
"Haikal, hari ni tak boleh gigit orang tau. Pukul orang, tak boleh ye".
Dengan senyuman dan contoh, nasihat ini ku tujukan kepada anak kecil berumur 2 tahun setengah yang sangat ligat dan lincah. Mata Haikal terkebil-kebil melihatku. Faham atau tidak, aku tidak tahu. Tetapi di dalam hati, semoga hari ini dia menjadi lebih baik dari semalam,doaku.
Keletah anak-anak kecil di taska/tadika, tempatku bekerja sementara sangat menggembirakan hati. Mereka bermain, berkejaran, bergelak ketawa tanpa memikirkan hal-hal lain. Mereka sungguh gembira di dunia ciptaan mereka sendiri. Untuk aku yang berkejaran ke sana ke mari, menjaga mereka seperti tiada rasa letih mahupun bosan tatkala mereka datang dan bermanja denganku. Sungguh indah saat itu.
Tiba-tiba,
" teacher, iman buat air tumpah!"
"teacher, haikal gigit pika!"
" teacher, farihah muntah!"
Pelat suara mereka mengadu mengenai kawan- kawan menaikkan sedikit kemarahan tapi, bila difikirkan , " budak-budak kecil, apalah sangat".
Anak-anak kecil yang tidak mengetahui apa-apa ini, selalu aku renung dan fikir, apa mereka akan jadi suatu hari kelak. Adakah mereka akan sentiasa berada di atas landasan yang benar atau tergelincir. Semuanya terletak pada cara didikan dan persekitaran mereka semenjak awal kelahiran. Enam tahun pertama adalah waktu yang sangat penting bagi tumbesaran seorang manusia. Ini kerana pembelajaran pertama mengenai kehidupan bermula. Mereka memerhati, mengikuti dan mengingati. Pemerhatian mereka sangat fokus, memori mereka bagaikan span, dan kelincahan mereka mencontohi seseorang tidak boleh dipandang enteng.
Guru- ilmu dan peranan
Tanggungjawab sebagai seorang guru kepada anak kecil juga mempunyai cabarannya tersendiri kerana setiap tutur kata, perlakuan diperhati dan diikuti. Salah kata, nayalah kita. Silap cara marah, tanggunglah akibatnya. Guru bukan hanya sekadar mengajar, tapi sebagai pengganti ibubapa mereka, pendidik, pengasas, dan paling penting role model. Jawatan ini, walaupun gajinya kecil, tapi tanggungjawabnya besar. Nilai diri sebelum terjun ke alam dunia kanak-kanak ini. Cukupkah ilmu di dada, sayangkah kita pada kanak-kanak, elokkah akhlak kita,semua itu harus diambil kira. Jika tidak, malang nasib si anak kecil itu.
Di kala itu, Alhamdulillah, aku sangat bersyukur belajar di UIA yang mengadakan silibus Human Development dan Learning Process and Special needs untuk para pelajar sains, maka aku tidak terkontang-kanting menjaga dan mendidik mereka. Ajaran Dr Mastura (ABIM) mengenai pendidikan awal kanak-kanak dari pespektif barat dan Islam digunakan sebaiknya, dengan harapan tumbesaran anak-anak ini menyeluruh dari segi akal, jasmani, ruhani, akhlak dan sosial. Teorist Barat seperti Piaget, Albert Bandura, Vygotsky, Pavlov mengenai galakan dan hukuman (baca: reinforcement and punishment) dan pandangsarwa tokoh Islam iaitu Imam Al-Ghazali yang menekankan tentang nasihat dan contoh ikutan untuk kanak-kanak dijadikan bekalan untuk aku berhadapan dengan mereka. Lagi, sabda Rasulullah s.a.w,
“The child is the master for seven years; and a slave for seven years and a vizier for seven years; so if he grows into a good character within 21 years, well and good; otherwise leave him alone because you have discharged your responsibility before Allah.”
The same hadith has been explained by Imam Ja`far as-Sadiq (a.s.): “Let your child play upto seven years; and keep him with you (for education and training) for another seven years; then if he succeeds (well and good); otherwise, there is no good in him.”
(Sumber: www.al-islam.org/islam_faith_practice_history/35.htm)
Tujuh tahun pertama adalah waktu untuk bermain bersama-sama, jadi aku selalu sahaja menjadi kawan-kawan mereka. Jika mereka bermain puzzle, apa sahaja alat permainan, berterabur memenuhi ruang taska itu, aku biarkan sahaja sampai mereka puas bermain. Setelah itu, aku panggil mereka kembali, mengutip bersama-sama permainan tersebut untuk disimpan semula.
Kurangkan arahan, banyakkan contoh dan ikutan. Kurangkan membebel, banyakkan mendengar. Kurangkan marah, banyakkan galakan.
"wow, bagus la farihah"
"haa macam tu la,bijak, bijak"
Ibubapa zaman sekarang
Lagak ibubapa yang menghantar anak-anak mereka juga aku perhatikan. Latar belakang keluarga, didikan ibubapa, bilangan adik-beradik, pendapatan keluarga dan persekitaran menjadi pensil warna yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak kecil ini nanti. Ada ibubapa yang menghantar anak awal pagi dan mengambil mereka lewat petang, ada ibubapa yang menghantar anak bersama-sama, ada yang berseorangan, ada yang bermotosikal, berkereta mewah dan bermacam ragam lagi. Kehidupan di bandar sangat menuntut masa yang lebih untuk mencari pendapatan, maka tinggallah anak ini seharian di taska. Masa bersama anak-anak semakin sedikit, apatah lagi jika anak ramai dan ada anak emas dalam keluarga, apa akan jadi pada anak yang lain? Perkara yang kecil sebegini,jika diteruskan, maka penyesalan di akhirnya. Walaupun aku melihat anak-anak ini gembira bermain dengan rakan-rakannya, tapi di satu sudut aku dapat melihat betapa mereka sangat dahagakan perhatian ibubapa. Mereka hanya anak kecil yang tidak tahu apa-apa, tapi kita sebagai orang dewasa, punya akal, yang pernah melalui zaman itu pasti merasainya.
Islam- modul dari Ilahi
Alhamdulillah, di taska/tadika ini dengan bermodulkan Little Ones Education World, anak-anak diajar dengan bahasa Melayu, Inggeris dan asas Bahasa Arab. Tambahan lagi, penekanan solat, zikir, Asma'ul Husna telah menjadi rutin harian mereka dan doa- doa seharian diajar, agar mereka tahu asas Islam ini sedari kecil.
"minum berdiri! Nak kawan dengan syaitan ke?!"
"sshhhh, malaikat nak bagi pahala ni,.semua sssshhh (baca:diam)"
"Allah sayang Izzah kalau izzah dengar cakap teacher."
Penekanan tentang perkara-perkara ghaib seperti malaikat, syurga, neraka sangat memberi impak besar dalam kehidupan mereka. Ada seorang Dr. PhD berpendapat bahawa anak-anak kecil perlu diajar perkara yang logik dan objektif, perkara yang tidak nampak ini diajar bila mereka besar kelak. Oh, satu tanggapan yang salah!!.Menurut pengasas modul Little Ones, dipanggil Ummi, pada waktu mereka kecil inilah waktu paling sesuai untuk mengajar perkara asas ini kerana kita Islam dan Islam itu agama fitrah. Lihatlah, anak-anak pasti menurut kata bila kita memberi ancaman, galakan tentang ganjaran yang Allah berikan pada sesiapa yang berbuat baik.
Minggu terakhir
Aku rasakan seperti tidak mahu berhenti kerja lagi, tapi apakan daya, ada perkara lain yang menuntut perhatianku. Lincah, pelat kata-kata, manja, nakal mereka menjadi perkara terindah dalam hidupku. Walaupun hanya enam minggu, sangat banyak yang aku pelajari dari mereka dan keluarga mereka. Kita belajar, mengajar dan diajar.
Untuk akhirnya, pesanan untuk diri dan sahabat sekalian yang bakal menjadi walid dan ummi, tuntutlah ilmu mengenai pendidikan kanak-kanak, carilah pengalaman di luar sana, dan lihatlah sekeliling kita supaya bakal anak-anak kita mendapat yang terbaik dari kita sebagaimana kita ditarbiyah di jalan ini. Wallahu'alam.
:: Eifa Nisa :: ^__^


untuk dapatkan bakal anak-anak yang terbaik, perlu mendapatkan dulu bakal pasangan yang terbaik..wallahu a'lam