
Universiti dibina bukan untuk suka-suka. Universiti bukan dibina untuk mencari untung. Universiti adalah pusat untuk peradaban dibina. Pusat melahirkan ilmuwan-ilmuwan yang bakal mencorakkan sebuah tamadun. Membina tamadun mudah, mengisinya sukar. Membiarkan isinya dibina oleh orang sembarangan hanya mempercepatkan runtuhnya sebuah tamadun. Maka ilmuwan-ilmuwan di sinilah memainkan peranan mengisi dan menyediakan rangka asas dan kukuh dalam meneguhkan sebuah tamadun.
Membina sebuah universiti bukan seperti membina sebuah pasaraya, yang pertama sekali difikirkan dalam membina sebuah pasaraya mungkin sekali memikirkan strategik mana kawasan pasaraya kawasan itu dahulu baru difikirkan apa yang bakal diisi oleh pasaraya itu. Namun, membina universti itu berbeza. universiti yang baik akan memikirkan apa yang harus diisi dalam universiti ini dahulu sebelum memikirkan yang lain-lain. Sama seperti universiti yang sedang kita duduki sekarang, Universti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), proses cadangan pembinaan universiti ini difikirkan oleh mahasiswa-mahasiswa zaman 80-an di Universiti Malaya (UM) yang memikirkan perlunya pembinaan sebuah universiti Islam di negara ini. Perbincangan pembinaan universiti Islam ini adalah perbincangan panjang dan bertahun-tahun untuk dimasakkan sebelum idea pembinaan universiti ini diserahkan kepada pihak berautoriti tinggi untuk disemak dan direalisasikan.
Akhirnya pada tahun 1982, universiti ini dipersetujui untuk dibina dan pada tahun 1983 maka tertubuhlah universiti ini dan kuliah yang pertama adalah Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Law, sebuah kuliah undang-undang yang menggabungkan pembelajaran undang-undang Islam dan undang-undang moden. Memulakan proses pembelajaran di sini dengan menubuhkan kuliah undang-undang ini, menampakkan satu signifikan besar, mungkin juga sebuah kebetulan, sebagai menunjukkan keseriusan dalam merelisasikan visi mengislamisasikan undang-undang di Malaysia yang dilihat bermasalah dan tidak mesra Islam. Visi 3ICE universti ini adalah satu visi besar yang difikirkan relevan di zaman ini dengan segala isu-isu umat yang serba manakutkan yang difikirkan perlunya ‘ilmu-ilmu yang benar’ dikenalpasti dan diajarkan kerana penyelesaian melalui ilmulah yang boleh menyelamatkan umat ini daripada kekeliruan.

Namun, dengan segala kehebatan sejarah dan visi serta falsafah universiti ini, amatlah mendukacitakan jika ahli universiti ini tidak mehamami dan bersikap tidak ambil peduli jauh sekali untuk berasa bangga hidup dan membesar dalam universiti ini. Jika ada yang menyedari, tetapi kefahaman pada makna visi ini dilihat pula sangat cetek. Sebagai contoh, ada yang menyempitkan idea islamisasi ini hanya pada aspek fekah, dan ada lagi yang menyempitkan lagi kepada pakaian dan aurat sahaja. (Boleh rujuk tulisan setiausaha agung Ma'ruf Club bertarikh 21 Januari dalam Harakahdaily).
Menelusuri idea islamisasi ilmu yang dibawa Syed Naquib al-Attas, keperluan pada meneruskan matlamat beliau dalam memahami idea pengislaman ilmu harus diambil perhatian oleh semua mahasiswa. Keperluan kepada visi ini amat mendesak memandangkan dunia Islam pada hari ini telah berada dalam masalah kekeliruan ilmu yang menakutkan. Menyerap segala ilmu dari luar tanpa menapis dahulu isinya amat merbahaya dan mengelirukan. Melihat kepada ‘virtuous cycle’ yang di bawa oleh beliau bahawa kekeliruan ilmu akan membawa kepada kehilangan adab dalam masyarakat dan situasi ini akan menyebabkan lahirnya pemimpin yang tidak berkelayakan dan seterusnya pemimpin ini akan meneruskan kekeliruan ilmu berlaku dalam masyarakat dan kitaran ini akan terus berpusing dan merosakkan.
Untuk memahami idea islamisasi secara mendalam semasa belajar di peringkat ‘undergraduate’ memang tidak mampu dilakukan. Namun, apa yang harus difahami di peringkat yang kita berada sekarang adalah membina kerangka asas tentang idea ini supaya apabila tamat pembelajaran ‘undergraduate’ ini dan memikirkan untuk meneruskan pembelajaran ke tahap ‘post-graduate’ kita akan berusaha untuk meneruskan perjuangan dalam membangunkan idea islamisasi ilmu ini. Benar kita juga sibuk berjuang berdakwah secara terus kepada masyarakat dan adik-adik sekolah namun alangkah eloknya jika kita juga sibuk berjuang dalam bidang keilmuan memahami permasalahan masyarakat yang sebenarnya dikelirukan dengan ilmu moden yang sekular.

Selain itu, saranan Syed Naquib supaya kita mengkaji dengan bersungguh-sungguh aliran pemikiran pemimpin yang tulen zaman lampau yang kesemuanya diakui dan diiktiraf oleh masyarakat serta mempelajari keagungan ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan masa lampau. Ia merupakan pra-syarat untuk kita benar-benar bersedia untuk memberi sumbangan pada dunia ilmu pengetahuan kini. Kepentingan mengkaji ilmu-ilmu zaman lampau dilihat penting kerana melihat kepada situasi di zaman itu yang kekeliruan ilmu disebabkan oleh modenisasi belum berlaku dan ada disebabkan oleh beberapa ulama bahawa kemunduran umat islam kini disebabkan oleh terputusnya umat kini pada tradisi keilmuan dahulu. Kita kini bersikap cuba untuk memilih dengan bermula dari bawah kembali tanpa mengkaji dahulu kajian sama yang dibuat oleh ulama’ silam. Sebagai contoh, persoalan qunut dan doa selepas sembahyang telah dibincang dan dikarang oleh ulama silam dengan panjang lebar dan dikonklusikan bahawa ia adalah perkara khilaf, namun umat kini memilih untuk membuka kembali perbincangan isu ini dan akhirnya membawa perpecahan di masjid dan surau kini.
Konklusinya, saya ingin mengajak sahabat-sahabat untuk memahami dan memahami visi universiti ini. Menjadi kerugian besar jika membesar di universiti ini dan tidak memahami idea ini. Kita harus punya perbezaan antara mahasiswa yang membesar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini dengan universiti-universiti lain. Belum terlambat untuk meneruskan pembacaan dan pembelajaran dalam memahaminya kerana anda masih lagi berada dalam ‘Taman Ilmu danBudi’ yang mendokong visi yang benar-benar diinginkan umat dalam membentuk tamadun khayra ummah.

Oleh: Mohd Arif Alwan bin Khalid


0 comments