Semasa mengikut rondaan wad (ward round) bersama seorang pensyarah perubatan yang merupakan pakar perubatan respiratori (pernafasan) yang berbangsa Cina, saya dan beberapa pelajar perubatan berpeluang melihat bagaimana beliau menyampaikan berita buruk (bad news) kepada seorang wanita muda berumur 21 tahun mengenai penyakit beliau. Wanita muda itu, seorang Melayu beragama Islam, berseorangan di katil beliau ketika itu. Beliau disahkan menghidap barah paru-paru. Beliau diberitahu tentang penyakit tersebut, di mana ia telah merebak ke organ-organ lain (peringkat akhir) dan rawatan kemoterapi yang ada hanya dapat memperlahankan progres penyakit sebelum barah itu menutup atau menekan saluran pernafasannya. Doktor menasihati beliau supaya berbincang dengan suami dan keluarga berkenaan penyakit dan rawatan tersebut. Beliau tenang mendengarnya dan mengangguk-anggukkan kepalanya sebagai respon.
Kemudian, doktor menerangkan kepada kami, perbezaan menyampaikan berita buruk kepada pesakit Muslim dan yang bukan Muslim. Beliau mengakui, lebih mudah untuk menyampaikan berita kepada orang Islam kerana mereka percaya kepada takdir Tuhan (Allah) berbanding orang bukan Islam yang biasanya akan marah dan ada yang tidak dapat menerima kenyataan kerana bagi mereka kehidupan telah berakhir dan tidak bererti lagi.
Walaubagaimanapun, beliau menyambung bahawa daripada pengalamannya, ada keburukannya sikap orang Islam yang percaya kepada takdir Tuhan. Mereka tidak datang untuk meneruskan rawatan kerana berasa tiada gunanya lagi dan hanya menanti saat kematian atau mencari perubatan alternatif seperti bomoh dan pawang yang biasanya mempunyai unsur khurafat.
Di sini, kita dapat melihat beberapa jenis pandangan alam seseorang pesakit terhadap penyakit dan kematian. Jika mengikut ajaran Islam yang sebenar, penyakit itu datangnya daripada Allah, ajal juga ketentuan Allah tetapi kita disuruh berikhtiar setakat yang kita mampu dan bertawakkal kepadanya keran penwar sesuatu penyakit juga datang dengan izin Allah, bukan kerana kehebatan rawatan yang diberikan.
Orang yang tidak percaya kepada qada’ dan qadar dan hari akhirat seperti orang kafir akan bereaksi marah, dan tidak dapat menerima kenyataan jika diberitahu tiada penawar untuk penyakit mereka.
Orang Islam yang mendakwa mereka percaya dengan Qada’ dan Qadar tetapi tidak beriman sepenuhnya atau tidak memahami dengan betul konsep Qada’ dan Qadar itu, akan berputus asa atau berusaha menggunakan cara yang salah.
Hanya orang yang benar-benar mempunyai pandangan alam Islam akan bertindak selaras dengan apa yang mereka yakini, mengikut landasan Islam. Maka, tidak salah rasanya jika saya simpulkan, masih ramai orang Islam yang mengaku mengamalkan Islam sebagai cara hidup, tetapi sebenarnya berpegang pada pandangan alam yang lain dalam urusan kehidupan mereka.


0 comments