Penulisan ini adalah dari pembacaan peribadi serta beberapa perbincangan dan seminar yang dihadiri untuk dikongsi bersama. Mungkin ada antara teman-teman yang sudah biasa dan hebat dalam mendalami perbincangan yang ingin saya sampaikan. Penulisan ini juga ringkas dan pendek kerana beberapa kekangan yang tak dapat dielakkan. Moga serba sedikit dapat memberi manfaat kepada teman pembaca.
Asal. Merujuk Kamus Dewan Edisi Empat, asal memberi maksud;
1. mula, asal mula, asal; bangsawan ~ bangsawan yg diwarisi (drpd nenek moyang);
2. yg semula (sejati), yg asli: ditanggalkan-nya baju panjang yg dipakainya itu, maka nampaklah ~ tubuhnya;
3. ki sifat yg semula, kelakuan, perangai, tabiat; ~ asal = asal ~ asal keturunan, salasilah; ~ bangsawan (budiman) yg bersifat bangsawan (budiman); ~ fikiran pokok (isi, asas) fikiran; ~ menunjukkan asal prb perangai menunjuk-kan bangsa (darjat); ~, asal asal, asal jangan ditinggalkan prb dlm mengerjakan sesuatu patutlah diperhatikan benar-benar sejak pekerjaan itu dimulakan; berusul bermula (dr), berasal.
Jika dirujuk kepada makna diberi kamus dewan, maka ia meliputi kelakuan, perangai, tabiat, fikiran dan lain-lain. Dalam erti kata arab, asal merujuk kepada fitrah yang mempunyai makna asal kejadian, keadaan yang suci dan kembali ke asal. Dan maka sesungguhnya, Islam ialah agama yang paling suci dan ulung kerana sesuai dengan fitrah manusia.
“Maka hadapkanlah wajahmu lurus kepada agama (Islam); (sesuai) fitrah Allah disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut (fitrah) itu. Tidak ada perubahan pada ciptaan Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Ar-Ruum: 30)
“Setiap anak kecil itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci). Maka kedua orang tuanyalah yang memajusikannya atau menasranikannya.”
(HR. Bukhari & Muslim)

Meratapi perasaan dunia akan kerosakan yang dilakukan di atas muka bumi, maka punca permasalahan adalah kepincangan fitrah manusia itu sendiri. Maka pelbagai fakta permasalahan diusulkan oleh para ilmuan, bahkan ada juga hikayat yang menghayalkan oleh sang pelipur lara yang mengait punca permasalahan dan sebagainya. Justeru, saya lebih suka mengambil akan pandangan Professor Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam hujah beliau merugkai permasalahan umat di dalam buku “The Educational Philosophy and Practice of Syed Muhammad Naquib Al‑Attas, ISTAC, Kuala Lumpur, Malaysia - Wan Mohd Nor Wan Daud”. Pandangan beliau akan permasalahan umat adalah kerana sudah kehilangan adab.
Maka pertama kali saya mendengar istilah ini, maka skop pemikiran saya terus kepada adab makan, adab minum, adab belajar, adab kepada ibu bapa dan perkara asas mudah yang lain. Namun setelah dirungkai, maka dalam buku ini, adab diertikan seperti berikut:
“Adab means: recognizing and acknowledging the right and proper places of things, the acquisition of good qualities and attributes as well as actions to discipline the mind and soul, and the avoidance of erroneous actions. Adab is built on knowledge, proper methods of knowing and ḥikmah (wisdom) leading to ‘adl (justice)”.
Beliau lebih berpendapat, kegagalan atau permasalahan adab, atau mungkin juga boleh saya istilahkan sebagai etika, adalah diakibatkan oleh konflik dalam memahami konsep tarbiyah, ta'lim, dan ta'dib. Beliau juga lebih cenderung menggunakan istilah ta’adib daripada istilah tarbiyah mahupun ta'lim. Baginya, alasan mendasar memakai istilah ta'dib adalah kerana adab berkait rapat dengan ilmu. Ilmu tidak dapat diajarkan dan disampaikan kepada anak didik kecuali individu tersebut memiliki adab yang tepat terhadap ilmu pengetahuan dalam bidang tersebut.
Kita maklum bahawa pandangan hidup Barat berlandaskan nilai dualisme, sekularisme, humanisme, dan sofisme hingga nilai-nilai adab semakin menjadi pudar dan jauh dari nilai-nilai hikmah Ilahiyah. Perkara ini jika mengikut pandangan Syed Naquib, menjadi sebab utama kezaliman, kebodohan, dan kegilaan.
Zaman ini kita maklum bahawa salah satu kemunduran umat Islam kini adalah di bidang pendidikan. Ia berpunca kerana makna ilmu itu sendiri sudah tersasar jauh daripada makna hakiki ilmu dalam Islam akibat sudah banyak dicemari dengan propaganda dan dirosakkan dengan pemahaman manipulasi barat yang sememangnya ingin melihat umat Islam mundur. Perkara ini telah menyebabkan permasalahan sebagai contoh rasuah, kekerasan, salah guna kuasa akibat sudah tidak ada nilai-nilai Islami dalam pemahaman ilmu. Justeru, makna dan konsep Ta’adib itu sendiri dapat membersihkan diri dari mendapat ilmu yang sudah banyak dicemari dengan propaganda dan dirosakkan dengan pemahaman sempit barat yang sememangnya ingin melihat umat Islam mundur.
Ada beberapa cara bantu menyelesaikan permasalahan berlaku dalam sistem pendidikan kini. Menurut Syed Naquib, penanaman nilai-nilai spiritual termasuk spiritual intelligent dalam pendidikan Islam perlu terutamanya fardhu-ain. Ia membawa erti Ketuhanan(Tauhid), makna hubungan manusia-Tuhan (hablumminallah), manusia-manusia (hablumminannas), serta nilai-nilai moral (akhlak) yang dapat membentuk cara pandang manusia terhadap dunia. Mengambil pandang ilmu fardhu-ain sebagai asas (fundamental) dan rujukan bagi ilmu fardhu kifayah.
Langkah ini diteruskan oleh Syed Naquib dengan penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan penerapan ilmu-ilmu Islam yang melingkupi pandangan alam, metafizik dan lain-lain termasuk juga etika yang beliau ertikan dengan Islamisasi Ilmu. Maka, kesimpulan ringkas yang dapat saya buat ialah kepentingan akan nilai adab (Ta’adib) yang menjadi asas kekuatan kepada Tarbiyah dan Ta’alim. Justeru adalah penting saat ini kita kembali kepada Asal, kembali kepada fitrah kita.
Banyak lagi pendapat serta ilmu dari ilmuan hebat ini yang saya fikir boleh dirungkai oleh teman-teman untuk membacanya. Sampai di sini dahulu. Sekian. Wallahualam.
:: Muhammad Mu'izzuddin bin Mustaffar ::


0 comments