PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Catatan Tamrin Qiyadi Kebangsaan 2009

oleh alifzaimimra Jun 19, 2009 1 comments

Bismillahirrahmanirrahim…

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah S.A.W. dan seluruh kaum kerabat baginda. Alhamdulillah saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada-Nya yang mengurniakan saya dan sabahat-sahabat seperjuangan hidayah untuk berada di jalan yang kami berada pada saat ini. Semangat perjuangan yang menusup masuk hadir ke dalam jiwa merupakan rahmat dari Yang Esa. Saya berasa gembira, syukur, sedih, dan pelbagai lagi perasaan yang bercampur-baur selepas pulang menghadiri Tamrin Qiyadi Kebangsaan 2009 yang diadakan di Madrasah Sofa, Rembau. Tenang sungguh suasana di sana dan penuh barakah tempatnya, lantas saya tanamkan azam untuk mendidik bakal zuriat,Insya-Allah jika panjang umur, agar menjadi seorang tahfiz Al-Quran yang berjaya di dunia dan akhirat dan menjadi ummat yang meneruskan perjuangan Baginda Rasulullah S.A.W. Niat ini sudah lama tertanam di hati. Moga menjadi kenyataan. Insya-Allah.


Slot bersama Dr. Amran Mohammad, pemangku Setiausaha ABIM



Terkenang diri sewaktu menghadiri Tamrin Qiyadi Kebangsaan buat kali pertama di Maahad Derang di Kedah, iaitu sewaktu melangkah ke tahun kedua semester pertama di pusat matrikulasi. Betapa tenang suasana di sana dan ia merupakan tempat yang penuh barakah yang berjaya melahirkan ulama'-ulama' pewaris Nabi.

Pengalaman sewaktu menuntut di pusat matrikulasi di Petaling Jaya yang mengajar saya mengenali realiti dunia dan masyarakat sekeliling dengan lebih serius dan menjadi seorang aktivis gerakan, insya-Allah, kerap kali membawa diri kembali kepada janji Allah yang terkandung di dalam Surah Muhammad, Ayat 7, yang kerap kali kita, sebagai seorang dai’e dengar:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong agama Allah nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu."


Sungguh, keyakinan terhadap ayat inilah yang membantu diri menghadapi saat-saat getir sewaktu di matrikulasi. Saat berasa terbeban dengan amanah yang satu ini, diri kembali mengingati janji-janji-Nya. Masakan tidak, sebagai seorang insan biasa yang mendambakan sokongan dan perhatian dari sahabat-sahabat sefikrah, di situ mereka hadir memberi kata-kata semangat yang sungguh diri ini hargai walaupun pada hakikatnya saya tahu akan kenyataannya, cuma sebagai seorang yang masih lagi "muda" dalam mengenali jemaah, sudah pasti mahukan sokongan. Namun, proses pembelajaran itu berterusan sehingga kini dan sehingga saat diri ini dijemput Ilahi. Insya-Allah.

Buat sahabat-sahabat yang tidak hadir, ingin saya khabarkan di sini, banyak perkara yang saya kutip sepanjang tamrin berlangsung. Berbeza dengan Tamrin Qiyadi sebelum ini yang saya sertai. Apa yang menjadi persoalan akhirnya telah terungkai. Senang sekali kita berasa lemah akibat syaitan durjana, namun apabila ruh mengawal akal dan nafsu sudah tentu ketenangan yang kita capai.


sesi Tamrin dijalankan di dalam Perpustakaan Maahad Sofa.



Slot-slot daripada Dr. Amran Mohammad yang merupakan pemangku Setiausaha ABIM dan Saudara Sayed Munawar benar-benar meninggalkan kesan di hati. Agak susah untuk diceritakan dalam entri ini. Apa yang dapat saya katakan bahawa sahabat-sahabat sendiri harus merasainya. Saudara Sayed Munawar ada menegaskan bahawa jika kita merasakan kita dapat memberikan sumbangan yang banyak kepada masyarakat dan Islam dalam gerakan lain silakanlah untuk menyertainya dan meninggalkan gerakan yang sedia ada kerana jemaah yang sedia ada ini (dalam konteks Tamrin ini ialah PKPIM) hanyalah sebagai wadah. Perjuangan adalah demi Islam dan bukannya untuk sesebuah jemaah yang kita intima’. Bagi insan yang masih berkira-kira jemaah yang mana satukah yang ingin disertainya sehingga keluar masuk pelbagai jemaah, isthikharah dan fikirkanlah wadah yang bakal anda sumbangkan tenaga, apa yang telah kita lakukan untuk Islam? Apakah sumbangan kita demi Islam? Apabila pergantungan hanyalah pada Allah dan menjadikan Dia sebagai tempat untuk kita memohon pertolongan, Insya-Allah keputusan yang anda ambil pasti memberi pulangan yang bisa merubah diri anda. Siapa tahu?

Sebagai seorang mahasiswa yang menyertai gerakan dakwah, sudah pasti amalan-amalan kerohanian menjadi asas yang paling penting dalam pembentukan generasi rabbani. Selain menjadikan bahan bacaan yang serius sebagai bacaan utama di samping tidak meninggalkan aspek-aspek kerohanian.

Alhamdulillah, saya sempat membeli buku Seruan Tasawwuf karangan Al-Muhaddith Syed Prof Dr.Sayyid Muhammad Ibn Al Maliki Al Hasani yang diterjemahkan oleh Sheikh Fuad Kamaluddin Al-Maliki. Terpanggil untuk membeli kerana menyedari betapa diri ini jahil akan maksud tasawuf itu sendiri. Malah di dalam gerakan Islam sendiri, tanpa adanya tasawwuf dalam gerakan dakwah, tiada guna berbicara soal ummat dan agenda-agenda lain. Mengapa penting? Saya tidak akan menjawab tetapi cari dan baca sendiri! Yang pasti buku bukan segalanya, mungkin ada sesetengah daripada kita yang terlalu bergantung dengan buku semata-mata, harus diingat kita yang perlu mencari guru dan bukan guru yang mencari kita dan di dalam bab-bab ilmu agama, guru yang mursyid sememangnya guru yang dicari!

Suka benar dengan suasana di madrasah yang mengalunkan zikir dan qasidah, sempat juga saya membeli CD Qasidah Nabawiyyah As-Sofa. Dan sekarang sedang melayannya. Ada juga buku panduan kecil yang disertakan. Harga CD sekali dengan buku kecil RM20. Berbaloi! Sempat juga berbual-bual dengan muslimat-muslimat yang menghadirkan diri pada malam Ahad yang rata-ratanya berumur dalam lingkungan 40 tahun ke atas. Ada yang berumur sekitar 70-an tahun juga hadir. Kata mereka, seminggu sekali ada pengajian kitab di situ. Kesempatan yang ada mereka tidak sia-siakannya. Seronok juga berbual dengan mak cik-mak cik yang berpangkat "Wan" bagi diri saya. Orang Negeri Sembilan panggil nenek mereka dengan panggilan Wan. Saat malam itu akan disimpan rapi di ingatan!

Agak terkilan kerana slot bersama Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin Al-Maliki yang dijadualkan akan membincangkan tentang kepentingan Tasawuf dalam gerakan dakwah pada malam Ahad dibatalkan disebabkan Syeikh Fuad ada urusan lain yang harus beliau utamakan dan digantikan dengan membincangkan isu-isu serius yang melanda masyarakat Islam kini dan cadangan untuk mengatasi perkara-perkara yang diutarakan. Ada hikmahnya, saya sendiri telah membeli bukunya dan baru membacanya petang tadi tetapi hanya baru beberapa helaian kerana mata ini tidak mampu menahan aura mengantuk. Maklumlah, tamrin sebegini waktu yang diperuntukkan untuk tidur hanyalah sedikit. Adat bertamrin.

Namun, diri tetap bersyukur, kerana banyak perkara yang membuka mata dan memberi peluang untuk diri melihat dengan lebih jauh sesuatu isu yang dibincangkan. Kumpulan saya mendapat study case yang membincangkan perihal Sister in Islam. Sememangnya menggerunkan melihat apa yang dibawa mereka, namun langkah-langkah yang dicadangkan untuk jangka masa pendek dan panjang barangkali sememangnya mudah untuk diperkatakan, tetapi usaha untuk melaksanakannya agak payah. Di sinilah amal jama'ie dan budaya kerja terancang sangat diperlukan! Sungguh!

Barangkali ada yang memandang enteng akan isu semasa. Namun, isu semasa yang kerap kali kita dengar melibatkan kita ummat Islam, ummat akhir zaman yang penuh dengan cabaran dan dugaan yang datang silih berganti. Prihatinkah kita dengan isu-isu ummat Islam?

Jangan menganggap diri ini sudah cukup bagus apabila setiap kata yang dituturkan baik-baik belaka. Cuba koreksi diri dan nilailah peribadi kita kerana kita bukan insan kamil. Sudah tentu! Muhasabah diri selalu agar kita tidak menjadi insan yang riak dan takbur dengan apa yang kita miliki.


Amanat daripada Saudara Yusri, Presiden ABIM.



Pelbagai agenda yang dirancang demi mengkader dan seterusnya membimbing mereka ke arah penyebaran risalah Islam yang menjadikan gerakan Islam sebagai wadah. Masalah yang saya hadapi tidak perlu untuk diceritakan, kerana Insya-Allah saya yakin bahawa pergantungan kepada-Nya membawa diri keluar daripada masalah ini. Ditujukan buat sahabat-sahabat seperjuangan agar kuatkan semangat, kerana kita akan diuji bila-bila masa dengan pelbagai bentuk dan apa jua cara sekalipun. Persediaan rapi dari segi rohani, fizikal dan mental sangat diperlukan. Mampukah diri? Kepada diri, jika kau sudah pun meyakini akan janji-janji-Nya, maka teruskan dengan perjuanganmu tanpa mengabaikan pelajaran kerana dakwah dan pelajaran bergerak seiring.

Dalam menjadi seorang pemimpin yang berjaya, kasih sayang dari orang yang kita pimpin harus wujud. Keberkesanan dakwah itu sendiri bermula dengan mahabbah atau kasih sayang yang melibatkan perasaan cinta dan kasih kepada orang-orang lain kerana tidak mahu melihat mereka berada di dalam dunia kesesatan dan kejahilan.

Islam itu sendiri ada daya penariknya, tinggal lagi tugas kita untuk menyampaikannya. Jarang-jarang dalam kalangan kita yang mendekati orang bukan Islam, sedih kerana mereka yang seharusnya kita sampaikan mesej Islam, sayang andai melihat mereka meninggalkan dunia ini tanpa mengenal Islam sebenar. Ya Allah, betapa lemahnya daku! Namun bukan bermakna kita meninggalkan terus insan yang terkapai-kapai yang memerlukan bimbingan. Hakikat di luar sana ramai insan yang kian rosak akhlaknya, Islam yang hakiki sudah bertukar menjadi Islam yang sudah tidak dikenali.

Ya Muqallibal Qulub, Thabit Qulubana 'ala diinika wa'ala To'atik...



SITI FATIMAH KAMARUDDIN

Liberalisasi Bukan Perkara Baru

oleh alifzaimimra Jun 15, 2009 0 comments

Krisis ekonomi yang melanda negara telah memaksa kerajaan menjadi lebih kreatif dan berhikmah dalam mengemukakan penyelesaian kepada permasalahan yang merangkai kepada cabangan permasalahan lain.

Pelbagai usaha telah diambil oleh kerajaan bagi menangani kemeruduman ekonomi negara yang tidak hanya melibatkan gerak kerja segera malah pelan perancangan jangka panjang yang lebih kemas dan berkesan.

Menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 7 bilion bagi membantu menampung keperluan semasa. Walaupun tidak menampakkan kesan yang ketara, namun ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan kesan langsung dan menambah jangka hayat terhadap ekonomi negara.

Langkah susulan kemudiannya diambil menerusi pengumuman Mini Bajet pada 10 Mac 2009 lalu dengan jumlah yang jauh lebih besar iaitu kira-kira RM 60 bilion. Angka tersebut telah memulakan siri polemik baru dalam kalangan rakyat.

Namun, kematangan kerajaan dalam mengurus tekanan sedemikian seharusnya dipuji. Sikap tidak mudah melatah dan berprinsip dalam menemukan keputusan telah membawa negara mengharungi cabaran ini dengan jayanya seperti mana yang pernah kita saksikan semasa kemelesetan ekonomi pada tahun 1997/1998 dahulu.

Selaras dengan konsep kepimpinan ekonomi atau economic leadership yang tidak sama sekali mengkesampingkan usaha kelangsungan pelan ekonomi terdahulu selain kebijaksanaan yang tinggi dalam membaca senario semasa, maka beberapa transformasi khususnya dalam bidang ekonomi telah mula dilaksanakan.

Bermula dengan pengumuman Dasar Liberalisasi Sektor Perkhidmatan oleh YAB Perdana Menteri pada 22 April 2009, negara secara tidak langsung telah meletakkan diri pada posisi yang terbaik dalam mendepani cabaran order baru yang lebih rumit. Bagi menyokong proses transformasi tersebut, kerajaan telah bertindak lebih agresif apabila YAB Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan Dasar Liberalisasi Sektor Kewangan pada 27 Mei 2009. Hal ini bermaksud, dalam tempoh kurang seminggu, kepimpinan kerajaan telah berjaya mengetepikan segala polemik dan permainan politik songsang dengan keberanian memimpin perubahan dalam arus semasa yang kuat menentang.

Usaha murni oleh kerajaan ini sekali lagi telah disalah tafsir. Tuduhan liar yang menganggap ia sebagai usaha terdesak, dan dibuat tanpa penelitian yang menyeluruh telah menyerapi kefahaman sebahagian rakyat. Kebimbangan terhadap survival ekonomi Bumiputera telah dibangkitkan dan dipolemikkan. Persoalannya, apakah ini fakta atau sekadar mainan auta?

Ingin ditegaskan di sini bahawa liberalisasi bukanlah sesuatu yang baru dan asing dalam kepimpinan ekonomi negara. Proses liberalisasi ini merupakan suatu proses jangka panjang yang telah dirangka, dirancang, dan diusahakan sejak pentadbiran terdahulu lagi. Kebijaksanaan mantan Perdana Menteri, Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir bersama-sama kumpulan pemikir dan pelaksananya telah menyediakan asas transformasi yang cukup penting dalam menjayakan proses meliberalisasi dua sektor utama ini. Justeru, sangkaan dan tuduhan meliar yang menganggap ia sebagai tindakan terdesak dan diluar penelitian pihak berkepakaran adalah tidak benar sama sekali.

Liberalisasi dan Wawasan 2020

Pada tahun 1971, bertitik tolak dari memori hitam 13 Mei 1969, kerajaan telah meluluskan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan memangkin pembangunan sosioekonomi khususnya dalam pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Kemudian, pada tahun 1990, Dasar Pembangunan Nasional (DPN) telah diperkenalkan bagi memperkemas dasar yang sedia ada. DPN bertanggungjawab memacu pembangunan yang seimbang dan saksama yang menjadi pemuka kepada dasar liberalisasi yang kita bincangkan.

Pada tahun 1991, Malaysia mengorak langkahnya ke arah negara maju menerusi Dasar Wawasan Negara (DWN) seperti mana yang dihasratkan oleh Wawasan 2020. Konsep yang telah dibentangkan oleh Tun Dr. Mahathir semasa Mesyuarat Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991 itu menggariskan bahawa Malaysia perlu menjadi sebuah negara industri yang benar-benar maju menjelang tahun 2020 mengikut acuan kita sendiri dengan mengambil kira pembangunan yang menyeluruh meliputi aspek ekonomi, politik, sosial, kerohanian, dan kebudayaan.

Antara teras utama DWN adalah menyediakan bangsa Malaysia yang bersatu padu dan berdaya tahan, menggalakkan pewujudan masyarakat yang saksama, mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi, membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan, meningkatkan nilai tambah bagi semua sektor ekonomi, mengoptimumkan daya pemikiran bangsa, mengukuhkan pembangunan sumber manusia, dan meneruskan pembangunan alam sekitar yang mampan.

Selain itu, DWN turut bertujuan mempertingkatkan daya saing negara untuk menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi yang menjadi bukti kukuh bahawa proses liberalisasi yang dilaksanakan pada hari ini merupakan penerusan agenda dan matlamat besar Wawasan 2020.

Bagi memastikan impian ini dapat direalisasikan, tempoh tiga dekad yang diperuntukkan telah dibahagikan kepada tiga fasa utama. Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2, 1991-2000) merupakan fasa pertama ke arah mencapai Wawasan 2020.

Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3, 2001-2010) yang mengambil kira syor yang diperakui oleh Majlis Perunding Ekonomi Negara Kedua (MAPEN II) telah diguna pakai sebagai blue print bagi pembangunan dekad kedua Wawasan 2020 yang turut melibatkan Rancangan Malaysia Kelapan dan Kesembilan.

Suka saya memperincikan bahawa dalam RRJP3, usaha ke arah meliberalisasikan ekonomi negara telah giat dilakukan apabila keutamaan penuh diberikan kepada meningkatkan keutuhan dan daya saing negara. Hal ini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi pada tahap tinggi dapat dikekalkan selaras dengan tuntutan Wawasan 2020.

Bagi memenuhi tuntutan tersebut kerajaan telah berusaha menggalakkan pelaburan swasta, menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI), meneruskan dasar fiskal dan kewangan yang berhemat serta yang lebih penting, memperkukuh sektor perbankan.

Sektor perbankan yang kukuh merupakan pra-syarat bagi pertumbuhan ekonomi yang mampan. Pendekatan yang diambil turut meliputi pengukuhan institusi perbankan, pemantapan rangka kerja pemantauan, dan penekanan kepada disiplin pasaran.

Justeru, Pelan Induk Sektor Kewangan atau Financial Sector Master Plan (FSMP) telah diperkenalkan bagi merangka hala tuju strategik sektor perbankan. RRJP3 telah menyatakan dengan jelas bahawa sektor ini bakal melalui proses liberalisasi secara beransur-ansur dan progresif pada kadar yang selaras dengan rangka kerja institusi dan pemantauan serta keperluan ekonomi supaya sektor kewangan yang cekap dan berdaya saing dapat diwujudkan. Hal ini secara tidak langsung dapat meminimumkan ketidakseimbangan yang bakal berlaku dan kebimbangan terhadap kegagalan persaingan asing baru.

Setelah melalui hampir sedekad RRJP3, maka pelaksanaan berperingkat tersebut sampai kepada pelaksanaan enam teras pakej liberalisasi sektor kewangan seperti mana yang telah diumumkan.

Namun, menyedari kemampuan institusi tempatan yang masih terhad, maka perlu untuk ditekankan bahawa had pegangan ekuiti asing bagi bank perdagangan domestik yang menjadi tumpuan umum tetap kekal pada tahap 30 peratus.

Di samping itu, kebimbangan terhadap lambakan pekerja asing adalah tidak berasas kerana hanya pekerja ekspatriat dalam bidang-bidang kepakaran yang akan menyumbang kepada pembangunan sektor kewangan sahaja yang akan dipertimbangkan untuk diberikan kelonggaran. Ini bermaksud, langkah liberalisasi yang diambil masih di bawah kawalan dan kewarasan kerajaan.

Menangkis Kebimbangan Liberalisasi Sektor Perkhidmatan

Menjelang tahun 2020, nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebenar Malaysia disasarkan berjumlah RM 847 bilion iaitu kira-kira lapan kali ganda berbanding KDNK pada tahun 1990 yang hanya sekitar RM 105 bilion. Selain itu pendapatan per kapita disasarkan kepada RM 21,660.90 yang merupakan empat kali ganda berbanding tahun 1990 iaitu RM 5,854.30. Hal ini bermaksud, kerajaan perlu memastikan pertumbuhan purata KDNK negara sekurang-kurangnya 7 peratus setahun dan pertumbuhan lebih 10 peratus KDNK per kapita bagi merealisasikan maksud tersebut.

Namun, pengumuman Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Suku Pertama 2009 menceritakan episod yang sebaliknya. Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan negatif 6.2 peratus pada suku ini setelah merekodkan pertumbuhan positif selama 29 suku tahunan.

Sektor perkhidmatan yang merekodkan kejatuhan marginal sebanyak negatif 0.1 peratus bagi suku ini berbanding pertumbuhan positif 8.4 peratus pada suku yang sama tahun 2008 merupakan antara penyumbang kepada kemerosotan ini. Walaupun kecil tetapi peratusan yang diwakilinya adalah besar.

Jadual 2: KDNK Pada Harga Malar 2000=100-Suku Tahunan 2007-2009 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa sektor ini dilihat cukup berpengaruh kepada ekonomi negara kerana menyumbang lebih RM 290 bilion iaitu kira-kira 55 peratus kepada nilai KDNK pada tahun 2008. Sektor ini juga mewakili 57 peratus dari jumlah pekerjaan di Malaysia.

Melihat kepentingan sektor ini dalam merangsang pembangunan negara, maka perlu bagi kerajaan mengatur strategi baru agar sumbangannya kepada KDNK dapat ditingkatkan melebihi 60 peratus seperti yang disasarkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3). Oleh iu, keputusan kerajaan untuk meliberalisasikan 27 sub-sektor perkhidmatan secara serta-merta, tanpa sebarang syarat ekuiti dikenakan adalah dialu-alukan.

Secara amnya, penolakan liberalisasi oleh kaum bumiputera adalah disebabkan kebimbangan terhadap penghapusan kuota 30 peratus yang dipertahankan selama ini. Namun, sebanyak mana pun kuota yang diperuntukkan, tetapi jika penyertaan mereka hanya sebagai 'ahli tidur' yang pasif, maka ia tidak akan memberi kesan yang baik kepada mereka dan negara secara keseluruhannya.

Justeru, liberalisasi yang diperkenalkan oleh kerajaan tidak akan sama sekali menyisihkan golongan bumiputera dan industri perkhidmatan tempatan yang berpotensi. Dana sebanyak RM 100 juta telah diperuntukkan bagi membantu memperkukuh industri tempatan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang banyak melibatkan golongan bumiputera dalam menghadapi persekitaran terbuka yang lebih mencabar.

Pada tahun 2008, sektor ini telah mencatatkan jumlah pelaburan melebihi RM 50 bilion dengan 10 peratus lebih tinggi dari sasaran IMP3. Justeru, dengan terlaksananya proses liberalisasi yang dipermudah dengan penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Kelulusan Pelaburan Sektor Perkhidmatan, kerajaan menjangka lebih banyak aliran masuk pelaburan dalam sektor ini.

Negara juga akan membuka pintunya kepada lima firma guaman antarabangsa yang berkepakaran untuk membangunkan bidang kewangan Islam antarabangsa. Kehadiran lebih ramai pakar dari luar akan memberi ruang yang lebih besar kepada warga tempatan untuk mempertingkatkan kemampuan dan pengetahuan mereka khususnya dalam bidang tersebut.

Mengambil kira profil pekerjaan tahun 2008, sekiranya usaha meliberalisasi sektor ini dilakukan dengan berkesan melalui kaedah dan pendekatan yang telah dinyatakan, lalu disokong dengan kemasukan pelaburan yang semakin meningkat, maka ia bukan sahaja mampu menyelesaikan isu pemberhentian pekerja yang menjadi keutamaan kerajaan pada hari ini, malah menyediakan peluang pekerjaan yang lebih tinggi dari segi kualiti dan kuantitinya kepada rakyat Malaysia selaras dengan tujuan asal pelaksanaannya. Hal ini secara tidak langsung akan dapat melonjak status ekonomi kepada berpendapatan tinggi yang sehingga sekarang masih berada di dalam kumpulan Upper Middle Income Trap (UMIT).

Pandangan kritis

Perjanjian Rangka Kerja Asean bagi Perkhidmatan (AFAS) yang telah ditandatangan pada Disember lalu akan mengukuhkan lagi kerjasama liberalisasi perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan menerusi penyatuan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada 2015. Walaupun Malaysia agak terkebelakang berbanding negara-negara anggota yang lain, namun we are still on the right track. Liberalisasi bukan usaha sehari dua, tetapi proses yang memerlukan tempoh yang optimum dengan pelan yang menyeluruh dan berkesan.

Dekan Fakultas Sosial dan Ilmu Politik Universitas Sumatera Utara (USU), Prof. Dr. M. Arif Nasution dalam Seminar "Komunikasi Politik Dalam Pluralisme Untuk Membangun Nasionalisme" menegaskan bahawa liberalisasi tidak seharusnya dilaksanakan sehingga ekonomi negara benar-benar kukuh untuk bersaing dengan negara luar agar tidak menjadi korban kepada penjajahan ekonomi global. Amerika Syarikat (AS) misalnya memerlukan sekurang-kurangnya 100 tahun sebelum membenarkan liberalisasi sepenuhnya.

Justeru, kerajaan diseru mengambil kira saranan Bank Dunia supaya mengimbangi peranan besar mengurus dan memimpin negara dari semua sudut dengan kemampuannya yang agak terhad agar tidak ada yang elemen yang terbiar dan dalam masa yang sama masih mampu fokus kepada matlamat yang telah digariskan.

Selain itu, orientasi baru pembangunan masyarakat yang berteraskan pengetahuan, inovasi dan kreativiti harus dicerna dan dipergiatkan agar negara tidak terus tersisih daripada mendapat faedah besar liberalisasi. Sebagai pemain global yang baik, kita perlu kekal relevan dalam arus perubahan dunia dan mampu mempertahankan legasi kebudayaan dan warisan serta jati diri negara.


ABU QASSIM NOR AZMI
Exco Pendidikan dan Penyelidikan
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)




Alhamdulillah 'ala kulli hal, baru sahaja pulang dari Program Perkampungan Menara Gading Kebangsaan (PMGK) 2009 dengan selamat (5-7 Jun 2009), yang diadakan di UIAM Gombak. Majlis Penutupan sebentar tadi dilaksanakan oleh Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIAM Gombak, Saudara Khairul. Tahniah kepada semua barisan fasilitator dan AJK Pelaksana yang telah menjayakan PMGK pada kali ini. Semoga usaha yang sedikit ini diberkati-Nya dan didoakan semoga para peserta yang terdiri daripada pelajar lepasan SPM/STPM memiliki kesedaran tentang kepentingan menjadi seorang mahasiswa yang berjiwa prihatin yang bukan sahaja bijak dalam bidang akademik tetapi juga bijak dalam menangani masalah ummat yang kian meruncing di akhir zaman ini. Semoga bakal ahasiswa yang lahir dari kancah permasalahan masyarakat ini dapat membantu menyelesaikan masalah ummat dengan segala kudrat yang ada dan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, Insya-Allah.

Sahabat sekalian, usaha dakwah adalah sesuatu yang besar, maka penyatuan semua jemaah menjadi prioriti. Saya sendiri sebagai salah seorang AJK pelaksana, Alhamdulillah mendapat sesuatu yang berharga daripada program ini.



Pada hari yang kedua, iaitu pada malam Sabtu, forum yang bertajuk "Mahasiswa Berjiwa Prihatin" menyaksikan Saudara Jufitri Joha, Pengerusi Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) yang juga selaku exco undang-undang ABIM dan juga Setiausaha Majlis Belia Negeri Sembilan, Saudari Nor Akmariah Abdullah, Presiden Hal Ehwal Siswi (HEWI) PKPIM, dan Saudara Ahmad Fahmi Mohd Samsuddin, Penolong Setiausaha MPP UIAM sebagai panel forum tersebut, manakala Saudara Abdul Halim sebagai moderator. Sejujurnya, saya suka akan perbincangan pada malam tersebut yang memberi tumpuan kepada kehidupan sebagai seorang mahasiswa di universiti yang melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan membantu mereka keluar dari kepompong kejahilan. Kita sudah pasti tidak mahu mahasiswa-mahasiswa yang sedia ada menjadi mahasiswa yang hanya tahu bercakap mengenai akademik sahaja, malah kita juga mahukan mahasiswa yang peka dengan masalah masyarakat dan menjadi suara utama dalam menegakkan isu-isu yang berkaitan dengan isu ummat lebih-lebih lagi isu ummat Islam terutamanya.

Slot sidang pleno yang diadakan pada hari terakhir tidak mungkin saya lepaskan untuk melihat gelagat dan idea para peserta. Masing-masing menampakkan kematangan dalam melontarkan idea-idea bernas walaupun sesekali mereka kekontangan ilham.




Barisan fasilitator dan AJK PMGK kali ini terdiri daripada mahasiswa-mahasiswa dari pelbagai universiti. Jadi, para peserta berpeluang untuk bertanyakan soalan-soalan berkaitan dunia universiti dan menimba pengalaman sebagai persediaan mereka dalam menempuhi dunia kampus akan datang.

Seterusnya, tahniah saya ucapkan kepada semua yang terlibat dan saya berharap agar semua fasilitator dan AJK tidak lupa untuk terus mengikuti perkembangan para peserta atau lebih mesra dipanggil adik-adik ini selepas program. Proses mengkader adik-adik merupakan sesuatu yang amat penting demi kelangsungan gerakan dakwah dan sedikit sebanyak memberi mereka kesedaran akan pentingnya peranan mereka sebagai agen perubah masyarakat lebih-lebih lagi dalam membawa Islam ke peringkat tertinggi.

Saya sendiri memperoleh banyak perkara yang dapat dijadikan pedoman dan nasihat buat diri sendiri. Benar, janji Allah itu pasti, maka yakinlah dengan janji-Nya. Andai di situ ada keyakinan dan pergantungan yang kuat pada Yang Esa disulami dengan usaha dan doa yang berterusan, masa dan saat yang dinantikan pasti akan tiba, Insya-Allah. Zaman mahasiswa yang digunakan dengan bijak dan dipenuhi dengan pencarian ilmu dan seterusnya disampaikan kepada yang lain, pasti akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang, dan tidak lupa juga sebagai saham di akhirat kelak. Insya-Allah.


SITI FATIMAH KAMARUDDIN

Salam'alaik..

Alhamdulillah wa syukurillah..Sabtu yang lepas bersamaan dengan 9 Mei 2009 saya diberi kesempatan oleh-Nya bersama dengan dua orang lagi adik saya untuk hadir ke konvensyen "Berakhirnya Agenda Zionis". Sejujurnya konvensyen tersebut sangat bagus dan alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan. Konvensenyen tersebut dirasmikan oleh Mufti Negeri Perlis, Dr. Juanda Jaya. Syabas kepada Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan dengan kerjasama AMAN Palestin kerana telah berjaya menganjurkan program seumpama ini. Ada yang sehingga beratur dek kerana ingin bertanyakan soalan pada para panel. Malangnya, disebabkan masa tidak mengizinkan hanya beberapa orang sahaja yang dibenarkan untuk bertanya.

Buat sahabat2 yang tidak hadir atas sebab2 tertentu, insyaAllah permintaan kalian akan saya tunaikan dalam entri ini. Tidak banyak yang dapat saya kongsikan. Moga ada manfaatnya. InsyaAllah. Menurut Dr Azzam al-Tamimy, Jordan adalah sebuah negara yang dibina atas sebuah geran yang diterima daripada Britain dan pada tahun 1965, Fatah ditubuhkan untuk membebaskan seluruh Palestin. Ada satu masa, di mana beliau begitu emosi sekali, beliau menyeru kepada kita semua sama-sama bangkit dan berjihad. Tapi, sudah tentu ada sesetengah daripada kita yang tidak mampu untuk pergi ke Palestin dan berjihad bersama-sama. Oleh itu, jihad kita adalah melalui penulisan, ceramah dan berterusan memboikot barangan Yahudi dan apa-apa sahaja yang ada kaitan dengan Israel.

Apabila berbicara soal Hamas, Palestin menyokong segala idea di mana Hamas memperjuangkan hak Palestin untuk membebaskan Bumi Palestin tetapi bukan menyokong pertubuhan tersebut.

Sememangnya pihak Yahudi sendiri mendapat sokongan kuasa-kuasa besar dunia dan tidak dinafikan pengaruh Yahudi sangat kuat. Untuk pengetahuan sahabat semua, sebanyak 530 resolusi PBB yang menyokong Palestin tidak pernah dilaksanakan. Kita dapat lihat PBB sendiri tidak memainkan peranan dalam soal ini dan mungkin barangkali mereka sendiri gerun dengan pihak Yahudi. Siapa tahu. Bayangkanlah, 70% daripada rakyat Palestin adalah pelarian, dan di antara kem-kem pelarian tersebut terdapat di Jordan dan Syria.

Dr Mohsen Salleh, seorang warga Palestin, mengatakan bahawa sekatan di sempadan Rafah merupakan persekongkolan antara Mesir dan Israel. Mengapa kerajaan Mesir sendiri menyekat bantuan untuk disalurkan ke Palestin?

Sejarah Palestin merupakan sejarah jihad untuk mencapai keredhaan Allah. Ibu-ibu di sana merelakan perjuangan anak mereka dan ingin melihat anak-anak mereka syahid di jalan Allah. Subhanallah...

Anak-anak di Palestin bukanlah kanak-kanak biasa seperti di Malaysia kerana sejak dari kecil mereka sudah memahami erti perjuangan. Walaupun batu yang menjadi senjata menentang askar-askar Israel yang kejam, namun mereka tidak pernah berasa gentar malah terus mara untuk melawan mereka. Mereka sedar tentera Israel mempunyai senjata yang lebih canggih, namun semangat jihadlah yang membakar semangat mereka untuk bertindak sedemikian. Bayangkan betapa pengecutnya belia-belia Israel apabila mereka hanya duduk di dalam kereta kebal dek kerana takutkan anak-anak Palestin ini dan ada di antara mereka yang memakai lampin pakai buang kerana takut untuk keluar dari kereta kebal.

Ya Allah betapa hebatnya anak-anak di sana. Tiada lagi zaman kanak-kanak yang indah, semuanya demi mempertahankan tanah Palestin dari genggaman Kafir laknatullah. Kata Dr Mohsin Salleh, "The existence of Israel depends on our backwardness and weaknesses, we should unite with iman and all our strength!"

Kita tanya dan muhasabah diri kita sama ada kita benar-benar mengambil berat akan saudara-saudara kita di sana. Ingin memboikot sedikit pun sudah payah. Adakah produk-produk Israel atau dalam erti kata lain orang Yahudi memberi manfaat pada kita. Mungkin kita tidak dapat lihat kesannya pada jangka masa yg pendek, tapi siapa tahu kesannya pada jangka masa panjang. Mungkin produk mereka ini sebenarnya melemahkan minda orang Islam sendiri. Ya, ini adalah serangan secara halus! Mereka tidak pernah berhenti untuk menghapuskan Islam di muka Bumi ini. Sedarlah wahai sahabat-sahabat, demi Islam marilah sama-sama kita istiqamah dalam memboikot produk-produk Israel. Bayangkanlah seperti kita menembak seorang anak Palestin sekiranya kita membeli produk orang-orang Yahudi yang sememangnya orang yang tidak dapat dipercayai.

Mereka di sana berterusan berjuang, satu gugur dan ada penggantinya. Jika dilihat masih ada lagi ibu-ibu yang mengandung dan melahirkan di saat negara mereka ingin dirampas. Zuriat-zuriat inilah yang bakal memperjuangkan agama Islam dan mempertahankan Masjidil Aqsa daripada cengkaman Yahudi dan insyaAllah mereka bakal menjadi General ummat ini.

Kita di sini begitu selesa dengan makanan yang cukup, tempat tinggal yang begitu selesa sekali dan masih mempunyai masa bergembira dan berseronok bersama keluarga dan sahabat handai. Secebis doa daripada kita semualah yg mereka begitu harapkan. Perasaan pada waktu mengenangkan nasib saudara seakidah di sana tidak dapat saya gambarkan, hanya Allah sahaja yang tahu.

Benar janji Allah adalah pasti. Di saat Islam akan kembali bangkit dan di saat kemunculan Imam Mahdi. Tetapi kita tidak harus menunggu saat itu datang tanpa apa-apa usaha. Kitalah yang merubah segalanya. Mereka yang berada di Palestin khususnya. Isu Palestin ini tidak seharusnya kita hanya sibuk melaungkannya pada masa tertentu, malah kita perlu memberi perhatian secara serius dan mengikuti perkembangan saudara kita di sana. Yang penting sama-sama kita berjihad dalam penulisan, ceramah dan memboikot produk-produk Israel. Doakan mereka dikurniakan semangat juang yang tinggi dan syahid di jalan Allah. InsyaAllah.

Tatkala berbicara mengenai Zionis perasaan yang bercampur baur pasti akan hadir dan sememangnya mereka terlalu kejam dan sangat kejam!

Agenda Zionis pasti akan berakhir!!!!

Allahu akbar!!!!!


SITI FATIMAH KAMARUDDIN

Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta