PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Matlamat Kehidupan...

oleh Permata Tinta PKPIM Jun 12, 2011


Manusia ini manusia punya akal. Kebolehan yang diberikan Allah ini digunakan sebaiknya oleh manusia untuk memikirkan siapa dirinya, dari mana ia dicipta dan untuk apa dia dicipta. Manusia zaman lampau yang tidak dicerahkan dengan wahyu terus mencari makna dirinya. Akhirnya, mereka memutuskan untuk meletakkan kewujuan Tuhan yang merencana semua ini. Dalam ‘Falsafah Ketuhanan’ karya Hamka, kita boleh melihat bagaimana manusia menggunakan akalnya yang terbatas ini untuk mereka-reka Tuhan mereka sendiri kerana fitrah manusia itu sendiri yang inginkan Tuhan (surah ala’raf 7 ; 172). Melihat langit, mereka mendapat inspirasi menjadikan matahari, bulan dan bintang (kadang-kadang hujan) sebagai objek terhebat terus mengangkat menjadi Tuhan. Penat mendongak, dilihat pula pokok-pokok besar dan sungai-sungai yang luas, yang dilihat cukup gah untuk dijadikan objek sembahan. Yang menariknya, terdapat kaum yang melihat kebolehan luar biasa organ pembiakannya sebagai ‘pencetus’ kewujudan bayi, terus menjadikannya sebagai salah satu dari Tuhan. Ia jelas kelihatan ukiran ‘organ’ ini pada kuil-kuil hindu dahulu. (Falsafah Ketuhanan, Hamka)

Hadir Rasul membantu menyelesaikan kekusutan manusia dalam menjawab persoalan tentang dirinya sendiri. Rasul mengenalkan kita dengan kewujudan Allah sebagai Tuhan yang satu yang menciptakan manusia. Rasul juga membantu kita menyelesaikan persoalan kenapa kita diciptakan kerana Allah yang menciptakan kita sahaja yang mengetahui kenapa manusia diciptakanNya (surah al-baqarah 2 ; 30). Lantas, kita boleh membuat kesimpulan, kita yang lemah dengan ilmu yang terbatas harus tunduk kepada tujuaan dan matlamat yang direncanakan Allah yang diajarkan kepada kita melalui wahyu-wahyuNYa.



Syed Naquib Al-attas menggunakan analogi yang cukup baik tentang ‘matlamat’. Matlamat itu ibarat sebuah cahaya di kawasan yang gelap. Cahaya yang cerah dan terang memudahkan kita bergerak ke arahnya. Cahaya yang malap menyukarkan kita bergerak ke arahnya. Begitu juga apabila kita mempunyai terlalu banyak cahaya juga akan mengakibatkan keliru. Keliru dengan terlalu banyak cahaya, akhirnya tidak bergerak. Tuntasnya, matlamat yang baik ibarat cahaya yag hanya satu dan cerah yang memudahkan ‘pencari cahaya’ bergerak ke arahnya.


Jadinya, apa matlamat kita. Islam telah menyelesaikan kekusutan ini dan menggariskan satu matlamat yang cukup jelas dan sesuai dengan fitrah kita.


Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat);

(surah al-Mulk : 2)


Hidup ini ada kematian. Dalam ayat di atas, diletakkan mati dahulu sebelum hidup untuk memberitahu bahawa dalam kehidupan itu kematian. Maka, hidup ini punya keterbatasan dan tidak kekal. Keterbatasan hidup dunia adalah kerana dunia adalah tempat ujian bagi manusia yang mana akhirat adalah hari pembalasan. Makanya matlamat kita akhirat. Jelas bukan.


dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembahKu.

( Surah Az-zariyat : 56)



Ayat ini menjawab dua persoalan besar diri kita. Persoalan siapa yang menciptakan kita dan untuk apa kita diciptakan telah dijawab dalam wahyu Allahu ini. ‘AKU’ dalam ayat itu menunjukkan Allah yang Maha Esa yang menciptakan kita. Dan Dia yang menciptakan kita ini faham matlamat kita di dunia ini iaitu untuk menyembah dan beribadat kepadaNya juga diceritakan dalam ayat ini.


Dari dua ayat ini menjadi cahaya matlamat yang jelas dalam memandu arah hidup ini. Menambah matlamat-matlamat lain seperti harta dunia, pangkat dan kemahsyuran hanya menutup matlamat akhir iaitu kebahagiaan abadi yang kita cari. Dunia adalah ujian Allah menguji tahap pengabdian kita kepadanya dan akhirat itu adalah masa Allah membalas segala pengabdian kita kepadaNya.


Wallahua'lam.

“Hidup tanpa tujuan adalah suatu kepalsuan. Manusia kekosongan tanpa mengetahui apa ingin dicari dalam perjalanan kehidupan. Sedangkan, kematian bukanlah penghujung perjalanan. Maka, sesiapa yang inginkan kehidupan yang sejahtera setelah kematian, hendaklah dia menunaikan tugas kehambaan selagi masih meniti usia kehidupan”

Raja Ahmad Mukhlis

Sumber :

1.Falsafah Ketuhanan. Hamka.

2.Makna Sebuah Kehidupan. Raja Ahmad Mukhlis.


Oleh : Mohd Arif Alwan bin Khalid


0 comments

Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta