PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Assalamualaikum. Marhaban ya Ramadhan....wah3...ramadhan kembali!Alhamdulillah kita masih diberi kesempatan untuk merebut pahala yang mencurah-curah di bulan ini...Dikesempatan ini mari kita perhatikan kesalahan-kesalahan yang kita lakukan tanpa kita sedari....apa ya....?

1)sahur dan melewatkah sahur

Hadith dari ‘Amru bin Al-‘Ash
bahwa Rasulullah bersabda: “Perbedaan antara puasa kami dgn puasa ahli kitab adalah makan sahur.”

~ Ada yang menggap sahur itu tak penting. Bersahur sebelum tidur.Sahur ni ibarat jam loceng untuk kita bangun awal solat subuh dan kita dapat solat subuh jemaah. Kalau hari biasa dah tentu lambat bangun. Wah, bayangkan banyak nya pahala kita dapat di pagi-pagi hari tu. Kalau lah kita nampak...Sahur juga penting untuk memberi kita tenaga di sepanjang hari. Dengan tenaga inilah kita boleh melakukan banyak ativiti harian nanti.

2)makan jangan ikut nafsu

~ Bulan ramadhan ni boleh dinamakan juga bulan membazir. Mana tak nya,beli makanan bukan main banyak nya tapi masa berbuka tak larat nak habis. Ingatlah,membazir itu amalan syaitan...syaitan walau pun da kene ikat tapi kita dah terjajah dengan pengaruhnya. Kalau habis pun perut penuh sangat sampai mengganggu konsentrasi ibadah lepas berbuka...bersederhanalah kawan-kawan. Banyak penyakit dating disebab pemakanan kita.

3)berlama-lama dalam masa berbuka

Perasan tak,kita makan lama masa berbuka. Tambah sembang lagi dan makanan yang banyak sebabkan kita solat maghrib lambat sedangkan solat itu lebih utama. Dari nak dapat pahala berbuka dapat pula dosa melewatkan solat. Ala, nak sembang masa lain pun bolah kan..?

4)sibuk dengan benda lain di sepuluh malam terakhir

Di waktu pahala yang melimpah ruah pada 10 hari terakhir ni kita sibuk buat kuih raya, baju raya nak berkemas la, nak sambut malam tujuh likur la dan lain-lain. Sepatutnya gunakan masa ni sebaik mungkin. Yakin kah kita dapat berjumpa dengan ramadhan seterusnya??? Semua ni buat la di siang hari atau yang lebih bagus sebelum puasa. Cuba ubah paradigm kita ni...

5)tetapkan fikiran tidak boleh buat banyak kerja atau aktiviti

~masa dulu Rasullullah SAW dan shbt2 siap berperang lagi masa bulan puasa. Dalam perang Badar umat Islam menang walaupun berpuasa. Kadang-kadang kita yang setkan pemikiran puasa ni penat,lapar dan dahaga. Tak boleh buat banyak aktiviti, nanti penat. Jadi ubah la persepsi tu. Makna kata kita kene lebih bersemanagt masa puasa ni. Di bulan puasa ni la kita nak dapatkan banyak pahala dengan banyak lakukan aktiviti. Tak gitu???

Kesimpulan:

Di bulan ramadhan ni la kita nak tarbiyyah diri dengan pelbagai kebaikan. Syaitan durjana yang menjadi penghalang sebelum ni pun tiada nak ganggu dan hasut kita. Kalau buat jahat tu sebab nafsu kita sendiri la. Kalau kita sendiri tak dapat nak kawal nafsu sendiri siapa lagi...sukala syaitan sebab kita sendiri yang gagal kawal nafsu tanpa perlu mereka hasut...jadi bagaimana??? Bersedia untuk tarbiyyah diri mu???

Menyelami Partisipasi Politik Belia

oleh Permata Tinta PKPIM Ogos 05, 2010 0 comments


Dato' Saifuddin Abdulllah

Pada 4 Julai 2009, genaplah 100 hari saya menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Dalam tempoh itu, tema utama yang saya bincangkan ialah partisipasi belia dalam politik. Antara topik yang sering timbul ialah sokongan belia terhadap BN, Presiden US Barack Obama dan calon Presiden Iran Mir Hossein Mousavi, serta politik kampus.

Perbincangan ini timbul melalui pelbagai cara: dalam mesyuarat, dialog dengan khalayak ramai, diskusi kumpulan kecil, sembang petang yang santai, e-kumpulan, emel, laman web, blog, facebook dan sebagainya.

Di sebalik segala perbincangan tersebut, saya berpendapat bahawa kita belum memahami sepenuhnya realiti sebenar partisipasi politik di kalangan belia. Setakat keputusan satu pilihan raya umum serta kajian dan statistik yang terhad, walaupun ia dapat menerangkan sebahagian daripada apa yang telah berlaku, tetapi ia tidak dapat menerangkan secara tepat akan kedudukan dan realiti sebenar pada masa hadapan.

Bagaimanakah belia kita melihat politik? Bagaimanakah mereka mendekati dan melibatkan diri dalam dunia politik? Di kalangan mereka, kumpulan manakah yang terlibat dalam politik secara aktif? Dan apakah iklim pembelajaran dan struktur peluang yang dapat memupuk partisipasi mereka dalam politik?

Dalam perbincangan tersebut, saya merujuk beberapa buah kajian yang pernah dilakukan di sini, misalnya oleh Merdeka Centre, dan di luar negara, misalnya oleh Spannring R., Ogris G. dan Gaiser W. (Ed), (2008), Youth and Political Participation in Europe.

Kita perlu bermula dengan memahami erti partisipasi. Ia berasal daripada perkataan Latin “pars” yang bermakna “bahagian” dan “capere” yang bermakna “mengambil”. Ia membawa maksud mengambil bahagian, melibatkan atau menceburkan diri dan berkongsi. Partisipasi dipengaruhi oleh, dan juga mempengaruhi, struktur, proses dan sumber tertentu. Matlamat akhirnya ialah perubahan sosial, iaitu melalui dan oleh para pelakunya.

Partisipasi berlaku dalam proses dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas; dalam pelbagai bidang seperti sosial, ekonomi dan politik; dalam pelbagai peringkat seperti individu dan berkumpulan, formal dan tak-formal, tempatan dan kebangsaan serta serantau dan antarabangsa.

Partisipasi politik pula boleh dilihat daripada pelbagai pendekatan dalam teori demokrasi. Antaranya ialah pendekatan realis yang berasaskan perwakilan dan pemerintahan elit demokratik dan melihat demokrasi bukan sebagai pemerintahan oleh rakyat tetapi sebagai pemerintahan oleh politikus yang mendapat persetujuan rakyat. Aktiviti utama partisipasi rakyat ialah pengundian dalam pilihan raya. Selepas itu, rakyat hanya menjadi penonton sahaja.

Sebaliknya, terdapat pula pendekatan normatif yang melihat partisipasi bermatlamat bukan sahaja untuk mempertahankan fungsi institusi demokrasi, tetapi juga untuk memantau perlakuan elit politik. Ia memerlukan partisipasi rakyat yang aktif seperti perbincangan khalayak, keterlibatan dalam proses membuat keputusan dan mengambil tindakan politik, termasuk dalam bentuk demokrasi langsung (direct democracy).

Partisipasi belia mula mendapat pengiktirafan terutamanya sejak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 1985 sebagai Tahun Antarabangsa Untuk Belia, di mana partisipasi menjadi temanya. Sepuluh tahun kemudian, ia mula diiktiraf sebagai mempunyai konotasi politik apabila dokumen PBB, Plan of Action for Youth Programmes for the Year 2000 and Beyond menggunakan frasa “partisipasi penuh dan aktif dalam membuat keputusan”.

Pada masa yang sama, selaku Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia, saya menulis gagasan “penghakupayaan belia” (youth empowerment) yang kemudiannya digunakan dalam Dasar Pembangunan Belia Negara (1997), Program Belia Komanwel (1998) dan Persidangan Pertama Menteri Belia SeDunia (1998).

Ketika menutup rasmi Forum Belia Ke-3 sempena Persidangan Menteri Pelajaran Komanwel Ke-17 di Kuala Lumpur baru-baru ini, saya menggesa ketua-ketua negara anggota pertubuhan itu supaya melipatgandakan penghakupayaan belia sebagai salah satu pendekatan bagi memperkasa partisipasi belia, termasuk dalam politik.

Pra-syarat bagi kefahaman terhadap partisipasi belia dalam politik ialah dengan mengiktiraf tiga permintaan utama belia, iaitu: belia mahu suaranya didengar, belia mahu peranannya diiktiraf, dan belia mahu isu-isunya ditangani dengan cara yang berorientasi mereka.

Selanjutnya, kita perlu menyelami partisipasi politik belia dalam empat keadaan. Pertama, ialah hubungan belia dan politik yang bersifat multi-dimensi. Apakah keadaan sosial dan politik semasa dan setempat serta pandangan belia terhadap politik?

Di sebalik segala faktor yang membentuk sistem politik sedia ada serta hubungan antara politik dan rakyat, yang lazimnya kita fahami, di sana terdapat faktor-faktor yang spesifik yang mempengaruhi pendekatan belia terhadap politik, yang lazimnya kurang kita fahami. Faktor-faktor itu ada kaitannya dengan status mereka sebagai warganegara dan anggota masyarakat serta kedudukan mereka dalam pusingan kehidupan mereka sendiri.

Belia mempunyai ideal dan pengharapan yang amat kompleks dan berbeza-beza antara seorang dengan yang lain. Sebahagian daripada mereka mempunyai perasaan ketidakpuasan, ketidakperluan dan ketidaklibatan yang sebenarnya mencerminkan kelemahan demokrasi moden dan kegagalan kita mengintegrasikan mereka dalam arus perdana masyarakat dan negara.

Kedua, ialah bentuk, makna dan alasan belia untuk berpartisipasi dalam politik. Apakah caranya belia berpartisipasi dengan aktif dalam politik dan bagaimanakah mereka menilai pelbagai bentuk partisipasi politik?

Persepsi mereka mencerminkan imej politik yang dilihatnya dan pengalaman politik yang pernah dilaluinya. Sebahagian daripada mereka pernah melalui pengalaman parti politik tradisional yang lebih menutup daripada membuka ruang untuk pertukaran dan perkongsian idea serta pembentukan komuniti dan budaya politik yang bersih lagi segar.

Kerana itu, ada di antara mereka yang lebih berminat dengan bentuk partisipasi individu, misalnya komunikasi politik (seperti menggunakan IT) dan protes. Mereka hanya taat terhadap nilai-nilai yang dianutinya sendiri sahaja dan tidak mahu tunduk kepada matlamat dan kaedah mana-mana parti atau organisasi. Self-expression dianggapnya sebagai pilihan partisipasi politik yang paling berkesan.

Ketiga, ialah mengenalpasti bagaimana belia belajar tentang partisipasi politik. Apakah peranan dan keberkesanan ibu bapa, rakan sebaya dan pendidikan formal terhadap partisipasi politiknya?

Sistem pendidikan mempunyai impak yang terbesar jika ia benar-benar memberikan ilmu politik serta peluang berpartisipasi dalam proses demokratik melalui kokurikulum yang mantap. Ini termasuk melalui struktur formal seperti pertubuhan dan gerakan pelajar/mahasiswa dan pilihan raya kampus atau struktur tak-formal seperti perbincangan dengan guru/pensyarah dan rakan-rakan. Di samping itu, terdapat juga pembelajaran melalui keanggotaan dalam pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

Dan keempat, ialah kesaksamaan gender, iaitu dari segi partisipasi belia wanita. Adakah belia wanita mempunyai kefahaman dan amalan politik yang sama atau berbeza daripada belia lelaki?

Kita perlu memantau dan menilai pandangan dan pilihan partisipasi belia wanita yang seimbang dengan belia lelaki. Jurang antara partisipasi belia wanita dengan belia lelaki kelihatan semakin kecil, tetapi, fenomena siling kaca dalam parti politik masih besar.

Kesimpulannya, belia mempunyai imaginasi tersendiri terhadap partisipasinya dalam politik. Cara, corak dan citra politiknya mungkin berbeza dengan kita. Kita perlu menyelami minda mereka bukan sahaja untuk memperbaiki kefahaman kita, tetapi lebih penting lagi ialah untuk menghakupayakan mereka agar dapat mengoptimumkan potensi politik mereka.

dipetik dari http://saifuddinabdullah.wordpress.com

SEMINAR BAITUL MAQDIS 2010

oleh Permata Tinta PKPIM Julai 14, 2010 0 comments




Tarikh : 07 – 08 Ogos 2010
Masa : 8.30 pagi – 5.00 ptg
Tempat : Hotel De Palma, Seksyen 19, Shah Alam, Selangor
Anjuran : Persatuan Ulama' Malaysia (PUM)


Beberapa kertas kerja berkaitan akan dibahas dan dibentangkan oleh wakil-wakil
yang terbabit iaitu antaranya:


"Al-Aqsa In Danger"
Dr. Abdallah bin Ma'arof Abed Omar
Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

"Turki Dan Israel"
Prof. Dr. Mohammad Redzuan bin Othman
Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya

"Barat, Negara Arab dan Perang Arab - Israel ke 4"
Prof. Dato' Paduka Mohamad bin Abu Bakar
Jabatan Antarabangsa dan Pengajian Strategi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial,
Universiti Malaya

"Sejarah Kejatuhan Palestin dan Kewujudan Israel"
Dr. Mohd Roslan bin Mohd Nor
Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

"Yahudi dan Bani Israel"
Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri
Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan dan Negeri Terengganu

"Gerakan Ulama Dalam Menangani Isu Palestin"
Al-Fadhil Ustaz Hj. Abdul Ghani bin Samsudin
Sekretariat Himpunan Ulama' Rantau Asia (SHURA)

"Melahirkan Generasi Salahuddin Al-Ayubbi"
Dr. Zainul Rashid bin Zainuddin
Pengerak Aman Palestin

"Masa Depan Baitul Maqdis Berdasarkan Hadith"
Prof. Madya Dr. Fauzi bin Deraman
Jabatan Al-Quran dan Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

"Pengaruh Yahudi Dalam Organisasi Pentadbiran dan Perniagaan"
Prof. Dr. Mohd Nazari bin Ismail
Jabatan Perniagaan Strategi dan Polisi, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan,
Universiti Malaya.

"Tanah Yang Dijanjikan Menurut Kefahaman Yahudi"
Ustaz Mohd Fauzi Zakaria
Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

"Pengalaman Menghadapi Rejim Israel dalam Misi Bantuan Kemanusiaan"
Tuan Hj. Ariffin bin Ismail
(Muslim Care Malaysia)

Sdra Aswad bin Ismail
(Wartawan Astro Awani)



MAKLUMAT PENYERTAAN
Yuran Penyertaan :
Pertubuhan / Agensi/Jabatan : RM200.00
Individu : RM100.00
Pelajar / Mahasiswa (Ijazah Pertama) : RM 50.00

*Kos tidak termasuk penginapan dan pengangkutan

Pendaftaran Penyertaan :

Talian : 03-5512 4300 / 03-5511 4301
Faks : 03-5511 4302
Email : http://groups.yahoo.com/group/pkpimsiber/post
Blog : http://ulamadaily.blogspot.com/

LAPORAN PERJALANAN POGRAM

MAJLIS SAMBUTAN ISRAK MIKRAJ & MALAM MENITI SAAT PEMBEBASAN PALESTIN

09hb Julai 2010 / 27 Rejab 1431H, Masjid Salahuddin al-Ayyubi Taman Melati Gombak


AlhamdulilLah, Majlis Sambutan Israk Mikraj & Malam Meniti Saat Pembebasan Palestin pada 09hb Julai 2010 lalu dapat direalisasikan dengan jayanya. Kami bersyukur kerana diberi nikmat kemudahan oleh Allah untuk menjayakan program ini, malah kami rasa sungguh terharu dengan sambutan daripada warga qaryah dan khalayak yang berpartisipasi pada malam tersebut.

Majlis ini dianjurkan secara bersama oleh Grup Jil Salahuddin al-Ayyubi; sebuah sub-grup daripada Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Alumni Pelajar Islam SBP (APIS) dan telah mendapat sokongan dan kerjasama padu daripada pihak Masjid Salahuddin al-Ayyubi Taman Melati.

Antara objektif dan matlamat penting diadakan majls ini ialah untuk menggerakkan kesedaran dan keprihatinan ummat tentang isu Palestin yang kian meruncing, menyebarkan idea penyatuan ummat melalui faham aqidah ahlus sunnah wal jamaah yang benar, mengiktiraf kelompok agamawan dan ulama` 'amilin yang sebenarnya merupakan satu asset berharga kepada pembentukan generasi Salahuddin yang baharu, merencana misi pembentukan generasi Salahuddin yang baharu secara jawhariy ke arah pembebasan Palestin dan dunia Islam daripada belenggu musuh, merobah kerangka fikir ummat yang selama ini telah diracuni oleh pengaruh sekularisme dan liberalisme, dan mengangkat martabat Ilmu-ilmu Islam yang sejati sebagai katalis kepada pembentukan Generasi Salahuddin.

Program ini mensasarkan ahli jemaah masjid, ahli qaryah, professional, anak muda, mahasiswa dan khalayak awam. Dianggarkan kira-kira lebih 300 orang hadir ke majlis pada malam itu.

Program ini terbahagi kepada dua sesi: sesi satu (1) iaitu sesi ceramah yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Mohd. Nasir Bin Mohd Tap, penyelidik di Akademi Kajian Ketamadunan (AKK) merangkap pensyarah Kolej Dar al-Hikmah, Kajang. Sesi dua (2) pula merupakan perkongsian pengalaman aktivis keamanan sejagat dari Malaysian Relief Agency (MRA), Encik Khairil Anuar Khalid.

Majlis bermula dengan solat Maghrib secara berjemaah di ruang solat utama masjid. Selepas solat, wirid dan doa, program bermula dengan penyerahan majlis oleh Pengerusi Masjid Salahuddin al-ayyubi, Tuan Dato' Abdul Rahim kepada pengerusi majlis. Majlis kemudiaannya diteraju Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh selaku pengerusi majlis malam itu. Selepas sepatah dua kata oleh pengerusi majlis, majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh pimpinan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dr. Mahyudi yang juga merupakan pensyarah UIAM. Dalam ucapannya, beliau mengupas secara ringkas peristiwa besar Israk & Mikraj dari dimensi aqidah, fiqh dan akhlak. Beliau juga menyatakan hasrat untuk bersama membangunkan masyarakat khususnya belia di qaryah Taman Melati berikutan perpindahan Sekretariat ABIM Pusat ke Taman Melati baru-baru ini.

Jemaah yang hadir kemudiannya mendapat suntikan semangat baru daripada sesi ceramah oleh Ustaz Mohd Nasir Mohd Tap. Ceramah beliau bertajuk "Israk Mikraj & Perjuangan Ummat; Rahsia di Sebalik 27 Rejab". Antara intipati penting dalam pengisian oleh Ustaz Nasir ialah tiga syarat utama kemenangan umat sepertimana yang dijanjikan Allah dalam surah al-Anfal; ayat 45-46 dan ini telah dibuktikan oleh para pejuang Agung Islam sepanjang zaman. Syarat pertama, kembali membetulkan kalimah 'La Ilaha IllaLah'. Syarat kedua ialah membanyakkan dzikir kepada Allah baik dengan hati, lidah dan amal perbuatan dan syarat ketiga, sentiasa taat kepada Allah dan Rasul. Beliau kerap kali mengungkap kisah perjuangan generasi JundulLah yang sentiasa berkesinambungan. Sebagai contoh, kejayaan Generasi Salahuddin al-Ayyubi membebaskan Baitul Maqdis adalah kemuncak kepada perjuangan generasi terdahulu dengan tampak jelas pada reformasi pendidikan oleh Imam al-Ghazali, diikuti oleh penekanan disiplin dan tarbiyah diteraju oleh madrasah Syeikh Abdul Qadir Jilani dan madrasah sekitarnya, seterusnya pembentukan generasi Nuruddin Zinki yang akhirnya merintis kewujudan generasi Salahuddin al-Ayyubi.

Selepas pengisian oleh Ustaz Nasir, majlis berhenti seketika untuk solat Isyak secara berjemaah. Seusai solat sunat ba'diyah Isyak, majlis dilangsungkan dengan Persembahan Multimedia sejarah umat Islam yang memukau para jemaah. Persembahan Multimedia disediakan oleh Ketua Grup Salahuddin al-Ayyubi Saudara Zul Amin Ghazali. Seterusnya, perkongsian pengalaman oleh Encik Khairul Anuar Khalid, aktivis kemanusiaan yang pernah melakukan misi kemanusiaan di negara-negara dunia bergolak seperti Bosnia, Selatan Thai, Palestin dan lain-lain. Slide gambar di kawasan bergolak turut ditayangkan. Penerangan beliau begitu teliti dan mendalam, terasa seolah-olah berada di tempat kejadiaan.

Kira-kira pukul 10.30 malam, program sampai ke kemuncaknya. Majlis menjemput Dato Abdul Rahim, Pengerusi Masjid Salahuddin untuk menyampaikan cenderahati kepada para penceramah. Selepas itu, majlis menjemput Exco ABIM Dr. Mahyudi bagi menyampaikan cenderahati kepada pihak masjid. Hadirin seterusnya dijemput menikmati jamuan malam yang disediakan pihak masjid.

Dalam jamuan malam itu, pihak pengajur menyatakan kesediaan bekerjasama dengan pihak masjid bagi membngunkan masyarakat dan ahli qaryah. Program susulan akan dilangsungkan secara bersama pada masa kelak.


Sekian laporan ringkas perjalanan program. Moga ada manfaat untuk kita bersama. Segala yang baik adalah atas kehendak dan nikmat kasih sayang Allah. Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada semua yang terbabit dalam menjayakan program ini terutamanya pihak jawatankuasa Masjid Salahuddin al-Ayyubi, Sdr. Shakir Fahmi (ABIM), Sdr Suhail Ahmad (GPTD), Sdr Raimi (ABIM), Sdr. Zul Amin Ghazali (GPTD-GJSA), Sdri Azimah Mansor (GPTD-GJSA), Sdri Sarah Syafiqah (APIS), sdri Hannan Aqilah (GPTD-GJSA), Sdr Khairul Anuar Musa (PKPIM) dan individu yang tidak termampu untuk disebutkan namanya di sini. Hanya Allah yang bakal mengganjari kalian. Kejayaan hanya semata dari Allah. Allahu Ta'ala A'lam.

Syukran, JazakalLah

Mohd Fazril Saleh
Pengarah Program
Majlis Israk Mikraj & Malam Meniti Saat Pembebasan Palestin


Facilitator Squad Training ...!

oleh Nor Athirah bt Md Sharif Julai 08, 2010 0 comments




... Believe in HIM, Believe in YOURSELF ...














Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta