit dan di saat kemunculan Imam Mahdi. Tetapi kita tidak harus menunggu saat itu datang tanpa apa-apa usaha. Kitalah yang merubah segalanya. Mereka yang berada di Palestin khususnya. Isu Palestin ini tidak seharusnya kita hanya sibuk melaungkannya pada masa tertentu, malah kita perlu memberi perhatian secara serius dan mengikuti perkembangan saudara kita di sana. Yang penting sama-sama kita berjihad dalam penulisan, ceramah dan memboikot produk-produk Israel. Doakan mereka dikurniakan semangat juang yang tinggi dan syahid di jalan Allah. InsyaAllah.
Tatkala berbicara mengenai Zionis perasaan yang bercampur baur pasti akan hadir dan sememangnya mereka terlalu kejam dan sangat kejam!
Agenda Zionis pasti akan berakhir!!!!
Allahu akbar!!!!!
SITI FATIMAH KAMARUDDIN

