Bismillahirrahmanirrahim
09/03/2012 (JUMAAT)
8.00 MALAM
Bertolak dari UIA, dengan menaiki kereta Wira, kami berlima menelusuri malam menghala ke sebuah pusat membeli-belah keluarga di bandar Kuantan, Kuantan Prade atau lebih popular dipanggil KP. Berbekalkan sedikit ilmu dan pengetahuan tentang apa yang terjadi di Selatan Thai, kami terus bergerak ke sana dengan misi menyebarkan risalah Permata Tinta, "Selatan Thailand" kepada pengunjung-pengunjung KP. Hanya kepada Allah kami berserah, hanya kepada Allah kami meminta keberanian dan keyakinan.
8.15 MALAM
Setelah selamat tiba di KP, kami melihat pengunjung yang berpusu-pusu datang, dengan pelbagai karakter manusia. Ada yang bersama keluarga, bersama kawan-kawan, bersama pasangan masing-masing. Ada yang bergaya, ada yang biasa-biasa, ada juga yang 'unik'. Majoritinya Melayu dan insyaAllah,beragama Islam. Semuanya datang dengan tujuan yang sama; membeli-belah dan kerja. Kami melihat sekeliling. Dari mana ingin dimulakan? Kami berlima duduk sebentar di food court mencari-cari siapa yang akan kami berikan risalah ini.
Dengan semangat dan sedikit keberanian, kami terus menjalankan misi. Orang-orang yang lalu berdekatan kami menjadi sasaran. Makcik yang menjual di kafe, adik comel penjual kerongsang, kakak cantik penjual baulu, ibu kepada anak yang terpinga-pinga melihat orang ramai, pasangan yang membeli air McDonald dan ramai lagi. Risalah yang kami y ada semakin berkurangan, tapi pengunjung masih ramai. Kami melangkah ke tempat tumpuan ramai pula,pastinya tempat jualan diskaun. Sekitar aras bawah KP kami jelajahi, The Store, kedai pakaian, gerai (booth) alat telekomunikasi dan lain-lain.
Ada yang terus mengambil risalah, ada yang sempat kami tanya "Tahu tak apa yang terjadi di Selatan Thai sekarang?" " Tahu tak penduduk di sana adalah seperti kita?, orang melayu, beragama Islam" ., ada yang seakan tidak suka kepada kami, ada yang bagaikan mengelak dari kami, ada yang pelik melihat kami dan macam-macam ragam lagi.
9.50 MALAM
Alhamdulillah, selesai sudah. Kami mencari tempat makan setelah seharian tidak menjamah santapan (dalam 2-3 orang belum makan). Maka, Jelita Restaurant menjadi pilihan, lalu kami menempah makanan. Soalan pertama dari Ketua misi kami,."Apa yang kamu semua dapat dari misi tadi dan apa perasaan kamu?" Ya, soalan terbaik dari ladang.
Seorang demi seorang berkongsi , dan apa yang dapat disimpulkan bahawa semua mempunyai kesedaran betapa pentingnya menyedarkan orang ramai khususnya penduduk Kuantan tentang kisah di Selatan Thai ini. Ini kerana mereka adalah jiran kita, serumpun dan seakidah dengan kita.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda, "takkan sempurna iman seseorang jika dirinya kenyang tapi jirannya kelaparan" .
Tambahan lagi, kami sebenarnya berasa terpanggil untuk melakukan sesuatu demi umat sejagat atas nama Islam tercinta. Walaupun usaha ini nampak kecil, didoakan semoga ia besar di sisi Allah s.w.t. Mungkin risalah tersebut tidak dibaca oleh pengunjung tersebut, tapi mungkin ada orang lain yang membacanya dan melakukan sesuatu untuk penduduk di Selatan Thai; berdoa, menyalurkan kewangan dan menyampaikan berita tersebut kepada orang lain pula.
Jika ditanya tentang perasaan, 'alah bisa, tegal biasa'. Kami semua pernah melalui misi sebegini, ada yang kali ke-2, ke-3. Perasaan itu sudah menjadi biasa dan kurang rasa gugup. Bagus!
Bila difikirkan kembali, adakah biasa itu sudah bagus? Ya, pastinya ia bagus, malah ia akan jadi lebih bagus apabila setiap kali misi sebegini, proses pembaikan diri sendiri berlaku. Jika dahulu hanya memberi risalah tanpa berkata apapun,pada masa akan datang sudah boleh berkata dan berkongsi sesuatu. Jika dahulu, risalah hanya untuk orang-orang terpilih sahaja (orang yang nampak baik sahaja), sekarang pada sesiapa sahaja boleh dihulurkan risalah tersebut. Jika dahulu kurang kemahiran berkomunikasi, pada masa akan datang, dengan sesiapa sahaja boleh beramah mesra.
10.50 MALAM
Selesai sudah santapan rohani dan jasmani, kami bertolak pulang.
Harapan kami, semoga generasi akan datang meneruskan misi sebegini .
Nukilan:
AFIFAH MAT ASIN
IBRAH AYAT AL-QURAN
”Dan taatlah kepada Allah dan rasul-Nya (rasul Allah), jangan kamu berselisihan kerana itu (menyebabkan) kamu menjadi lemah, dan hilang kekuatan kamu serta bersabarlah (kerana) Allah beserta orang yang sabar”. [Surah Al-anfal: 46]
Ayat diatas menyeru kita kepada 3 perkara:
Pertama: patuh perintah Allah
Kedua: patuh kepada Rasul
Ketiga: jangan berselisih faham sesama manusia kerana ia kan menjadikan manusia itu lemah
Jika difokuskan kepada perkara yang ketiga, ia sangat relevan kepada kita para mahasiswa. Setiap daripada kita pasti ada berkecil hati atau berselisih faham sesama rakan-rakan, guru dan orang sekeliling. Ia tidak dapat dielakkan kerana itu lumrah kehidupan. Namun begitu, diri kita sendiri perlu memilih adakah mahu diteruskan perselisihan faham itu? Maka, ketika inilah rasional dan kesabaran perlu hadir dalam diri untuk kita mengawal nafsu marah dan segala bisikan syaitan yang mampu memburukkan keadaan ini. Oleh itu, permasalahan seperti ini harus diselesaikan segera dan dielakkan kerana, Allah S.W.T telah menjelaskan bahawa masalah ini akan menjadi barah yang akan melemahkan manusia sekali gus menghalang kita untuk menjadi Super Umat.
OH PENSEL
Di satu tempat, ada seorang pembuat pensel yang sangat rajin dan tekun membuat pensel untuk dijual kepada orang ramai. Si pembuat pensel ini sangatlah menjaga kualiti penselnya. Hanya pensel yang berkualiti yang akan dipilihnya untuk diletakkan didalam kotak jualan. Setiap kali si pembuat pensel ingin meletakkan pensel di dalam kotak, setiap kali itulah beliau akan memberi pesanan kepada pensel yang dipegangnya itu. Si pembuat pensel berpesan kepada setiap pensel, “jika engkau mahu menjadi hebat pastikan engkau lakukan 4 perkara:
Pertama: Pastikan engkau digunakan seseorang
Kedua: Kemana sahaja yang engkau pergi, pastikan engkau meninggalkan jejak.
Ketiga: Bersabarlah walau seteruk mana engkau disakiti.
Keempat: Barang yang paling berharga dalam diri kau adalah karbon. Perihalah ia”.
setelah itu, barulah si pembuat pensel menyimpan pensel didalm kotak dan dijual untuk orang awam.
Cuba kita gantikan cerita pensel diatas menjadi cerita kita. Pensel itu ibarat diri kita sendiri. Untuk kita menjadi hebat, hendaklah kita biarkan diri kita berada didalam genggaman Allah S.W.T. Oleh itu, abdikan diri kita kepada Allah. Kemudian, kemana sahaja kita pergi, hendaklah kita menabur bakti dan jasa kepada orang sekeliling yang memerlukan. Adalah rugi seseorang itu jika kedatangannya ke satu tempat itu tidak memberi makna apa-apa dan kepergiannya tidak meninggalkan kesan apa-apa. Sudah pasti dalam lumrah kehidupan, pasti diri kita ada disakiti. Sama seperti pensel, jika kita disakiti, kentalkan jiwa dan bersabarlah diatas ujian yang diberikan. Allah sengaja menguji hambanya. Jika kita tidak redha dengan ujian yang diterima, itu bermakna kita tidak redha dengan Allah. Akhir sekali, karbon dipensel umpama hati didalam diri kita.
Nabi SAW bersabda maksudnya :
"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir)
Kebaikan hati terzahir melalui iman, akhlak dan maruah.
"Kamu (umat Nabi Muhammad saw) merupakan sebaik-baik umat yang Kami (Allah) keluarkan di kalangan manusia (agar) kamu menyeru kepada yang makruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran (kejahatan), serta kamu beriman kepada Allah. Dan sekiranya Ahli Kitab itu beriman, yang demikian itulah baik bagi mereka, (malah) antara mereka ada yang beriman, tetapi kebanyakan mereka adalah orang yang fasik".[ Surah Ali-imran: 110]
Bukan orang yang menjadikan Islam itu hebat tetapi Islam yang menjadikan orang itu hebat.
If you want to conquer the world, you must conquer the intellect.
Oleh yang demikian, jadilah super umat. Perbaiki diri, perkaya ilmu, bertambah amal, bertambah pahala.
Nota: Penulisan berdasarkan perbincangan Usrah Perindu bertajuk Super Umat yang dibentangkan oleh saudari Siti Fatimah Kamaruddin pada sem yang lepas.
Wallahualam.
Nukilan : Mujahidah solehah.





