PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Mahasiswa Menggugat: Realiti atau Fantasi? (Siri 1)

oleh alifzaimimra Januari 18, 2010

Salam. Pada Sabtu, 9 Januari 2010 yang lepas, telah berlangsung Seminar 'Mahasiswa Menggugat: Realiti atau Fantasi?' di Kuliah Sains, UIAM Kuantan. Seminar ini merupakan anjuran bersama PKPIM, Biro Latihan dan Pendidikan, Persatuan Pelajar Sains (SCIENCESS), dan Facilitator Team (FaciTeam).

Seminar ini juga telah dihadiri oleh pelajar-pelajar IPT sekitar Kuantan seperti IKIP, Shahputra, dan Kolej Profesional Mara.

Salah satu slot pengisian program ialah sesi pembentangan kertas kerja oleh saudara Sayed Munawar, pengacara 'Di Luar Lingkungan' di TV 1.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk hadir ke seminar, berikut ialah lampiran kertas kerja beliau.

'Mahasiswa Menggugat - Realiti atau Fantasi?'
Oleh: Sayed Munawar, Seminar Mahasiswa Menggugat: Realiti atau Fantasi, 090110, UIAM Kuantan


Menjawab persoalan di atas kelihatannya mudah. Ini kerana secara zahirnya gugatan yang tercermin dalam minda massa mempunyai penanda arasnya yang tersendiri yang dikaitkan dengan konteks pengalaman dan sejarah.

Pada umumnya masyarakat Malaysia akan mengukur keberkesanan gerakan mahasiswa dengan dampak yang digambarkan menerusi warisan memori dan koleksi sejarah 'Era 70-an'. Anehnya, koleksi memori ini pula seringkali mempunyai dimensi yang berbilang dan tidak utuh. Ia agak cair dari sudut keutuhan jalan ceritanya. Persepsi yang berbilang ini mungkin disebabkan tiadanya satu kemuncak jelas sementara perjuangannya pula seperti masih berterusan sehingga ke era pasca reformasi. Ia cerita yang masih belum usai.

Di sini saya ingin mengaitkan dengan satu ungkapan bahawa 'Sejarah Adalah Bikinan Orang-orang yang Menang'. Setakat ini memori bangsa Malaysia terhadap gerakan Mahasiswa didefinisikan oleh status quo semasa. Ia kelihatan tidak hebat dan tidak gemilang.


Mahasiswa Menggugat?

Kita harus bermula dengan melihat konteks mahasiswa itu sendiri dan menjawab beberapa persoalan asas. Mengapa dipersoalkan tentang gugatan mahasiswa? Apa pentingnya? Dan apa pentingnya pula mencari jawapan kepada persoalan itu? Dan selepas menjawab, apa pula dampak yang diharapkan?

Dari segi saiz, mahasiswa adalah subset kepada pemain utama dalam institusi penting Negara. Dalam pentas kampus, mahasiswa turut berinteraksi dan bertindak balas dalam forum yang turut digerakkan oleh Akademia dan Pentabdir. Justeru dunia mahasiswa itu sebenarnya dunia akademik yang murni dan tinggi.

Tetapi dalam konteks relevan, keberadaan mahasiswa itu memberikan kesan imperatif yang berbeza pula. Persoalan timbul, apakah dampak yang dibawakan oleh mahasiswa kini dalam konteks kenegaraan? Adakah mereka mempunyai suara dan perwakilan? Bahkan jika mempunyai suara dan perwakilan pun, apakah terdapat dampak perjuangan yang signifikan pula?

Apa yang boleh mahasiswa tawarkan di peringkat Negara dan dunia kini? Jika kita gagal mengesan jawapan yang ampuh, aspek gugatan mahasiswa boleh diabaikan.


Konteks Sosok dan Gugatan dalam Sejarah

Dalam sejarah tamaduh moden, memang terdapat beberapa sosok peribadi pemimpin pelajar yang memberikan dampak yang besar. Kita melihat hukbalahap yang dipelopori Jose Rizal di Filipina, sementara pemikiran baharu dipelopori oleh Syeikh Muhamad Abduh turut memercikkan sinar citra kemerdekaan di Malaysia, kemudian dimensi gerakan Islami yang diperkenalkan oleh Hassan Al-Banna, juga di Mesir. Menyorot sudut dunia yang berbeza pula memperlihatkan bahkan Bolshevik yang didokong oleh pemuda begitu juga dengan revolusi China jua.

Nusantara turut memperlihatkan peranan pemuda seperti kaitannya dengan Omar Said dan dokongan pemuda terhadap MASYUMI, begitu pun di bahagian utara kita melihat golongan muda menolak imuniti raja sehingga wujudnya sistem raja seperti kini di Thailand.

Kesemua ini menampakkan sumbangan pemuda dan sebahagian besarnya adalah kalangan siswa dan siswi dalam konteks lokaliti masing-masing. Ini boleh difahami kerana mahasiswa merupakan kelompok terdidik dan mempunyai pemikiran yang relatifnya lebih tinggi berbanding massa seluruhnya.

Namum begitu, keberadaan mahasiswa dalam konteks gugatan-gugatan di atas turut diperdebatkan. Ini kerana mahasiswa tidak tampil sebagai pemain utama, sebaliknya pendokong sementara sosok kepemimpinnya pula yang sudah melewati batas kemahasiswaan mereka. Justeru wajarkah episod sejarah berkenaan dikaitkan dengan mahasiswa secara langsung atau lebih sesuai dengan golongan ilmuwan dan cerdik pandai?

Persoalan ini harus dijawab kerana dalam konteks semasa, cerdik pandai dan ilmuwan tidak semestinya lahir daripada institusi pengajian tinggi dalam pengertian konvensionalnya semata-mata. Kini terdapat begitu banyak sekali entiti pengajian yang luwes, tidak konvensional, terbuka dan tidak mempunyai ciri-ciri kampus seperti yang lumrah kita fahami kini. Untuk membahaskan ini akan membuka lembaran polemik university vs multiversity. Kritik ilmuwan terhadap kelemahan-kelemahan asas institusi pengajian tinggi telah bermula sejak 70-an dan hingga kini ia masih berterusan.

Sekiranya wujud gugatan semasa didokongi oleh cerdik pandai yang tidak hanya lahir daripada rahim universiti dan kampus, maka memfokuskan gugatan oleh mahasiswa dalam pengertian konvensionalnya mungkin menjadi terlalu kecil dan tidak signifikan lagi. Hari ini golongan cerdik pandai boleh terbit secara tabii dalam ledakan maklumat yang dipercepat oleh teknologi. Malah sesekali kita mendengar kritik bahawa mahasiswa di kampus sudah tercabut daripada akar masyarakat. Mereka hidup dalam cocoon cita-cita individualistik yang kemudiannya mengucar-kacirkan masyarakat yang melabur dalam kepentingan pengajian mereka.

Ertinya, mahasiswa hari bukanlah satu-satunya entiti yang mencirikan golongan cerdik pandai. Oleh itu mengaitkan seolah-olah mereka memberi sumbangan langsung kepada episod sejarah 'gugatan' di atas, adalah terlalu simplistik.





Sudah tergugat? Atau masih kurang 'gigit'nya? Nantikan sambungannya di entri akan datang. ;)

0 comments

Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta