PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Tiada Yang Lebih Penting Dari Panggilan Ilahi

oleh Permata Tinta PKPIM Ogos 04, 2011


Kita sering melihat papan tanda ‘tiada yang lebih penting dari panggilan Ilahi’ di masjid atau surau yang disediakan oleh ‘celcom’. Mungkin juga ada papan tanda lain yang diusahakan sendiri oleh ahli jawatankuasa masjid yang saranannya sama supaya telefon bimbit ditutup apabila memasuki masjid.


Ayuh kita melihat maksud disebalik saranan ini. Adakah kita melihat saranan ini selapis atau dua lapis. Ramai yang melihat saranan ini hanya saranan supaya mematikan telefon bimbit agar bunyi yang terhasil dari telefon bimbit ini sama ada apabila ada panggilan yang masuk atau terdapat pesanan (baca : sms) yang masuk dan sebagainya yang memungkinkan telefon kita itu berbunyi. Maka, ramai yang mengambil pendekatan hanya meletakkan telefon bimbit dalam ‘mode’ senyap (baca : silent) dan mungkin juga buat ayah-ayah kita yang mematikan telefon bimbit kerana tidak tahu bagaimana meletakkan ‘mode’ senyap pada telefonnya. Namun kedua-duanya masih meletakkan bahawa gangguan yang dibawa oleh telefon bimibit itu hanya gangguan bunyi.


Sebenarnya saranan mematikan telefoin bimbit itu ada selapis lagi maksudnya. Mungkin juga pihak celcom ataupun pihak masjid sedar atau tidak tentang saranan mematikan telefon bimbit ini punya maskud lain yang lebih besar saya tidak tahu.


Apabila berada di masjid pemusatan amali dan fikiran harus sepenuhnya pada ibadat kepada Allah dan meninggalkan segala urusan dunia di luar masjid seperti kita menggalkan selipar kita di luar masjid dan fikirkanlah urusan dunia itu kembali seperti menyarung kembali selipar apabila keluar. Benar, sukar sebenarnya memusatkan fikiran kita hanya kepada Allah kerana mendapat khusyuk dalam solat itu adalah sesuatu yang sukar.



DAN MINTALAH PERTOLONGAN (KEPADA ALLAH) DENGAN JALAN SABAR DAN MENGERJAKAN SEMBAHYANG. DAN SESUNGGUHNYA SEMBAHYANG ITU AMATLAH BERAT KECUALI KEPADA ORANG-ORANG YANG KHUSYUK. (Surah al-Baqarah ayat 45)


Namun, meninggalkan amali yang berkaitan dunia sekurang-kurangnya yang sehabis baik yang mampu kita buat. Perbuatan membalas sms, menerima sms itu salah satu darinya. Hari ini bukan sms sahaja boleh dibuat, melayari internet dengan melayari laman-laman sosial juga sudah mudah dilakukan dengan telefon bimbit. Ramai hari ini berbalas sms juga ada yang membaca status ‘facebook’ ketika khutbah jumaat atau ketika menunggu khutbah. Apabila ketika solat, meninggalkan telefon dalam ‘mode’ gegaran (baca : vibrate) kadang kala menggangu fikiran ketika solat sekiranya kita merasai gegaran telefon itu dan apa yang berlaku selepas solat adalah kita akan tergesa-gesa melihat telefon bimbit kita. Tanpa gegaran pun kadang-kadang jemaah tergesa-gesa melihat telefon bimbit mereka seperti masa solat 10 minit itu benar-benar menguji kerinduan mereka pada dunia satu lagi. Perkara ini kelihatan seperti sudah menjadi budaya.


Benar kata Sayyed Hussein Nasr, pentingnya umat Islam bersikap kritis terhadap teknologi moden yang hadir ke dunia islam. Kerana apa?? Pertama teknologi moden bersikap dualisme dalam falsafahnya. Unsur agama tidak wujud dalam falsafah moden. Kedua menurut Nasr, teknologi tidak hanya hadir pada bentuknya sahaja, tapi ia juga hadir bersama cara hidup dan budaya.


Sebagai contoh teknologi telekomunikasi hadir mengubah cara kita berhubung. Lidah bukan lagi medium berhubung yang utama kini. Skil bersosial mata bertentang mata sudah semakin pudar kini. Anak-anak kini lebih selesa mendekati dunia maya berbanding dunia sebenar. Rakan 50 kilometer jauh ditegur, kawan duduk menyebelah pandang pun tidak. Jiran berlain negara, mudah disapa, jiran bersebelah rumah nama pun tidak tahu.


Semua ini harus difikirkan supaya kita tidak mudah menadah segala yang hadir dari barat tanpa tapisan. Ilmuwan Islam harus menjalankan usaha penapisan ini. Ini baru membincangkan isu teknologi komunikasi. Membincangkan satu juzuk dari teknologi sudah banyak yang merisaukan. Belum lagi membincangkan teknologi sumber tenaga, makanan dan pembuatan yang begitu pesat kini. Dunia tanpa sempadan benar-benar membimbangkankan.


Kesimpulannya, dua perkara yang difokuskan dari tulisan ini. Pertama, sikap kita pada penggunaan telefon bimbit. Bagaimana kita bersikap adil padanya. Saranan mematikan telefon bimbit benar-benar sesuatu yang serius kerana ia benar-benar membantu kita fokus dalam ibadat. Kedua, berkait rapat dengan yang pertama, pentingnya bersikap hormat-kritis dalam menerima teknologi barat moden. Ianya bukan mudah dalam dunia yang tidak kenal langit lagi. Ilmuwan kini harus benar-benar berhikmah dalam pemikirannya.

~nawal~

0 comments

Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta