PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Nama : Doa dan Identiti

oleh Permata Tinta PKPIM Ogos 26, 2011 0 comments


“Sarimah, tolong ambilkan benda empat segi yang ada banyak benda tulis-tulis di dalamnya tu yang di atas benda empat segi warna kelabu di tepi benda empat segi yang orang boleh buka untuk keluar masuk tu,” si ibu meminta tolong dari anaknya yang sedang baring di atas benda empat segi yang empuk yang orang biasa gunakan untuk tidur.

Sarimah yang kurang mengerti bertanya, “Apa yang ibu cakap ni? Tak fahamlah bu,”

“Maaf, sekadar gurauan di malam hari. Hehe. Baik, ibu translate ye. Sarimah, tolong ambilkan buku yang di atas meja kelabu di tepi pintu tu,” si ibu menamatkan gurauan di malam hari.

Lihat, benda pun penting punya nama; untuk memudahkan kerja, menjimat masa dan tenaga manusia. Nama, biarpun semudah sebutan na-ma, ia bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah oleh para ibu bapa. Nama yang bakal diberikan kepada anak-anak akan digunapakai dan tercatat di sijil kelahiran, kad pengenalan, kad laporan kesihatan, sijil memandu, buku bank, malah juga di sijil kematian, dan di akhirat kelak. Malah, nama yang baik juga penting sebagai satu langkah menjaga kehormatan anak tersayang.

Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil pada hari kiamat dengan nama-nama kamu dan nama bapa kamu. Maka, perbaikilah nama-nama kamu.” (Sunan Abi Daud)

Entri ini sebetulnya bukanlah mahu membicarakan soal pemilihan nama anak-anak, kerana perkara itu mungkin masih jauh bagi kita yang majoritinya masih ‘bujang senang’. Sebaliknya, entri ini sekadar mahu berkongsi rasa dan membawa kita sama-sama lebih menghayati dan menghargai nama yang kita miliki. Namun, janganlah pula diabaikan persediaan ke arah pembinaan baitul muslim kerana pendidikan anak-anak bermula dari pendidikan diri kita sendiri.


Sejarah nama


Pernahkah kita bertanya kepada ibu bapa kita kenapa kita dinamakan dengan nama yang sedia ada kini? Apa sebabnya? Saya yakin, pasti ada doa dan harapan yang ibu bapa selitkan pada nama kita. Bertanyalah, dengarkan harapan itu terus dari lisan ayahanda dan bonda tercinta.

Apakah tujuan nama? Ibn Qayyim menyatakan bahawa, “sesungguhnya penamaan itu bertujuan untuk mengenali sesuatu dengan namanya. Ini kerana jika sesuatu itu tidak diketahui namanya, maka tidaklah dapat dikenal pasti identitinya.”

Nama memberi identiti. Dengan nama kita boleh membeza antara buku latihan dengan buku teks. Dengan nama juga kita boleh membezakan antara Syafuad dengan Sahal. Jika namanya sama, contoh, kedua-duanya Sharifah, maka unsur pembeza kedua iaitu sifat mengambil tempat.


Kunyah


“Antara Sunnah yang diajarkan kepada kita, adalah Takniyah dalam memanggil anak-anak. Takniyah itu bermaksud memberikan Kun-yah kepada anak-anak dengan memanggil yang lelaki dengan nama Abu atau yang perempuan dengan nama Ummu.” Saifulislam.com

Menyelak sirah di zaman nabi, kunyah (sebut kun-yah) sering digunakan pada masa tersebut. Kunyah ialah istilah bagi gabungan nama yang didahului oleh perkataan Abu (bapa) atau Umm (ibu). Memanggil seseorang menggunakan kun-yah ialah etika bangsa Arab lama yang dibenarkan oleh Islam, malah ia juga telah diamalkan oleh Nabi SAW dan dikira sebagai sunnah. Kebiasaannya, seseorang mengabadikan nama (khususnya nama anak sulung) pada kunyahnya. Contohnya seperti Abu Eisya (contoh terdekat). Kalau di zaman Nabi, contoh yang dapat dilihat ialah seperti Nabi Muhammad SAW sendiri yang digelar Abul Qassim bersempena nama anaknya Qassim.

Kunyah tidaklah hanya diharuskan penggunaannya untuk orang yang telah memiliki anak dan tidak juga harus hanya kepada yang telah dewasa, tetapi boleh juga untuk mereka yang lain. Sebagai contoh, Abu Hurairah digelar sedemikian kerana kesukaannya terhadap kucing, Abu Talib digelar Abu Turab dan lain-lain.

Penggunaan kunyah ini merupakan satu bentuk penghormatan kepada individu tersebut, tetapi berlainan pula bagi Abu Lahab. Biarpun Abu Lahab bangga digelar sedemikian (kerana wajahnya putih kemerahan), tetapi Allah menggunakan perkataan Lahab yang bermaksud gelojak api sebagai tanda neraka yang dijanjikan baginya.



Tujuan kunyah ini bukan untuk suka-suka. Antara tujuanya ialah, bagi kanak-kanak, kunyah ini dapat mendorong kesegeraan anak-anak ini menjadi dewasa dan merasa tanggungjawab. Kunyah juga bertindak sebagai panggilan yang memiliki nilai hormat. Andai kita masih digelar Qiqi Lala, Boboi Boy, Mumu, Cotcot atau sebagainya (yang pelik-pelik dan keanak-anakan), harapnya nama itu tidaklah melekat sampai ke tua. Usahakan sesuatu ke arah yang lebih baik.


Kini Peranan Kita


Kita bertuah. Nama kita tergolong dalam nama-nama yang baik, bukan nama yang jelek, buruk, dan memalukan. Allah SWT sudah cantikkan nama kita, cantikkan juga kejadian rupa kita; tiada cacat cela, sempurna semuanya. Ada tangan, ada kaki, ada hidung, ada kening, ada bulu mata, ada gigi, ada lidah, ada kuku,.... lengkap!


“Ya Allah, sebagaimana Engkau telah mengelokkan kejadianku, maka elokkanlah akhlakku”

Kita bertuah. Kita punya ibu bapa penyayang dan memahami, yang memilih nama yang baik untuk anak-anaknya. Nama yang bukan sekadar untuk sedap didengar, bukan juga sekadar mudah dipanggil tetapi juga nama yang terkandung padanya makna yang baik, menjadi ‘doa’ buat kita hingga ke akhir usia.

Orang yang memiliki nama yang baik, kadang-kadang malu jika mengerjakan suatu keburukan. Dia berusaha agar dapat mengerjakan kebaikan sesuai dengan namanya. Ibn Qayyim menyebut, Jarang kau dapati nama yang buruk kecuali melekat pada orang yang buruk pula. Dan Allah dengan hikmah yang terkandung dalam qadha dan qadarnya memberikan ilham kepada jiwa untuk menetapkan nama sesuai yang punya.”

Ibu bapa telah memilih nama yang baik untuk kita, juga telah memberi didikan yang baik sedaya-upaya mereka, kini giliran kita pula berperanan untuk menjadi baik (dan lebih baik dari hari ke hari) sesuai dengan nama kita yang baik. Beri identiti yang baik bersesuaian dengan nama kita yang baik. Janganlah nama yang baik dan mulia ini mempromosikan jahiliah pada warga dunia, biarpun telah ramai melakukan sedemikian.


Nama-nama Terbaik


Nama-nama terbaik adalah hak mutlak Yang Maha Terbaik. 99 nama yang terbaik ini menunjukkan sifat-sifat Allah. Setiap satu nama ini mengandungi makna yang sangat mendalam. Memahami dan menghayati nama-nama Allah ini sangat penting dalam usaha kita untuk meningkatkan iman. Dengan benar-benar memahami dan menghayati nama ini; dengan sepenuh keyakinan yang telah menyerap ke jiwa, seseorang mukmin mampu mencapai tingkatan ihsan dalam beribadah kepada Allah SWT.

Sahabat, lihat, renung, dan fikirkan; bagaimana dalam hari ini sahaja Allah telah ‘taburkan’ sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim-Nya pada kita? Sifat as-Salam, al-Muhaimin-Nya memelihara kita dari pelbagai bahaya. Anggota badan kita masih sempurna. Iman kita dijaga (biarpun turun naiknya selalu melanda), kita masih boleh berjalan, berkata-kata, mengunyah, gigi masih penuh di gusi, rezeki mencurah-curah, perut masih boleh diisi, diafragma, otak, jantung, urat saraf dan lain-lain masih cekap berfungsi, Alhamdulillah.



“Ya Allah, jadikanlah kami hamba yang bersyukur Ya Allah...Benarkan kami memandang besar nikmat-Mu yang dipandang kecil manusia lain...Benarkan kami berada di siratul mustaqim.. Ya Allah, pimpinlah kami...”

Berkata Ibnul Qayyim, “Maka tidak diragukan lagi bahawa berilmu tentang nama dan sifat-sifat Allah serta perbuatan-Nya adalah seagung-agung ilmu dan semulia-mulianya ilmu. Perbandingannya dengan ilmu-ilmu lain sebagaimana perbandingan antara Allah itu sendiri dengan yang lain-Nya”

Mari, kita hafal, belajar, faham, dan hayati nama-nama Allah dan sifat-sifat-Nya dalam kehidupan.


Doaku untuk kalian….


Khas buat Gen-5,

Che Farhana, semoga dirimu sentiasa riang gembira dan senang.

Zahirah, semoga dirimu sentiasa menzahirkan kebenaran.

Sakinah, semoga dirimu sentiasa tenang dan menenangkan.

Aina, semoga matamu; zahir dan batin sentiasa memandang pada kecantikan.

Afifah, semoga sentiasa dirimu dalam kebaikan.

Aimee, semoga sentiasa dirimu dalam keberkatan.

Kamilatunnisa’, semoga sentiasa kamu menjadi wanita yang sempurna.

Arif Alwan, semoga sentiasa serba-serbi tahu (dan memberitahu).

Dan buat sahabat-sahabat yang lain, semoga nama kalian yang baik menjadi doa buat kalian.

Dengan ‘kuasa nama’ yang ada pada kita ini, mari kita suburkan cita-cita Islam cemerlang, gemilang, dan terbilang.

Rujukan:

1. http://www.al-adib.net/archives/532

2. http://saifulislam.com/?p=260

3. http://www.ilmoe.com/578/memberi-nama-baik-contoh-mengajarkan-agama-seri-kajian-pendidikan-anak.html

4. http://dzikra.com/mamahami-tauhid/

5. http://www.ummah.com/forum/showthread.php?156096-Bearing-a-kunyah

6. http://www.lautanilmu.com/2010/03/seputar-sunnah-nama-kun-yah/


Nurul Afifah Jamaludin,

22 Ogos 2011, 2.02PM

Bagan Serai, Perak.

~ NOTA KAKI ~

oleh Permata Tinta PKPIM Ogos 15, 2011 1 comments



Memilih untuk berada di Jurusan Bioteknologi saya seharusnya sudah menyiapkan diri sedari awal lagi untuk berdepan dengan segala macam fakta, terminologi, struktur yang memeningkan, dan pelbagai kata nama yang cukup asing dan jarang (atau mungkin tak pernah) sekali didengari, malah untuk menyebutnya saja bisa membuat lidah terbelit. Hypoxantine-guanine phophoribosyl transferase! Nah! Berapa hari saya ambil masa untuk membiasakan diri menyebut enzim ini. Dan, itu baru satu…..



Faham konsep.

Dalam mempelajari subjek Biologi dan keluarganya (dalam kes saya di semester ini adalah subjekBiochemistry dan Molecular Cell Biology) adalah sangat penting untuk memahamkan betul-betul konsep dalam topik yang dipelajari, sebelum diteruskan dengan proses menghafal dan sebagainya, agar kita mendapat ‘big picture’ atau gambaran menyeluruh tentang topik yang dipelajari. Faham konsep tak sama dengan menghafal. Konsep dapat difaham dengan lebih jauh dengan bertanya kenapa? Bagaimana? Apa? Yang mana? Mengapa? Dan kemudian meneruskan dengan pembacaan lanjut. Pastinya, untuk faham konsep memang agak SUKAR saya kira jika ulangkaji pelajaran dilakukan di saat-saat akhir.

“The full concept is only learned after the superficial accepted facts and definitions are set in place, and then those facts and definitions get pushed around through critical thinking and experiencing varied examples.”



Bermain dengan bahasa.


Usah putus asa apabila apa yang dibaca tak faham, sementelah kita berdepan dengan pelbagai terminologi sains dan istilah-istilah tinggi yang jarang diguna pakai dalam komunikasi harian. Sendiri akui, kosa kata dalam Bahasa Inggeris yang kurang menyebabkan pembacaan jadi lembap. Sungguhpun demikian, jangan dilangkau perkataan-perkataan yang sukar itu. Rajinkan diri untuk merujuk kamus. Sebab itu saya lebih gemar belajar di perpustakaan. Daripada Cambridge Advance Dictionary, Oxford Biology Dictionary, Chemistry, Physicss, Thesaurus hinggalah Japanese-English Chemical Dictionary bisa ditemukan dengan mudah di perpustakaan. Adapun dengan merujuk kamus bukan sahaja dapat menambah kosa kata, malah kita boleh mendapat informasi tambahan yang turut diselit disebalik definisi perkataan yang dicari.

Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian adalah pemahaman terhadap pelbagai kata nama yang berasal dari Bahasa Latin. Umum mengetahui Greek adalah pelopor di dalam bidang Sains, maka tidak hairan kebanyakan kata nama berasal daripada bahasa ini. Penting untuk difahamkan dahulu perkataan-perkataan itu sebelum meneruskan dengan fungsi dan tempat duduknya di dalam mana-mana proses yang dipelajari.

Sebagai contoh, dalam proses glycosylation (penambahan komponen karbohidrat pada sisa asid amino untuk membentuk glycoprotein) kita bertemu dengan perkataan Anterograde transport. Sukar untuk dijangka apakah itu Anterograde transport kalau tidak diketahui makna disebalik perkataan Latin ini.Antero is derived from a Latin word meaning front and grade is related to a word meaning step . So, it makes sense when it is said that Anterograde Transport is the movement of material from ER through Golgi complex towards the plasma membrane (plasma membrane dikira sebagai frontline di dalam struktur sel).

Begitu juga dengan nama Hypoxanthine-Guanine Phosphoribosyl tranferase. Ketiadaan enzim ini dalam nucleotide metabolism boleh mengakibatkan hyperuricemia (gout). Lihat sahaja namanya.Hypo=kurang. Xanthine=intermediate untuk IMP. Phospho=phosphate. Ribosyl=gula ribose.Transferase=pindah. Oleh yang demikian, dalam kes ini, enzim ini berfungsi sebagai penjana prosesphosphorylation, yakni memindahkan phosphate kepada gula ribose supaya ATP dapat dihasilkan. Dan dengan ini, hypoxantine akan bertukar (selepas proses phosphorylation) menjadi IMP dan Guaninemenjadi GMP dan begitu juga seterusnya.



Hafalan.

Dalam tradisi ilmu Islam, terdapat 3 komponen yang perlu dititikberatkan iaitu; memorization (penghafalan), comprehension (pemahaman), dan argumentation (jidal/perdebatan). Fokus saya ialah pada proses penghafalan. Critical thinking tak boleh dilakukan jika satu-satu law/definisi/teori/proses tidak dihafal dan diingat dengan baik. Idea atau konsep baru tidak dapat dihasilkan tanpa penerimaan dan kritis terhadap idea-idea sebelumnya dan sebelumnya.

Lewat 1800 tahun dahulu, Gregor Mendel melalui pemerhatiannya terhadap pokok kacang membuat kesimpulan bahawa semua bentuk heredity information is transmitted to the next generation dalam satu unit yang dikenalpasti sebagai gene. Persoalan dari mana datangnya gene itu menyebabkan munculnya penemuan Mieschers (Chemical Nature of genes and the discovery of DNA), Avery (DNA is the genetic material in bacteria), Chargaff Rule (DNA composition), Watson dan Crick (Double Helix as the structure of DNA) dan seterusnya.

Dalam subjek yang saya ambil sem ini memang banyak perkara yang perlu dihafal. Dan bukan calang-calang benda yang perlu dihafal itu. Pada saya, proses ini mudah jika 2 perkara yang disebutkan di atas dapat dilakukan. Apapun, untuk menukar memorization daripada short term memory kepada long term memory memerlukan proses yang bertingkat.


Bacaan luar.

Biasakan diri dengan membaca pelbagai artikel dan jurnal berkenaan bidang ini serta cabangan-cabangannya. Ini membuatkan proses belajar lebih jelas kerana kita boleh nampak aplikasi dan kesannya di luar. Saya harus sedar bahawa saya sudah menceburi bidang ini, dan perlu serius; peka dan cakna dengan perkembangan dan apa yang berlaku di dalam dunia Sains di luar sana.


Akhir.

Sesungguhnya saya bersyukur berada di dalam lapangan Sains Tulen. Penting untuk kita yang berada di lapangan ini supaya bercita-cita untuk mengemudi bidang ini. Sains ialah alat dan yang menentukan baik buruk alat tersebut tidak lain tidak bukan ialah empunya alat tersebut. Sebagai empunya alat, kita bukan sahaja perlu tahu luaran alat itu bagaimana, bahkan mencangkupi komponen-komponen dalaman alat tersebut. Ianya harus dikuasai dan difahami sepenuhnya agar dapat digunakan di tempat yang betul. Dan perlu diingat, inilah tuntutan fardhu kifayah yang telah diwajibkan keatas diri dan akan dihitung di Yaumul Hisab kelak. Bilamana fardhu kifayah itu tertanggung atas dirinya, maka wajib dia melaksanakan tuntutan tersebut sepertimana tuntutan fardhu ain yang tertanggung ke atas setiap insan.

Ini adalah catatan peribadi saya. Dua minggu berada di musim peperiksaan akhir semester banyak mengajar dan menyedarkan saya. Dua kertas peperiksaan yang terakhir, saya sudah mula rasa semput dan lemau. Nampak gayanya stamina yang cuba saya kumpulkan sedari awal semester memang tak cukup. Saya berharap dapat buat dengan lebih baik di semester-semester akan datang.


Langit berarak selindung mentari

Hujan turun rahmat Ilahi

Di Hari mithaq kita berjanji

Tuhan Yang Esa kami bersaksi!

Sains dan Islam tiada terpisah

Falsafi amali kita terarah

Penuhi tuntutan fardu kifayah

Kuatkan teras jangan berubah.


La ilaha illa anta. Subhanaka inni kuntu minazzhalimin!

Ramadhan kareem. Allahu Akram!

*Pada asalnya tulisan ini adalah catatan peribadi penulis. Atas unjuran beberapa orang teman, dan setelah melakukan sedikit suntingan, saya kongsikan di sini. Moga-moga ia memberi manfaat. Wallahu a’lam.


Sains sebagai fardhu kifayah. Rujuk;

Islam dan Sekularisme. Tan Sri Syed Muhammad Naquib Al-Attas. m/s 183.

Kuliah Faham Agama dan Asas Akhlak; Dr Mohd Farid Mohd Shahran. Trolak, 28 Julai 2011.


:: Sarah Syazwani ::

MIFTAH : Majlis Iftar Mahabbah PKPIM Pusat

oleh Permata Tinta PKPIM Ogos 08, 2011 0 comments




Tarikh : 13 & 14 Ogos 2011
Tempat : Kolej Dar al-Hikmah, Kajang

Bijaknya Budak ni!!!

oleh Permata Tinta PKPIM 1 comments



"Haikal, hari ni tak boleh gigit orang tau. Pukul orang, tak boleh ye".

Dengan senyuman dan contoh, nasihat ini ku tujukan kepada anak kecil berumur 2 tahun setengah yang sangat ligat dan lincah. Mata Haikal terkebil-kebil melihatku. Faham atau tidak, aku tidak tahu. Tetapi di dalam hati, semoga hari ini dia menjadi lebih baik dari semalam,doaku.

Keletah anak-anak kecil di taska/tadika, tempatku bekerja sementara sangat menggembirakan hati. Mereka bermain, berkejaran, bergelak ketawa tanpa memikirkan hal-hal lain. Mereka sungguh gembira di dunia ciptaan mereka sendiri. Untuk aku yang berkejaran ke sana ke mari, menjaga mereka seperti tiada rasa letih mahupun bosan tatkala mereka datang dan bermanja denganku. Sungguh indah saat itu.

Tiba-tiba,


" teacher, iman buat air tumpah!"

"teacher, haikal gigit pika!"

" teacher, farihah muntah!"


Pelat suara mereka mengadu mengenai kawan- kawan menaikkan sedikit kemarahan tapi, bila difikirkan , " budak-budak kecil, apalah sangat".


Anak-anak kecil yang tidak mengetahui apa-apa ini, selalu aku renung dan fikir, apa mereka akan jadi suatu hari kelak. Adakah mereka akan sentiasa berada di atas landasan yang benar atau tergelincir. Semuanya terletak pada cara didikan dan persekitaran mereka semenjak awal kelahiran. Enam tahun pertama adalah waktu yang sangat penting bagi tumbesaran seorang manusia. Ini kerana pembelajaran pertama mengenai kehidupan bermula. Mereka memerhati, mengikuti dan mengingati. Pemerhatian mereka sangat fokus, memori mereka bagaikan span, dan kelincahan mereka mencontohi seseorang tidak boleh dipandang enteng.


Guru- ilmu dan peranan


Tanggungjawab sebagai seorang guru kepada anak kecil juga mempunyai cabarannya tersendiri kerana setiap tutur kata, perlakuan diperhati dan diikuti. Salah kata, nayalah kita. Silap cara marah, tanggunglah akibatnya. Guru bukan hanya sekadar mengajar, tapi sebagai pengganti ibubapa mereka, pendidik, pengasas, dan paling penting role model. Jawatan ini, walaupun gajinya kecil, tapi tanggungjawabnya besar. Nilai diri sebelum terjun ke alam dunia kanak-kanak ini. Cukupkah ilmu di dada, sayangkah kita pada kanak-kanak, elokkah akhlak kita,semua itu harus diambil kira. Jika tidak, malang nasib si anak kecil itu.


Di kala itu, Alhamdulillah, aku sangat bersyukur belajar di UIA yang mengadakan silibus Human Development dan Learning Process and Special needs untuk para pelajar sains, maka aku tidak terkontang-kanting menjaga dan mendidik mereka. Ajaran Dr Mastura (ABIM) mengenai pendidikan awal kanak-kanak dari pespektif barat dan Islam digunakan sebaiknya, dengan harapan tumbesaran anak-anak ini menyeluruh dari segi akal, jasmani, ruhani, akhlak dan sosial. Teorist Barat seperti Piaget, Albert Bandura, Vygotsky, Pavlov mengenai galakan dan hukuman (baca: reinforcement and punishment) dan pandangsarwa tokoh Islam iaitu Imam Al-Ghazali yang menekankan tentang nasihat dan contoh ikutan untuk kanak-kanak dijadikan bekalan untuk aku berhadapan dengan mereka. Lagi, sabda Rasulullah s.a.w,


“The child is the master for seven years; and a slave for seven years and a vizier for seven years; so if he grows into a good character within 21 years, well and good; otherwise leave him alone because you have discharged your responsibility before Allah.”


The same hadith has been explained by Imam Ja`far as-Sadiq (a.s.): “Let your child play upto seven years; and keep him with you (for education and training) for another seven years; then if he succeeds (well and good); otherwise, there is no good in him.”


(Sumber: www.al-islam.org/islam_faith_practice_history/35.htm)


Tujuh tahun pertama adalah waktu untuk bermain bersama-sama, jadi aku selalu sahaja menjadi kawan-kawan mereka. Jika mereka bermain puzzle, apa sahaja alat permainan, berterabur memenuhi ruang taska itu, aku biarkan sahaja sampai mereka puas bermain. Setelah itu, aku panggil mereka kembali, mengutip bersama-sama permainan tersebut untuk disimpan semula.


Kurangkan arahan, banyakkan contoh dan ikutan. Kurangkan membebel, banyakkan mendengar. Kurangkan marah, banyakkan galakan.


"wow, bagus la farihah"

"haa macam tu la,bijak, bijak"


Ibubapa zaman sekarang


Lagak ibubapa yang menghantar anak-anak mereka juga aku perhatikan. Latar belakang keluarga, didikan ibubapa, bilangan adik-beradik, pendapatan keluarga dan persekitaran menjadi pensil warna yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak kecil ini nanti. Ada ibubapa yang menghantar anak awal pagi dan mengambil mereka lewat petang, ada ibubapa yang menghantar anak bersama-sama, ada yang berseorangan, ada yang bermotosikal, berkereta mewah dan bermacam ragam lagi. Kehidupan di bandar sangat menuntut masa yang lebih untuk mencari pendapatan, maka tinggallah anak ini seharian di taska. Masa bersama anak-anak semakin sedikit, apatah lagi jika anak ramai dan ada anak emas dalam keluarga, apa akan jadi pada anak yang lain? Perkara yang kecil sebegini,jika diteruskan, maka penyesalan di akhirnya. Walaupun aku melihat anak-anak ini gembira bermain dengan rakan-rakannya, tapi di satu sudut aku dapat melihat betapa mereka sangat dahagakan perhatian ibubapa. Mereka hanya anak kecil yang tidak tahu apa-apa, tapi kita sebagai orang dewasa, punya akal, yang pernah melalui zaman itu pasti merasainya.



Islam- modul dari Ilahi


Alhamdulillah, di taska/tadika ini dengan bermodulkan Little Ones Education World, anak-anak diajar dengan bahasa Melayu, Inggeris dan asas Bahasa Arab. Tambahan lagi, penekanan solat, zikir, Asma'ul Husna telah menjadi rutin harian mereka dan doa- doa seharian diajar, agar mereka tahu asas Islam ini sedari kecil.

"minum berdiri! Nak kawan dengan syaitan ke?!"

"sshhhh, malaikat nak bagi pahala ni,.semua sssshhh (baca:diam)"

"Allah sayang Izzah kalau izzah dengar cakap teacher."

Penekanan tentang perkara-perkara ghaib seperti malaikat, syurga, neraka sangat memberi impak besar dalam kehidupan mereka. Ada seorang Dr. PhD berpendapat bahawa anak-anak kecil perlu diajar perkara yang logik dan objektif, perkara yang tidak nampak ini diajar bila mereka besar kelak. Oh, satu tanggapan yang salah!!.Menurut pengasas modul Little Ones, dipanggil Ummi, pada waktu mereka kecil inilah waktu paling sesuai untuk mengajar perkara asas ini kerana kita Islam dan Islam itu agama fitrah. Lihatlah, anak-anak pasti menurut kata bila kita memberi ancaman, galakan tentang ganjaran yang Allah berikan pada sesiapa yang berbuat baik.


Minggu terakhir


Aku rasakan seperti tidak mahu berhenti kerja lagi, tapi apakan daya, ada perkara lain yang menuntut perhatianku. Lincah, pelat kata-kata, manja, nakal mereka menjadi perkara terindah dalam hidupku. Walaupun hanya enam minggu, sangat banyak yang aku pelajari dari mereka dan keluarga mereka. Kita belajar, mengajar dan diajar.


Untuk akhirnya, pesanan untuk diri dan sahabat sekalian yang bakal menjadi walid dan ummi, tuntutlah ilmu mengenai pendidikan kanak-kanak, carilah pengalaman di luar sana, dan lihatlah sekeliling kita supaya bakal anak-anak kita mendapat yang terbaik dari kita sebagaimana kita ditarbiyah di jalan ini. Wallahu'alam.


:: Eifa Nisa :: ^__^

Tiada Yang Lebih Penting Dari Panggilan Ilahi

oleh Permata Tinta PKPIM Ogos 04, 2011 0 comments


Kita sering melihat papan tanda ‘tiada yang lebih penting dari panggilan Ilahi’ di masjid atau surau yang disediakan oleh ‘celcom’. Mungkin juga ada papan tanda lain yang diusahakan sendiri oleh ahli jawatankuasa masjid yang saranannya sama supaya telefon bimbit ditutup apabila memasuki masjid.


Ayuh kita melihat maksud disebalik saranan ini. Adakah kita melihat saranan ini selapis atau dua lapis. Ramai yang melihat saranan ini hanya saranan supaya mematikan telefon bimbit agar bunyi yang terhasil dari telefon bimbit ini sama ada apabila ada panggilan yang masuk atau terdapat pesanan (baca : sms) yang masuk dan sebagainya yang memungkinkan telefon kita itu berbunyi. Maka, ramai yang mengambil pendekatan hanya meletakkan telefon bimbit dalam ‘mode’ senyap (baca : silent) dan mungkin juga buat ayah-ayah kita yang mematikan telefon bimbit kerana tidak tahu bagaimana meletakkan ‘mode’ senyap pada telefonnya. Namun kedua-duanya masih meletakkan bahawa gangguan yang dibawa oleh telefon bimibit itu hanya gangguan bunyi.


Sebenarnya saranan mematikan telefoin bimbit itu ada selapis lagi maksudnya. Mungkin juga pihak celcom ataupun pihak masjid sedar atau tidak tentang saranan mematikan telefon bimbit ini punya maskud lain yang lebih besar saya tidak tahu.


Apabila berada di masjid pemusatan amali dan fikiran harus sepenuhnya pada ibadat kepada Allah dan meninggalkan segala urusan dunia di luar masjid seperti kita menggalkan selipar kita di luar masjid dan fikirkanlah urusan dunia itu kembali seperti menyarung kembali selipar apabila keluar. Benar, sukar sebenarnya memusatkan fikiran kita hanya kepada Allah kerana mendapat khusyuk dalam solat itu adalah sesuatu yang sukar.



DAN MINTALAH PERTOLONGAN (KEPADA ALLAH) DENGAN JALAN SABAR DAN MENGERJAKAN SEMBAHYANG. DAN SESUNGGUHNYA SEMBAHYANG ITU AMATLAH BERAT KECUALI KEPADA ORANG-ORANG YANG KHUSYUK. (Surah al-Baqarah ayat 45)


Namun, meninggalkan amali yang berkaitan dunia sekurang-kurangnya yang sehabis baik yang mampu kita buat. Perbuatan membalas sms, menerima sms itu salah satu darinya. Hari ini bukan sms sahaja boleh dibuat, melayari internet dengan melayari laman-laman sosial juga sudah mudah dilakukan dengan telefon bimbit. Ramai hari ini berbalas sms juga ada yang membaca status ‘facebook’ ketika khutbah jumaat atau ketika menunggu khutbah. Apabila ketika solat, meninggalkan telefon dalam ‘mode’ gegaran (baca : vibrate) kadang kala menggangu fikiran ketika solat sekiranya kita merasai gegaran telefon itu dan apa yang berlaku selepas solat adalah kita akan tergesa-gesa melihat telefon bimbit kita. Tanpa gegaran pun kadang-kadang jemaah tergesa-gesa melihat telefon bimbit mereka seperti masa solat 10 minit itu benar-benar menguji kerinduan mereka pada dunia satu lagi. Perkara ini kelihatan seperti sudah menjadi budaya.


Benar kata Sayyed Hussein Nasr, pentingnya umat Islam bersikap kritis terhadap teknologi moden yang hadir ke dunia islam. Kerana apa?? Pertama teknologi moden bersikap dualisme dalam falsafahnya. Unsur agama tidak wujud dalam falsafah moden. Kedua menurut Nasr, teknologi tidak hanya hadir pada bentuknya sahaja, tapi ia juga hadir bersama cara hidup dan budaya.


Sebagai contoh teknologi telekomunikasi hadir mengubah cara kita berhubung. Lidah bukan lagi medium berhubung yang utama kini. Skil bersosial mata bertentang mata sudah semakin pudar kini. Anak-anak kini lebih selesa mendekati dunia maya berbanding dunia sebenar. Rakan 50 kilometer jauh ditegur, kawan duduk menyebelah pandang pun tidak. Jiran berlain negara, mudah disapa, jiran bersebelah rumah nama pun tidak tahu.


Semua ini harus difikirkan supaya kita tidak mudah menadah segala yang hadir dari barat tanpa tapisan. Ilmuwan Islam harus menjalankan usaha penapisan ini. Ini baru membincangkan isu teknologi komunikasi. Membincangkan satu juzuk dari teknologi sudah banyak yang merisaukan. Belum lagi membincangkan teknologi sumber tenaga, makanan dan pembuatan yang begitu pesat kini. Dunia tanpa sempadan benar-benar membimbangkankan.


Kesimpulannya, dua perkara yang difokuskan dari tulisan ini. Pertama, sikap kita pada penggunaan telefon bimbit. Bagaimana kita bersikap adil padanya. Saranan mematikan telefon bimbit benar-benar sesuatu yang serius kerana ia benar-benar membantu kita fokus dalam ibadat. Kedua, berkait rapat dengan yang pertama, pentingnya bersikap hormat-kritis dalam menerima teknologi barat moden. Ianya bukan mudah dalam dunia yang tidak kenal langit lagi. Ilmuwan kini harus benar-benar berhikmah dalam pemikirannya.

~nawal~

Di Sebalik Jeriji Bayt Rahmah

oleh Permata Tinta PKPIM 0 comments


Bismillahirahmanirahim.................

Alhamdulillah, bersyukur pada Allah atas pinjaman kehidupan ini. NikmatNya yang sentiasa kunjung tiba. BantuanNya yang tidak pernah berhenti. Syukur padaNya atas kesempatan merasai kehadiran Ramadhan tahun ini. Ahlan ya Ramadhan…

Bayt Rahmah

Coretan kali ini sekadar perkongsian penulis dalam mengisi waktu yang terluang sewaktu cuti kali ini. Alhamdulillah, Allah memberi kesempatan pada diri ini untuk berkunjung ke Bayt Rahmah, sebuah rumah perlindungan wanita. Bertempat di Ampang, rumah tiga tingkat itu baru sahaja 7 bulan beroperasi. Namun begitu, pengambilan penghuni sudah berlaku dua kali. Rumah pengawasan ABIM ini dikelola oleh saudari Akmariah dengan bantuan sukarelawan yang lain. Bayt Rahmah hadir sewaktu masyarakat seakan di serang mimpi ngeri tentang pembuangan bayi yang tidak berkesudahan. Sekurang-kurangnya, usaha kecil ini mampu menyelamatkan nyawa-nyawa yang tidak berdosa. Si kecil yang tidak berdosa itu akan diasuh dan dijaga oleh keluarga angkat. Sesetengah berpendapat ia bukan satu solusi, namun, pendekatan ini diharap mampu menjadi ranting-ranting kecil untuk menampung permasalahan pokok itu.

Ketibaanku di sambut sepi. Hanya seorang dua penghuni yang kelihatan. Seusai bersalaman, aku mencari waktu yang sesuai beramah mesra bersama penghuni rumah itu. Aku di khabarkan kemasukan pertama agak ramai berbanding kemasukan yang kedua. Hanya tinggal 4 orang sahaja pada waktu kunjungan itu. Selebihnya sudah pulang ke rumah masing-masing selepas bersalin. Kehadiran mereka ke Bayt Rahmah adalah untuk mengasingkan diri daripada masyarakat. Cuba mengelak diri daripada dicemuh. Di samping, menjaga nama baik keluarga, itulah komen yang diberi penghuni di situ. Namun, Bayt Rahmah punya misi yang tersendiri. Yang paling utama adalah dalam memberi kesedaran kepada penghuni yang hadir. Semoga keterlanjuran itu tidak berulang dan betul-betul mencapai taubat nasuha. Di samping itu, mereka ditekankan kembali dengan asas-asas agama, pelajaran tajwid dan aqidah. Waktu yang terluang juga diisi dengan latihan kemahiran seperti memasak dan membuat anyaman.

Berkongsi cerita

Alhamdulillah, adik-adik dapat menerima kehadiranku dengan baik. Malam pertama, mereka sudah mahu berkongsi cerita tentang bagaimana mereka boleh menjadi penghuni di rumah itu. Semuanya gara-gara pergaulan bebas dan pengaruh sekeliling. Namun, aku berpendapat peranan ibu bapa penting dalam mencorakkan anak-anak mereka. Bagaimana pendedahan anak-anak terhadap didikan agama dan ruang masa antara ibu bapa dengan anak-anak itu sendiri. Apakah ada waktu ibu bapa itu dalam memantau kehidupan si anak atau sekadar terkejar-kejar dengan kesibukkan dunia. Apa pun penyebabnya kefahaman tentang Islam perlu menjadi pokok dalam penyelesaian masalah ini. Mereka bukannya budak-budak nakal yang susah menerima nasihat. Semuanya berperwatakan baik dan mudah ditegur. Sayu sekali melihat wajah-wajah ini. Di sebalik senyuman itu, mereka terpaksa menanggung beban atas keterlanjuran yang mungkin pada asalnya hanya sekadar ingin mencari keseronokkan. Malam itu, aku cuba menghadirkan hati bersama-sama mereka. Menjadi pendengar supaya satu iktibar boleh dilakarkan.

Lebih menyedihkan, adik-adik di sana tidak dibenarkan keluar kecuali atas urusan tertentu. Mereka hanya tinggal diam di dalam rumah untuk mengelakkan diri daripada masyarakat sekeliling. Mereka hanya mampu memerhati gelagat manusia melalui jendela. Mengintai-ngintai kebebasan yang seharusnya bagi seorang manusia. Jadual mereka bermula dengan mengikuti kelas-kelas yang tersedia, memasak untuk makan dan menunggu kalau-kalau ada tetamu yang sudi menjenguk. Daripada pagi hingga malam, sehinggalah bersalin, begitulah rutin harian yang terpaksa dilalui. Mereka hanya keluar untuk memeriksa kehamilan dan juga membeli barangan untuk keperluan diri. Jika tidak, terpaksalah mereka memencilkan diri dalam rumah itu tanpa sebarang hiburan dan juga alat komunikasi.

Berjauhan daripada keluarga mungkin hanya cabaran kecil. Menjadi kebiasaan bagi kita sendiri, berjauhan bersama keluarga sewaktu tempoh belajar. Namun, bagi penghuni rumah ini keperitan terasa di saat berbadan dua. Seharusnya, ada insan-insan tersayang yang memberi semangat dan kekuatan sewaktu tempoh kehamilan ini. Apatah lagi di waktu diri sudah rasa terbuang. Namun, keajaiaban itu tidak berlaku pada mereka. Walaupun masih diterima di dalam keluarga, namun perasaan sayang itu sudah tentu berbeza. Mereka hanya menumpang kasih daripada ibu-ibu yang datang untuk mengisi slot. Segala luahan dan masalah harus ditanggung sendiri. Apatah lagi di kala sakit, mereka hanya mampu memendam kesakitan itu sendirian. Suka duka itu hanya berlegaran antara mereka. Alhamdulillah, masing-masing masih sudi mengambil tahu hal sahabat-sahabat yang lain. Cuba membantu sekadar termampu dalam keadaan genting itu.

Tanpa bapa

Pilu memikirkan nasib si kecil yang bakal dilahirkan tanpa bapa. Bagaimana mereka akan mengharungi kehidupan ini. Selepas diserahkan kepada keluarga angkat, mereka akan berjalan tanpa mengenali susur galur keluarga. Bagaimana pula dengan nama, perlu di ‘bin’ atau di’binti’ kan dengan nama siapa. Tidak termasuk lagi dengan pembahagian harta pusaka, wali dan sebagainya. Terasa kompleks kehidupan yang bakal ditanggung oleh anak-anak itu. Itulah hikmah Allah mengharamkan zina. Banyak sekali masalah yang bakal timbul apabila anak tanpa bapa ini dilahirkan. Yang terpaksa menanggungnya tentulah si kecil ini yang tidak mengerti apa pun yang telah berlaku. Sedangkan, dia hanyalah hasil daripada insan yang menyalahi hukum Tuhan.

Ummi yang cekal

Bersyukur pada Allah yang menemukan aku dengan ummi, Pn. Rohani. Budi pekertinya memikat hati ini walaupun aku baru di situ. Ummi mengisi slot pada hari Isnin dan juga Selasa. Selepas maghrib, halaqah kecil dipandu ummi untuk menyiram kembali hati-hati yang gersang. Menyentuh hati-hati yang mati agar kembali mengenal penciptaNya. Adik-adik akan diperbetulkan bacaan al-quran dan ada zikir-zikir yang diajar ummi untuk mengisi ruang-ruang waktu yang sepi. Selang waktu, ummi memperingatkan kami dengan sedikit tazkirah agar peringatan itu sentiasa segar.

Sempat berkonsi cerita bersama ummi. Ummi memulakan langkah jihad melalui Kesatuan Pelajar islam Perak (KPIP). Ummi juga adalah antara penggerak awal yang sama-sama berjuang bersama Anwar Ibrahim. Banyak yang dikongsikan saat awal pertubuhan PKPIM sehinggalah kini, dia bersama wadah. Terluah juga kekesalan terhadap sahabat-sahabat perjuangan yang terhenti di perjalanan. Sedangkan, mereka sudah banyak menempuh cabaran dalam gerakan itu. Akhlaknya menjadikan aku terpana. Ummi tidak pernah hadir dengan tangan yang kosong. Ada sahaja juadah yang dibawa. Walaupun penat daripada kerja, tidak pernah sesekali riak wajahnya mempamerkan itu.

Lambaian terakhir

Selama seminggu di sana, hubungan antara kami makin erat. Dalam kesempatan waktu yang ada, aku cuba memberi kata-kata semangat dan sentiasa mengingatkan mereka tentang keampunan Allah. Sesungguhnya, rahmat Allah terlalu luas. Anggaplah apa yang berlaku sebagai kifarah atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Aku sempat meminta adik-adik untuk membuat surat sekadar menghisab diri ini kembali. Khuatir jika aku tidak memberikan layanan yang terbaik untuk mereka dalam waktu yang singkat itu. Bimbang juga ada hati-hati yang terguris di atas persoalan-persoalan yang sedikit sensitif. Alhamdullah, aku mendapat respon yang baik dan mereka mengharapkan agar ukhwah ini tidak terhenti di situ sahaja. Sayu sekali saat perpisahan tiba. Aku cuba menahan sebak. Adik-adik yang lain sudah mula menunduk, seakan menyembunyikan kesedihan di hati. Aku rangkul tubuh mereka erat dan terus membisikkan kalam-kalam peringatan. Kami mengikat perjanjian. Mereka berjanji tidak akan lagi menjadi penghuni di rumah itu. Jika hadir sekalipun, mereka akan masuk atas tiket tetamu. Cukuplah sekali pengalaman yang telah mengejutkan mereka daripada mimpi yang panjang.

Sesungguhnya, manusia tidak selalu berada pada jalan keimanan. Terkadang, ombak nafsu memukul badai-badai iman menyebabkan kita tewas dan karam dalam pelayaran kehidupan. Hanya mujadah yang tinggi mampu menjadi benteng untuk melawan gelora yang sentiasa datang. Namun, andai sudah tersimpang daripada pelayaran, kembalilah mengikut kompas Islam yang jarumnya sentiasa tepat dalam menyuluh setiap persimpangan. Simpanlah sejarah semalam sebagai releksi diri untuk hari kemudian. Jam taubat masih berbaki dan pintu keampunaNya masih terbuka luas. Doakan hari esok masih ada mentari agar camar-camar yang sesat temui jalan pulang. .. wallahualam…

Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan perlanggaran/permusuhan.” (Al-Maidah: 2)


:: Humaira Hanafi ::

Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta