Bismilahirahmanirahim…………
Di saat Mesir dan Tunisia bangkit memperjuangkan hak-hak mereka, rakyat Malaysia masih mampu tidur dengan lena. Tiada demostrasi, tiada pertumpuhan darah dan tiada sekatan ekonomi yang berlaku. Anak-anak kecil masih mampu bermain dan berlari dengan bebasnya. Tiada perintah berkurung daripada pihak kerajaan. Sistem perhubungan masih mampu berfungsi dengan baik. Rakyat negara ini tidak perlu hidup dalam ketakutan. Selesakah kita dengan situasi ini? Para pejuang di sana terpaksa bertungkus-lumus menjalankan demonstrasi yang berjalannya bukan hanya sehari. Mereka terpaksa mengikat perut dek bantahan yang dijalankan. Mesir di ambang kegawatan saat bantahan yang dijalankan. Walhal, banyak negara Islam yang mengelilingi negara itu yang mampu menghulurkan bantuan.

Sikap wahan menjadikan ummat hari ini hanya mampu memandang kosong. Nabi Muhammad SAW suatu hari bersabda “ musuh Islam akan mengerumuni umat Islam pada masa akan datang seperti mereka mendatangi makanan ketika mereka sangat lapar”. Para sahabat bertanya “ apakah pada masa itu umat Islam itu sedikit?”. “Tidak, bahkan umat Islam pada masa itu sangat ramai. Tetapi mereka ibarat buih di lautan.” Kita sudah lupa makna mahabah yang seharusnya disemai dalam diri. Pejuang-pejuang Islam sudah tidak kelihatan saat saudara seagama memerlukan bantuan. Kita hanya mampu melihat dari jauh dengan pandangan kosong.
Perjuangan yang dibawa pada hari ini tidak setanding perjuangan Nabi dan tidak sehebat zaman pemerintahan khalifah. Kita belum diuji dengan cabaran-cabaran yang besar. Hanya kecil sahaja ujian ke atas ummat akhir zaman ini. Usah melihat terlalu jauh, tetapi cukup dengan melihat biah di negara ini. Di sebalik kemajuan yang dikecapi, ada sisip-sisip dosa yang melingkari pembangunan negara ini. Terlalu ramai yang dahagakan dakwah untuk penyucian jiwa. Seperti mana firmannya, “Dan ajaklah ummat manusia ke jalan Tuhanmu, sesungguhnya engkau benar-benar berada di atas petunjuk yang lurus.”(Al-Hajj: 67).
Allah telah menetapkan kita untuk membawa kembali manusia kepadaNya. Seperti mana yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, kita menyambung kembali perjuangan yang di tinggalkannya. Namun begitu, pendakwah-pendakwah kita pada hari ini berada di zon yang cukup selesa. Kita belum mampu menyandang gelaran dai’e. Terlalu tinggi rasanya untuk mengangkat diri kita pada tahap itu. Taklifat, jawatan atau amanah hanyalah satu nama untuk digalas di bahu-bahu yang mengaku dirinya khalifah. Namun, sebanyak mana sudah kita curahkan diri ini betul-betul pada jalan agama.

Dakwah perlu bergerak seiring dengan tarbiah. Dr. Sidek Baba menekankan bahawa dakwah bukan hanya perlu menjentik minda, tetapi yang paling utama adalah menjentik hati. Pentarbiahan hati menjadi nilai utama jati diri seorang pendakwah. Walaupun nampak remeh, ia memberi impak yang cukup besar dalam perjuangan. Tarbiah hati menjadi pangkal segala kebaikan. Jika hati itu baik, maka baiklah seluruh jasadnya. Hati akan memandu jalan-jalan perjuangan kita. Hati yang hidup mampu berbekas pada jiwa-jiwa yang gersang. Setiap tutur katanya ibarat air yang menyirami hati-hati yang telah mati. Lantas, jiwa yang telah lama gersang itu mampu dihidupkan kembali. Begitu besar nilai pendakwah pada seorang mad’unya. Kata-kata yang keluar akan terus meresap ke dalam jiwa mad’u tanpa memerlukan keizinanya. Pendakwah yang bijak akan memastikan hatinya dahulu dibasahi dengan kalam-kalam Allah sebelum mengalirkannya pada jiwa si mad’u.
Selain tarbiah, akhlak harus menjadi cabang kedua dalam diri seorang pendakwah. Berakhlaklah seperti akhlak Rasulullah. Nabi s.a.w bersabda, “Sesungguhnya sesuatu yang paling berat timbangannya adalah budi pekerti yang agung”. Kita lihat bagaimana akhlak baginda mampu menarik masyarakat jahiliah untuk kembali kepada fitrah manusia. Sejarah telah merakamkan begitu ramai pemimpin arab jahiliah yang memeluk Islam hanya kerana akhlak baginda Rasulullah s.a.w. Bahkan, mereka mengakui sifat al-amin yang ada dalam diri baginda Rasulullah. Amru Khalid mengupas tentang akhlak di dalam bukunya, Semulia Akhlak Nabi, dengan menjelaskan bahawa sesungguhnya semua ibadat termasuk dalam akhlak. Hal ini kerana setiap ibadah adalah untuk memperbaiki akhlak.
Pendakwah yang baik perlu mampu menjadi ‘role-model’ pada mad’unya. Dengan ibadah yang dilakukan, pendakwah seharusnya mampu memperbaiki akhlaknya . Dia tidak akan menjadikan perbuatannya satu fitnah kepada agama. Setiap pendakwah harus berazam untuk menjadikan dirinya contoh pada masyarakat. Masalah yang melanda masyarakat hari ini adalah disebabkan keringnya tauladan di dalam masyarakat. Anak-anak muda tercari-cari siapa yang boleh mereka contohi. Disebabkan kurangnya ‘role-model’, mereka menjadikan para selebriti untuk diikuti. Walhal, mereka tidak mendapat apa pun daripada idola mereka. Justeru, pada pendakwah perlu sentiasa menghiasi diri dengan akhlak yang baik agar mad’u punya ikon untuk diikuti.
Ilmu yang dituntut bukanlah untuk ditunjuk-tunjuk, tetapi menjadi bekal yang paling utama kepada seorang pendakwah. Ilmu itulah yang akan dijadikan modal bagi kita dalam memimpin para mad’u. Ilmu harus terus dicari dan digali agar segala permasalahan ummat mampu dijwab oleh para pendakwah. Allah telah meletakkan tingkat yang tinggi bagi orang yang berilmu seperti mana firmannya dalam surah al-mujadalah ayat 11, "Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat". Melihatkan realiti masyarakat hari ini, ilmu sudah hilang nilainya. Budaya hedonisma telah menjadikan kita lupa pada tujuan penciptaan. Walhal, kegemilangan Islam bermula di sebabkan cetusan ilmu yang berlaku. Ummat Islam di julang tinggi saat ilmu berada di puncaknya.

Kepincangan budaya ilmu telah membawa kepada keruntuhan akhlak. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Filasafat pendidikan Islam menjelaskan bahawa, pendidikan itu seharusnya mampu melahirkan manusia yang beradab. Jelas di sini bahawa keperluan ilmu itu bukan hanya untuk melahirkan graduan yang berijazah, tetapi mampu melahirkan insan-insan yang berbudi pekerti. Oleh itu, sudah menjadi peranan pendakwah untuk mengembalikan kegemilangan ilmu dalam kehidupan masyarakat. Ilmu itu seharusnya berupaya merubah masyarakat kita kearah yang lebih baik dan nilai ta’dib itu disemai dalam diri setiap individu.
Di akhir kalam, tugas dakwah itu bukan mudah bagi mereka yang mahu menggalas tanggungjawab ini. Hanya mereka yang sedar peranan mereka di atas bumi ini bersedia untuk memikulnya. Namun, persedian yang secukupnya perlu untuk berhadapan dengan situasi masalah ummat hari ini. Penulis mengingatkan diri dan sahabat-sahabat untuk kembali merenung sejenak apakah ada nilai-nilai di atas dalam diri kita semua. Mungkin, itu hanyalah beberapa cabang yang perlu kita lengkapkan dalam diri. Keperluan Jemaah itu perlu supaya ada ingat mengingati sesama kita. Tugas ini tidak mampu dipikul sendirian tetapi harus dilakukan secara bersama. Sahabat-sahabat yang lemah harus dibantu agar beban yang berat itu tidak terasa. Jihad itu harus senantiasa mengalir dalam jiwa kita kerana di akhirnya kita pasti bahawa Islam itu akan tertegak jua. Ingatlah firman Allah, “Dan barangsiapa yang berjihad, Maka Sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (Tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam ( Al-Ankabut: 6). Wallahualam.
Oleh: Che Farhana binti Che Hanafi


Subhanallah, syukran ana atas peringatan yang sangat terkesan di jiwa. Ya Allah, bantulah kami memikul beban dakwah-Mu ini, pimpin dan bimbinglah hati-hati serta jiwa-jiwa kami di jalan yang Engkau redhai..