PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Maal Hijrah dan Kem Mahasiswa Muda

oleh safwanmohamad Disember 17, 2009

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, kerana dengan limpah rahmatNya, hamba dapat merasai kemanisan keimanan ini. Alhamdulillah, dengan taufiq inayahNya, hamba dapat merasai kemanisan hikmah. Alhamdulillah, dengan kuasa iradahNya, hamba dapat merasai kehidupan pada hari ini.

Selawat dan salam ke atas Rasul S.A.W, atas keteguhan dan kekentalan baginda, maka Islam sampai kepada kita pada hari ini.

Maal Hijrah merupakan suatu titik perubahan yang berlaku dalam sirah Nabawiah. Bahkan, ia adalah suatu revolusi yang membuak-buak, yang bermula dari perubahan pemikiran jahiliah kepada pemikiran Islami. Ia adalah suatu penyerahan diri daripada ketuanan kepada kehambaan. Ia adalah suatu tindakan berani yang berisiko, tetapi ditentukan Tuhan bahawa ia adalah tindakan yang benar. Ia adalah ketentuan Tuhan.

Apabila disingkap sejarah sebelum hijrah, maka kita akan dapati bahawa betapa peritnya ummah ketika itu menahan cacian dan tindakan keras musyrikin. Adakah ummah bacul pada ketika itu? Adakah ummah melarikan diri dek tidak tahan menerima kesusahan demi kesusahan?

Bahkan mereka rela untuk disusahkan. Hidup mereka sebenarnya hanyalah untuk menerima apa sahaja yang ditentukan Tuhan. Ketika mereka diperlakukan seperti binatang, ada saja perasaan marah dan geram. Tetapi, bukan perasaan diri yang diutamakan, sebaliknya suruhan dan ajaran Rasulullah dan Tuhan. Selagi tiada arahan dari Rasul, maka mereka tetap akan bertahan. Bahkan ada yang mati. Bukan diri yang difikirkan, tetapi agama dan Tuhan.

Ada ketika ummah merasakan sudah terlalu berat siksaan yang menimpa mereka. Tetapi, Rasul mengingatkan bahawa ummah dahulu lebih berat siksaan yang menimpa mereka. Maka sebenarnya, apabila seseorang memasuki Islam, masukilah dengan sepenuhnya. Serahkanlah diri kepada Tuhan sepenuhnya. Mungkin itulah pengajaran yang paling penting.

Hijrah bukan bermakna bacul, takut, lalu melarikan diri. Ia adalah satu lagi arahan Tuhan. Ia adalah Wahyu yang diturunkan. Maka sebagai hamba, arahan perlu dituruti. Ada kebaikan di sebaliknya.

Dan ternyata, Tuhan ada perancanganNya. Di sebalik Hijrah, ada kemenangan. Hijrah membuka lembaran baru Islam. Membuka lembaran baru sejarah kemanusiaan.

Maka, bersempena Maal Hijrah pada tahun ini, kita adakan Kem Mahasiswa Muda untuk mengambil semangat Hijrah Rasul. Penghijrahan mahasiswa dari alam remaja ke alam dewasa memerlukan suatu keinginan yang kuat untuk berjaya. Ia perlu dimulakan dengan pemahaman yang kukuh tentang keadaan dan keperluan berhijrah. Bahkan ia adalah suatu ketentuan Ilahi, bahawa kita hamba perlu berhijrah dan menurut ketentuan Ilahi. Kita perlu menempuhi alam yang serba mencabar dengan penyerahan diri secara total kepada Ilahi.

Maka inilah matlamat kem ini, iaitu untuk memberikan gambaran Hijrah kepada adik-adik yang baru menjejakkan diri ke UIAM Kuantan. Marilah sama-sama kita menadah telinga dan membuka minda dengan menghadiri kem ini, di samping merasai pengalaman 'adventure' seperti berkayak dan sebagainya.

Akhir kalam, Salam Maal Hijrah!

0 comments

Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta