PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Liberalisasi Bukan Perkara Baru

oleh alifzaimimra Jun 15, 2009

Krisis ekonomi yang melanda negara telah memaksa kerajaan menjadi lebih kreatif dan berhikmah dalam mengemukakan penyelesaian kepada permasalahan yang merangkai kepada cabangan permasalahan lain.

Pelbagai usaha telah diambil oleh kerajaan bagi menangani kemeruduman ekonomi negara yang tidak hanya melibatkan gerak kerja segera malah pelan perancangan jangka panjang yang lebih kemas dan berkesan.

Menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 7 bilion bagi membantu menampung keperluan semasa. Walaupun tidak menampakkan kesan yang ketara, namun ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan kesan langsung dan menambah jangka hayat terhadap ekonomi negara.

Langkah susulan kemudiannya diambil menerusi pengumuman Mini Bajet pada 10 Mac 2009 lalu dengan jumlah yang jauh lebih besar iaitu kira-kira RM 60 bilion. Angka tersebut telah memulakan siri polemik baru dalam kalangan rakyat.

Namun, kematangan kerajaan dalam mengurus tekanan sedemikian seharusnya dipuji. Sikap tidak mudah melatah dan berprinsip dalam menemukan keputusan telah membawa negara mengharungi cabaran ini dengan jayanya seperti mana yang pernah kita saksikan semasa kemelesetan ekonomi pada tahun 1997/1998 dahulu.

Selaras dengan konsep kepimpinan ekonomi atau economic leadership yang tidak sama sekali mengkesampingkan usaha kelangsungan pelan ekonomi terdahulu selain kebijaksanaan yang tinggi dalam membaca senario semasa, maka beberapa transformasi khususnya dalam bidang ekonomi telah mula dilaksanakan.

Bermula dengan pengumuman Dasar Liberalisasi Sektor Perkhidmatan oleh YAB Perdana Menteri pada 22 April 2009, negara secara tidak langsung telah meletakkan diri pada posisi yang terbaik dalam mendepani cabaran order baru yang lebih rumit. Bagi menyokong proses transformasi tersebut, kerajaan telah bertindak lebih agresif apabila YAB Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan Dasar Liberalisasi Sektor Kewangan pada 27 Mei 2009. Hal ini bermaksud, dalam tempoh kurang seminggu, kepimpinan kerajaan telah berjaya mengetepikan segala polemik dan permainan politik songsang dengan keberanian memimpin perubahan dalam arus semasa yang kuat menentang.

Usaha murni oleh kerajaan ini sekali lagi telah disalah tafsir. Tuduhan liar yang menganggap ia sebagai usaha terdesak, dan dibuat tanpa penelitian yang menyeluruh telah menyerapi kefahaman sebahagian rakyat. Kebimbangan terhadap survival ekonomi Bumiputera telah dibangkitkan dan dipolemikkan. Persoalannya, apakah ini fakta atau sekadar mainan auta?

Ingin ditegaskan di sini bahawa liberalisasi bukanlah sesuatu yang baru dan asing dalam kepimpinan ekonomi negara. Proses liberalisasi ini merupakan suatu proses jangka panjang yang telah dirangka, dirancang, dan diusahakan sejak pentadbiran terdahulu lagi. Kebijaksanaan mantan Perdana Menteri, Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir bersama-sama kumpulan pemikir dan pelaksananya telah menyediakan asas transformasi yang cukup penting dalam menjayakan proses meliberalisasi dua sektor utama ini. Justeru, sangkaan dan tuduhan meliar yang menganggap ia sebagai tindakan terdesak dan diluar penelitian pihak berkepakaran adalah tidak benar sama sekali.

Liberalisasi dan Wawasan 2020

Pada tahun 1971, bertitik tolak dari memori hitam 13 Mei 1969, kerajaan telah meluluskan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan memangkin pembangunan sosioekonomi khususnya dalam pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Kemudian, pada tahun 1990, Dasar Pembangunan Nasional (DPN) telah diperkenalkan bagi memperkemas dasar yang sedia ada. DPN bertanggungjawab memacu pembangunan yang seimbang dan saksama yang menjadi pemuka kepada dasar liberalisasi yang kita bincangkan.

Pada tahun 1991, Malaysia mengorak langkahnya ke arah negara maju menerusi Dasar Wawasan Negara (DWN) seperti mana yang dihasratkan oleh Wawasan 2020. Konsep yang telah dibentangkan oleh Tun Dr. Mahathir semasa Mesyuarat Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991 itu menggariskan bahawa Malaysia perlu menjadi sebuah negara industri yang benar-benar maju menjelang tahun 2020 mengikut acuan kita sendiri dengan mengambil kira pembangunan yang menyeluruh meliputi aspek ekonomi, politik, sosial, kerohanian, dan kebudayaan.

Antara teras utama DWN adalah menyediakan bangsa Malaysia yang bersatu padu dan berdaya tahan, menggalakkan pewujudan masyarakat yang saksama, mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi, membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan, meningkatkan nilai tambah bagi semua sektor ekonomi, mengoptimumkan daya pemikiran bangsa, mengukuhkan pembangunan sumber manusia, dan meneruskan pembangunan alam sekitar yang mampan.

Selain itu, DWN turut bertujuan mempertingkatkan daya saing negara untuk menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi yang menjadi bukti kukuh bahawa proses liberalisasi yang dilaksanakan pada hari ini merupakan penerusan agenda dan matlamat besar Wawasan 2020.

Bagi memastikan impian ini dapat direalisasikan, tempoh tiga dekad yang diperuntukkan telah dibahagikan kepada tiga fasa utama. Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2, 1991-2000) merupakan fasa pertama ke arah mencapai Wawasan 2020.

Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3, 2001-2010) yang mengambil kira syor yang diperakui oleh Majlis Perunding Ekonomi Negara Kedua (MAPEN II) telah diguna pakai sebagai blue print bagi pembangunan dekad kedua Wawasan 2020 yang turut melibatkan Rancangan Malaysia Kelapan dan Kesembilan.

Suka saya memperincikan bahawa dalam RRJP3, usaha ke arah meliberalisasikan ekonomi negara telah giat dilakukan apabila keutamaan penuh diberikan kepada meningkatkan keutuhan dan daya saing negara. Hal ini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi pada tahap tinggi dapat dikekalkan selaras dengan tuntutan Wawasan 2020.

Bagi memenuhi tuntutan tersebut kerajaan telah berusaha menggalakkan pelaburan swasta, menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI), meneruskan dasar fiskal dan kewangan yang berhemat serta yang lebih penting, memperkukuh sektor perbankan.

Sektor perbankan yang kukuh merupakan pra-syarat bagi pertumbuhan ekonomi yang mampan. Pendekatan yang diambil turut meliputi pengukuhan institusi perbankan, pemantapan rangka kerja pemantauan, dan penekanan kepada disiplin pasaran.

Justeru, Pelan Induk Sektor Kewangan atau Financial Sector Master Plan (FSMP) telah diperkenalkan bagi merangka hala tuju strategik sektor perbankan. RRJP3 telah menyatakan dengan jelas bahawa sektor ini bakal melalui proses liberalisasi secara beransur-ansur dan progresif pada kadar yang selaras dengan rangka kerja institusi dan pemantauan serta keperluan ekonomi supaya sektor kewangan yang cekap dan berdaya saing dapat diwujudkan. Hal ini secara tidak langsung dapat meminimumkan ketidakseimbangan yang bakal berlaku dan kebimbangan terhadap kegagalan persaingan asing baru.

Setelah melalui hampir sedekad RRJP3, maka pelaksanaan berperingkat tersebut sampai kepada pelaksanaan enam teras pakej liberalisasi sektor kewangan seperti mana yang telah diumumkan.

Namun, menyedari kemampuan institusi tempatan yang masih terhad, maka perlu untuk ditekankan bahawa had pegangan ekuiti asing bagi bank perdagangan domestik yang menjadi tumpuan umum tetap kekal pada tahap 30 peratus.

Di samping itu, kebimbangan terhadap lambakan pekerja asing adalah tidak berasas kerana hanya pekerja ekspatriat dalam bidang-bidang kepakaran yang akan menyumbang kepada pembangunan sektor kewangan sahaja yang akan dipertimbangkan untuk diberikan kelonggaran. Ini bermaksud, langkah liberalisasi yang diambil masih di bawah kawalan dan kewarasan kerajaan.

Menangkis Kebimbangan Liberalisasi Sektor Perkhidmatan

Menjelang tahun 2020, nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebenar Malaysia disasarkan berjumlah RM 847 bilion iaitu kira-kira lapan kali ganda berbanding KDNK pada tahun 1990 yang hanya sekitar RM 105 bilion. Selain itu pendapatan per kapita disasarkan kepada RM 21,660.90 yang merupakan empat kali ganda berbanding tahun 1990 iaitu RM 5,854.30. Hal ini bermaksud, kerajaan perlu memastikan pertumbuhan purata KDNK negara sekurang-kurangnya 7 peratus setahun dan pertumbuhan lebih 10 peratus KDNK per kapita bagi merealisasikan maksud tersebut.

Namun, pengumuman Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Suku Pertama 2009 menceritakan episod yang sebaliknya. Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan negatif 6.2 peratus pada suku ini setelah merekodkan pertumbuhan positif selama 29 suku tahunan.

Sektor perkhidmatan yang merekodkan kejatuhan marginal sebanyak negatif 0.1 peratus bagi suku ini berbanding pertumbuhan positif 8.4 peratus pada suku yang sama tahun 2008 merupakan antara penyumbang kepada kemerosotan ini. Walaupun kecil tetapi peratusan yang diwakilinya adalah besar.

Jadual 2: KDNK Pada Harga Malar 2000=100-Suku Tahunan 2007-2009 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa sektor ini dilihat cukup berpengaruh kepada ekonomi negara kerana menyumbang lebih RM 290 bilion iaitu kira-kira 55 peratus kepada nilai KDNK pada tahun 2008. Sektor ini juga mewakili 57 peratus dari jumlah pekerjaan di Malaysia.

Melihat kepentingan sektor ini dalam merangsang pembangunan negara, maka perlu bagi kerajaan mengatur strategi baru agar sumbangannya kepada KDNK dapat ditingkatkan melebihi 60 peratus seperti yang disasarkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3). Oleh iu, keputusan kerajaan untuk meliberalisasikan 27 sub-sektor perkhidmatan secara serta-merta, tanpa sebarang syarat ekuiti dikenakan adalah dialu-alukan.

Secara amnya, penolakan liberalisasi oleh kaum bumiputera adalah disebabkan kebimbangan terhadap penghapusan kuota 30 peratus yang dipertahankan selama ini. Namun, sebanyak mana pun kuota yang diperuntukkan, tetapi jika penyertaan mereka hanya sebagai 'ahli tidur' yang pasif, maka ia tidak akan memberi kesan yang baik kepada mereka dan negara secara keseluruhannya.

Justeru, liberalisasi yang diperkenalkan oleh kerajaan tidak akan sama sekali menyisihkan golongan bumiputera dan industri perkhidmatan tempatan yang berpotensi. Dana sebanyak RM 100 juta telah diperuntukkan bagi membantu memperkukuh industri tempatan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang banyak melibatkan golongan bumiputera dalam menghadapi persekitaran terbuka yang lebih mencabar.

Pada tahun 2008, sektor ini telah mencatatkan jumlah pelaburan melebihi RM 50 bilion dengan 10 peratus lebih tinggi dari sasaran IMP3. Justeru, dengan terlaksananya proses liberalisasi yang dipermudah dengan penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Kelulusan Pelaburan Sektor Perkhidmatan, kerajaan menjangka lebih banyak aliran masuk pelaburan dalam sektor ini.

Negara juga akan membuka pintunya kepada lima firma guaman antarabangsa yang berkepakaran untuk membangunkan bidang kewangan Islam antarabangsa. Kehadiran lebih ramai pakar dari luar akan memberi ruang yang lebih besar kepada warga tempatan untuk mempertingkatkan kemampuan dan pengetahuan mereka khususnya dalam bidang tersebut.

Mengambil kira profil pekerjaan tahun 2008, sekiranya usaha meliberalisasi sektor ini dilakukan dengan berkesan melalui kaedah dan pendekatan yang telah dinyatakan, lalu disokong dengan kemasukan pelaburan yang semakin meningkat, maka ia bukan sahaja mampu menyelesaikan isu pemberhentian pekerja yang menjadi keutamaan kerajaan pada hari ini, malah menyediakan peluang pekerjaan yang lebih tinggi dari segi kualiti dan kuantitinya kepada rakyat Malaysia selaras dengan tujuan asal pelaksanaannya. Hal ini secara tidak langsung akan dapat melonjak status ekonomi kepada berpendapatan tinggi yang sehingga sekarang masih berada di dalam kumpulan Upper Middle Income Trap (UMIT).

Pandangan kritis

Perjanjian Rangka Kerja Asean bagi Perkhidmatan (AFAS) yang telah ditandatangan pada Disember lalu akan mengukuhkan lagi kerjasama liberalisasi perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan menerusi penyatuan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada 2015. Walaupun Malaysia agak terkebelakang berbanding negara-negara anggota yang lain, namun we are still on the right track. Liberalisasi bukan usaha sehari dua, tetapi proses yang memerlukan tempoh yang optimum dengan pelan yang menyeluruh dan berkesan.

Dekan Fakultas Sosial dan Ilmu Politik Universitas Sumatera Utara (USU), Prof. Dr. M. Arif Nasution dalam Seminar "Komunikasi Politik Dalam Pluralisme Untuk Membangun Nasionalisme" menegaskan bahawa liberalisasi tidak seharusnya dilaksanakan sehingga ekonomi negara benar-benar kukuh untuk bersaing dengan negara luar agar tidak menjadi korban kepada penjajahan ekonomi global. Amerika Syarikat (AS) misalnya memerlukan sekurang-kurangnya 100 tahun sebelum membenarkan liberalisasi sepenuhnya.

Justeru, kerajaan diseru mengambil kira saranan Bank Dunia supaya mengimbangi peranan besar mengurus dan memimpin negara dari semua sudut dengan kemampuannya yang agak terhad agar tidak ada yang elemen yang terbiar dan dalam masa yang sama masih mampu fokus kepada matlamat yang telah digariskan.

Selain itu, orientasi baru pembangunan masyarakat yang berteraskan pengetahuan, inovasi dan kreativiti harus dicerna dan dipergiatkan agar negara tidak terus tersisih daripada mendapat faedah besar liberalisasi. Sebagai pemain global yang baik, kita perlu kekal relevan dalam arus perubahan dunia dan mampu mempertahankan legasi kebudayaan dan warisan serta jati diri negara.


ABU QASSIM NOR AZMI
Exco Pendidikan dan Penyelidikan
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

0 comments

Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta