Alam ibarat sekolah. Allah sebagai guru dan manusia adalah pelajarnya. Wajib bagi seorang pelajar untuk patuh dan taat arahan gurunya. Analogi ini boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Apabila manusia patuh arahan tuhan-NYA, tiada kucar-kacir akan berlaku kerana alam ditadbir dan dipimpin oleh Yang Maha. Jika dirujuk dalam kehidupan seharian, manusia juga mempunyai ketua. Pengikut perlu patuh dan taat kepada ketua agar tiada kucar kacir akan berlaku. Sama seperti apabila kita berada diatas kapal yang hampir karam. Jika tiada nakhoda diatas kapal itu, tidakkah kapal itu akan karam? Nakhoda adalah ketua. Ketua memainkan peranan yang penting dalam sesuatu organisasi. Tugas seorang ketua tidak terhad kepada mengarah dan memastikan kerja-kerja berjalan lancar, tetapi menyusun atur sesebuah organisai agar kerja-kerja dibahagikan secara efektif dan berkesan.
Namun begitu, kepimpinan tidaklah hanya terfokus kepada organisasi sahaja. Kepimpinan perlu dibentuk dalam diri sendiri. Diri sendiri adalah pemimpin juga. Jika diri tidak terpimpin, bagaimana kita mahu memimpin orang lain? Pemimpin yang berjaya ialah apabila seseorang itu mempunyai tahap disiplin yang tinggi. Berdisiplin daripada segenap sudut tidak kira penjagaan masa, susun atur kehidupan diri dan kesopanan bertutur kata tidak kira masa dan tempat. Keikhlasan hati dalam mendidik diri untuk bersedia dipimpin dan memimpin juga mempengaruhi tahap kepimpinan seseorang. Ini kerana, kepimpinan yang lahir dari hati akan disenangi oleh orang sekeliling. Bahkan ia akan menjadi tauladan kepada orang lain.
Jom sejenak melihat ‘kepimpinan’ daripada sudut pandangan alam. Alam mengajar manusia pelbagai perkara. Sebagai contoh, angsa yang sedang terbang. Sudah menjadi lumrah kepada angsa untuk terbang dalam kawanan. Angsa akan terbang didalam bentuk V. Ini bernakna, terdapat seekor angsa yang akan menjadi ketua kawanan. Semua angsa-angsa yang lain akn mengikut arah yang diketuai oleh ketua angsa tersebut.

Angsa-angsa tersebut bergerak bersama-sama. Jika mereka angsa bergerak berseorangan, angsa tersebut akan lemah untuk terbang pada jarak yang jauh. Manusia perlu belajar daripada sikap angsa ini iaitu, pengikut-pengikut perlu mengikut arahan ketua dan perlu bergerak bersama-sama dalam melaksanakan sesuatu tugas. Jika tidak wujud kepatuhan arahan ketua dan semangat kerjasama didalam satu organisasi, banyak keburukan akan timbul berbanding kebaikan.
Seorang pemimpin juga mestilah seorang yang berfikiran terbuka. Pemimpin perlu menerima dan menimbang tara pandangan orang lain sebelum membuat sesuatu keputusan. Tidak hanya mengikut pemikiran sendiri tanpa mengambil kira pandangan orang lain. Kadang-kala, pandangan orang lain lebih baik daripada pandangan pemimpin itu sendiri. Maka dengan itu pemikiran yang rasional perlu diambil kira apabila mahu membuat sesuatu keputusan agar keputusan yang dibuat tidak membawa kepada kemudaratan pada diri-sendiri dan organisasi.
Perasaan empati perlu wujud dalam diri setiap pemimpin. Empati bermaksud meletakkan diri sendiri di tempat orang lain. Contohnya, kita hendaklah sentiasa berusaha sedaya-upaya untuk tidak mengguris perasaan orang lain dalam segenap hal. Jika kita sendiri yang dihentam oleh orang lain, pasti hati kita terasa. Jika teguran perlu dilakukan, sampaikanlah ia dengan cara yang berhikmah agar ia tidak bersifat kasar dan teguran tersebut dapat diterima dengan baik. Cara membentak, menengking dan marah merupakan sikap yang tidak patut ada didalam diri pemimpin kerana ia bukan sikap professional seorang pemimpin.

Oleh yang demikian, pemimpin yang berkualiti mempunyai disiplin yang tinggi, ikhlas dalam melakukan pekerjaan, berkerjasama, empati, berfikiran terbuka dan banyak lagi. Setiap ciri-ciri ini perlu ada dalam diri setiap manusia kerana setiap manusia adalah pemimpin. Walaupun seseorang itu tidak terlibat dalam mana-mana organisasi, tetapi dirinya sendiri adalah juga merupakan seorang pemimpin.
p/s : setelah sekian lama, baru kini penulis menulis. Mohon maaf atas segala kekurangan. Sebarang komentar dialukan. Wallhu’alam.











