PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Buka Buku Baru

oleh Permata Tinta PKPIM Disember 31, 2010


Berakhir sudah tahun 2010, bermakna 365 hari sudah dilalaui, masa yang dikurnia Allah tanpa kita sedar dan sering lupa mengucap syukur kerana masih diberi peluang menggunakan nikmatNya yang percuma. Itu fitrah manusia dan gelaran insan itu bermaksud pelupa dalam bahasa arab sudah melambangkan salah satu sifat kita. Dalam buku ‘Islam and Secularism’, Syed Naquib telah menghuraikan manusia yang tidak patuh kepada tujuan asal diciptakan Allah yang menyebabkan mereka berbuat zalim kerana fitrah pelupanya. (30 :30)

Apabila memasuki tahun yang baru, seperti biasa, menjadi ‘adat’ kita untuk merancang azam pada awal tahun dan segala macam rancangan bual bicara, baik di televisyen mahupun radio akan bertanyakan soalan ini dan macam suatu kemestian yang diada-adakan. Bagi saya azam ini penting sebagai sasaran atau tanda aras prestasi kita untuk sepanjang tahun ini dan azam mungkin akan berbeza apabila meningkat tahun. Sebagai contoh, pelajar tingkatan 5 azamnya ingin mencapai keputusan yang cemerlang dalam SPM dan seorang lelaki berumur 26 tahun, sudah bekerjaya dan stabil kewangannya, azamnya pula ingin menamatkan zaman bujangnya. Boleh juga seorang wanita yang sedikit gemuk meletakkan azam untuk menurunkan berat badannya ke tahap yang ideal. Azam atau melalui pendefinisian Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) bermaksud tujuan yang ingin dicapai dan bagi saya membuat azam adalah sesuatu yang penting untuk dibuat sebagai satu tanda aras pencapaian dan gerak kerja kita sepanjang tahun ini.

Namun dalam membuat azam yang baru ada beberapa perkara yang harus diambil perhatian. Salah satunya adalah dengan menyemak azam yang lama dahulu sebelum merencana azam yang baru. Ini penting jika ianya tidak dicapai tahun ini, azam tahun hadapan akan menjadi sia-sia kerana nasibnya bakal sahaja tidak berbeza dengan azam yang lama, hanya menjadi kata-kata di mulut tanpa pernah naik ke akal untuk merencana kerja mencapainya.

Selain itu, azam yang dibuat tidak boleh lari dari misi sebenar manusia yang diturunkan oleh Allah di muka bumiNya ini. Misi 51:56 dan 2:30 dari wahyu Quran itu harus menjadi asas kepada segala macam azam yang ingin dibuat. Sebagai contoh, azam lelaki berumur 26 tahun yang ingin berkahwin itu harus meletakkan perkahwinan itu sebagai satu bentuk ibadah kepadaNya dan perkahwinan itu dibina untuk membentuk keluarga yang boleh menjadi khalifah yang baik di muka bumiNya. Begitu juga azam seorang wanita yang ingin kurus itu harus mereflekkan dengan misi besar hidupnya yang dua itu. Badan yang kurus itu harus diusahakan untuk memudahkan ibadat umum dan khusus sehari-harian.

Di samping itu, apabila kita meletakkan pembinaan tamadun khayra ummah itu sebagai misi besar perjuangan kita, mahu tidak mahu pembinaan azam tahun baru ini harus memikirkan sejauh mana kita sudah berusaha untuk mencapai misi ini. Ibarat berjalan di tepi pantai yang berpasir, bekas tapak kaki dibelakang itu harus dikaji kecacatannya dan diperbetulkan supaya langkah yang seterusnya tidak meninggalkan langkah yang sumbang. Kita harus menyorot segala isu-isu yang berlaku sepanjang tahun ini dalam mengkaji permasalahan masyarakat untuk diperbetulkan kemudian hari. Isu penggunaan kalimah Allah, ketuanan melayu atau Islam, pluralisme, IIF dan sebagainya harus dikaji punca permasalahan berlakunya kekeliruan ini dan bagi saya asas segala permasalahan ini adalah apabila kekeliruan dalam ilmu yang kita pelajari.

Menjadi tanggungjawab bagi yang memahami untuk terus mendalami ilmu yang benar dari guru-guru yang baik supaya kekeliruan dalam ilmu pengetahuan dapat diselesai segera. Ada benarnya ‘vicious cycle’ yang dibuat oleh Syed Naquib al-Attas dan dihurai dengan baik oleh anak muridnya Dr Sani Badron, “ kekeliruan ilmu dan keruntuhan adab menyebabkan para pemimpin yang hakiki tidak lagi dikenal, diakui dan diiktiraf. ini menjelmakan pemimpin yang tidak mempunyai kelayakan dari segi akhlak, akal dan rohaniah. pemimpin-pemimpin sebegini—untuk mengekalkan kuasa mereka—akan meneruskan kekeliruan ilmu dalam masyarakat, keruntuhan adab dan penghasilan pimpinan pelapis sepertinya.”. Oleh itu, harus difikirkan azam bagaimana harus dibentuk untuk menghapuskan kitaran ini.

Konklusinya, ayat Allah 33:72 telah memberitahu bahawa amanat Allah yang pernah ditolak oleh gunung-ganang ini sangatlah berat. Rancang azam tahun ini dengan baik, letakkan gerak kerja tersusun untuk mencapai apa yang dirancang. Benar, mati itu boleh datang bila-bila, azam dan dunia ini akan ditinggalkan serta merta tanpa rasa, namun perancangan dan gerak kerja di dunia yang tersusun ini dibantu oleh azam yang benar diharapkan dapat membantu kita di akhirat kelak mendapat redhaNya. InsyaAllah. Ingat pesan Syeikh Hamza Yusof, “Islam: A Religion of Life, Not Death” dan diakui sendiri oleh ahli falsfah Jerman, Nietzsche, “islam lebih seimbang sikapnya pada dunia berbanding kristian (pada ketika itu),” dan ini adalah ajaran Rasulullah, bersederhanalah.

Wallahua’lam...

oleh : Mohd Arif Alwan b. Khalid

0 comments

Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta