
Beberapa hari lagi umat Islam bakal bertemu dengan Ramadhan. Sudah pasti persediaan dari segi mental, fizikal mahupun rohani perlu disiapkan serapinya agar kita melangkah masuk ke bulan yang dilimpahi keberkatan yang mencurah-curah ini dengan hati yang ikhlas, khusyu’ dan tawadhu’ untuk mentaati perintah-NYA. Elok juga ilmu berkaitan ibadah puasa diulangkaji semula agar puasa kita pada tahun ini lebih bermakna berbanding tahun-tahun sebelumnya. Seperti insan lain, kita sentiasa berharap agar diberi peluang bersama Ramadhan selagi hayat masih ada. Perjalanan hidup ini tiada siapa yang tahu apa yang menanti di hadapan. Untung? Celaka ? Mahupun ajal. Apabila mendengar berita kematian kenalan, wakil rakyat mahupun tokoh terkenal, terlintas di fikiran barangkali mereka tentu tidak menyangka bahawa Ramadhan yang lalu adalah kali yang terakhir buat diri mereka. Sesungguhnya saat bersama Ramadhan adalah pengalaman yang sungguh luar biasa. Tanyalah diri, siapa yang tidak rindu dengan bulan yang satu itu? Hanya mereka yang bergelumang dengan tipu daya dunia sahaja yang rasa ‘rimas’ dengan kemunculannya.
Inilah bulan yang dinantikan untuk memperhebat taqwa. Medan latihan mengasah iman dan kehambaan dalam jiwa. Madrasah untuk bermuhasabah akan kekerdilan dan keterlanjuran diri selama ini. Juga saat terbaik untuk memperkemas amal ibadah sekaligus mendekatkan diri kepada Allah. Sekalipun iklan di akhbar, radio mahupun di televisyen lebih banyak mempromosikan jenis-jenis kurma bermutu tinggi sempena Ramadhan, Al-Quran mempromosikan taqwa sebagai imbalan buat mereka yang bersungguh-sungguh menjalani ibadah puasa. Firman Allah SWT :
“ Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa “(Al-Baqarah, 2 :183)
Puasa yang dilalui bakal menatijahkan taqwa. Jika nilaian manusia terletak pada paras rupa, harta dan pangkat, Allah Maha ‘Adil mengangkat nilai taqwa sebagai ukuran kemuliaan di sisi-NYA. Itulah taqwa sepertimana yang terungkap dalam perbualan Ubai bin Kaab dan Umar Al-Khattab radhiyallhu’anhuma :
“ Umar Al-Khattab telah bertanya kepada Ubai bin Kaab radhiyallahu’anhuma tetang taqwa. Lalu Ubai menjawab dengan bertanya :Apakah engkau pernah menempuh jalan yang banyak duri ? Umar menjawab : Sudah tentu. Lalu Ubai bertanya lagi : Justeru apakah yang engkau lakukan ? Umar membalas : Aku akan berjalan dengan teliti dan berhati-hati. Kata Ubai : Maka demikian itulah maksud taqwa. “

Ibadah puasa yang dilaksanakan itu berupaya mendidik insan agar berhati-hati di antara larangan dan suruhan-NYA sebagai matlamat akhir daripada pesta ibadah yang terumus di dalam bulan Ramadhan. Hidup berprinsip yang dibatasi dengan sempadan tertentu. Demikian juga bulan yang mulia ini amat sinonim dengan Al-Quran. Mukjizat kenabian yang masih kekal hingga kini dan akan terpelihara hingga hari kiamat. Selain terkenal dengan tercetusnya Perang Badar, di dalam bulan inilah Al-Quran telah diturunkan. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan pembeza (antara yang benar dan yang salah)…”(Al-Baqarah,2 :185)

Sesuai dengan identiti Al-Quran yang sarat dengan hikmah dan pengajaran, ia juga merupakan sumber ilmu yang telah terbukti seawal penurunannya lagi. Ketika manusia bertelingkah bagaimana asal kejadian manusia, wahyu terawal telah merumuskan bagaimana dan siapa pencipta manusia di dunia ini. Sehingga kini, manusia tidak berhenti berinteraksi dengan Al-Quran untuk menggali pelbagai ilmu buat pedoman dalam kehidupan. Namun, kebiasaan masyarakat kita semenjak dari usia kecil hingga meningkat dewasa, interaksi dengan Al-Quran hanya bertumpu kepada beberapa sudut seperti tadarus beramai-ramai, majlis khatam Al-Quran dan lain-lain yang seumpamanya. Sebagaimana yang diungkapkan oleh Dato’ Dr. Siddiq Fadzil dalam siri ucapannya :
“ Memang menghairankan, bagaimana umat yang tahu bahawa perintah pertama agamanya adalah ‘iqra’(bacalah), tiba-tiba ditimpa kelesuan budaya ilmu. Mungkin antara puncanya adalah kegagalan menyingkapi kitab suci (Al-Quran) dengan benar. Al-Quran hanya dibaca dengan motid ta’abbudiy semata-mata, sekadar ritual mencari pahala. Yang rata-rata terbudaya adalah pembacaan pasif, tanpa kesedaran tadabbur, merenung dan menangkap mesejnya dengan sikap responsif. Yang penting segera khatam, bukan kefahaman dan penghayatan. Tradisi pembacaan kitab suci telah kehilangan dimensi rasa terkesan dengan Al-Quran. Kegagalan melakukan pembacaan yang produktif telah mengakibatkan kebekuan intelektual, ketandusan spiritual, dan kelesuan daya maju.”
Bukanlah bermaksud ingin menafikan amalan membaca Al-Quran. Realitinya, disebabkan pemikiran sesetengah kelompok masyarakat yang hanya menganggap Al-Quran sebagai bacaan ‘ajaib’ untuk menghalau jin dan syaitan, maka fungsinya sebagai ‘panduan hidup’ dan ‘pembeza antara benar dan salah’ semakin terhakis. Lihat sahaja negara kita yang menjadi penganjur pertandingan tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa saban tahun, mesej daripada Al-Quran tidak mampu ditangkap dengan sempurna. Ingatan Al-Quran supaya menjadikan wahyu sebagai pemutus dalam urusan manusia hanya sekadar bacaan tanpa penghayatan jauh sekali membudayakan ilmu dalam kehidupan.

Maka, kehadiran Ramadhan wajar dijadikan pemangkin semangat untuk kita kembali agresif membudayakan ilmu. Meleburkan jahiliah ke arah pencerahan dengan satu kata : iqra’ (bacalah). Malah, cara kita berinteraksi dengan Al-Quran juga perlu ada pengubahsuaian. Setiap ayat yang dibaca, difahami akan maksudnya, ditangkap mesej pentingnya, dihayati dan sekaligus diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Disusuli dengan melazimkan diri dengan bacaan yang berupaya melatih pemikiran hingga mampu menilai sesuatu perkara dari pelbagai sudut. Inilah keajaiban Al-Quran. Dengan sepatah ayat, manusia dirangsang untuk bangkit membina diri menjadi insan berkualiti dalam menempuh cabaran zaman. Hanya dengan ilmu pengetahuan, kita berupaya memiliki akal dan kefahaman yang matang, mendalam dan mendasar sehingga mampu membuat penilaian yang betul, benar dan tepat. Hanya dengan ilmu manusia ditabal mulia. Melihat kepada suasana yang begitu rencam pada hari ini, kuasa menilai itu perlu dipertajamkan. Menilai bukan sekadar di mata, malah akal dan hati sebagai terajunya. Kehadiranmu sudah lama dinanti. Ahsan wa sahlan ya Ramadhan!
.: Muhammad Ukasyah bin Azhari :.


0 comments