Saat tiba waktu peperiksaan, mujahadah kita tinggi demi matlamat yang telah kita gariskan. Masing-masing mula bersekang mata dan menghabiskan banyak waktu di meja belajar. Perpustakaan yang selama ini menyepi mula penuh dengan para pelajar. Ada yang sibuk menelaah, tidak kurang juga yang meminjam buku-buku pelajaran. Waktu siang dan malam sudah tidak ada maknanya lagi. Sehingga, ada yang lupa waktu makan yang harus diambil. Itulah lumrah di alam pelajar. Usai imtihan, sebanyak mana yang ditanam, sebanyak itulah hasil yang dituai oleh kita. Waktu itu, kita dapat melihat pelbagai reaksi dan ragam pelajar gara-gara keputusan yang diperolehi. Gembiranya kita dengan keputusan yang cemerlang sehingga kita merasakan inilah hasil daripada usaha kita selama ini.

Perjuangan juga seperti medan peperiksaan, malah lebih mencabar lagi. Pelbagai ujian dan pahit yang bakal ditelan oleh kader-kader dakwah. Sungguh, ia bukan sesuatu yang mudah. Jika tidak, sudah ramai yang memperjuangkannya. Ramai pula yang sanggup untuk meluangkan masa. Namun, kerana mehnah yang menimpa, ramai yang mengundur diri. Ada pula yang menyepi meskipun tahu itulah tugas yang sudah di amanahkan. Paling menyedihkan, mereka yang memilih untuk futur. Sungguh, kita tidak pernah merancang, tetapi kita yang membuat pilihan. Walhal, ganjaran yang diberikan terlalu mahal harganya. Allah tidak mengurangi pahala kita bahkan, menambah ganjaran buat pejuang agamaNya. Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud, “Sesiapa yang mengajak manusia ke jalan hidayah (kebenaran), dia akan memperolehi ganjarannya seperti ganjaran orang-orang yang mengikutinya. Tidak dikurangkan sedikit pun daripada ganjaran pahala mereka….” (Hadith riwayat Muslim). Ramai yang menyangka tugas dakwah hanya tergalas di bahu ustaz dan ustazah. Mereka hanya mahu menjadi pemerhati dengan seribu alasan. Minda masyarakat kita sudah di program untuk menyimpang daripada tugas asal manusia. Generasi 1Malaysia hari ini memperlihatkan betapa runtuhnya akhlak ummat manusia. Walhal sudah jelas kalimah Allah dalam surah al-Baqarah tentang tujuan penciptaan manusia di bumi ini.
Kita pada hari ini masih memikirkan apakah yang mampu disumbangkan untuk agama? Sedangkan masa tidak menunggu kita. Jangan terlalu menyempitkan minda kita dengan erti perjuangan. Jika tidak mampu mengangkat senjata, ringan-ringankan tangan menghulur wang atau tenaga. Sumbanglah mengikut kemampuan yang kita ada. Masihkah ada waktu untuk kita berkira-kira? Menanti waktu lapang atau waktu ketika kita sudah punya harta dan pangkat. Sedangkan, Allah tidak pernah berkira dengan kita. Semua milik kita adalah pemberian daripadaNya. Setiap doa kita bakal dimakbulkan. Bahkan, tidak perlu bersedih atas masa yang kita korbankan untuk kerja-kerja dakwah kerana setiap detik akan dikira dan dibayar di akhirat kelak. Tidak ramai yang sanggup untuk menempah tiket susah. Gembiralah kerana kita di antara jutaan yang terpilih. Kerana hayat ini hanya seketika. Mungkin esok, mungkin lusa, janji Allah pasti tiba. Saat itu, kita tidak punya jaminan bahawa bekalan yang dibawa mencukupi. Begitu juga dengan ibadah yang kita lakukan seharian. Jangan terlalu pasti dengan amalan-amalan lain yang belum tentu keikhlasan kita ketika mengerjakannya.

Allah tidak pernah membiarkan hamba-hambanya sendirian. Sentiasa ada pertolongan yang dihantar melalui perantaraNya. Sahabat sekalian, renunglah seketika saat kamu buntukan pertolongannya, bukankah sentiasa ada pintu penyelesaiannya. Di saat kamu merasa sendirian, bukankah ada insan yang memberi bantuan. Di waktu kamu disakiti, ada yang mempertahankan. Malahan, ketika kamu rasa tiada satu pun yang dapat membantu, bahkan kamu sendiri hampir berputus asa, Dia hadir membantu. Mungkin dalam dirimu. Menyampaikan ilham yang tidak kamu sangka-sangkakan. Masyallah, Maha Pemurahnya Dia. Allah tidak pernah membebani kita melainkan mengikut keupayaan dan hanya ujian bakal membuktikan kamu adalah seorang yang beriman. Firmannya dalam surah as-Syarh,
“Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan” (5-6).
Sungguh, air mata dan keringat perjuangan akan menjadi saksi bukti jihadmu dalam medan perjuangan. Perjuangan adalah sebahagian daripada kehidupan kita. Hanya mereka yang melaluinya mampu menceritakan derita dan manisnya. Susah untuk ditafsirkan dengan kata-kata. Hanya mereka yang memilih untuk susah akan bersedia menghadapinya. Mereka tahu jalan ini berliku. Mereka mengerti tiada jalan mudah untuk mencapai kemenangan. Namun, kerana pasti akan janjiNya, pejuang akan terus tersenyum. Pejuang akan terus melangkah kerana di akhirnya ia akan temui kemanisan itu. Sungguh, lebih manis daripada mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Kemanisan itu lebih bermakna bersama sahabat-sahabat perjuangan.
“Kami di Palestin telah mewakaf seluruh hidup kami demi perjuangan suci ini… kami gembira sedang berjual beli dengan Allah untuk meraih syurga. Bagaiman dengan kalian?” (Sheikh Abu Bakar).
“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya”. (Ash-Shaff, 10-11).
Wallahualam…


subhanallah,.mantapnya ana menulis!!!tahniah2..
ni lebih semangat ni nk menulis :)
Hait! Jangan pernah mengalah atau berputus asa mempertahankan agama Allah. Jelaskan matlamatmu wahai pejuang!
subhanallah. kuatkan hati kami ya Rabbi.