PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Travelog Selatan Thai- Yala, Thailand (2011)

oleh Permata Tinta PKPIM Mei 24, 2011




1) Latar Belakang

Pengembaraan ke Selatan Thai pada kali ini boleh dikatakan serampang dua mata kerana fokusnya terarah kepada pengisian dalam English Summer Camp untuk anak-anak berumur dari 9 tahun hingga 13 tahun dan penjelasan tentang isu sebenar pergolakan di selatan Thailand. Program ini dianjurkan oleh Yayasan Pendidikan & Pembangunan Sumber Manusia Yala dengan kerjasama PKPIM. Objektif English Summer Camp adalah memberi pendedahan dan dorongan kepada pelajar-pelajar tentang Bahasa Inggeris yang merupakan ‘lingua franca’ pada abad ini sehingga boleh dikatakan, jika dapat menguasai bahasa ini, maka mereka mampu untuk mendapatkan pelbagai ilmu dalam bidang yang lain. Jadi, dengan penguasaan bahasa Inggeris dan ilmu, maka martabat diri, bangsa dan agama dapat diangkat seterusnya dapat memajukan negara.

2) Tarikh

25-29 April 2011

3) Tempat

Santitam School, Yala, Thailand

4) Laporan Ringkas Perjalanan Operasi


Hari Pertama: 25 April 2011, Isnin


Alhamdulillah, seramai 11 orang dari pihak PKPIM selamat tiba di Rantau Panjang dalam jam 6.30 pagi. Perjalanan dari Greenwood, Gombak mengambil masa lebih kurang 8 jam, dan akhirnya tiba di sempadan Malaysia-Thailand. Urusan “check-in”, di Imigresen Rantau Panjang, kemudian kami terus ke Imigresen Thailand di Sg Kolok. Selesai urusan, kami berkumpul sebentar untuk sesi taaruf dan sedikit taklimat mengenai perjalanan program yang disampaikan oleh Saudara Mu’iz selaku Ketua Fasilitator English Summer Camp 2011. Kemudian, van putih dari yayasan tiba untuk membawa kami ke destinasi yang dituju, Santitham School.

Perjalanan ke Yala mengambil masa 2 jam. Dalam perjalanan, kami menempuh lebih daripada 20 sekatan jalan raya dan ada juga yang tidak kelihatan tenteranya. Bak kata Afif, mereka duduk jauh dari sekatan jalan raya tersebut atas sebab-sebab tertentu. Akhirnya kami sampai juga ke destinasi. Ketibaan kami disambut dengan senyuman daripada para peserta dan layanan mesra daripada Pengerusi Yayasan Pembangunan Yala, En. Isma-ae. Alhamdulillah, para peserta seperti tidak sabar untuk berkenalan dengan kami. Hari pertama bermula dengan sesi Taaruf, Ice breaking dan Mind Setting. Loghat Kelate dan Inggeris menjadi bahasa perantaraan. Dalam pada itu, sempat juga kami belajar serba sedikit mengenai Bahasa Siam.

Pada waktu petang, kami berkesempatan pergi ke Pasar. Pelbagai jenis barangan dijual, dari barang basah sampailah ke barangan seperti pakaian dan alat solek, hanya dalam satu kawasan. Pada waktu malam, fasi memeriksa bacaan doa dan ayat lazim para peserta sebelum tidur dan begitulah rutin pada waktu malam yang mendatang, supaya pembangunan diri bukan hanya pada akademik semata- mata tetapi aspek rohaniah juga. ‘Post mortem’ menjadi agenda akhir pada hari pertama. Perancangan esok hari telah direncana.


Hari Ke-dua: 26 April 2011, Selasa


Pada hari ini, latihan dalam kumpulan (LDK) lebih bertumpu kepada kemahiran komunikasi dalam bahasa Inggeris. Selain itu, setiap kumpulan diminta memilih nama kumpulan serta ‘trademark’ kumpulan. Para peserta sangat teruja dalam LDK ini setelah sesi taaruf selesai antara mereka dan fasi. Selepas solat asar, kami bertolak dari Sekolah Santhitam ke Kampung Serat.

Kampung ini adalah kampung halaman En. Isma-ae dan di sinilah kami dibawa melihat penternakan kambing. Seperti yang di laporkan oleh En Isma-ae, hanya 3 daripada 100 projek penternakan sahaja yang berjaya.

Kemudian kami dibawa masuk ke kandang kambing dan diberi peluang untuk memerah sendiri susu kambing tersebut. Tuan penjaga kambing memberi kami sebungkus susu yang baru di perah dan masih panas untuk kami rasai khasiat dan keenakan susu kambing segar dari ladang. Bila hari mulai gelap, kami berjalan menuju ke rumah ibu En Isma-ae. Sambutan yang diterima dari ibu dan kakak En Isma-ae cukup mesra. Kami dihidangkan dengan pulut manis, dodol, kuaci labu dan tembikai (orang Thailand memanggilnya timun).

Usai solat maghrib di masjid, kami bertolak pulang ke sekolah Santhitam. Sepanjang perjalanan balik, kami dapati kampung ni mengunakan lampu pendarfluor sebagai lampu jalan.

Sepanjang perjalanan kami rancak bercerita dan mendengar banyak informasi politik di Thailand dari En. Harun. Keadaan jalan raya di Yala tidak seperti di Malaysia yang masih hidup dengan puluhan dan ratusan kenderaan malam, tetapi di sini, jalan sunyi dan semua orang sudah berada di rumah sebelum jam 10 malam. Salah satu juga sebabnya ialah tentera menaburkan paku di atas jalan raya dan menyebabkan tayar kereta bocor. Pada waktu malam, diadakan kuliah dari pengurus sekolah dan wakil Global Peace Mission (GPM), En. Wan untuk para peserta dan kami pula mendengar penerangan tentang aktiviti yang dijalankan oleh Yayasan Pembangunan dan Sumber Manusia serta keadaan sebenar di Selatan Thai daripada En Isma-ae.


Hari Ketiga: 27 April 2011, Rabu


Hari ini bermula dengan kuliah subuh dari Che Wan berkisarkan tentang kebersihan dan nilai-nilai murni yang perlu dipupuk dalam setiap generasi. Pada jam 8.30pagi (waktu Thai), kami dan para peserta English Summer Camp telah melawat ke The Learning Centre of Sufficiency Economy, bersebelahan dengan Kem Tentera Sirindhorn, Amphoe Yarang, Pattani. Pusat ini ditubuhkan pada 7 Oktober 2008 oleh Panglima Pichate Wisaijorn selaku Pengarah Operasi Pegawai Dalam Negeri. Antara objektif penubuhan adalah sebagai pusat latihan, pendidikan, dan demonstrasi kepada para petani, pelajar- pelajar termasuk badan kerajaan dan swasta dalam 3 daerah iaitu Yala, Pattani, Narathiwat. Konsep pertanian di sini diaplikasikan dalam 4 langkah iaitu:-

i- Penghasilan baja, hormon, dan racun serangga organik.

ii- Penternakan ikan di kolam bersaiz 2x4x1 m (300-100 ekor ikan)

iii- Penanaman sayur- sayuran dan tumbuhan herba .

iv- Penternakan ayam

Agenda utama usaha ini adalah membawa misi keamanan di 3 daerah selatan Thailand, meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat, dan membangunkan keseimbangan cara hidup yang sesuai. Jadi, dalam pada itu, pusat ini berjaya menghasilkan Effective Microorganism (EM) dalam bentuk cecair mahu pun pepejal demi usaha memelihara dan memulihara sumber- sumber alam sekitar.

Pada waktu petang, kami dibawa ke pejabat Gabenor di Yala untuk Makan malam bersama Gabenor Yala, Grisada Boonrach. Sebelum makan, kami berbual dan berkongsi ‘rahsia’ keamanan sesebuah negara. Melalui perkongsian pendapat ini, dapat dirumuskan bahawa pendidikan ataupun tarbiyyah adalah aspek paling utama, tidak kira apa jua golongan pun. Ini kerana dengan pendidikan, manusia itu dapat membezakan yang hak dan yang batil, yang hitam atau yang putih. Selain itu, kami berkenalan dengan beberapa wakil pemimpin daripada daerah utara Thailand. Setelah itu, kami dihidangkan dengan makanan yang enak sebelum berangkat pulang ke sekolah Santhitam.


Hari keempat: 28 April 2011, Khamis


Hari ini merupakan hari terakhir untuk aktiviti berkumpulan bersama para peserta. Setiap fasilitator berusaha untuk memberi bimbingan terakhir kepada ahli kumpulan sebagai persiapan untuk malam kebudayaan pada malam ini. Pada jam 8.30 pagi (waktu Thai), kami mengikuti lawatan ke Kampung Pisang dan bersama dengan adik- adik seramai 70 orang yang berusia antara 6-11 tahun. Pada acara ini, setiap fasilitator dari pihak PKPIM diberi kebebasan untuk menentukan bentuk program yang ingin dilaksanakan. Akhirnya diputuskan untuk setiap fasi memilih satu check point bersama-sama dengan fasi di sana. Suasana yang menarik perhatian sepanjang keberadaan kami ialah kehadiran tentera khas lengkap bersenjata lebih kurang sepuluh orang mengelilingi kawasan sukaneka tersebut.

Pada jam 4 petang, sesi bersama aktivis daripada Malaysia Relief Agency (MRA), En. Khairil Annuar Khalid, yang berkongsi serba sedikit penerangan ringkas mengenai perjalanan dan pengalaman beliau sepanjang bertugas di MRA dan ia lebih berfokus kepada tanggungjawab para pelajar, dan sebagainya. Pada jam 5.30 petang, kami diberi kesempatan untuk bersama dengan keluarga mangsa dalam konflik Selatan Thai. En. Isma-ae membawa keluarga mangsa untuk meluangkan masa bersama-sama rombongan PKPIM bagi berkongsi cerita tentang kesengsaraan yang dialami sepanjang konflik di selatan Thailand berlaku. Antara keluarga mangsa yang datang adalah Mek Da, Kak Yah, Kak Nab, Kak Jamilah dan Kak Soh.


i- Pengalaman Kak Soh

Segerombolan tentera Thai datang ke rumah pada pukul 2 pagi untuk menahan suami beliau. Mereka ingin menahannya selama 3 hari sahaja. Tetapi selepas 3 hari, kepulangan suaminya tidak muncul-muncul juga. Kak Soh berjumpa dengan ketua daerah dan dikatakan kepadanya bahawa suaminya telah dilepaskan. Sehingga kini suaminya masih lagi tidak dijumpai dan tidak diketahui statusnya hidup atau mati.

ii- Pengalaman Kak Yah

Saudara lelakinya ditembak oleh segerombolan tentera Thai di seluruh anggota badan sehingga kepala sewaktu dalam perjalanan menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Pihak tentera mengesyaki bahawa saudara lelaki Kak Yah adalah salah seorang pengganas. Ahli keluarga mangsa tidak mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan dek statusnya sebagai pengganas.

iii- Pengalaman Kak Jamilah

Kak Jamilah berumur dalam lingkungan 30-an. Beliau kehilangan suami yang berkhidmat sebagai guru di sebuah tadika. Suaminya meninggalkan 3 orang anak. Pada waktu itu, suaminya ditahan askar sewaktu pulang mengajar dari tadika. Suaminya dilepaskan semula namun terpaksa melaporkan diri ke pejabat polis/ tentera setiap hari. Namun apa yang digusarkan mangsa adalah kemungkinan beliau akan ditahan balik selama 6 tahun sekurang-kurangnya sekiranya melaporkan diri kerana begitu banyak kes penganiayaan yang berlaku dan taktik ini digunakan oleh pihak tentera untuk memerangkap suaminya. Pihak tentera menggunakan alasan melarikan diri untuk melabel suaminya sebagai pengganas dan poster beserta ganjaran penangkapan suaminya disebarkan.


iv- Pengalaman Mek Da

Kehilangan anak lelaki yang ditahan tentera. Pihak tentera memberitahu bahawa mereka telah melepaskan anaknya tetapi sehingga sekarang anak beliau belum ditemui. Kehilangan anak beliau setelah diambil tentera telah berlaku selama 8 tahun dan masih belum ditemui sehingga sekarang.


v- Pengalaman Kak Nab

Beliau berumur dalam lingkungan 50-an. Seramai 13 orang waris atau saudara-mara beliau telah menjadi mangsa sewaktu peristiwa berdarah di Tak Bai. Turut menjadi mangsa dalam kejadian itu anak beliau sendiri. Kak Nab turut berusaha menuntut keadilan untuk saudara-maranya. Beliau juga begitu aktif sehingga mampu mempelajari pelbagai prosedur serta urusan rasmi.

Kehidupan beliau bertukar daripada wanita kampung biasa yang tidak mengenal apa-apa serta tidak pandai membaca secara lancar sehinggalah menjadi seorang pejuang keadilan yang menjadi rujukan masyarakat setempat. Urusan surat menyurat, turun naik mahkamah serta pengaduan semuanya diuruskan oleh beliau. Sehingga kini beliau sedang menguruskan urusan menuntut keadilan dan kebajikan keluarga mangsa seramai 200 orang. Selain itu, beliau pernah menceritakan kejadian Selatan Thai di Ireland dan Korea atas jemputan oleh pihak di sana.

vi- Pengalaman En. Shukri (salah seorang ahli jawatankuasa English Camp)

Beliau berumur 27 tahun dan berkhidmat sebagai guru bahasa Inggeris di Bangkok. Beliau pernah ditahan oleh pihak tentera selepas pulang dari program English Camp anjuran Encik Isma-ae. Dipenjarakan selama 2 tahun 1 bulan. Kemudian beliau dipindahkan ke 4 buah penjara sepanjang tempoh penahanan beliau iaitu dari Pattani ke Songkhla, Bangkok dan ke sebuah lagi penjara di tempat lain.

Beliau dituduh sebagai pengganas, dan diberi pertuduhan sebanyak 2 kes. Kes pertama terlepas dan sehingga kini masih lagi tinggal satu kes. Sepanjang berada di penjara, beliau diseksa selama 3 hari 2 malam. Bermula hari pertama penahanan, beliau ditendang oleh 10 orang tentera sehingga tidak bermaya. Namun, beliau juga memberitahu bahawa ada mangsa yang kena lebih teruk seperti dicucuh lighter di bahagian belakang badan.

Pada jam 7.30 petang (waktu Thailand), sesi Bersama En. Adlan salah seorang wakil rakyat di Yala dan juga seorang peguam. Perbincangan lebih menjurus kepada kekangan undang-undang yang dihadapi dalam menuntut keadilan. En. Adlan menerangkan tentang usaha pihak beliau dan beberapa lagi barisan peguam Muslim untuk menjadi medium menuntut keadilan bagi wilayah selatan Thai. Tambahan lagi, diceritakan tentang prosedur serta pencabulan yang dilakukan oleh kerajaan Thai dalam melaksanakan Undang-undang darurat. Selain itu, kami turut berbincang dari sudut sokongan antarabangsa. Malangnya, peranan media massa yang dikuasai oleh pihak kerajaan banyak mengaburkan lagi situasi sebenar yang berlaku di selatan Thai sehingga dipandang sepi oleh masyarakat antarabangsa.

Pada jam 8.30 malam, acara Malam Kebudayaan bermula. Para peserta dari setiap kumpulan melakukan persembahan sempena English Summer Camp. Persembahan ini diukur dari aspek persembahan, kreativiti dan bahasa. Namun, matlamat paling utama adalah pembinaan keberanian serta keyakinan diri dalam diri setiap pelajar untuk ke hadapan dan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Alhamdulillah, semua pelajar berjaya melakukan persembahan dengan baik sekali dan peningkatan yang begitu ketara dapat dilihat dalam sesi ini jika dibandingkan sewaktu awal kedatangan pihak PKPIM ke dalam program ini. Tahniah semua!


Hari kelima: 29 April 2011, Jumaat

Kami bersarapan di Makhloti bersama keluarga mangsa. Kemudian, dalam jam 10 pagi, perbincangan bersama Senator Yala, Tuan Abdullah Datomulia. Antara perkara yang dibangkitkan ialah masalah di Selatan Thailand iaitu menjadi mangsa kezaliman, dadah dan kemiskinan. Jadi, perkara yang diberi perhatian adalah kerajaan dan badan bukan kerajaan perlu mempersiapkan generasi baru yang tahu tentang sejarah negara. Ini kerana mereka adalah golongan yang dapat memartabatkan semula bangsa, agama, seterusnya menjadi harapan negara. Penyelesaian yang utama bagi isu ini pastinya melalui pendidikan Islam. Selain itu, Senator menekankan bahawa pelajar perlu bijak dalam kemahiran mendengar, menulis, percakapan, pemikiran dan penguasaan bahasa supaya tiada pihak yang dapat mengambil kesempatan atas kelemahan diri.

Antara perkara yang menarik perhatian kami terhadap Senator Yala ini ialah beliau sangat sederhana. Buktinya, beliau menghadiri program ini dengan berseorangan tanpa kereta besar, orang-orang kanan dan sambutan yang diterima beliau seperti orang- orang biasa, tanpa karpet merah ataupun bunga tawar. Malah, beliau berkata, “ takpo, Allah ada. Allah jaga saya.” Subhanallah.

Pada jam 11pagi (waktu Thai), diadakan majlis penutup English Summer Camp yang dimulai dengan ucapan En.Isma-ae bin Haji Abdul Rahman sebagai Yang Dipertua Yayasan Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia. Kemudian, ucapan Tuan Abdullah Datomulia selaku senator daerah Yala. Selepas itu, penyampaian sijil penghargaan kepada keluarga mangsa, peserta dan sukarelawan. Akhirnya, sesi fotografi bersama senator dan semua peserta program.

Perpisahan kami dengan para peserta diiringi dengan amanat dari fasi kepada para peserta dan air mata serta pelukan kasih sayang yang sangat menyentuh hati. Mereka sangat berharap semoga fasi-fasi dapat datang lagi dan mengeratkan lagi ukhwah yang telah terjalin. Pada jam 2.00petang (waktu Thai), kami berangkat pulang ke Sungai Kolok dengan menaiki sebuah van. Perjalanan kami turut disertai oleh Kak Nab dan Kak Yah. Sepanjang perjalanan kami terpaksa menempuh 14 sekatan jalan raya. Kami sampai di kampung Gajah Mati yang merupakan kampung halaman Kak Yah. Seterusnya kami meneruskan perjalanan untuk menghantar Kak Nab di Kampung Tak Bai kira-kira 40 minit dari kampung Gajah Mati.

Sebelum tiba ke destinasi, kami melihat wajah-wajah orang yang sangat dikehendaki tentera (wanted) terpampang di tepi jalan yang rata-ratanya berkopiah, ada orang muda dan tua. Akhirnya, pada pukul 5.45 petang kami selamat sampai di sempadan Thailand-Malaysia. Kami berada di pejabat imigresen Rantau Panjang untuk pengesahan passport. Seterusnya, pada jam 8 malam (waktu Malaysia) kami berangkat pulang ke destinasi masing-masing.

Disunting oleh,

AFIFAH BINTI MAT ASIN

2 comments

  1. eifa Says:
  2. sy sgt2 menyeru kwn2 g thailand, lihat sndiri, rasai sndiri keadaan d sna.
    igt firman Allah yg brmaksud,.‘Jelajahilah bumi ini kemudian lihatlah bagaimana akibat orang yang mendustakan (kebenaran)”
    (surah al-an'am: 11).

    jauh perjalanan, luas pemandangan, hebat pengalaman, tingkatkn iman.

     
  3. ya..!

    setuju dengan afifah... (",)

     

Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta