PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Tazkirah Ramadhan 1

oleh Ilham Nur Ogos 25, 2009

Assalamualaikum w.b.t.

Ramadhan Karim!

Dalam menyingkap ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan, ia mengingatkan kita kepada perkara yang penting dalam menjadi insan yang kamil, iaitu mengawal nafsu dan memartabatkan akal. Nafsu yang merajai diri seringkali membuatkan diri merana tanpa kita sedar. Membawa amanah yang berat ini memang terganggu dengan godaan nafsu yang sentiasa mendorong ke arah kegagalan melaksanakan amanah tersebut.

Nafsu perlu sentiasa dikekang. Nafsu ini menyebabkan kita meletakkan diri di tempat pertama. Dalam menafsiri karamah insaniah, kita sering dikuasai oleh nafsu. Lantas, segala bentuk penafsiran menjurus kepada perkara yang salah.

Kadang kala kita merasakan diri kita sahaja yang benar, dan orang lain salah. Sikap berlapang dada sudah menjadi janggal bagi kita. Kita tidak dapat menerima bahawa mungkin pendapat kita salah, dan pendapat yang lain benar. Lantas kita mencari dalil-dalil yang kononnya akan menjustifikasi tindakan kita. Sedangkan sepatutnya didahulukan berfikir sebelum bertindak, bukan bertindak kemudian baru berfikir.

Itulah permainan kita seharian. Dilayan amarah seperti rakan, dan akal disisihkan. Pada Ramadhan kali ini, semoga kebiasaan itu dibetulkan dan dibiasakan perkara yang betul. Segala yang menjurus ke arah kekuasaan nafsu perlu dihentikan segera. Segala yang menjurus ke arah kebaikan perlu disegerakan. Pendek kata, akal perlu sentiasa peka dalam menilai situasi. Inilah yang membezakan manusia dengan haiwan yang lain. Mudah-mudahan dengan reformasi ini, maka kita akan tampil menjadi insan yang lebih baik, yang mampu membawa perubahan kepada dunia. Semoga Ramadhan ini menjadi Ramadhan yang terbaik untuk kita untuk bekalan di hari muka.



Salam Ramadhan Karim.

“HIDUP BIAR BERJASA”



Amir,

PKPIM-UIAM Kuantan,

Sesi 2009/2010.

0 comments

Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta