Assalamualaikum.
Apa khabar jiran anda? Siapakah sebenarnya jiran kita. Kalau ikut pemahaman jiran adalaah orang- orang yang duduk sebelah rumah kita, yang duduk dekat- dekat dengan kita, orang kawasan rumah dan orang kampung kita. Mengikut buku hadith 40 jiran adalah orang yang tinggal berdekatan dengan rumah kita samada di kanan, kiri, depan, belakang, di tingkat atas, di tingkat bawah hingga 40 buah rumah dari setiap penjuru. Wah, ramainya.
Yang paling penting, jiran sebenarnya adalah orang yang paling dekat dengan kita. Kalau berlaku apa-apa musibah, merekalah yang dahulu sampai dan tolong. Kita pun selalu minta tolong jiran. Tolong angkat kain jemuran, tolong tengokkan ahli keluarga kita, kalau balik kampung kita minta jiran tolong jaga rumah dan sebagainya. Berada dalam satu kawasan kejiranan yang harmoni amatlah kita harapkan kan? Yela, kita bukan selalu ada di rumah. Belajar, kerja, pergi program la, urusan itu dan ini, jadi kita mengharapkan ahli keluarga di rumah berada dalam keadaan selamat. Dari Sa’d bin Abi Waqqash r.a : Rasulullah saw bersabda, “Ada empat perkara yang termasuk (dalam) kebahagiaan :Isteri yang solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik; dan kenderaan yang nyaman. Cuba bayangkan kat rumah kita tu selalu berlaku kecurian, kes rogol berleluasa, ramai penagih dadah , dan jiran suka cari gaduh mesti kita rasa tak selesa, nak keluar pun takut, tak selamat dan sentiasa berjaga- jaga.
Untuk mendapatkan jiran yang baik, kita sendiri hendaklah menjadi jiran yang baik. Dari ‘Aisyah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Jibril terus menerus berwasiat kepada ku untuk berbuat baik terhadap jiran, sampai-sampai (sehingga) aku mengira dia akan menjadikannya sebagai ahli waris.” (Bukhari dan Muslim)
Pertamanya, adakah kita mengenali jiran kita ni. Siapa mereka, kerja di mana, anak-anak mereka dan sebagainya. Setelah mengenali mereka, adakah kita ambil tahu dan ambil berat tentang mereka? Kalau anak-anak jiran kita suka menipu, suka cari gaduh atau buat perkara- perkara tak patut adakah kita tegur atau biarkan sahaja. Yang penting jangan bagi anak dan adik kita berkawan dengan mereka. Adakah kita cuba mendekati jiran kita yang bermasalah? Betulkah masalah jiran kita bukan masalah kita? Kita sendiri pun dah banyak masalah kan. Tetapi macam mana kalau jiran kita pecah masuk rumah kita, cari gaduh dengan kita dan anak-anak mereka yang bermasalah tu adalah kawan anak dan adik kita. Ingat tak kisah tikus yang takut melihat petani membeli perangkap untuknya, mengadu pada ayam, kambing, lembu dan ular. Semua mereka rasa masalah tu tak beri keburukkan kepada mereka tetapi akhirnya merekalah yang mendapat musibah..
Dalam kesibukkan urusan harian kita lupa memasukkan ‘ aktiviti bersama jiran ‘ dalam tentatif kita. Tak ada masa walau hanya nak sembang-sembang sekejap, bertanya khabar dan paling teruk tak sempat nak senyum-senyum pun. Sekarang pun apa-apa majlis semua pakai khidmat ‘catering’, menyebabkan kurang interaksi bersama jiran. Aktiviti surau dan rukun tetangga yang dekat tak sempat nak ikut. Jadi bila masa kah kita nak bermesra dengan mereka? Saya tahu, tidak semua kita begini. Hanya menyenaraikan ketidaksempatan kita. Jangan sampai jadi macam cerita HANTU KAK LIMAH BALIK RUMAH. Kak Limah tu dah masuk rumah sakit jiwa tapi penduduk kampung tak tahu. Sebab apa tak tahu, sebab tak bertanya khabar dan ambil berat kenapa dah lama tak nampak Mak Limah. Sehingga Awie jiran sebelah balik dan bertanya tentang Mak Limah baru semua ingin siasat betul-betul.
Jadi semestinya kita mesti mengenali jiran-jiran kita dan bersama-sama mewujudkan biah solehah atau sesuasana yang kondusif untuk kehidupan yang harmoni. Kita kena jadi seperti tikus. Dalam konteks kita sebagai daie pula, ingatlah jiran kita juga adalah mad’u kita. Kadang kita nampak yang jauh-jauh, masalah di kejiranan kita tak ambil peduli. Kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak begitulah ibaratnya. Boleh juga gunakan Badan Gabungan Negeri (BGN) masing-masing seperti KPIP, PPIWP , PEPIAS dan sebagainya untuk membantu anda. BGN juga amat memerlukan anda.
Al- Quran dan Sunnah juga menekankan supaya kita berbuat baik dengan jiran:
“ Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNYA dengan sesuatu apa pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua, karib kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga dekat dan tetangga jauh, teman sejawat,ibnu sabil, dan hamba sahaya yang kamu miliki. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri” (surah an-nisa: 36)
Contohi Rasullullah SAW sebagai qudwah hasanah kita dalam berjiran ni. Berikut beberapa hadith mengenai jiran.
Dari Abu Hurairah r.a katanya : Seseorang berkata, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Fulanah banyak melakukan solat, sedekah dan puasa (ibadat). Hanya saja dia menyakiti jiran dengan lisannya.’
Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Fulanah diceritakan sedikit melakukan puasa dan solat. Tetapi dia bersedekah dengan beberapa potong keju dan tidak menyakiti jirannya.” (Kemudian) Rasulullah saw bersabda, “Dia di dalam syurga.” [Sahih, Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Hakim]
Dari ‘Uqbah bin Amir r.a : Nabi saw bersabda, “Dua orang yang berdebat pertama kali pada hari kiamat adalah dua orang jiran.” [Sahih, Riwayat Thabrani, Ahmad dan lain-lain]
Dari ‘Aisyah r.a, katanya : ‘Wahai Rasulullah, aku mempunyai dua jiran, lalu kepada siapakah aku memberikan hadiah? Baginda menjawab, “Kepada yang paling dekat pintunya dari mu.” [Bukhari]
Dari Abdullah bin Musawir, katanya : Aku mendengar Ibnu ‘Abbas r.a menyebutkan Ibnu Zubair, lalu menuduhnya bakhil. Kemudian berkata :‘Aku mendengar Rasulullah saw bersabda, “Tidaklah disebut mukmin orang yang kenyang sedangkan jiran di sampingnya kelaparan.” [Hadis Hasan. Riwayat Bukhari, Hakim dan Al-Khatib]
Dari Abu Dzar r.a katanya : Kekasih ku (Rasulullah saw) berwasiat kepada ku : “Jika kamu memasak sayur, maka perbanyaklah kuahnya dan perhatikanlah jiran mu.” [Muslim dan lain-lain]
Tindakan:
1) Bercampur dengan jiran anda. Gunakan masa cuti ni sebaik mungkin, ikut aktiviti-aktiviti setempat : penuhi undangan, ziarah yang sakit, bermain dengan mereka
2) Bertanya khabar
3) Senyum….^_^
4) Jangan lupa doa agar hubungan baik dengan jiran dan doakan yang terbaik buat mereka
5) Member hadiah
6) Dan macam-macam
Yang baik jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan. Panjang la pulak celoteh ni. Sekian dari saya yang baru tiga bulan lebih berada di kawasan kejiranan baru. Alhamdullillah jiran-jiran yang baik dan surau yang aktif. Tulisan di atas adalah untuk saya juga. Waallahu’alam.
Bintun malick ^^



0 comments