PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Di Sebalik Jeriji Bayt Rahmah

oleh Permata Tinta PKPIM Ogos 04, 2011


Bismillahirahmanirahim.................

Alhamdulillah, bersyukur pada Allah atas pinjaman kehidupan ini. NikmatNya yang sentiasa kunjung tiba. BantuanNya yang tidak pernah berhenti. Syukur padaNya atas kesempatan merasai kehadiran Ramadhan tahun ini. Ahlan ya Ramadhan…

Bayt Rahmah

Coretan kali ini sekadar perkongsian penulis dalam mengisi waktu yang terluang sewaktu cuti kali ini. Alhamdulillah, Allah memberi kesempatan pada diri ini untuk berkunjung ke Bayt Rahmah, sebuah rumah perlindungan wanita. Bertempat di Ampang, rumah tiga tingkat itu baru sahaja 7 bulan beroperasi. Namun begitu, pengambilan penghuni sudah berlaku dua kali. Rumah pengawasan ABIM ini dikelola oleh saudari Akmariah dengan bantuan sukarelawan yang lain. Bayt Rahmah hadir sewaktu masyarakat seakan di serang mimpi ngeri tentang pembuangan bayi yang tidak berkesudahan. Sekurang-kurangnya, usaha kecil ini mampu menyelamatkan nyawa-nyawa yang tidak berdosa. Si kecil yang tidak berdosa itu akan diasuh dan dijaga oleh keluarga angkat. Sesetengah berpendapat ia bukan satu solusi, namun, pendekatan ini diharap mampu menjadi ranting-ranting kecil untuk menampung permasalahan pokok itu.

Ketibaanku di sambut sepi. Hanya seorang dua penghuni yang kelihatan. Seusai bersalaman, aku mencari waktu yang sesuai beramah mesra bersama penghuni rumah itu. Aku di khabarkan kemasukan pertama agak ramai berbanding kemasukan yang kedua. Hanya tinggal 4 orang sahaja pada waktu kunjungan itu. Selebihnya sudah pulang ke rumah masing-masing selepas bersalin. Kehadiran mereka ke Bayt Rahmah adalah untuk mengasingkan diri daripada masyarakat. Cuba mengelak diri daripada dicemuh. Di samping, menjaga nama baik keluarga, itulah komen yang diberi penghuni di situ. Namun, Bayt Rahmah punya misi yang tersendiri. Yang paling utama adalah dalam memberi kesedaran kepada penghuni yang hadir. Semoga keterlanjuran itu tidak berulang dan betul-betul mencapai taubat nasuha. Di samping itu, mereka ditekankan kembali dengan asas-asas agama, pelajaran tajwid dan aqidah. Waktu yang terluang juga diisi dengan latihan kemahiran seperti memasak dan membuat anyaman.

Berkongsi cerita

Alhamdulillah, adik-adik dapat menerima kehadiranku dengan baik. Malam pertama, mereka sudah mahu berkongsi cerita tentang bagaimana mereka boleh menjadi penghuni di rumah itu. Semuanya gara-gara pergaulan bebas dan pengaruh sekeliling. Namun, aku berpendapat peranan ibu bapa penting dalam mencorakkan anak-anak mereka. Bagaimana pendedahan anak-anak terhadap didikan agama dan ruang masa antara ibu bapa dengan anak-anak itu sendiri. Apakah ada waktu ibu bapa itu dalam memantau kehidupan si anak atau sekadar terkejar-kejar dengan kesibukkan dunia. Apa pun penyebabnya kefahaman tentang Islam perlu menjadi pokok dalam penyelesaian masalah ini. Mereka bukannya budak-budak nakal yang susah menerima nasihat. Semuanya berperwatakan baik dan mudah ditegur. Sayu sekali melihat wajah-wajah ini. Di sebalik senyuman itu, mereka terpaksa menanggung beban atas keterlanjuran yang mungkin pada asalnya hanya sekadar ingin mencari keseronokkan. Malam itu, aku cuba menghadirkan hati bersama-sama mereka. Menjadi pendengar supaya satu iktibar boleh dilakarkan.

Lebih menyedihkan, adik-adik di sana tidak dibenarkan keluar kecuali atas urusan tertentu. Mereka hanya tinggal diam di dalam rumah untuk mengelakkan diri daripada masyarakat sekeliling. Mereka hanya mampu memerhati gelagat manusia melalui jendela. Mengintai-ngintai kebebasan yang seharusnya bagi seorang manusia. Jadual mereka bermula dengan mengikuti kelas-kelas yang tersedia, memasak untuk makan dan menunggu kalau-kalau ada tetamu yang sudi menjenguk. Daripada pagi hingga malam, sehinggalah bersalin, begitulah rutin harian yang terpaksa dilalui. Mereka hanya keluar untuk memeriksa kehamilan dan juga membeli barangan untuk keperluan diri. Jika tidak, terpaksalah mereka memencilkan diri dalam rumah itu tanpa sebarang hiburan dan juga alat komunikasi.

Berjauhan daripada keluarga mungkin hanya cabaran kecil. Menjadi kebiasaan bagi kita sendiri, berjauhan bersama keluarga sewaktu tempoh belajar. Namun, bagi penghuni rumah ini keperitan terasa di saat berbadan dua. Seharusnya, ada insan-insan tersayang yang memberi semangat dan kekuatan sewaktu tempoh kehamilan ini. Apatah lagi di waktu diri sudah rasa terbuang. Namun, keajaiaban itu tidak berlaku pada mereka. Walaupun masih diterima di dalam keluarga, namun perasaan sayang itu sudah tentu berbeza. Mereka hanya menumpang kasih daripada ibu-ibu yang datang untuk mengisi slot. Segala luahan dan masalah harus ditanggung sendiri. Apatah lagi di kala sakit, mereka hanya mampu memendam kesakitan itu sendirian. Suka duka itu hanya berlegaran antara mereka. Alhamdulillah, masing-masing masih sudi mengambil tahu hal sahabat-sahabat yang lain. Cuba membantu sekadar termampu dalam keadaan genting itu.

Tanpa bapa

Pilu memikirkan nasib si kecil yang bakal dilahirkan tanpa bapa. Bagaimana mereka akan mengharungi kehidupan ini. Selepas diserahkan kepada keluarga angkat, mereka akan berjalan tanpa mengenali susur galur keluarga. Bagaimana pula dengan nama, perlu di ‘bin’ atau di’binti’ kan dengan nama siapa. Tidak termasuk lagi dengan pembahagian harta pusaka, wali dan sebagainya. Terasa kompleks kehidupan yang bakal ditanggung oleh anak-anak itu. Itulah hikmah Allah mengharamkan zina. Banyak sekali masalah yang bakal timbul apabila anak tanpa bapa ini dilahirkan. Yang terpaksa menanggungnya tentulah si kecil ini yang tidak mengerti apa pun yang telah berlaku. Sedangkan, dia hanyalah hasil daripada insan yang menyalahi hukum Tuhan.

Ummi yang cekal

Bersyukur pada Allah yang menemukan aku dengan ummi, Pn. Rohani. Budi pekertinya memikat hati ini walaupun aku baru di situ. Ummi mengisi slot pada hari Isnin dan juga Selasa. Selepas maghrib, halaqah kecil dipandu ummi untuk menyiram kembali hati-hati yang gersang. Menyentuh hati-hati yang mati agar kembali mengenal penciptaNya. Adik-adik akan diperbetulkan bacaan al-quran dan ada zikir-zikir yang diajar ummi untuk mengisi ruang-ruang waktu yang sepi. Selang waktu, ummi memperingatkan kami dengan sedikit tazkirah agar peringatan itu sentiasa segar.

Sempat berkonsi cerita bersama ummi. Ummi memulakan langkah jihad melalui Kesatuan Pelajar islam Perak (KPIP). Ummi juga adalah antara penggerak awal yang sama-sama berjuang bersama Anwar Ibrahim. Banyak yang dikongsikan saat awal pertubuhan PKPIM sehinggalah kini, dia bersama wadah. Terluah juga kekesalan terhadap sahabat-sahabat perjuangan yang terhenti di perjalanan. Sedangkan, mereka sudah banyak menempuh cabaran dalam gerakan itu. Akhlaknya menjadikan aku terpana. Ummi tidak pernah hadir dengan tangan yang kosong. Ada sahaja juadah yang dibawa. Walaupun penat daripada kerja, tidak pernah sesekali riak wajahnya mempamerkan itu.

Lambaian terakhir

Selama seminggu di sana, hubungan antara kami makin erat. Dalam kesempatan waktu yang ada, aku cuba memberi kata-kata semangat dan sentiasa mengingatkan mereka tentang keampunan Allah. Sesungguhnya, rahmat Allah terlalu luas. Anggaplah apa yang berlaku sebagai kifarah atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Aku sempat meminta adik-adik untuk membuat surat sekadar menghisab diri ini kembali. Khuatir jika aku tidak memberikan layanan yang terbaik untuk mereka dalam waktu yang singkat itu. Bimbang juga ada hati-hati yang terguris di atas persoalan-persoalan yang sedikit sensitif. Alhamdullah, aku mendapat respon yang baik dan mereka mengharapkan agar ukhwah ini tidak terhenti di situ sahaja. Sayu sekali saat perpisahan tiba. Aku cuba menahan sebak. Adik-adik yang lain sudah mula menunduk, seakan menyembunyikan kesedihan di hati. Aku rangkul tubuh mereka erat dan terus membisikkan kalam-kalam peringatan. Kami mengikat perjanjian. Mereka berjanji tidak akan lagi menjadi penghuni di rumah itu. Jika hadir sekalipun, mereka akan masuk atas tiket tetamu. Cukuplah sekali pengalaman yang telah mengejutkan mereka daripada mimpi yang panjang.

Sesungguhnya, manusia tidak selalu berada pada jalan keimanan. Terkadang, ombak nafsu memukul badai-badai iman menyebabkan kita tewas dan karam dalam pelayaran kehidupan. Hanya mujadah yang tinggi mampu menjadi benteng untuk melawan gelora yang sentiasa datang. Namun, andai sudah tersimpang daripada pelayaran, kembalilah mengikut kompas Islam yang jarumnya sentiasa tepat dalam menyuluh setiap persimpangan. Simpanlah sejarah semalam sebagai releksi diri untuk hari kemudian. Jam taubat masih berbaki dan pintu keampunaNya masih terbuka luas. Doakan hari esok masih ada mentari agar camar-camar yang sesat temui jalan pulang. .. wallahualam…

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan perlanggaran/permusuhan.” (Al-Maidah: 2)


:: Humaira Hanafi ::

0 comments

Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta