PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Perjuangan diteruskan...

oleh safwanmohamad November 23, 2009

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, setelah sekian lama terdiam, akhirnya pena ini kembali bergerak. Jari jemari kembali menari di atas papan kekunci, walaupun tariannya tidak selincah dahulu. Ini mungkin kerana ia sudah terbiasa dengan 'Facebook' yang serba ringkas.

Apapun, ini adalah perjuangan. Apa makna kehidupan tanpa perjuangan. Apalah makna perjuangan tanpa kesusahan. Dan bertitik tolak dari situlah, tulisan ini dibuat. Utusan yang tidak seberapa, tetapi mengharapkan penghadaman dan pemahaman sepenuhnya daripada rakan taulan.

Cuti semester sudahpun bermula. Usrah di kampus menjadi kian longgar. Pimpinan tidak dapat menjalankan usrah dengan penuh. Begitu juga dengan usrah unit. Rata-rata usrah menjadi kosong. Tapi yang tinggal hanyalah pelajar perubatan...

Perlu ada usaha untuk menghidupkan usrah kuliyyah bagi pelajar perubatan. Ini disebabkan oleh sistem yang diguna pakai agak berbeza dengan yang lain. Tidak dilupakan pelajar pergigian. Dunia bukan sahaja memerlukan para doktor dan doktor gigi yang Muslim, tetapi doktor dan doktor gigi yang Muslim dan Mukallaf, yang berjiwa Murabbi dan Muaddib, yang berjiwa pejuang dan mujahid. Ini adalah keperluan dunia sekarang. Usrah perlu dijalankan, tetapi mungkin dengan silibus yang sedikit berlainan daripada biasa.

Baru-baru ini, penulis menghadiri mesyuarat Biro Kesihatan Abim Pusat dan Global Peace Mission Malaysia. Pelbagai program diatur untuk menjayakan misi "mengakar dan merimbun". Misi ini dijana oleh semangat membawa kebaikan ke seluruh alam. Tanpa mengira tempat dan cuaca, misi dikerahkan untuk menyampaikan hasrat murni itu.

Terkini, akan diadakan Program Khatan Perdana di Kuala Lumpur, pada 13 Dis. Selain itu, Bantuan Kesihatan untuk Mangsa Banjir juga akan digerakkan pada 5 Dis, iaitu seminggu sebelumnya. Ini menunjukkan bahawa, dunia amat memerlukan aktivis-aktivis doktor dan doktor gigi. Ia terbina atas jiwa murabbi dan mujahid yang tinggi.

Manakala di Kuantan pula, kita sedang merencana gerak kerja, walaupun terpaksa berhadapan dengan peperiksaan. Seminar Mahasiswa Menggugat, insyaallah akan dianjurkan bersempena Muktamar Kampus kali ke-2. Inilah semangat yang kita mahu tunjukkan, iaitu kita mahu bergerak, berubah daripada keadaan sekarang kepada yang lebih baik.

Bagi mereka yang berada di kampung, selamat bercuti, tetapi janganlah perjuangan ini dihentikan. Bagi mereka yang sedang belajar, selamat belajar, dan teruskan gilap semangat perjuangan. Bagi mereka yang sedang berhadapan dengan peperiksaan, selamat maju jaya, dan jadikanlah semangat perjuangan ini sumber motivasi anda.

Teruskanlah berjuang walau sampai ke saat terakhir... Semoga hidup diberkati..

1 Responses to Perjuangan diteruskan...

  1. alifzaimimra Says:
  2. terima kasih atas peringatan. saya kira ini satu suntikan semangat untuk terus berjuang walaupun sedang bercuti sekarang. syukran jazilan. :)

     

Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta