PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Coretan Dietetik

oleh Hanna Disember 24, 2012









Sebelum ini, mungkin tidak ramai yang kenal dengan jurusan Dietetik. Ada yang mengaitkannya dengan kursus penyediaan makanan, teknologi makanan dan sebagainya. Hakikatnya Dietetik merupakan satu cabang yang berbeza. Dietetik lebih fokus kepada terapeutik diet untuk tujuan penjagaan pesakit yang mempunyai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, kegagalan buah pinggang, gout, dan banyak lagi. Saya merupakan ‘fresh graduate’ Dietetik UIAM tahun 2012. Dan harus saya katakan bahawa saya amat bersyukur diterima masuk ke jurusan ini. Mengambil kata-kata pensyarah saya, Dietetik ini satu bidang yang kita boleh aplikasikan di mana-mana. Sebaik sahaja anda menguasai ilmu yang diperlukan, anda dapat berkongsi manfaatnya bersama ahli keluarga, kawan-kawan, saudara-mara, dan masyarakat. 

Melalui pengalaman sendiri, saya berkesempatan bertemu pesakit yang berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan pemerhatian dietitian dan pegawai perubatan. Kadangkala kita sangka pesakit itu mungkin tidak dapat bertahan lama, namun apa yang mengejutkan adalah setelah diberi ubat-ubatan dan makanan khas melalui tiub yang disediakan, pesakit sembuh beransur-ansur dan kembali pulih. Kita sebagai Muslim yang menuntut ilmu percaya semua yang terjadi merupakan kekuasaan Allah dan dalam masa yang sama kita tetap perlu berusaha untuk memberikan yang terbaik buat para pesakit. 

Berada dalam jurusan ini, pelajar juga berpeluang menganjurkan program dengan masyarakat dari pelbagai lapisan umur. Ditugaskan memberi ceramah kepada warga emas, pelajar sekolah, dan golongan mahasiswa benar-benar mencabar kebolehan kita menyampaikan mesej kepada semua lapisan masyarakat. Setiap kumpulan sasaran mempunyai cara pendekatan yang berbeza. Oleh itu, pengetahuan mengenai panduan pemakanan harus disusuli dengan teknik penyampaian yang mampu membuka mata para pendengar kita.
Seorang dietitian bukan sahaja perlu berada di dalam klinik atau wad-wad hospital. Kita juga berperanan penting untuk menguruskan dapur yang menjadi nadi utama sesebuah hospital. 

Pengalaman berpraktikal di dapur sebuah hospital yang mempunyai kapasiti 800 pesakit sangat menguji ketangkasan dan kesabaran. Resepi perlu diubah suai mengikut jenis penyakit yang dihadapi para pesakit dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan setiap pesakit mendapat diet yang tepat. Kita juga perlu memastikan penyediaan makanan adalah mengikut prosedur, selain memastikan makanan yang disajikan bersih dan selamat. Bayangkan apa yang boleh berlaku seandainya pesakit yang mempunyai kencing manis dan darah tinggi dihidangkan makanan sama seperti pesakit yang hanya mengalami kemalangan. Bahaya bukan? 

Ini sahaja serba sedikit yang dapat saya kongsikan mengenai kursus ini. Untuk merasai dan melalui sendiri apa yang telah saya rasai, tetapkan hati kalian di jalan ini. Di hujung jalan nanti pasti kalian akan merasa kemanisan ilmu yang diperolehi sepanjang perjalanan. Moga kita bertemu satu hari nanti sebagai dietitian muslim yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan agama Islam. Mari bersama-sama mengajak masyarakat menjalani gaya hidup yang sihat demi melahirkan negara yang produktif. Wallahua’lam.

‘Azizah Mohamed
Graduan Dietetik UIAM 2012

0 comments

Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta