PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Berhentilah membenci, mari kita cari solusi.

oleh alifzaimimra April 19, 2010 2 comments

Salam...


Bayangkan..
andai kamu seorang budak..
kamu dipijak..
kamu disepak..
kamu ditampar..
kamu dipukul..
kamu diterajang..
kamu dihentak..

Sakit tak?



Bayangkan pula..

Andai kamu seorang bayi,
yang sangat comel lagi tembam,
yang buat orang geram melihat sampai mahu aja dicubit pipi yang gebu itu..

ditinggalkan keseorangan di depan pintu rumah orang..
dibiarkan menangis di atas tangga masjid..
diletakkan di dalam kotak kosong..
dibungkus di dalam beg plastik hitam..

Bayangkan..
dalam keseorangan..
kamu dibiar kesejukan..
lalu digigit semut..
dimamah pula anjing yang kelaparan akan tangan kamu yang gemuk itu..

Takpun..
kamu dibakar..


Apa perasaan kamu?


Sedih?


Kamu tahu ke sedih?


Kamu kan masih bayi. Belum kenal Dunia. :)





Comel 'kan dia?


Saya tahu. :)



*******




Adik, ketahuilah bahawa persetubuhan di luar nikah itu adalah salah. Tuhan kita Yang Satu itu sudah berpesan, "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." (surah al-Isra', ayat 32)

Ketahuilah bahawa zina itu bukan sahaja persetubuhan di luar nikah. Hubungan intim di luar nikah juga sebahagian daripada zina.

Wahai kawan-kawan, berhentilah mengeji, mengata dan menyampah dengan mereka yang terlibat. Apa kamu tau situasi sebenar mereka sampai mereka layak dikeji? Layakkah mereka dikeji? Layakkah kamu untuk mengeji?

Berhentilah mengeji. Berhentilah membenci. Mari kita sama-sama cari solusi.


Boleh, kan?





:)


luahan hati hasil respon kepada 'Persidangan Meja Bulat: Isu Pembuangan Bayi' anjuran Majlis HEWI PKPIM.

Untung Melihat Langit

oleh alifzaimimra April 05, 2010 2 comments

Salam semua..

Disebutkan bahawa memandang langit itu ada 10 macam keuntungan:

1) mengurangkan berbagai keinginan
2) meminimumkan perasaan gelisah
3) menghilangkan rasa takut
4) mengingatkan diri kepada Allah, Pemilik 'Alam
5) menimbulkan rasa keagungan Allah di dalam hati
6) menghilangkan fikiran-fikiran yang kotor
7) bermanfaat bagi orang yang berada dalam kesedihan
8) menghiburkan orang-orang yang sedang rindu
9) menjinakkan orang-orang yang sedang mabuk cinta
10) satu cara untuk dikabulkannya permohonan orang-orang yang berdoa


Sumber: Mendekatkan Diri Kepada Allah Bersama Alam Semesta oleh Imam Al-Ghazali, terjemahan Dedy Rahmad









Nikmat oh Nikmat...!

oleh Nor Athirah bt Md Sharif Mac 18, 2010 0 comments


SETIAP insan ingin kehidupan terbaik. Nikmat kesihatan, masa lapang serta seluruh pancaindera yang berfungsi adalah anugerah tidak ternilai dan terbayar dengan wang ringgit. Tanya sesiapa yang sakit, apa yang mereka mahu selain sihat? Tanya kepada yang sibuk, apa yang mereka mahu selain waktu lapang? Tanya juga pada yang buta, apa yang mereka mahu selain melihat? Tentu setiap keinginan manusia bersebab, begitulah juga dengan pemberian Allah.

Jika Allah belum berkehendakkan kita mengecapi, pasti ada alasan tidak mampu kita fahami melainkan kita harus tetap bersyukur seadanya kerana perancangan-Nya adalah yang terbaik dan hikmahnya kita sedari selepas segalanya Dia suratkan. Waktu itulah kita mengerti Allah menyayangi hamba-Nya yang dipilih merasai dunia, diberi kenikmatan sebegitu rupa hingga kadangkala ada yang lalai dan tamak haloba, lupa mengucap syukur malah mencabar pula kekuasaan-Nya.

Dalam surah An-Nahl: 114 Allah berfirman maksudnya: “Dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata”. Syukur adalah tanda berterima kasih kepada Allah atas kurniaan nikmat kepada hamba-Nya. Sebab itu, tiada orang yang bersyukur kepada orang lain melainkan Allah saja. Antara sesama manusia, kita sekadar mengucapkan terima kasih sebagai tanda penghargaan kerana tiada manusia mampu memberi nikmat dan kebaikan kepada manusia lain kecuali sebagai penyampai saja.

Syukur juga adalah sebagai pujian dan ingatan. Ia direalisasikan dengan mengerjakan suruhan dan menjauhi larangan Allah. Melalui hati, kita bersyukur dengan mengakui dan meyakini sepenuhnya bahawa segala nikmat yang diperoleh dan dikecapi adalah daripada Allah semata-mata, bukan kerana nasib baik atau secara kebetulan.

Sungguhpun begitu, jika ditakdirkan satu hari nanti tiada lagi orang yang bersyukur, pasti akan ada balasan terhadap seluruh umat manusia kerana dalam Al-Quran ada peringatan seperti yang pernah berlaku kepada umat terdahulu.

Antaranya ialah kisah Qabilah Saba’, seperti dirakamkan Allah dalam surah Saba’: 19 bermaksud: “Maka kemakmuran dan kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur lalu berkata: Wahai Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami di antara sebuah bandar dengan yang lain, dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri, lalu Kami jadikan mereka buah mulut orang ramai, serta Kami pecah-belahkan mereka berkecai-kecai. Sesungguhnya kisah mereka yang tersebut mengandungi tanda-tanda yang besar pengajarannya bagi tiap-tiap seorang mukmin yang sentiasa bersikap sabar lagi sentiasa bersyukur”.

Bencana diturunkan Allah adalah peringatan terhadap perbuatan sombong dan sikap manusia yang tidak taat kepada perintah-Nya serta lupa akan kebesaran-Nya yang berkuasa atas semua penghuni langit dan bumi. Ia juga adalah sebagai iktibar terhadap orang yang berfikir, bahawa segala kekuasaan dan kekayaan yang dikecapi di dunia ini adalah sementara sifatnya dan bila-bila masa boleh diambil kembali pemiliknya jika nikmat yang diperoleh tidak dipergunakan sebaik-baiknya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”. (Surah Ibrahim: 7)

Kita dapat lihat realiti kehidupan umat Islam yang diberi segala kemewahan dan sumber kekayaan oleh Allah untuk dikecapi dengan sebaik-baiknya. Maksiat, pembohongan, menolak hukum agama, kezaliman dan fitnah yang dilempar terhadap umat Islam untuk menghancurkan umatnya adalah antara petaka yang berlaku terhadap umat Muhammad di akhir zaman ini.

Bahkan ia memudahkan urusan ibadat dan muamalat kerana kesenangan hidup memungkinkan umat Islam menjalankan tanggungjawab sebagai hamba dengan lebih baik. Tetapi bukan sedikit nikmat yang pernah dikurniakan diambil kembali sehingga terdapat umat Islam hari ini yang mengemis di tanah air sendiri.

Sesungguhnya segala bala bencana di bumi disebabkan perbuatan manusia sendiri yang tidak tahu diuntung apabila dilimpahi kesenangan. Maksiat, pembohongan, menolak hukum agama, kezaliman dan fitnah yang dilempar terhadap umat Islam untuk menghancurkan umatnya adalah antara petaka yang berlaku terhadap umat Muhammad di akhir zaman ini. Dalam (Surah Ar-Ruum: 41) Allah berfirman bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia.

Timbulnya yang demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat."

10 Tokoh Sarjana Islam Paling Berpengaruh

oleh Ilham Nur Februari 11, 2010 0 comments

Membaca biografi tokoh-tokoh besar boleh merangsang motivasi kita untuk menuruti jejak-jejak yang telah ditinggalkan figur-figur tersebut. Buku tulisan Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali, seorang pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan penasihat di Future Global Network  merupakan salah sebuah tulisan yang termasuk dalam kategori penulisan yang menginspirasikan.

Sebagai contoh pada muka surat 151 dan 152, pengarang buku ini memperihalkan bapa Dr. Wahbah al-Zuhayli (dalam bab Dr. Wahbah al-Zuhayli - Mufassir dan Ahli Fiqh Terkenal Abad ini - al-Sayuthi al-Thani), salah seorang ulama' kontemporari kelahiran Syria yang membuatkan saya berfikir dalam-dalam, membandingkannya dengan kehidupan yang sedang jalani.

Bapanya Haji Mustafa al-Zuhayli adalah seorang yang terkenal sebagai orang soleh dan takwa. Beliau bekerja sebagai petani dan peniaga. Beliau sentiasa memberi semangat kepada anak-anaknya menuntut ilmu. Bapanya seorang hafiz yang sentiasa membaca al-Quran pada setiap malam dari jam dua pagi sehingga terbit fajar. Ibunya bernama Hajah Fatimah bin Mustafa Sa'adah, seorang yang kuat berpegang pada ajaran agama. Beliau meninggal dunia pada 13 Mac 1984. (m/s 191 - 192)

SubhanALLAH, betapa membaca perenggan ini membuatkan kita merumuskan kepentingan keperibadian ibu bapa memainkan peranan dalam mencorak peribadi anak-anak. Contoh lain yang boleh didapati dalam buku ini berkenaan peranan ibu bapa dalam pembentukan anak-anak dapat dilihat dalam kisah Syeikh Muhammad al-Mutawalli al-Sya'rawi (dalam bab Syeikh Muhammad al-Mutawalli al-Sya'rawi - Tokoh Tafsir Mesir Abad 21) pada muka surat 138 dan 139.

Satu peristiwa terpenting yang merubah segala-galanya apabila bapanya meminta beliau melanjutkan pelajaran di al-Azhar, Kaherah. Pada masa itu, beliau hanya ingin tinggal bersama-sama saudaranya di kampung dan menjadi petani. Menurutnya, pada zaman kanak-kanak, beliau tidak mempunyai cita-cita atau keinginan tertentu. Baginya, cukuplah apa yang ada di sekelilingnya iaitu menjadi petani dan bekerja di situ.
Namun, keinginan ayahnya yang kuat mahukan beliau belajar di Kolej al-Azhar apabila beliau tamat menghafal al-Quran. Beliau pernah membuat berbagai-bagai helah supaya tidak masuk ke Kolej al-Azhar kerana minta beliau hanyalah menjadi petani. Beliau memasukkan habuk tanah ke dalam matanya supaya menjadi rabun dan ditolak semasa peperiksaan kesihatan dilakukan. Namun, helah ini tidak berjaya kerana kolej itu menerima orang buta. Beliau cuba berlakon gagap lupa ketika ujian hafalan al-Quran. Namun, guru itu tetap menerimanya sebagai pelajar.
Helah ketiga adalah meminta ayahnya membeli kitab-kitab yang besar dan mahal harganya di kedai dengan mengatakan ini adalah silibus kolej. Ayahnya memenuhi permintaannya itu dan berkata, "Wahai Amin (gelaran yang diberikan oleh ayahnya), janganlah kamu menyangka aku tidak tahu semua buku-buku itu bukanlah silibus untuk kamu. Harga buku silbus kamu tidak sampai 37 Qurus (sen) sahaja. Tetapi wahai anakku, semoga ALLAH memanfaatkan kamu dengan buku-buku ini."

Peristiwa inilah yang merubah hidupnya untuk mendalami ilmu dan membaca buku-buku yang mutakbar. Beliau memasuki Kolej Agama Zaqaziq pada tahun 1930an dan mendapat Sijil agama pada tahun 1936. (m/s 138 - 139)

Sokongan bapa dan kesedaran yang timbul dalam diri Syeikh Sya'rawi menjadikan beliau sebagai seorang ulama' besar seperti yang kita ketahui sekarang ini. Berputik daripada gara-gara helah Syeikh Sya'rawi yang tidak menjadi terhadap bapanya menyebabkan beliau bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, lain pula halnya dengan apa yang terjadi kepada seorang pemikir Islam, Muhammad 'Imarah (dalam bab Muhammad 'Imarah - Pemikir Islam yang Unggul dari Mesir) yang mana kesungguhan dan pengembaraannya dalam mendampingi ilmu dicetuskan dengan warisan 3000 buah buku seorang penuntut Universiti al-Azhar di kampungnya.

Menurut Muhammad 'Imarah lagi, ada satu peristiwa yang menyebabkan pembentukan pemikirannya iaitu ada seorang al-Azhari yang alim di kampungnya. Beliau memiliki perpustakaan peribadi yang melebihi dari tiga ribu naskah buku. Ditakdikan ALLAH, apabila beliau tamat pengajian di peringkat kolej beliau telah meninggal dunia dan buku-bukunya ini tidak dapat dibaca oleh ahli kelurganya. Lalu saya membeli kesemua buku-buku itu. Sejak itu, beliau mula membaca syair-syair dan falsafah Barat. Perkara ini yang menambahkan pemikirannya di samping pelajaran yang dipelajar di al-Azhar. (m/s 62 - 63)

Selain kisah tiga tokoh di atas, buku ini mencatatkan kehidupan dan perjuangan 7 tokoh lain yang tidak kurang menariknya untuk dibaca dan diteladani:

1. Mustafa Al-Syiba'iy - Tokoh Kebangkitan Syria
2. Dr. Yusuf Musa - Ulama' Reformis dan ahli falsafah al-Azhar
3. Mahmud Shaltut - Tokoh Pembaharuan Universiti al-Azhar
4. Muhammad al-Ghazali - Pemikir Dakwah dan Pembela Islam
5. Abu Hassan Ali al-Nadawi - Ulama' Rabbani dari India
6. Syeikh Ismail Sodiq al-Adawi - Imam Masjid al-Azhar
7. Dr. Yusuf al-Qaradawi - Sejarah Hidup dan Pemikiran

Tulisan Dr. Rumaizuddin yang juga mantan Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ini sebenarnya boleh juga dijejaki dan dibaca di laman sesawang Minda Madani. Koleksi tulisan beliau di laman tersebut kemudiannya dikumpul dan dibukukan oleh PTS Islamika, dijual dengan harga RM20. Kesimpulannya, kehadiran buku ini sedikit sebanyak membantu umat Islam di Malaysia terutamanya penutur Bahasa Melayu untuk mengenali tokoh-tokoh agamawan yang seringkali terpinggir dek kerana kebanjiran idola, kemarau tauladan - meminjam istilah Dato' Dr. Siddiq Fadzil.


Wajar kita menyoroti masa lalu sebelum menyoroti masa depan. Maklumat sejarah masa lalu amat penting seperti kata-kata ‘siapa tak sedar sejarah berkemungkinan besar mengulangi sejarah’. Kesedaran sejarah amat penting dalam konteks da’wah dan dinamika gerakan Islam kita semasa dan bagi eksperimen kita.

Pada 1961 Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia PKPIM lahir dengan matlamat yang sederhana – ‘perjuangan kepentingan pelajar-pelajar Islam’. Itulah ungkapan pemimpin-pemimpin masa yang lalu – seperti Dato’ Hanafiah dan Dato' Ishak Tadim.

Menjelang tahun-tahun 70’an – dengan kematangannya – PKPIM menegakkan idealismenya ‘memperjuangkan cita-cita Islamiah’. Ungkapan pusaka – cita-cita Islamiah. Komitmen terhadap cita-cita Islamiah dan aspirasi nasional – menjadi dua serangkai – lambang kesedaran mahasiswa telah berubah daripada perjuangan sederhana kebajikan pelajar.

Pada tahun-tahun 70’an – aktivis PKPIM bertindak sebagai elemen yang sedar daripada masyarakat – conscience of the majority – a catchy phrase, sarat dengan makna dan nilai dan kita adalah pewaris kata dan makna itu. Di antara aksi-aksinya sewaktu yang selalu dinukilkan itu adalah advocacy, penampilan isu semasa dan demonstrasi. Tetapi lebih penting lagi adalah dimensi ilmu dan kebudayaannya yang diperlihatkan melalui program seperti:-

• Kongres Kemajuan Islam Malaysia

• Seminar Peradaban Islam

• Seminar Pendidikan Islam Malaysia 1968 anjuran badan gabungan PKPIM – disitulah diumumkan persetujuan kerajaan tentang penubuhan UKM oleh Menteri Pelajaran, Khir Johari (Khir Johari, Anwar Ibrahim dan Siddiq Fadil berada di atas pentas yang sama)

• Universiti Islam Antarabangsa UIA mempunyai akar sejarah dalam perjuangan PKPIM

Angkatan Belia Islam Malaysia ABIM adalah pelanjut perjuangan mahasiswa – merupakan jatidiri harakah Islamiah. Badan yang pertama beridentiti gerakan Islam Malaysia ialah ABIM. ABIM bergerak dengan keanggotaan yang merakyat dan nasional – anggota melebar dan meratai seluruh Malaysia dan tidak bersifat lokal. ABIM adalah peloporan fenomena ‘rising tide of Islam’ – kebangkitan Islam – istilah yang memaknai kerana waktu itu belum lagi muncul istilah sahwah. Pertama kali, kata-kata ini lahir daripada perbualan Pak Natsir dan Anwar Ibrahim di Jakarta . ABIM berjaya mempelopori ‘the rising tide of Islam’ di Malaysia.

Faktor-faktor yang membantu kejayaan ABIM menempa namanya:-

1. Kekuatan wadah persediaannya PKPIM
• bukan lahir daripada kekosongan tetapi adalah lonjakan daripada suatu kekuatan dengan pengkaderan dan jaringan (IIFSO, PEMIAT)
• dengan titik tolak yang sangat kuat, ABIM meneruskan apa yang sudah diletakkan dasar oleh PKPIM

2. Ketepatan waktu kemunculan
Faktor timing sangat penting kerana andainya ia lahir pada waktu yang salah barangkali tidak akan menjadi. Ditakdirkan kelahirannya pada saat yang tepat maka tiada badan lain yang menyambut fenomena kebangkitan Islam. Kemunculan ini membuatkan ABIM sangat terkait dengan fenomena kebangkitan Islam.

3. Karisma pemimpin utamanya
Contohnya Anwar Ibrahim disebut-sebut di mana-mana sebagai a charismatic leader. Sewaktu Ustaz Razali Nawawi mengundur diri daripada jawatan Presiden untuk melanjutkan pengajian, berlaku dialog di antara Ust Fadhil Noor dan Anwar Ibrahim. Anwar dan Ustaz Fadhil saling menolak jawatan tersebut sehingga Ustaz Fadhil mengatakan ‘bukan orang nak dengan aku, depa nak kat hang’. Mereka berkompromi dan Anwar bersetuju dilantik Presiden dan Ustaz Fadhil sebagai Timbalan. Beberapa bulan selepas itu, Anwar ditahan di bawah ISA selama 21 bulan dan Ustaz Fadhil menjadi pemangku Presiden.


4. Kepimpinan Jama’iyy
• Collective leadership
• kepimpinan yang berlatar pelbagai pendidikan samada berunsur English, Melayu dan Arab
• gabungan kesepaduan komplimentari

5. Memanfaatkan kepemudaan dan dinamika keIslaman
Keanggotaannya menjadi aktivis komited dan rela berkorban

6. Kekuatan fikrah/ idea/ gagasan
• daripada gabungan ilmu yang kuat
• bukan lawak jenaka sahaja tetapi seloroh pun berdimensikan idea-idea bernas

7. Keberkesanan tarbiyyah ilmiah, rohaniah, harakiyyah
• kita gubal skima latihan kita sendiri berasaskan rujukan-rujukan dan pelbagai sumber
• membina kekuatan ilmu, rohani dan harakah

8. Keberkesanan mekanisme/ jentera organisasi
well organised, skilled organisers compared to others and well trained since the days of PKPIM
• Setiausaha-setiausaha agong mahir, berkemampuan, kompeten, berencana. 

9. Keterbukaan dan toleransi
• kepelbagaian mazhab dan pemikiran
• akomodatif, inclusive of all, bersifat jamahiriyya
• toleransi di antara mazhab – Hanafi tiada masalah, aliran Perlis pun tiada masalah
• kita pertahankan keterbukaan dan kepelbagaian – asalkan ada alasan saja, dipersilakan tetapi kalau tiada alasan, tidak boleh diterima

Sebagai contoh, seorang tokoh, Pak Imad yang terkenal tegas dengan pandangan fiqhnya tetapi selesa dengan ABIM – Pak Imad pernah menjadi makmum solat subuh tidak membaca qunut tetapi masih mengikuti dan menunggu Imam sebelum sujud.

10. Komitmen yang tinggi terhadap misi amar ma’ruf nahy mungkar
• kepedulian sosial yang sangat tinggi
• pembinaan diri – melalui usrah, tamrin, qiamulayl – maka terbina sikap dan semangat kepedulian sosial

 Adalah tidak benar dan salah persepsi yang menganggap ABIM sebagai tempat pelarian Melayu yang merasakan kerendahan diri kerana lemah atau gagal menguasai bahasa Inggeris (inferiority complex) – tanggapan yang didakwa dalam tulisan oleh Judith Nagata, Zainah Anwar, Chandra Muzzaffar. Padahal sebahagian yang signifikan pemimpin ABIM adalah berpendidikan aliran Inggeris. Adalah tidak benar ABIM itu jelmaan Melayu yang jati dirinya terhakis. Fenomena kebangkitan Islam di Malaysia adalah fenomena global al sahwah al Islamiah.

Yang membentuk pemikiran para aktivis ABIM bukan tokoh-tokoh racist Melayu, tetapi karya tulisan para pemikir dan pemimpin gerakan Islam seperti Hasan al Banna, Sayyid Qutb, Muhammad Qutb, Maududiy, an Nadwi, Fathi Yakan, Sa'id Hawwa, Muhammad Natsir, Malik Bennabi, Isma'il R. al Faruqi dan lain-lain lagi.


 Daripada kalangan ilmuwan-pemikir tempatan yang turut berperanan membentuk pemikiran para aktivis termasuklah Prof. Sayyid Naquib al Attas. Beliau sangat berjasa dalam pengukuhan idea Islamisasi dan dewesternisasi. Kritiknya terhadap Barat, tamadun dan kesarjanaannya telah meruntuhkan hegemoni pemikiraan Barat di kalangan generasi muda terpelajar. Ini seperti membebaskan minda yang terpenjara. terhadap peranan besar Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu memberikan keyakinan budaya - cultural confidence - dalam perjuangan pendaulatan Islam dan tamadunnya di Malaysia. (peranan Islam yang selama ini diperkecilkan oleh orientalis) Prof Sayyid Hussein al Attas adalah public intellectual yang turut memberikan sumbangan besar dalam membangkitkan kepedulian sosial dan pemikiran kritis. Kritiknya terhadap Dasar Ekonomi Baru dan idea kapitalistik buku Revolusi Mental mendapat perhatian luas di kalangan pimpinan dan warga ABIM.

Inilah tradisi keilmuwan ABIM yang terbuka kepada karya-karya termasuk contohnya penulis Brazil, Paulo Freire yang menulis Pedagogy of the Oppressed, membela kaum tertindas melalui pendidikan. Dalam pembinaan tradisi keilmuannya ABIM bersikap terbuka, sedia memanfaatkan ilmu dari siapa sahaja termasuk dari kalangan bukan Islam. ABIM tidak pernah terikat dengan sesiapa – bacalah dan manfaatkanlah mana-mana – bawa balik ke jamaah dan bersama kita menjadikan madrasah ABIM. Dengan demikian, kekayaan khazanah ilmu dan kepelbagaian, keintelektualannya menjadi lebih kaya dan beragam – membolehkan pencitraan ABIM kepada rakyat – bukan badan da’wah dalam pengertian yang sempit tetapi suatu kekuatan sosial dan agen perubahan sosial – a social and political force to reckon with. Kekayaan dan keragaman intelektual memang sangat perlu untuk pengentalan mesej risalah dan misi perjuangan membina masyarakat yang beragama dan sekaligus rakyat yang cerdas dan berfikiran kritis.
 

Demikianlah pengkisahan ringkas ABIM yang menjadi ikon dalam sejarah kebangkitan Islam. Selalu juga kehadiran ABIM dilihat sebagai kontroversial – controversy is part and parcel of ABIM – hanya kerana ia mampu membawa ungkapan gagasan-gagasan baru. ‘Ada yang cinta dan sayang sepenuh hati, ada pula yang benci setengah mati’.   ABIM adalah gerakan Islam dan kita adalah sebagai pewaris beban dan risalah besar dan oleh itu kita perlu

1. Mempertahankan kerelevanannya
2. Mempertahankan sesuatu kebesaran (risalah)

Persoalannya adalah masih relevankah selepas 40 tahun jika ia gagal menyesuaikan diri – adapt or die?

Kualiti Kepimpinan :-
Kualiti kepimpinan jamaah tidak harus dikompromi. Pemimpin adalah imej gerakan dan jamaah seterusnya. Kepimpinan harus dibina daripada bawah, harus dikenali daripada bawah lagi. Contohnya Anwar Ibrahim telah mengartikulasi dinamika Islam melalui penubuhan BRA – Badan Revolusi Agama sejak di Malay College Kuala Kangsar MCKK. Begitu juga di Universiti Malaya UM apabila aktif memimpin Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya PBMUM dalam memperjuangkan isu mendaulatkan bahasa Melayu. Anwar Ibrahim tidak muncul secara mendadak. Sekarang ini persoalannya adalah bagaimana untuk merancang kemunculan kualiti kepimpinan. Kalau tidak kita akan menerima saja apa yang seadanya.
Pemimpin adalah imej jamaah keseluruhan dan harus mempunyai ciri-ciri:-



1. Keperibadian yang menginspirasikan – inspiring personality

2. Integriti moral dan ketaatan agama (religiousity)

3. Kompetensi keilmuan yang tinggi – penguasaan ilmu yang meyakinkan. Contoh Anwar Ibrahim menyampaikan dengan yakin dan bukan dia buat-buat macam tahu.

4. Kemampuan mengartikulasi fikrah dan gagasan keIslaman dan gerakan dengan petah, indah dan meyakinkan

5. Ketrampilan berorganisasi – kemampuan menjadi penyelesai masalah - problem solver and trouble shooter

6. Kaya dengan idea dan gagasan
• memainkan peranan kepeloporan perspektif Islam
• mengartikulasi pembangunan dalam Islam – pembangunan insan – human centric
• menganjurkan pendidikan sepadu – jelmaan tawhid sebagai lawan kepada dualisme pendidikan
• mengolahkan masyarakat majmuk

 'Islam dan Masyarakat: Penyelesaian Masyarakat Majmuk di Malaysia' adalah tajuk ucapan dasar Anwar Ibrahim sewaktu memimpin ABIM dahulu di Dewan Tun Razak Universiti Kebangsaan Malaysia, Dektar yang mengutarakan Islam sebagai penyelesai masyarakat plural. Dulu diutarakan konsep-konsep umum tetapi sekarang Anwar Ibrahim menerapkannya secara praktis. (kalau tidak, perbahasan masyarakat plural biasa hanya sekitar konsep dhimmi/harbi)

Menyorot Masa Depan :-



Sekarang sepatutnya kita sudah mampu menangani gagasan-gagasan besar seperti:-

1. Islam dan pluraliti – sepatutnya kita ada masa untuk menelaah dan menyelesaikan ungkapan sedemikian

2. Pendidikan demokrasi – meningkatkan kefahaman dan amalan sebenar demokrasi – supaya ada integriti proses, ketelusan, membenteras rasuah politik

3. Pendidikan liberatif – kebebasan dan keterbukaan di kampus-kampus

4. Ekonomi kerakyatan - agenda kepedulian sosial membela nasib umat

Gagasan besar ini tidak hanya untuk diwacanakan sesama sendiri tetapi ahrus diangkat menjadi wacana nasional dan seterusnya diarusperdanakan.

Kita perlu kuatkan dan pertingkatkan sebagai formidable force kerana adakalanya kita perlu bertindak dengan bicara kekuatan bukan saja bicara kepetahan.

Kegiatan penda'wahan yang selama ini menjadi bisnes teras kita perlu ditinjau semula keintensifan dan keberkesanannya terutama dalam konteks krisis moral akibat keleluasaan budaya hiburan dan kegiatan maksiat. Kita perlu meningkatkan gerakan dan jaringan bagi mendidik dan membina generasi muda dengan budaya ilmu dan nilai-nilai keagamaan.

Kita perlu tinjau semula da’wah bil hal contohnya institusi-institusi pendidikan serta kerelevanan masakini. Apakah kita mampu atau kita perlu cari alternatif lain? Walaupun sesuatu itu relevan 20 tahun yang lalu, mungkin ia bukan relevan sekarang. Kerelevanan sekarang perlu ditinjau dan kualiti institusi-institusi alternatif perlu dikaji. Ia tidak boleh berada di tahap eksperimental selama-lamanya. perlu diambil ingatan bahawa pihak lain juga telah mendirikan institusi-institusi yang hampir sama dan kualitinya mungkin lebih baik.

Konsolidasi Dalaman:-

Adalah amat penting dan keperluan semerta bagi pemantapan, pemampanan dan kematangan organisasi supaya perkara berikut dilakukan:

1. Pengukuhan institusi syura
• bagaimana menghormati syura dan keputusan syura
• mengukuhkan dan mengembalikan kepimpinan syura

2. Pemantapan qiyadah jama'iyyah (collective leadership) dan budaya amal jama’iyy (corporate teamwork)
• amal bukan kerja beseorangan – not a one man show
• harus ada diskusi dan perbincangan
• pengurusan partisipatif
• bersifat konsultatif bukan cara arah dan kerah

3. Penegasan sikap dengan menolak gejala perpecahan jamaah
• prinsip kita adalah supaya mempertahankan perpaduan jamaah
• kita tidak boleh menerima – should not endorse – kumpulan serpihan walaupun ianya kuat (reject splinter groups)

4. Kemaskini tarbiyyah dan pelestarian tradisi belajar bersama
• kita sepakati bersama bahawa tradisi harakiyah jama'iyah adalah tradisi belajar bersama, contohnya usrah
• dalam ABIM tiada syeikh tetapi ada naqib

5. Penyegaran nilai-nilai luhur perjuangan
• perteguhkan keikhlasan, persaudaraan dan keberkatan
• tiada kebencian, hasad, dendam



Catatan Kuliah Datuk Dr. Siddiq Fadzil pada Muzakarah Qiyadah 2 WADAH-ABIM-PKPIM 30-31 Januari 2010

Salam. Pada Sabtu, 9 Januari 2010 yang lepas, telah berlangsung Seminar 'Mahasiswa Menggugat: Realiti atau Fantasi?' di Kuliah Sains, UIAM Kuantan. Seminar ini merupakan anjuran bersama PKPIM, Biro Latihan dan Pendidikan, Persatuan Pelajar Sains (SCIENCESS), dan Facilitator Team (FaciTeam).

Seminar ini juga telah dihadiri oleh pelajar-pelajar IPT sekitar Kuantan seperti IKIP, Shahputra, dan Kolej Profesional Mara.

Salah satu slot pengisian program ialah sesi pembentangan kertas kerja oleh saudara Sayed Munawar, pengacara 'Di Luar Lingkungan' di TV 1.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk hadir ke seminar, berikut ialah lampiran kertas kerja beliau.

'Mahasiswa Menggugat - Realiti atau Fantasi?'
Oleh: Sayed Munawar, Seminar Mahasiswa Menggugat: Realiti atau Fantasi, 090110, UIAM Kuantan


Menjawab persoalan di atas kelihatannya mudah. Ini kerana secara zahirnya gugatan yang tercermin dalam minda massa mempunyai penanda arasnya yang tersendiri yang dikaitkan dengan konteks pengalaman dan sejarah.

Pada umumnya masyarakat Malaysia akan mengukur keberkesanan gerakan mahasiswa dengan dampak yang digambarkan menerusi warisan memori dan koleksi sejarah 'Era 70-an'. Anehnya, koleksi memori ini pula seringkali mempunyai dimensi yang berbilang dan tidak utuh. Ia agak cair dari sudut keutuhan jalan ceritanya. Persepsi yang berbilang ini mungkin disebabkan tiadanya satu kemuncak jelas sementara perjuangannya pula seperti masih berterusan sehingga ke era pasca reformasi. Ia cerita yang masih belum usai.

Di sini saya ingin mengaitkan dengan satu ungkapan bahawa 'Sejarah Adalah Bikinan Orang-orang yang Menang'. Setakat ini memori bangsa Malaysia terhadap gerakan Mahasiswa didefinisikan oleh status quo semasa. Ia kelihatan tidak hebat dan tidak gemilang.


Mahasiswa Menggugat?

Kita harus bermula dengan melihat konteks mahasiswa itu sendiri dan menjawab beberapa persoalan asas. Mengapa dipersoalkan tentang gugatan mahasiswa? Apa pentingnya? Dan apa pentingnya pula mencari jawapan kepada persoalan itu? Dan selepas menjawab, apa pula dampak yang diharapkan?

Dari segi saiz, mahasiswa adalah subset kepada pemain utama dalam institusi penting Negara. Dalam pentas kampus, mahasiswa turut berinteraksi dan bertindak balas dalam forum yang turut digerakkan oleh Akademia dan Pentabdir. Justeru dunia mahasiswa itu sebenarnya dunia akademik yang murni dan tinggi.

Tetapi dalam konteks relevan, keberadaan mahasiswa itu memberikan kesan imperatif yang berbeza pula. Persoalan timbul, apakah dampak yang dibawakan oleh mahasiswa kini dalam konteks kenegaraan? Adakah mereka mempunyai suara dan perwakilan? Bahkan jika mempunyai suara dan perwakilan pun, apakah terdapat dampak perjuangan yang signifikan pula?

Apa yang boleh mahasiswa tawarkan di peringkat Negara dan dunia kini? Jika kita gagal mengesan jawapan yang ampuh, aspek gugatan mahasiswa boleh diabaikan.


Konteks Sosok dan Gugatan dalam Sejarah

Dalam sejarah tamaduh moden, memang terdapat beberapa sosok peribadi pemimpin pelajar yang memberikan dampak yang besar. Kita melihat hukbalahap yang dipelopori Jose Rizal di Filipina, sementara pemikiran baharu dipelopori oleh Syeikh Muhamad Abduh turut memercikkan sinar citra kemerdekaan di Malaysia, kemudian dimensi gerakan Islami yang diperkenalkan oleh Hassan Al-Banna, juga di Mesir. Menyorot sudut dunia yang berbeza pula memperlihatkan bahkan Bolshevik yang didokong oleh pemuda begitu juga dengan revolusi China jua.

Nusantara turut memperlihatkan peranan pemuda seperti kaitannya dengan Omar Said dan dokongan pemuda terhadap MASYUMI, begitu pun di bahagian utara kita melihat golongan muda menolak imuniti raja sehingga wujudnya sistem raja seperti kini di Thailand.

Kesemua ini menampakkan sumbangan pemuda dan sebahagian besarnya adalah kalangan siswa dan siswi dalam konteks lokaliti masing-masing. Ini boleh difahami kerana mahasiswa merupakan kelompok terdidik dan mempunyai pemikiran yang relatifnya lebih tinggi berbanding massa seluruhnya.

Namum begitu, keberadaan mahasiswa dalam konteks gugatan-gugatan di atas turut diperdebatkan. Ini kerana mahasiswa tidak tampil sebagai pemain utama, sebaliknya pendokong sementara sosok kepemimpinnya pula yang sudah melewati batas kemahasiswaan mereka. Justeru wajarkah episod sejarah berkenaan dikaitkan dengan mahasiswa secara langsung atau lebih sesuai dengan golongan ilmuwan dan cerdik pandai?

Persoalan ini harus dijawab kerana dalam konteks semasa, cerdik pandai dan ilmuwan tidak semestinya lahir daripada institusi pengajian tinggi dalam pengertian konvensionalnya semata-mata. Kini terdapat begitu banyak sekali entiti pengajian yang luwes, tidak konvensional, terbuka dan tidak mempunyai ciri-ciri kampus seperti yang lumrah kita fahami kini. Untuk membahaskan ini akan membuka lembaran polemik university vs multiversity. Kritik ilmuwan terhadap kelemahan-kelemahan asas institusi pengajian tinggi telah bermula sejak 70-an dan hingga kini ia masih berterusan.

Sekiranya wujud gugatan semasa didokongi oleh cerdik pandai yang tidak hanya lahir daripada rahim universiti dan kampus, maka memfokuskan gugatan oleh mahasiswa dalam pengertian konvensionalnya mungkin menjadi terlalu kecil dan tidak signifikan lagi. Hari ini golongan cerdik pandai boleh terbit secara tabii dalam ledakan maklumat yang dipercepat oleh teknologi. Malah sesekali kita mendengar kritik bahawa mahasiswa di kampus sudah tercabut daripada akar masyarakat. Mereka hidup dalam cocoon cita-cita individualistik yang kemudiannya mengucar-kacirkan masyarakat yang melabur dalam kepentingan pengajian mereka.

Ertinya, mahasiswa hari bukanlah satu-satunya entiti yang mencirikan golongan cerdik pandai. Oleh itu mengaitkan seolah-olah mereka memberi sumbangan langsung kepada episod sejarah 'gugatan' di atas, adalah terlalu simplistik.





Sudah tergugat? Atau masih kurang 'gigit'nya? Nantikan sambungannya di entri akan datang. ;)

Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta