Alhamdulillah 'ala kulli hal, baru sahaja pulang dari Program Perkampungan Menara Gading Kebangsaan (PMGK) 2009 dengan selamat (5-7 Jun 2009), yang diadakan di UIAM Gombak. Majlis Penutupan sebentar tadi dilaksanakan oleh Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIAM Gombak, Saudara Khairul. Tahniah kepada semua barisan fasilitator dan AJK Pelaksana yang telah menjayakan PMGK pada kali ini. Semoga usaha yang sedikit ini diberkati-Nya dan didoakan semoga para peserta yang terdiri daripada pelajar lepasan SPM/STPM memiliki kesedaran tentang kepentingan menjadi seorang mahasiswa yang berjiwa prihatin yang bukan sahaja bijak dalam bidang akademik tetapi juga bijak dalam menangani masalah ummat yang kian meruncing di akhir zaman ini. Semoga bakal ahasiswa yang lahir dari kancah permasalahan masyarakat ini dapat membantu menyelesaikan masalah ummat dengan segala kudrat yang ada dan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, Insya-Allah.
Sahabat sekalian, usaha dakwah adalah sesuatu yang besar, maka penyatuan semua jemaah menjadi prioriti. Saya sendiri sebagai salah seorang AJK pelaksana, Alhamdulillah mendapat sesuatu yang berharga daripada program ini.
Pada hari yang kedua, iaitu pada malam Sabtu, forum yang bertajuk "Mahasiswa Berjiwa Prihatin" menyaksikan Saudara Jufitri Joha, Pengerusi Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) yang juga selaku exco undang-undang ABIM dan juga Setiausaha Majlis Belia Negeri Sembilan, Saudari Nor Akmariah Abdullah, Presiden Hal Ehwal Siswi (HEWI) PKPIM, dan Saudara Ahmad Fahmi Mohd Samsuddin, Penolong Setiausaha MPP UIAM sebagai panel forum tersebut, manakala Saudara Abdul Halim sebagai moderator. Sejujurnya, saya suka akan perbincangan pada malam tersebut yang memberi tumpuan kepada kehidupan sebagai seorang mahasiswa di universiti yang melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan membantu mereka keluar dari kepompong kejahilan. Kita sudah pasti tidak mahu mahasiswa-mahasiswa yang sedia ada menjadi mahasiswa yang hanya tahu bercakap mengenai akademik sahaja, malah kita juga mahukan mahasiswa yang peka dengan masalah masyarakat dan menjadi suara utama dalam menegakkan isu-isu yang berkaitan dengan isu ummat lebih-lebih lagi isu ummat Islam terutamanya.
Slot sidang pleno yang diadakan pada hari terakhir tidak mungkin saya lepaskan untuk melihat gelagat dan idea para peserta. Masing-masing menampakkan kematangan dalam melontarkan idea-idea bernas walaupun sesekali mereka kekontangan ilham.
Barisan fasilitator dan AJK PMGK kali ini terdiri daripada mahasiswa-mahasiswa dari pelbagai universiti. Jadi, para peserta berpeluang untuk bertanyakan soalan-soalan berkaitan dunia universiti dan menimba pengalaman sebagai persediaan mereka dalam menempuhi dunia kampus akan datang.
Seterusnya, tahniah saya ucapkan kepada semua yang terlibat dan saya berharap agar semua fasilitator dan AJK tidak lupa untuk terus mengikuti perkembangan para peserta atau lebih mesra dipanggil adik-adik ini selepas program. Proses mengkader adik-adik merupakan sesuatu yang amat penting demi kelangsungan gerakan dakwah dan sedikit sebanyak memberi mereka kesedaran akan pentingnya peranan mereka sebagai agen perubah masyarakat lebih-lebih lagi dalam membawa Islam ke peringkat tertinggi.
Saya sendiri memperoleh banyak perkara yang dapat dijadikan pedoman dan nasihat buat diri sendiri. Benar, janji Allah itu pasti, maka yakinlah dengan janji-Nya. Andai di situ ada keyakinan dan pergantungan yang kuat pada Yang Esa disulami dengan usaha dan doa yang berterusan, masa dan saat yang dinantikan pasti akan tiba, Insya-Allah. Zaman mahasiswa yang digunakan dengan bijak dan dipenuhi dengan pencarian ilmu dan seterusnya disampaikan kepada yang lain, pasti akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang, dan tidak lupa juga sebagai saham di akhirat kelak. Insya-Allah.
SITI FATIMAH KAMARUDDIN


0 comments