PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Ladang Oh Ladang

oleh Permata Tinta PKPIM Mei 25, 2011


Minggu ini tibalah giliran saya untuk menyumbangkan tulisan bagi dimuatkan ke dalam blog persatuan(baca: gerakan) kami. Secara kebetulan,minggu ini juga merupakan minggu keempat bermakna hampir sebulan saya bersama rakan-rakan menjalani latihan industri atau praktikal untuk tempoh sepuluh minggu.

Dalam masa yang sama,sudah berhari-hari saya memikirkan topik yang sesuai untuk ditulis. Memandangkan kedudukan saya yang hampir setiap minggu di ladang, dengan keletihan yang sering menggigit tubuh, masa yang ada agak terhad untuk menyediakan sebuah artikel. Walaupun demikian, sering saya ingatkan diri sendiri, bagaimana hendak menggerakkan fikiran orang lain jika saya sendiri masih terfikir apa yang hendak disentuh dan dituliskan?

Qazaf : Menjawab Fitnah

Beberapa hari yang lepas, saya telah membeli sebuah

buku yang bertajuk Qazaf: Menjawab Fitnah. Saya tidak berhasrat untuk mengupas isu kandungan buku tersebut. Cuma, ia merupakan tajuk sebuah buku kecil yang diterbitkankan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bertujuan untuk mendidik masyarakat memahami perkara yang sebenar sekaligus menyeru agar menjadikan landasan syara’ sebagai asas dan panduan dalam kehidupan bermasyarakat.



Buku tersebut dengan 121 halaman-alhamdulillah-telah memberikan penjelasan yang terperinci terhadap qazaf(tuduhan zina atau liwat dengan tujuan untuk menghina) dari sudut asas hukum, syarat pembuktian yang sah, serta hukumannya. Jika diteliti hujjah sebgai contoh yang dikemukan oleh Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi,hampir kesemuanya merujuk kepada Al-Quran yang menunjukkan bahawa hukum qazaf adalah sesuatu yang sudah pasti(qat’i) dan dalam hal ini tidak memerlukan hadith Nabi untuk perincian hukum. Firman Allah S.W.t yang bermaksud:

“ Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat saksi, maka 1) sebatlah mereka ( yang menuduh itu ) 80 kali sebatan. Dan 2) janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. 3) Dan mereka itulah orang-orang yang fasik ”. ( An-Nur,24 : 4)

Apa yang perlu difahami dalam hal ini ialah bukan menyiasat pihak tertuduh itu sama ada benar atau salah. Sebaliknya, perkara yang perlu diteliti ialah sama ada berita atau tuduhan itu benar atau palsu. Hal ini selari dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“ Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan, yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu”. (Al-Hujurat, 49 : 6)

Sifirnya mudah sahaja. Jika tidak menepati syarat,bukti yang samar, dan berita yang diragui kebenarannya maka tiada kes yang perlu dibicarakan. Dan kita dengan tegas perlu mengatakan,” Ini adalah suatu berita bohong yang nyata”!( An-Nur, 24 : 12)

Ini tidak benar. Ini cerita rekaan. Berita ini dusta. Realitinya ialah walau siapa pun yang terlibat, sama ada antara pendakwa dan tertuduh, hukumlah dengan alasan yang benar.

Hari ini mungkin ramai orang yang percaya dan terpedaya, namun esok belum tentu orang akan percaya dengan cakap yang serupa. Tipu daya fitnah mungkin memperdayakan sebahagian manusia dalam separuh masa, namun ia tidak akan menipu manusia keseluruhannya buat selama-lamanya.



Demikian juga sejarah kehidupan silam telah membuktikan segala-galanya. Ramai manusia yang diaibkan dengan cara yang hina, namun hidupnya sungguh luar biasa. Masih ingat kisah Nabi Yusuf a.s? Dari pintu penjara angkara fitnah jahat, akhirnya menjadi sang penguasa memerintah rakyat jelata. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“ Dan mereka (semua) tunduk bersujud kepadanya (Yusuf) . Dan dia (Yusuf) berkata, “ Wahai ayahku! Inilah takwil mimpiku yang dahulu itu. Dan sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya kenyataan..” (Yusuf, 12 : 100)

Inilah suasana cemas yang sedang membelenggu masyarakat kita hari ini. Berita palsu yang disebarkan melalui media massa tanpa segan silu dan rakus merobek tembok maruah seorang Muslim tanpa alasan yang dibenarkan menurut hukum syara’. Ironinya, Malaysia adalah sebuah negara yang sering menganjurkan pertandingan tilawah Al-Quran daripada peringkat rendah hinggalah ke peringkat antarabangsa. Malah, turut mengiktiraf kesarjanaan beberapa orang tokoh Islam dengan penganugerahan pingat dan hadiah sebagai tanda pengiktirafan.



Realitinya, penghayatan terhadap isi kandungan Al-Quran dan mengamalkannya sebagai landasan hidup belum menyeluruh dan menyerap dalam batang tubuh kita di sini. Bacaannya sekadar meniti di bibir, namun tidak pada pelaksanaan. Malah, potongan ayat tertentu sahaja yang dipilih untuk menjaga kepentingan diri dan sengaja menafikan kebenaran ayat yang lain secara tidak langsung. Firman Allah S.W.T :

“ Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau sangat menginginkannya ”

( Yusuf, 12 : 103)

Mudah-mudahan Allah S.W.T merahmati kita semua dan dijauhkan daripada segala bencana.

Muhammad Ukasyah Azhari

MARDI Kuala Kangsar,

Kg. Talang Hulu,

Kuala Kangsar,Perak.

24 Mei 2011

7.13 pagi

1 Responses to Ladang Oh Ladang

  1. eifa Says:
  2. tringt kata-kata arif mse usrah dlu,." dunia skrg bkn hanya mencari dan mndptkn mklumat tp MENAPIS mklumat juga"

    alhamdulillah, kita berada dlm gerakan d mna ad shbt2 yg boleh ingatkn kita, tegur kita dn sbgnya..

     

Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta