PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Himpunan Gerakan Massa 1.0

oleh Permata Tinta PKPIM November 14, 2011

Apakah itu Gerakan Massa? Berdasarkan kamus Dewan edisi ke-4:


Maka, Gerakan Massa boleh diertikan sebagai kegiatan sesuatu kumpulan untuk menyampaikan mesej kepada orang di persekitarannya berdasarkan dasar atau pegangan yang telah mereka tetapkan. Sebagai sebuah persatuan yang dianggotai belia Islam, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang majoriti ahlinya terdiri daripada pelajar IPT, rasa bertanggungjawab untuk kehadapan dalam mendepani isu-isu semasa terutamanya didalam negara bagi mewakli suara mahasiswa. Oleh yang demikian, penggerak bagi gerakan masa ini adalah dipertanggungjawabkan kepada setiap ahli PKPIM dan mahasiswa disebabkan prioriti ilmu yang mereka miliki dan jawatan ‘mahasiswa’ yang mereka sandang untuk dikongsikan ilmu serta pandangan mereka bersama orang lain terutamanya masyarakat umum. Justeru, bertarikh 22-23 October 2011, telah diadakan Himpunan Gerakan Massa di Seketriat PKPIM Pusat.


Aktiviti

Aktiviti dimulakan dengan perkongsian daripada saudara Muhammad Faisal bin Abdul Aziz selaku Penolong Setiausaha Agung ABIM dan Mantan Presiden PKPIM sesi 2010. Beliau memulakan bicaranya dengan berpesan, penggerak massa harus mempunyai kekuatan ukhwah yang tinggi kerana hubungan sesama sahabat dapat membantu dalam memotivasikan diri seseorang untuk terus menyebarkan informasi. Cara paling mudah untuk merapatkan ukhwah adalah sentiasa mendoakan yang terbaik untuk sahabat-sahabat kita.

Orang yang berjaya secara biasa ialah ia berjaya seorang, orang yang berjaya secara luar biasa ialah mereka membawa orang lain juga berjaya. Oleh itu jangan kita saja nak jadi baik oleh itu niat untuk buat orang lain jadi baik- Ustaz Pahrol.


Perjuangan bukanlah sesuatu perkara yang boleh diada-adakan atau dicipta. Perjuangan muncul jika seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dengan rela dan penuh pengorbanan. Tokoh-tokoh Gerakan Massa seperti Mahatma Gandhi, seorang yang kaya raya tetapi berpakaian seperti orang kebayakkan, suaranya didengari dalam memperjuangkan kemerdekaan India suatu ketika dulu. Terkini, Prof. Aziz Bari, atas keberanian beliau berbicara mengenai AUKU suatu ketika dahulu walaupun beliau terikat dengan pihak universiti. Kesan daripada itu, beliau telah mendapat sokongan daripada banyak pihak terutamanya mahasiswa dalam menghadapi isu pergantungan jawatannya.


Saudara Faisal berkongsi lagi, media terbahagi kepada dua iaitu media lama dan media baru. Media lama terdiri daripada surat khabar, televisyen dan radio. Manakala media baru terdiri daripada Facebook, Twitter, blog dan lain-lain. Kedua-dua jenis media ini sama pentingnya. Media baru sangat pantas dalam penyampaian maklumat kesan daripada teknologi semasa. Justeru, semestinya penggerak massa perlu berkemahiran supaya kelebihannya dapat diperolehi semaksima mungkin. Disamping itu, hubungan yang rapat dengan pihak media dan jaringan dengan semua pihak tidak mengira status amat diperlukan. Hal ini kerana, kesahihan sesuatu berita dapat diperolehi dengan lebih cepat disamping dapat memudahkan jalinan usaha sama jika diperlukan kelak.


Zaman era 70-an, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah berjaya melakukan perubahan yang besar pada rakyat Malaysia yang beragama Islam. Kini ABIM telah berada dihati rakyat dan dikenali ramai rentetan daripada isu pemakaian tudung yang diperjuangkan menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia. Pada zaman moden ini, apabila berbicara mengenai kebebasan bersuara, dan kemanusiaan, pasti ia mendapat perhatian ramai. Oleh itu, dalam memilih untuk mengenengahkan sesuatu isu, penggerak massa harus menilai kerelevanan dan tahap konsistensi isu tersebut agar ia boleh diterima rakyat dengan syarat setiap apa yang dilakukan atau dinyatakan wajib berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Sebagai status mahasiswa, penggerak massa perlu menghasilkan isu dan bukan pengguna isu. Untuk memastikan sesuatu isu berjaya dilaksanakan, ia harus direncanakan secara berperingkat-peringkat.


Sesi bersama saudara Faisal diakhiri dengan penekanan tarbiyyah. Tarbiyyah perlu seiring berjalan dengan massa kerana peranan tarbiyyah akan mengukuhkan lagi massa agar perjuangan massa itu sendiri tidak terpesong daripada landasan yang telah dibentuk berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Bagi mendepani dari sekecil-kecil isu hinggalah sebesar-sebesar isu, biarlah ia terjawab berdasarkan sebab dan penyebab selari dengan syariat.


Pada sebelah malam, peserta dibahagikan kepada 2 kumpulan. Setiap Kumpulan perlu menyelesaikan beberapa tugasan iaitu memilih isu yang ingin dibangkitkan, memotong keratan akhbar yang berkaitan isu tersebut, pendokumentasian, membuat penulisan dan ia perlu diterbitkan dimana-mana bahagian penerbitan. Ini adalah pengalaman pertama bagi saya untuk menyiapkan tugasan seperti ini dalam masa 1 jam yang diberikan. Walaupun ia seperti mustahil untuk disiapkan dalam masa yang singkat, namun realitinya ia dapat diselesaikan, berkat kerjasama daripada semua ahli kumpulan dan bantuan daripada senior.


Kemudian aktiviti disambung dengan kembara ke Dataran Merdeka untuk melihat sendiri suasana malam disana dan menyertai “Occupy dataran” yang diketuai oleh Fahmi Reza seorang anak muda yang mempunyai pemikiran yang berbeza dari orang kebanyakkan. Atas sebab keselamatan, hanya peserta lelaki dibenarkan menyertai kembara ini. Kembara bermula pada jam 1030 malam dan selesai pada jam 230 pagi. Pada keesokkan harinya, sedikit perkongsian mengenai pengalaman kembara diceritakan oleh setiap peserta yang berpeluang merasainya. Menurut saudara Afif, Fahmi Reza punya semangat yang tinggi dan jitu. Pada jam 1200, beliau telah membuat Sekolah Demokrasi iaitu beliau akan memberikan ceramah bebas dan sesiapa sahaja boleh mendengarnya. Isi kandungan ceramahnya boleh disalah tafsirkan bagi sesiapa yang mendengar tanpa berfikir. Walaupun pendengarnya tidak seramai mana, namun semangat dan keberaniannya amat luar biasa dalam memperjuangkan ideanya. Anda akan dapat merasai semangatnya jika anda berada di tempat kejadian. Namun, ingin saya tekankan, bukan ideanya yang diutamakan tetapi semangat dan keberaniannya. Semangat dan keberanian seperti itulah yang diperlukan pada setiap ahli PKPIM dan mahasiswa. Ingat! Semangat dan keberanian itu hendaklah berdasarkan rasional dan syariat. Buatlah refleksi seketika. Adakah kita masih ada rasa gentar dan sekelumit ketakutan untuk melontarkan atau bertindak dengan idea kita? Orang lain sudah pasti tidak masuk akal fikirannya tekad dan yakin menyatakan pendirian mereka. Bagaimana kita? Berdiam sahajakah? Yakinlah, kita telah diberi jaminan oleh Rasulullah S.A.W. selagi berpegang teguh pada Al-Quran dan As-sunnah pasti kita berada diatas jalan kebenaran.

Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selepas (berpegang kepada) kedua-duanya: iaitu kitab Allah dan sunnah ku, dan kedua-duanya tidak akan terpisah sehinggalah kedua-duanya datang menemui ku di haud.[ al-Hakim dalam al-Mustadrak (1411 : 1/172). al-Baihaqi dalam “al-Sunan al-Kubra” (1414 : 10/195). Berkata al-Zahani : Bagi hadith ini syahid daripada hadis Abu Hurairah.] Rujukan


Program diakhiri dengan diskusi antara pihak Pusat PKPIM dan Kampus mengenai program-program yang telah dan akan dilaksanakan di kampus masing-masing. Pelbagai idea yang boleh diguna pakai oleh kampus untuk membangunkan lagi gerakan massa.


Konklusi

Himpunan Gerakan Massa 1.0 ini telah banyak memberi saya pencerahan tentang maksud gerakan massa itu sendiri dan kepentingannya. Detik ini, masih ada mahsaiswa lesu dengan isu semasa, bertumpukan pada akademik dan mengenepikan perihal semasa yang berlaku disekeliling. Ya, mungkin perihal dipersekitaran tidak berkaitan dengan kita, namun ia perlu diketahui kerana kitalah yang akan mencorak negara pada masa hadapan. Perkara yang berlaku pada masa ini lambat laun akan menjadi sejarah pada masa hadapan. Setidaknya, pengetahuan pada masa ini dapat membantu kita untuk bertindak dan berfikir dengan lebih matang kelak. Oleh yang demikian, setiap antara kita hendaklan membantu antara satu sama lain untuk menyedarkan rakan-rakan kita betapa pentingnya pegetahuan am dan cakna tentang isu terkini. Kita boleh bermula dengan diskusi bersama rakan-rakan tentang isu-isu nasional sambil-sambil makan pisang goreng berbanding berbual kosong. Pemikiran akan sentiasa bergerak dan sedikit sebanyak akan menjadi lebih matang jika ia berterusan dilakukan. Saya pasti, menteri-menteri tidak punya masa untuk berbual mengenai drama yang mereka tonton kelmarin (barangkali tidak sempat untuk menonton). Bagaimana kita?apa yang kita bualkan sesama rakan kita?Adakah kata yang kita keluarkan itu adalah zikir dan fikir? Atau hero to zero?


Daripada peringkat persatuan, pemahaman dan pemantapan fikiran ahli perlu dipergiatkan agar ahli memahami apa yang persatuan ingin pejuangkan. Peluang-peluang untuk membantu memantapkan idea-idea mereka perlu dicari dan disediakan. Sebagai contoh, usrah merupakan satu metod yang sangat mantap dalam memperkukuh ukhwah sesama ahli dan tarbiyyah diri masing-masing. Disamping itu, elemen gerakan massa boleh diselitkan walau seketika untuk memastikan ahli sentiasa cakna dan sekali gus membantu mereka secara tidak langsung. Provokasi atas keterpaksaan mereka untuk peka dengan isu semasa mampu menaikkan semangat seseorang dan meningkatkan keupayaan diri. Peluang lain perlu sentiasa dicari. Untuk melabel sesuatu isu adalah isu picisan atau tidak, ia mungkin berbeza pandangan bagi setiap individu. Oleh itu, selaras dengan status mahasiswa, perkara yang perlu dibincangkan adalah lebih baik jika bersifat matang, membuka minda, nasional dan bonus jika ia berkaitan global.


Ayuh rakan-rakan semua, mari kita bangkit dan cakna terhadap persekitaran kita. Tingkatkan lagi ilmu didalam diri, tidak kira ilmu yang dipelajari di kelas, ilmu ekonomi, sosial, politik, sirah, feqah dan bermacam jenis ilmu yang harus dipelajari oleh setiap daripada kita. Maksimakan kelebihan diri kita untuk manfaat orang lain. Pendakwah Indonesia Aa Gym berpesan, bermulah dengan 3M: Mulakan dengan diri sendiri, Mulakan dengan perkara kecil, Mulakan dari Sekarang.


Salam Perjuangan

AIMEE JAMIL


0 comments

Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta