Assalamualaikum
dan Selamat Datang ke bumi Kuantan! Pastinya semua tak sabar nak mulakan
kehidupan di sini kan, yang perubatan tak sabar nak tengok mayat, yang farmasi
tak sabar nak main ubat, yang pergigian tak
sabar nak cabut gigi dan macam-macam lagi. Termasuk jugak yang sains
matematik tak sabar nak ... ? Agaknya apa ya.
Setiap
jurusan pasti ada kelebihan dan cabaran masing-masing yang sudah tentunya
berbeza. Jujur saya katakan, sebagai pelajar Kuliyyah Sains di UIA, terutamanya
jurusan Sains Matematik, cabaran yang paling utama ialah cabaran masa dan
cabaran mencari makna di sebalik ilmu matematik. Ternyata jadual kelas jurusan
ini teramatlah lengang jika nak dibandingkan dengan jurusan lain sehingga boleh
disusun menjadi empat hari sahaja untuk ke kelas dalam seminggu. Maka di
sinilah datangnya cabaran pertama. Ke mana mahu diluangkan dan dimanfaatkan
amanah masa ini. Anda harus bijak memilih dan merancang agar tidak tergolong di
kalangan orang yang kerugian. Tatkala ada di kalangan sahabat yang memilih
untuk meluangkan masa ini di pawagam atau berjalan-jalan sahaja, bersabarlah
dari keinginan untuk menikmati keseronokan ini dan pilihlah nikmat yang lebih
kekal sifatnya. Jangan biarkan diri dilanda musibah yang jauh dari rahmat
Allah, iaitu dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.
Sejarah
mencatatkan, ilmu Matematik adalah ilmu asas bagi semua ilmu sains yang lain.
Hal ini benar jika Matematik dilihat pada falsafahnya, bukan pada mekanikalnya
semata. Matematik adalah ilmu yang membawa manusia kepada kebenaran. Namun, bukan mudah untuk menggali falsafah
ini jika pelajar hanya sekadar ke kelas, menyiapkan tugasan dan bertungkus
lumus cuba menyelesaikan setiap masalah yang diberikan tanpa pemahaman yang
kritikal. Indahnya Matematik itu bukan pada kira-kiranya, tetapi pada pemikiran
kritikalnya dalam mencari sebab kenapa begini dan kenapa begitu yang akhirnya
akan membentuk pemikiran yang menepati agama Ilahi. Jika tidak faham, terus
Tanya dan jangan bertangguh, banyakkan pembacaan rajinkan diri berjumpa
pensyarah. Ingat, Matematik ini ilmu tentang kebenaran. Berusahalah mendalami
ilmu ini dengan niat dan akhlak yang benar.



0 comments