
Berakhir sudah tahun 2010, bermakna 365 hari sudah dilalaui, masa yang dikurnia Allah tanpa kita sedar dan sering lupa mengucap syukur kerana masih diberi peluang menggunakan nikmatNya yang percuma. Itu fitrah manusia dan gelaran insan itu bermaksud pelupa dalam bahasa arab sudah melambangkan salah satu sifat kita. Dalam buku ‘Islam and Secularism’, Syed Naquib telah menghuraikan manusia yang tidak patuh kepada tujuan asal diciptakan Allah yang menyebabkan mereka berbuat zalim kerana fitrah pelupanya. (30 :30)
Apabila memasuki tahun yang baru, seperti biasa, menjadi ‘adat’ kita untuk merancang azam pada awal tahun dan segala macam rancangan bual bicara, baik di televisyen mahupun radio akan bertanyakan soalan ini dan macam suatu kemestian yang diada-adakan. Bagi saya azam ini penting sebagai sasaran atau tanda aras prestasi kita untuk sepanjang tahun ini dan azam mungkin akan berbeza apabila meningkat tahun. Sebagai contoh, pelajar tingkatan 5 azamnya ingin mencapai keputusan yang cemerlang dalam SPM dan seorang lelaki berumur 26 tahun, sudah bekerjaya dan stabil kewangannya, azamnya pula ingin menamatkan zaman bujangnya. Boleh juga seorang wanita yang sedikit gemuk meletakkan azam untuk menurunkan berat badannya ke tahap yang ideal. Azam atau melalui pendefinisian Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) bermaksud tujuan yang ingin dicapai dan bagi saya membuat azam adalah sesuatu yang penting untuk dibuat sebagai satu tanda aras pencapaian dan gerak kerja kita sepanjang tahun ini.
Namun dalam membuat azam yang baru ada beberapa perkara yang harus diambil perhatian. Salah satunya adalah dengan menyemak azam yang lama dahulu sebelum merencana azam yang baru. Ini penting jika ianya tidak dicapai tahun ini, azam tahun hadapan akan menjadi sia-sia kerana nasibnya bakal sahaja tidak berbeza dengan azam yang lama, hanya menjadi kata-kata di mulut tanpa pernah naik ke akal untuk merencana kerja mencapainya.
Selain itu, azam yang dibuat tidak boleh lari dari misi sebenar manusia yang diturunkan oleh Allah di muka bumiNya ini. Misi 51:56 dan 2:30 dari wahyu Quran itu harus menjadi asas kepada segala macam azam yang ingin dibuat. Sebagai contoh, azam lelaki berumur 26 tahun yang ingin berkahwin itu harus meletakkan perkahwinan itu sebagai satu bentuk ibadah kepadaNya dan perkahwinan itu dibina untuk membentuk keluarga yang boleh menjadi khalifah yang baik di muka bumiNya. Begitu juga azam seorang wanita yang ingin kurus itu harus mereflekkan dengan misi besar hidupnya yang dua itu. Badan yang kurus itu harus diusahakan untuk memudahkan ibadat umum dan khusus sehari-harian.
Di samping itu, apabila kita meletakkan pembinaan tamadun khayra ummah itu sebagai misi besar perjuangan kita, mahu tidak mahu pembinaan azam tahun baru ini harus memikirkan sejauh mana kita sudah berusaha untuk mencapai misi ini. Ibarat berjalan di tepi pantai yang berpasir, bekas tapak kaki dibelakang itu harus dikaji kecacatannya dan diperbetulkan supaya langkah yang seterusnya tidak meninggalkan langkah yang sumbang. Kita harus menyorot segala isu-isu yang berlaku sepanjang tahun ini dalam mengkaji permasalahan masyarakat untuk diperbetulkan kemudian hari. Isu penggunaan kalimah Allah, ketuanan melayu atau Islam, pluralisme, IIF dan sebagainya harus dikaji punca permasalahan berlakunya kekeliruan ini dan bagi saya asas segala permasalahan ini adalah apabila kekeliruan dalam ilmu yang kita pelajari.
Menjadi tanggungjawab bagi yang memahami untuk terus mendalami ilmu yang benar dari guru-guru yang baik supaya kekeliruan dalam ilmu pengetahuan dapat diselesai segera. Ada benarnya ‘vicious cycle’ yang dibuat oleh Syed Naquib al-Attas dan dihurai dengan baik oleh anak muridnya Dr Sani Badron, “ kekeliruan ilmu dan keruntuhan adab menyebabkan para pemimpin yang hakiki tidak lagi dikenal, diakui dan diiktiraf. ini menjelmakan pemimpin yang tidak mempunyai kelayakan dari segi akhlak, akal dan rohaniah. pemimpin-pemimpin sebegini—untuk mengekalkan kuasa mereka—akan meneruskan kekeliruan ilmu dalam masyarakat, keruntuhan adab dan penghasilan pimpinan pelapis sepertinya.”. Oleh itu, harus difikirkan azam bagaimana harus dibentuk untuk menghapuskan kitaran ini.
Konklusinya, ayat Allah 33:72 telah memberitahu bahawa amanat Allah yang pernah ditolak oleh gunung-ganang ini sangatlah berat. Rancang azam tahun ini dengan baik, letakkan gerak kerja tersusun untuk mencapai apa yang dirancang. Benar, mati itu boleh datang bila-bila, azam dan dunia ini akan ditinggalkan serta merta tanpa rasa, namun perancangan dan gerak kerja di dunia yang tersusun ini dibantu oleh azam yang benar diharapkan dapat membantu kita di akhirat kelak mendapat redhaNya. InsyaAllah. Ingat pesan Syeikh Hamza Yusof, “Islam: A Religion of Life, Not Death” dan diakui sendiri oleh ahli falsfah Jerman, Nietzsche, “islam lebih seimbang sikapnya pada dunia berbanding kristian (pada ketika itu),” dan ini adalah ajaran Rasulullah, bersederhanalah.
Wallahua’lam...
oleh : Mohd Arif Alwan b. Khalid
Sebagai junjungan besar yang sentiasa diagungkan oleh umat Islam, segala detik peristiwa yang berlaku dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW sentiasa dianggap penting dan bermakna oleh masyarakat Islam.
Nabi Muhammad, bagi mereka bukan manusia biasa yang boleh diletakkan beriringan dengan sosok lain dalam sejarah kemanusiaan. Baginda adalah rasul junjungan dan insan kamil yang diutus Allah SWT bagi menzahirkan kesempurnaan akhlak manusia.
Baginda manusia paling tinggi martabat kerohaniannya dan paling disayangi Allah SWT. Walaupun Baginda seperti manusia lain, hadir dalam latar lingkungan sejarah dan geografi tertentu, peristiwa yang berlaku sepanjang kehidupan Baginda tetap mengungkapkan pengajaran sejagat yang sentiasa abadi dan segar kepada diri setiap Muslim.
Begitu juga peristiwa hijrah yang dilalui Nabi Muhammad SAW. Ia adalah detik perpindahan dakwah Nabi daripada peringkat pertama di Makkah yang penuh mihnah pesona serta cabaran yang amat mencengkam ke tahap mengancam nyawa Baginda sendiri, ke peringkat kedua di Madinah yang lebih meluas ruang dakwahnya serta menjanjikan cahaya kemenangan.
Dari segi pensyariatan agama, hijrah adalah dasawarsa baru dalam pelaksanaan undang-undang agama yang lebih berasaskan muamalah dan kemasyarakatan berbanding peringkat Makkah yang lebih tertumpu kepada pengukuhan akidah serta pandangan alam Islam. Namun, di sebalik dimensi sejarah yang selalu diulang sama ada dalam pengajian sirah atau pada siri ceramah maal hijrah, peristiwa ini sesungguhnya menyampaikan kita kepada beberapa pengajaran lebih mendalam dan amat terkait untuk kehidupan sekarang.
Antara hikmah penting di sebalik peristiwa hijrah yang harus diteladani terutama umat Islam zaman ini yang berdepan pelbagai fitnah dan cabaran ialah gambaran sikap realistik serta kebijaksanaan nabi apabila berdepan cabaran dan ancaman semasa.
Di samping hakikat bahawa Nabi Muhammad SAW ialah insan terpilih dan terbaik di kalangan seluruh makhluk Allah, insan yang mustajab doanya dan dikurnia mukjizat, kehidupan nabi juga seperti manusia lain menurut sunnatullah yang tidak lari daripada cabaran dan pedih getir kehidupan. Dengan kata lain, kehidupan Nabi Muhammad SAW juga terikat dengan batasan manusiawi yang terpaksa melalui pelbagai ranjau perjuangan hidup. Inilah yang terjelma antara lain daripada peristiwa hijrah Baginda apabila sunnatullah mengajar golongan lemah walaupun amat sukar mengalahkan pihak lebih kuat terutama yang mempunyai persediaan.
Sebagai golongan yang baru muncul, kecil jumlahnya dan kurang persiapan, tekanan serta ancaman yang ditujukan kaum Musyrikin di Makkah ternyata terlalu kuat untuk dihadapi Baginda dan umat Muslimin ketika itu. Justeru, perpindahan dari Makkah bagi menyelamatkan golongan Muslimin tidak dapat dielakkan.
Nabi Muhammad SAW perlu mencari ruang dan kekuatan baru di Madinah untuk memperkukuhkan kedudukan agama Islam. Apakah noktah pengajaran yang dapat diambil masyarakat Islam sekarang daripada hakikat hijrah Baginda?
Jika Nabi Muhammad SAW insan terpilih yang dikurniakan Allah SWT pelbagai bentuk mukjizat menyedari hakikat bahawa Baginda harus bertindak berdasarkan waqi’ semasa, berdasarkan kekuatan dan kelemahan manusiawi, umat Islam dewasa ini pasti harus lebih menyedari mengenai waqi’ kehidupan yang melingkungi mereka. Secara umumnya, masyarakat Islam memang berada dalam keadaan lemah. Dilihat dari segi fizikal dan ketenteraan, kekayaan ekonomi, malah kesatuan, mereka agak tertinggal berbanding masyarakat lain terutama Barat.
Namun, ada sekelompok masyarakat Islam yang gagal menyedari hakikat ini lantas bertindak seolah-seolah mereka berada di dalam keadaan yang kuat. Mereka mengambil tindakan di luar batasan waqi’ semasa yang ada pada masyarakat Islam. Ini merujuk tindakan sekelompok umat Islam yang mengebom, menculik serta membunuh membabitkan manusia tidak berdosa yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Kita tidak menafikan sebahagian peristiwa itu adalah tindak balas terhadap tindakan politik yang dilakukan kuasa besar terhadap beberapa negara Islam atau perencanaan pihak tertentu.
Namun, cara bertindak yang dilakukan ternyata tidak menguntungkan masyarakat Islam keseluruhan terutama apabila dilihat dari sudut kekuatan ummah dan kesediaan mereka menghadapi tindakan balas jika berlaku.
Kita lihat sebahagian besar tindakan seperti ini sekadar mengundang tindakan balas lebih buruk kepada masyarakat Islam seperti di Afghanistan dan Iraq. Paling penting tindakan ini turut menggambarkan kerangka pemikiran ekstrem hasil kekeliruan mengenai ajaran Islam.
Di sinilah pentingnya pengajaran peristiwa hijrah yang merakamkan Nabi Muhammad SAW bertindak berdasarkan kekuatan dan kemampuan Baginda apabila mengambil keputusan untuk melakukan hijrah. Dengan kata lain, peristiwa hijrah memberi iktibar bahawa kita harus mengumpul kekuatan dan tidak bertindak menzahirkan kekuatan sebelum masanya, apatah lagi bertindak di luar kebijaksanaan. Sesungguhnya ini antara makna hijrah baru yang harus kita manfaatkan dalam realiti kehidupan sekarang.
Dengan menyedari bahawa umat Islam berada dalam keadaan lemah bukan bermakna kita pasrah dengan keadaan yang ada. Di samping ingatan bahawa umat Islam harus terus memperbaiki kelemahan mereka dan mempersiapkan kekuatan fizikal seperti disaran al-Qur’an, seperkara yang juga penting ialah hakikat kekuatan Islam sebenarnya masih boleh dijelmakan dalam pelbagai dimensi lain.
Misalnya umat Islam masih kuat dan kukuh dari segi kepercayaan agama dan akhlak, terutama dalam menolak fahaman yang bertentangan dengan agama. Berbanding Islam, sebahagian agama lain misalnya, sudah berkompromi dan mengorbankan doktrin agama mereka dengan membuka pintu kepada kemasukan aliran asing seperti sekularisme dan sinkretisme.
Disebabkan kelemahan sistem kepercayaan mereka, agama terbabit mengubah dasar dan kepercayaan bersesuaian dengan ideologi berkenaan. Namun, Islam berkat kekuatan pendidikan agama dan pertahanan ilmiah yang dilakukan ilmuwannya sepanjang zaman masih kukuh bertahan daripada ancaman aliran pemikiran asing.
Kekuatan Islam ini harus dipertahan dan diperkukuhkan melalui pendidikan yang betul tanpa semestinya membabitkan penzahiran dari segi kekuatan fizikal dan ketenteraan. Dari segi strategi, umat Islam memang lemah kekuatan fizikal, seharusnya mereka menumpukan perhatian dalam memperkukuhkan aspek keilmuan dan pendidikan.
Tindakan ini juga adalah jihad besar dan harus dilakukan dengan gigih dan serius, malah ia juga ‘peperangan’ yang membabitkan persediaan kekuatan dari segi intelektual dan keilmuan. Jika kita prihatin terhadap pembunuhan dan serangan ke atas negara Islam oleh kuasa Barat, kita juga harus lebih prihatin terhadap serangan pemikiran asing yang ‘mengorbankan’ dan mengelirukan jutaan masyarakat Islam.
Peperangan inilah yang nampaknya banyak dilupakan sebahagian masyarakat Islam apabila kerangka berfikir mereka amat tertumpu kepada penyelesaian daripada aspek siasah dan ketenteraan. Jika ditinjau dari segi sejarah, aspek inilah yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun. Zat kepada kekuatan Islam, dengan kata lain ialah kekuatan kepercayaan dan keilmuan. Mungkin ini antara makna dan rahsia hijrah yang harus diingatkan kepada masyarakat Islam. Hijrah bukan sekadar berpindah kepada suasana baru, malah juga mengembalikan diri kita kepada suasana yang kita sudah pun berada sebelumnya.
Jika sebelum ini tamadun Islam terletak kepada kekuatan iman dan ilmu, marilah kita berusaha berhijrah dengan mengembalikan kekuatan itu kepada umat Islam.
Artikel oleh : Dr. Mohd Farid Mohd Shahran
Dalam ucaptama Dr Siddiq mengenai Fikrah Harakiyyah semasa Induksi Pelajar Islam yang lalu yang berlangsung di Kolej Dar Hikmah, Kajang, beliau berkata bahawa gerakan kemahasiswaan Islam telah mencipta sejarah penting sepanjang abad ke-20. Peristiwa berkaitan keislaman pada awal dan akhir abad ke-20.
Kemerdekaan sepatutnya menjadi peristiwa ke arah perubahan momentum keislaman masyarakat tapi malangnya kemerdekaan itu langsung tidak memberi sebarang kesedaran dan penghayatan Islam. Hanya kira-kira stau dekad selepas itu barulah timbul gerakan kemahasiswaan yang mendalam dan merata. Gerakan kebangkitan dakwah yang lahir dari kampus-kampus. Pada masa itu kampus yang terawal ialah UM. Cuba kalian amati kembali peristiwa gerakan kemahasiswaan yang muncul dari universiti ini. Di sini dapat dilihat semacam satu proses reislamisasi dalam masyarakat. Alhamdulillah, segalanya diilhamkan oleh Allah s.w.t.
Pada awal tahun 70-an, istilah dakwah begitu popular sehinggalah tersalah konteks. Ada yang begitu ghairah dengan istilah itu sehingga apabila ada yang memakai tudung dikatakan tudung dakwah, memasuki persatuan islam dikatakan sebagai orang dakwah. Kebangkitan dakwah dicetuskan oleh kekuatan kemahasiswaan dan majlis-majlis agama Islam tidak begitu memainkan peranan kerana mereka hanya berpegang pada undang-undang. dan tidak bersifat dinamik. Ini semua diakui oleh Dr. Siddiq sendiri, kerana beliau pernah menjadi ahli majlis agama Negeri Perak selama 10 tahun dan tidak banyak perkara yang boleh dilakukan walaupun pada hakikatnya ada menteri-menteri sebagai ahlinya. Semuanya dicetuskan oleh gerakan kemahasiswaan kepemudaan yang "non-govermental".
Gerakan kita rapat dengan pihak pembangkang dan pihak-pihak lain kerana adanya Fikrah Harakiyyah itu. Organisasi yang bersifat angkatan. Pada awal 70-an PKPIM ditubuhkan hanya untuk menjaga kebajikan pelajar-pelajar Islam dan kemudian baru terbentuk fikrah harakiyyah. Nama "Persatuan" hanya pada nama, nama zaman-zaman dulu, tetapi watak sebenar adalah gerakan itu sendiri. Pada saat ini baru saya terfikir hanya PKPIM yang punya nama persatuan di depannya.
Katanya lagi, pada zaman pemerintahan Dr. Mahathir, segala-galanya mahukan Islam, sampai kemuncaknya apabila beliau mengisythiharkan Malaysia sebagai negara Islam seolah-olah mahu pihak yang satu lagi diam dan "mahu apa lagi", sekarang negara sudah Islam. Sedangkan, pada hakikatnya tidak begitu nampak Islam itu. Apabila dulu istilah Islam Hadhari pula muncul, dan kini adakah masih dilaung-laungkan? Semua itu sekadar retorik. Kini sudah terkubur begitu sahaja. Said Ramadhan Al-Booti berkata Negara Islam dianugerahkn Allah kpd yg melaksanakan printah Allah dgn kesabaran ,tahqiq (diakui kebenarannya setelah dilakukan penelitian) ubudiah, suluk yg soleh dan bukan perancangan semata-mata.
Dr Siddiq menambah lagi bahawa dalam membangkitkan gerakan hujung abad ke -20 perlukan matlamat yang komprehensif/syumul, memperjuangkan pendaulatan Islam yang syamil. Selepas kejelasan matlamat, perlukan kejelasan wasilah yakni wasilah dakwah tanpa kita mengetepikan wasilah-wasilah lain sebagai contoh wasilah politik. Teras amal Islami itu sendiri adalah dakwah dan tarbiyyah manakala politik adalah hal smapingan yang perlu juga diberikan perhatian. Bak kata Dr. Said Ramadhan Al-Booti dalam syarahan perdananya malam tadi, politik amat penting tetapi biarlah ahlinya dari tarbiyah Islam.
Katanya lagi, amal Islami teras dalam gerakan kita dan bukan politik. Kita seharusnya sensitif dan responsif dengan keadaan sekeliling. Sebagai sebuah gerakan, ingin berubah perlu bersifat massa/jamahirriyyah. Membawa mesej-mesej Islam atau kebaikan sehingga ke daerah-daerah pedalaman dan tidak berlegar hanya di kalangan elit sahaja. Contoh terbaik adalah dakwah Nabi kita yang melata dan tidak fokus hanya kepada kaum Quraisy. Orang yang boleh menyampaikan adalah orang yang tahu bahasa jika tidak, tidak akan ada penyambung.
Gerakan dinamik hanya akan berlaku jika ada perkaderan dan bukan hanya sekadar berusrah. Tertarik dengan kata-kata beliau mengenai tidak ada pemisah zaman antara keislaman dengan partisipasi. Sebagai contoh Umar al-Khattab yang baru shaja memeluk Islam terus berjuang untuk Islam pada keesokan harinya, tiada alasan. Adakah kita seperti itu? Saya kira kita sendiri punya banyak alasan berbanding dengan kader-kader Rasulullah yang bersimbah darah dan keringat, namun tetap terus bangkit berjuang. Kita demam sedikit, sakit sedikit, sibuk dengan anak-anak dan isteri sudah keluarkan pelbagai alasan. Allah, malu rasanya. Kader-kader Nabi sangat tabah walaupun badan penuh dengan luka.
Katanya lagi, kita perlu mempersiapkan minda andai ianya terjadi kepada kita, maka kita perlu siap untuk menghadapinya. Mohon kekuatan dari Yang Maha Satu. Betapa pentingnya untuk kita tidak hanya berlegar-legar di kalangan kita. Gerakan massa harus mendekati masyarakat, faham dan kenal masyarakat dan barulah proses pengislahan itu berlaku. Teruskan berdoa agar Allah kuatkan kita di jalan-Nya dan diberi kekuatan untuk meneruskan segala perancangan lillahita'ala. Demi ummat dan agama tercinta.
Ya muqallibal qulub Thabit Qulubana 'ala Diinik wa'ala To'atik. Ameen Ya Rabb!
“Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan agar aku dapat berbuat kebajikan yang Engkau redhai, dan berilah aku kebaikan yang akan mengalir sampai ke anak cucuku. Sungguh, aku bertaubat kepada Engkau dan sungguh aku orang Muslim”
(46:15)
Assalamualaikum sahabat-sahabat sekalian.
Syukur alhamdulillah kita masih dapat menghirup udara segar kurniaan Ilahi dan masih dapat meraikan Aidil Fitri dengan serba cukup serta aman damai.
Di kesempatan Syawal ini,biro Perhubungan dan Kebajikan PKPIM UIAM Kuantan telah cuba sedaya upaya untuk merancang program Konvoi Raya PKPIM UIAM Kuantan di mana kita akan bersama-sama menziarahi rumah-rumah sahabat-sahabat PKPIM,ABIM dan WADAH yang tinggal di sekitar Kuantan. Seperti yang semua sudah sedia maklum, tarikh yang telah ditetapkan ialah 25hb September 2010. Namun, ada sedikit masalah yang dihadapi, hanya sebuah sahaja rumah yang akan kita ziarahi pada hari tersebut iaitu rumah sahabat PKPIM kita, cik Imtinan bt Baharudin. Malang sekali sahabat-sahabat yang lain tak dapat mengadakan rumah terbuka pada tarikh Konvoi Raya ni.
Tapi, jangan sedih. Masih ada sahabat ABIM dan WADAH kita yang masih mengadakan rumah terbuka cuma pada hari yang lain. Sahabat-sahabat sekalian dijemput untuk hadir ke rumah terbuka mereka pada hari dan waktu seperti berikut :
25 Sept 2010(Sabtu)...sekitar Rompin
- rumah Ustaz Rasyid
- rumah Abang Hisyam
*sesiapa yang berminat, sila hubungi Abang Mahadi (0169808625) untuk sama berkonvoi dengan Abg Mahadi ke Rompin, bertolak jam 11 pagi.
26 Sept 2010(Ahad)...sekitar Kuantan
- rumah Abang Hisham (ABIM Pahang)..majlis bermula jam 5ptg
- rumah Ustaz Alias (WADAH)..majlis bermula malam
Sebarang kesuliatan amat dikesali.
Semoga banyak manfaat yang kita dapat, insyAllah.
Wassalam
“Wahai orang-orang yang beriman,diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu,moga-moga kamu bertaqwa”.(Al-Baqarah,2:183)
Ramai orang telah bercakap tentang kelebihan Ramadhan.Sama ada dari sudut kesihatan atau pun ganjaran yang dijanjikan oleh Allah ‘azzawajalla.Namun,perkara yang perlu diberi perhatian ialah sejauh mana ibadah yang dilakukan terutama yang dikhususkan sepanjang Ramadhan itu,bertepatan dengan kadar yang dituntut.Semua ini berbalik kepada kesungguhan kita untuk mencari ilmu.Sudah semestinya cara pelaksanaan ibadah kita ketika masih kecil berbeza dengan umur kita sekarang.Kita tidak mahu hanya bersemangat mengerjakan ibadah,tetapi jahil dan tidak menepati perintah Allah dan Rasul.
Jalan Pulang Ke Pangkuan Tuhan
Dalam pada itu,antara nikmat yang dikurniakan ialah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu dengan syarat puasa itu ditunaikan dengan penuh keimanan dan keazaman.Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata,Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda(maksudnya):
“Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh,Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu,dan barangsiapa yang besolat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan bersungguh-sungguh,Allah mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”.(Shahih Muslim-hadith no 760).
Bukankah diampunkan dosa yang telah lalu itu satu peluang yang tidak patut disia-siakan ? Ayuh!Kita isi Ramadhan kali ini dengan penuh kesungguhan.Siapa tahu,mungkin pada tahun yang akan datang kita tidak lagi berpeluang bertemu dengan Ramadhan.Andai tahun lalu kita hanya sekadar cukup makan,maka ambillah peluang yang ada pada kali ini untuk benar-benar menghayati semangat Ramadhan.
Dataran Ramadhan adalah lapangan yang terlalu luas untuk insan mendidik,membentuk dan memperbaiki diri.Gunakanlah tempoh selama sebulan ini untuk kembali menilai ketaatan diri kepada Tuhan.Apakah selama ini kita ikhlas mengabdikan diri kepada-NYA?Mungkin kita telah terlanjur dalam banyak perkara tanpa disedari.Namun,jalan pulang ke pangkuan Tuhan tetap terbuka untuk insan yang ingin kembali kepada-NYA.Selamat menyambut Ramadhan!.



