PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.









Ahlan Wasahlan kepada semua adik-adik ke Taman Ilmu Taman Budi. Tahniah bagi yang terplih menyambung pelajaran anda di bidang Radiografi dan pengimejan Diagnostik. Sesungguhnya anda insan terpilih.

RADIOGRAFI. ‘Seronok x? Susah tak?.’. Jawapannya senang, sekiranya anda sedia, ikhlas dan komited untuk belajar, semuanya boleh. J “.Bahaya???”. “ takut terkena radiasi dari x-ray; risau keadaan pada masa akan datang”. Masuk kelas pertama sem pertama sebagai pelajar radiografi anda akan ketahui, tiada apa yg perlu dibimbangkan. Sememangnya kita terdedah kepada radiasi setiap hari, radiasi dari cahaya matahari, radiasi dari telefon bimbit dan lain-lain. Persoalannya sekarang, jumlah radiasi yang terdedah kepada kita itu yg perlu dioambil kira. Jangan risau selagi safety precaution diambil kira dan mengikut segala peraturan yang ditetapkan.

Sebagai pelajar tahun ke – 2, masih belum banyak pengalaman yang saya dapat. Tapi, sekitar tahun pertama, menjadi pelajar radiografi adalah perkara baru dan. menyeronokkan. Pelajar kos ini harus sentiasa bersedia sepanjang masa. ‘ Belajar macam mana??susah tak?’.  Dalam mencari ilmu ni tak ada yg mudah kerana ilmu itu dari Allah, nak dapatkannya perlu usaha, maka, bukannya muda. Tapi akan jadi senang kalau kita usaha dan bergantung pada Allah. Subjek yang diajar di tahun pertama banyak menjurus kepada pengenalan tentang kos ini, pengenalan kepada x-ray, dan perkara –perkara basic tentang radiografi. Pelajar kos ni diajar untuk belajar (learn); tiada nota subjek yang akan diperturunkan dari satu batch ke batch yg lain, sebaliknya belajar terus dari buku. Senang cerita , setiap kali kelas buku tebal-tebal (rujukan:bontrager, mcquillen)mesti bawa sekali J. Agak sukar pada awalnya bagi yang terbiasa dengan nota –nota yang telah dirumuskan oleh lecturer,tapi, anda akan  belajar sesuatu akhirnya. Lebih berkesan dan kekal. Percayalah J. Itu trend pelajar radio.  J Padat tak jadual? Kos ini sedikit padat memandangkan di semester pertama sudah ada praktikal bg subjek Imaging Technology. Short sem pula, praktikal klinikal di  tiga buah hospital ; hosp. kuantan, hosp bentong, hosp. temerloh, tapi waktu inilah kita akan dapat menimba ilmu dan pengetahuan yg kita tak akan dapat didalam kelas. Lecturer best tak? DDIR’s lecturers are awesome. Itu sahaja yg bole dikataJ. Tak percaya? ‘just be a part of DDIR family and You will find it!

Akhir sekali, bagi yang dipilih Allah sebagai pelajar radiografi dan pengimejan diagnostic ini., percayalah, sesungguhnya Allah tahu yg terbaik untuk anda. Tetapkan hati, ikhlaskan diri , usaha tanpa henti yang penting study smart , study hard! . Pesanan buat diri sendiri dan anda semua. Perjalanan kita masih jauh. Semoga berjaya!!!
                                                                                 


Pertama kali bergelar pelajar farmasi, apa yang terbayang di minda adalah kaunter mengambil ubat di hospital dan klinik-klinik yang pernah dilawati. Namun setelah berminggu-minggu mendalami dunia farmasi, barulah tersedar bahawa dunia farmasi ini sangat luas. Bidang ini melibatkan bidang pembuatan atau industry farmasi di mana ubat-ubat dihasilkan, bahagian penguatkuasaan farmasi yang memantau kualiti ubat ,serta mengesan ubat tiruan di bawah kawalan biro pengawalan farmas i(yang depan matrik UIA PJ),  dan lain-lain. Bidang farmasi juga meliputi farmasi komuniti di mana pemegang lessen A boleh membuka kedai farmasi sendiri, menjadi pensyarah, menjadi penyelidik untuk menghasilkan yang mempunyai nilai perubatan yang optimum serta dengan kesansampingan yang paling minimum.
Dalamilah bidang yang sangat luas ini dan tanamkan minat yang mendalam untuk mendalami semua cabang yang ada supaya dapat mengoptimumkan pencapaian anda.Ilmu Allah memang luas dan gunakanlah peluang yang ada sebaiknya untuk menjadi seorang ahli farmasi yang berkualiti serta dapat berkhidmat kepada umat di luar sana. Selamat maju jaya, rx-11!










            Denyutan nadi, aliran darah dan seluruh juzuk bahagian badan manusia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seorang jururawat. Tugas dan tanggungjawab tergalas dibahu tatkala seorang pesakit datang untuk mendapatkan rawatan. Tanggungjawab itu tidak mudah kerana mereka berdiri sejajar dengan para doktor dalam memastikan kelangsungan kesihatan pesakit. Selepas sahaja para doktor merekod rawatan untuk pesakit, jururawat menjadi tangan  kedua untuk melaksanakan misi yang dirancang. Setiap rawatan harus dipantau untuk melihat perkembangan positif daripada pesakit.
          Bidang kejururawatan memaksa para jururawat berhadapan dengan pelbagai cabaran. Mereka berisiko untuk dijangkiti penyakit yang dibawa oleh pesakit semasa memberikan rawatan. Selain itu, layanan dan khidmat akan menjadi ukuran tatkala perkhidmatan diberikan. Jururawat terpaksa bertungkus-lumus untuk memastikan para pesakit mendapat khidmat terbaik walaupun kadangkala mereka sendiri terpaksa mengorbankan diri dan berpenat lelah atas khidmat yang diberi. Namun, sebagai seorang jururawat Muslim, niat harus menjadi langkah pertama dalam memulakan kerja sebagai satu ibadah. Mungkin, hasil yang diperolehi tidaklah seberapa, namun jika diniatkan atas dasar ibadah, kita tidak tahu berapa banyak nilai catatan yang bakal diperolehi.
          Menjadi jururawat Muslim bukanlah sesuatu yang mudah. Bidang ini mampu menjana saham akhirat tertinggi bagi seseorang individu. Namun, untuk mencapainya memerlukan mujahadah yang tinggi. Seruan untuk solat menjadi alunan paling susah ketika sakit. Seakan sudah menajdi ‘trend’ bagi pesakit untukmeninggalkan solat ketika sakit. Lebih-lebih lagi, bagi yang mengalami kemalangan dan melibatkan anggota yang patah dan berbalut. Begitu juga dengan mereka yang terlantar di katil atau mengalami strok. Kesukaran untuk bergerak menjadi alasan buat mereka untuk tidak solat. Sudah tentu ia menjadi satu bonus buat jururawat yang mampu membawa pesakit-pesakit mereka mengerjakan sembahyang. Hanya rawatan spiritual yang mampu mengubati seluruh tubuh manusia.
          Ketika nama Florence Nightingale diangkat oleh pihak Barat, kita seakan kehilangan ikon untuk menjadi rujukan.  Florence dikenali sebagai jururawat pertama di dunia. Namun, 1400 tahun dahulu, kita telah mempunyai Rufaydah Al Aslamiyyah yang menjadi sayap kiri dalam setiap peperangan yang berlaku.  Mujahidah ini bekerja di belakang tabir dalam membantu tentera-tentera Islam mendapatkan rawatan. Setiap kecederaan diubati supaya panji-panji Islam masih terus dikibarkan. Rufaydah menjadi jururawat Islam pertama ketika zaman Rasulullah s.a.w. Walaupun namanya kurang didengari, jasanya di medan juang harus menjadi satu lakaran untuk generasi kini.
          Bidang kejururawatan punya citranya yang tersendiri. Pada setiap zaman anggapan dan tafsiran masyarakat terhadap bidang ini berbeza. Bidang ini juga mengalami transformasinya. Setiap dasawarsa membawa maklumat dan sejarah berbeza. Buku-buku lama perlu diselak          untuk mengkaji watak sebenar jururawat Muslim sebagai rujukan untuk pelapis muda. Pesakit bukan hanya perlu dirawat fizikalnya tetapi juga spiritualnya. Meminjam kata-kata Hassan al-Banna, “Nahnu Ruhyasri fi jasadil ummah” (kami adalah ruh yang mengalir di dalam jasad ummah).  Begitulah seharusnya nilai seorang jururawat Muslim.




Mengambil jurusan pergigian bagi sesetengah pihak adalah sebagai satu alternatif kepada bidang perubatan dan menganggap bidang ini adalah cara mudah untuk  mendapat gelaran doktor. Pengalaman saya hampir 5 tahun  sebagai pelajar pergigian bagaimanapun  membuktikan sebaliknya. Hal ini  kerana berbanding perubatan yang hanya mementingkan teori, kursus pergigian memerlukan pelajarnya untuk mempunyai kemahiran tangan yang baik untuk berjaya.
Kursus pergigian seperti juga perubatan mengambil masa selama 5 tahun. Kursus ini terbahagi kepada 2 bahagian, praklinikal dan klinikal. Dalam tahun pertama pelajar hanya didedahkan dengan teori semata-mata. Selain subjek pergigian, pelajar tahun satu juga perlu mempelajari subjek kursus perubatan seperti anatomi, fisiologidan biochemistry.

Dalam tahun kedua, pelajar mula dikenalkan dengan bahagian klinikal. Selain perlu menghadiri kuliah, mereka juga akan terlibat di makmal untuk melakukan latihan klinikal kepada patung atau `phantom head ‘. Di sinilah  sebenarnya bermula kehidupan  pelajar pergigian. Mereka haruslah lulus kedua-dua bahagian; teori dan klinikal untuk membolehkan mereka menaiki tahun tiga.

Tahun ketiga adalah tahun klinikal yang pertama. Dalam tahun inilah mereka mula memberikan rawatan kepada pesakit sebenar. Cabaran sebagai pelajar pergigian tahun ini bukan sahaja tertumpu kepada teori dan kemahiran tangan semata-mata tetapi juga merangkumi kemahiran menguruskan pesakit. Di UIA, pelajar harus menghubungi sendiri pesakit untuk membuat temujanji mengikut jadual yang ditetapkan. Komunikasi dan layanan yang baik amatlah penting bagi memastikan kerjasama yang baik daripada pesakit. Kerenah pesakit seperti lewat tiba, membatalkan temujanji di saat akhir, tidak mengikut arahan yang diberikan adalah antara cabaran yang perlu dihadapi oleh pelajar klinikal. Ketiadaan pesakit yang sesuai juga mendatangkan masalah kepada pelajar. Pelajar tahun tiga bekerja sebagai pasangan dimana satu kerusi (dental chair) dikongsi oleh dua pelajar. Mereka akan bergilir-gilir bekerja sebagai operator dan pembantu.

Di tahun ini juga pelajar perlu mengambil dua subjek perubatan iaitu perubatan  (medical) dan pembedahan (surgical). Ini memerlukan mereka menghadiri kelas di wad hospital dan mengambil peperiksaan amali dan teori seperti pelajar perubatan. Pengurusan masa yang betul amat penting supaya pelajar dapat memenuhi kehendak kedua-dua bahagian, perubatan dan pergigian.
Dalam tahun empat pelajar hanya tertumpu kepada subjek pergigian dan klinikal. Pelajar di dedahkan dengan latihan klinikal yang lebih tinggi tahap kesukarannya sesuai dengan peningkatan tahun. Dalam akhir tahun empat, mereka harus menduduki tiga peperiksaan amali yang dikenali sebagai ‘promotional examination’. Peperiksaan tersebut merangkumi subjek prostetik, pembedahan mulut dan restoratif. Ketiga-tiga ujian ini perlu dilakukan ke atas pesakit sebenar. Selain lulus ketiga-tiga ujian, mereka juga harus menyiapkan segala tugasan klinikal sebelum  berjaya naik ke tahun 5.

Tahun lima merupakan tahun kritikal bagi pelajar pergigian. Mereka harus bertungkus lumus menyiapkan semua tugasan yang ditetapkan bagi mengelakkan dihalang daripada menduduki peperiksaan professional akhir. Klinik yang bermula jam 10 pagi higga jam 5 adakalanya menuntut pelajar untuk pulang jam enam petang. Hal ini kerana mereka harus melakukan kerja-kerja makmal pula. Selain itu mereka juga haruslah mengulangkaji pelajaran dari tahun tiga hinga tahun lima yang merangkumi 8 subjek kesemuanya.  Lulus dalam peperiksaan professional akhir melayakkan pelajar untuk bergelar seorang doktor pergigian.  

Meskipun ada yang menganggap bahawa bidang ini agak membebankan, namun sebenarnya bidang pergigian adalah sebuah bidang yang mendatangkan kepuasan kepada penuntutnya terutama apabila pelajar dapat merawat pesakit dengan baik, mereka sebenarnya telah memberikan kegembiraan yang besar kepada pesakit. Mendapat tampalan yang baik sehingga member keyakinan diri atau mendapat gigi palsu yang selesa dipakai, sebenarnya amat bermakna kepada pesakit. Rawatan yang diberikan tanpa disedari telah memperbaiki kualiti kehidupan mereka. Disebabkan itu, sesetengah pesakit amat menghargai kerja yang dilakukan dengan memberikan hadiah dan cenderamata sebagai tanda penghargaan. Hubungan baik antara pesakit dan pelajar juga boleh membantu apabila pesakit-pesakit tersebut membawa keluarga dan rakan-rakan mereka mendapatkan rawatan daripada pelajar tersebut. Semakin ramai pesakit, semakin mudah pelajar dapat menghabiskan tugasan yang ditetapkan.

Sebagai pelajar yang  telah melalui pahit manis di kuliyah pergigian UIAM, ingin saya catatkan beberapa peringatan penting yang harus diberi perhatian. Bidang ini amat menuntut kekuatan fizikal dan mental . Kesihatan diri perlulah dijaga kerana masa amat berharga. Sebarang masalah kesihatan yang menyebabkan pelajar gagal datang ke klinik amat merugikan.Kesibukan menghadiri kelas dan memenuhi tugasan di klinik juga boleh menjejaskan kesihatan jika pelajar tidak mempunyai fizikal yang sihat. Pelajar juga terdedah kepada tekanan perasaan yang biasa berlaku kepada pelajar klinikal. Masalah dengan pesakit, masalah dengan tugasan, masalah dengan pasangan kerja, semuanya mampu memberikan tekanan yang boleh melemahkan semangat pelajar untuk meneruskan pengajian. Rasa kecewa dan putus asa adalah sesuatu yang pasti menjengah setiap pelajar. Oleh itu pelajar haruslah membuat persiapan mental yang baik sebelum menjejakkan kaki didalam bidang ini. Sokongan daripada keluarga, rakan dan juga pensyarah amatlah penting untuk terus bermotiwasi sebagai pelajar pergigian.

Satu perkara yang perlu diingatkan ialah kemahiran tangan banyak bergantung kepada sifat semulajadi pelajar selain latihan yang cukup. Oleh itu , pelajar yang sememangnya bagus dalam kemahiran tangan biasanya akan lebih kehadapan dalam menyiapkan tugasan. Pelajar yang lemah dari segi kemahiran tangan biasanya memerlukan usaha dan latihan yang lebih untuk meningkatkan kualiti kerja mereka. Hal ini berbeza dengan bidang lain dimana siapa yang berusaha gigih mengulangkaji pelajaran dialah yang akan berjaya mendapat keputusan yang baik. 

Apapun kursus yang dipelajari, semuanya menuntut kegigihan dan semangat juang yang tinggi. Sesuatu yang berharga itu pastilah sukar untuk diperolehi. Namun sebagai seorang muslim kita haruslah mempunyai keyakinan yang tinggi kepada Allah sebagai pengatur segala urusan hambaNya. Tetapkan niat yang ikhlas, pasti perjalanan itu akan menjadi lebih mudah, insya Allah.

Farhanah Foa’ad
Pelajar pergigian tahun lima,
Kuliyah pergigian UIAM.




Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta