History teaches that war
begins when governments believe the price of aggression is cheap.-Ronald Reagan.
Kata pujangga di atas amat cocok sungguh dengan situasi
wajah dunia hari ini. Kita membaca berita tentang perang dengan nada muak di
dada-dada akhbar kerana nilainya sudah tiada. Sudah jadi terlalu biasa. Perang
bikin nyawa manusia terlalu murah sampai dibunuhnya dengan cara paling tidak
bermaruah. Ada yang berperang untuk mengejar kuasa politik, untuk menjaga kawah
ekonomi, untuk menyekat pengaruh ideologi dan tidak kurang untuk menjarah tanah
air orang lain.
Saya pernah
mengimpikan agar dunia ini aman tanpa perang ; agar anak-anak saya kelak tidak
punya kesempatan untuk melihat perang dalam kehidupan mereka. Bunyinya
memanglah agak utopia dan melankolik. Tetapi keinginan untuk melihat dunia aman
tetap ada. Hakikat yang pahit tetapi terpaksa ditelan bahawa rata-rata negara
yang bergolak kerana perang hari ini adalah negara umat Islam. Boleh Jadi
kerana perbezaan fahaman politik dan ideologi, semangat berpuak yang masih
menebal, masalah perpaduan umat yang lemah, tetapi bagi saya perkara yang tidak
dapat dimaafkan adalah perang hasil campur tangan pihak luar demi kepentingan
tertentu.
Perang boleh berlaku secara fizikal ataupun sekadar
psikologikal. Perang fizikal adalah perang dengan menggunakan senjata yang
menyebabakan banyak nyawa manusia tidak berdosa melayang mudah. Perang
psikologikal seperti apa yang berlaku di Barat sekarang; dikenali dengan
istilah Islamofobia yang menyebabkan umat Islam di sana hidup dalam ketakutan
dan dipandang hina.
Tidak ada manusia yang merestui perang berlaku di tanah
airnya. Hatta negara yang memilikan pasukan NATO itu sekalipun tidak
membenarkan perang mencerobohi negaranya. Mereka kononnya mengatakan perang
adalah pilihan terakhir untuk menyelesaikan sesuatu konflik, tetapi ternyata
hari ini merekalah yang terlebih dahulu menjadi kepala kepada kebanyakan
tragedi perang yang berlaku. Keadaan akan jadi lebih teruk apabila pemimpin
negara umat Islam yang pro-Barat hanya tahu mengaminkan sahaja segala dasar
yang telah digubal oleh white house demi kepentingan mereka.
Perang amat pahit. Saya sempat membaca kisah penderitaan
genosid di negara Bosnia yang akhirnya mendapat campur tangan Amerika si
kapitalis untuk menghapuskan pengaruh komunis (China dan Rusia) di Bosnia. Kemudian
mereka melakukan pencerobohan di Afghanistan yang kononnya untuk menghapuskan
Taliban tetapi telah telah menghancurkan kedaulatan sebuah negara yang telah
merdeka. Tidak cukup itu, misi memburu pengganas Al-Qaeda di Iraq diteruskan
dan mengumumkan pengunduran setelah puas menggomol khazanah negara orang
sehingga Iraq persis padang jarak padang tekukur. Atau lihatlah muslihat
retorik mereka untuk bersama rakyat menegakkan demokrasi di Algeria. Dan masih
jelas sehingga ke hari ini apa yang berlaku di syria ketika Rusia dan China
yang bersama Al-Assad demi kepentingan ekonomi(membekalkan senjata perang),
manakala Amerika mengambil jalan berbeza kononnya bersama rakyat walhal mahu
menadah minyak .
Amerika memang berlagak menjadi polis dunia yang mahu
mengekalkan keamanan di bumi ini. Amat jengkel apabila berhadapan dengan isu
Rhohingya yang merupakan genosid yang dilakukan oleh tentera junta Myammar, mereka
membisu? Kita perlu sedar, perang adalah muslihat. Perang yang dilancarkan
Amerika dan sekutunya adalah bersifat lost-win; hanya untuk memenuhi agenda
sulit mereka.
Saya memandang perang sebagai isu serius kerana perang
melanggar keamanan dan hak asasi seorang manusia. Memang tidak adil Amerika
menggondol nyawa umat Islam tanpa pembelaan sedangkan kalau ada seorang
rakyatnya yang terbunuh, bermatian-matian mereka berikrar mempertahankannya. Orang
yang memulakan perang sepatutnya diheret ke tribunal jenayah seperti yang telah
dicadangkan oleh Dr Mahathir setelah PBB dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa(ICC)
gagal menggunakan undang-undang antarabangsa untuk mendakwa penjenayah perang
yang telah mencetuskan banyak huru-hara.
Kesedaran anti-perang dan keamanan masih belum subur dalam
masyarakat Malaysia berbanding Eropah. Mereka menggunakan sebaiknya ruang
kebebasan bersuara untuk menyatakan kebencian mereka kepada perang dan
kecintaan mereka pada keamananan. Mahasiswa juga masih lesu dalam
memperjuangakan isu keamanan, kalau timbulpun hanya ketika ada negara Islam
diceroboh. Tetapi sampai bilakah kita akan menjadi manusia yang responsif
sebegini terhadap isu seserius ini?
Mari sama-sama isytiharkan perang itu adalah jenayah.
Semangat cintakan keamanan perlu merentas sempadan geografi, bangsa dan agama.
Ini adalah semangat warga dunia yang bertanggungjawab.
Oleh
: Siti Nor Aishah bt Yazid



