PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Pandangan Alam Islam: Kupasan

oleh safwanmohamad Januari 11, 2010

Pandangan Alam Islam, seperti yang ditekankan oleh Prof Al-Attas, adalah pandangan yang menampakkan alam secara keseluruhan. Apabila berhadapan dengan alam, insan melihat alam itu sebagai ciptaan Tuhan yang menguasai seluruh alam dengan kehendak-Nya. Apabila melihat hutan yang luas, insan sedar bahawa Tuhan mengawal dan mengetahui tentang aktiviti setiap satu binatang yang ada di dalamnya, termasuklah setiap ekor semut yang sedang berkerja mengangkut makanan untuk ketuanya. Ia juga termasuk di dalam Ilmu Allah, tentang bilangan daun yang menghijau yang ada di ranting, daun yang kekeringan, dan setiap satu helai daun yang gugur ke muka bumi.

Apabila melihat insan yang sedang berjalan di atas muka bumi, insan yang mempunyai Pandangan Alam Islam akan menyedari bahawa insan itu adalah makhluk Allah, yang diciptakan daripada ketulan tanah liat dan ditiup kepadanya ruh. Insan itu diciptakan dalam bentuk asalnya sebagai sperma yang hina dari tempat yang 'hina', seterusnya bercantum dalam proses persenyawaan yang menyerupai binatang lain, dan membentuk anggota badan, akhirnya keluar juga dari tempat yang hina. Tiada apa yang dapat dibanggakan oleh insan itu kecuali kehinaan yang ada pada dirinya. Namun, insan yang hina ini diangkat oleh "Tuannya" supaya menjadi 'wakil-Nya' yang akan memerintah bumi ini. Tanpa pengiktirafan 'Tuannya', maka tiada apalah nilai insan yang hina itu.

Apabila melihat sesuatu, insan terus melahirkan pemikiran demi pemikiran yang mendalam. Itulah kerangka Pandangan Alam, dan Pandangan Alam Islam adalah apabila secara fitrahnya atau tidak, proses berfikir itu sentiasa berada di atas landasan Islam.

Falsafah, pada maknanya ialah 'pemahaman tentang hakikat sesuatu'. Maknanya, ahli falsafah, mengikut Hamka, adalah mereka yang memahami tentang hakikat. Proses pemahaman ini berlaku dengan proses berfikir. Dan proses berfikir yang benar adalah apabila asasnya adalah benar. Asasnya adalah pada Pandangan Alam.

Apabila insan menerima penyakit, insan itu mula berfikir. Ada yang memikirkan tentang kesalahan lalu. Ada yang memikirkan kesan penyakit tersebut. Ada yang memikirkan anak-anak di rumah. Ada yang memikirkan bala Tuhan. Dan sebagainya.

Pandangan Alam Islam akan membuatkan insan memikirkan mengikut aliran Qada' dan Qadar. Insan akan memikirkan penyakit itu dari segi rohaniah dan jasmaniyah. Penyakit akan membuatkan kita menginsafi bahawa Allahlah yang berkuasa menentukan setiap perjalanan hidup kita. Setiap molekul dalam badan kita adalah hak-Nya. Insan hanyalah memegang amanah. Dan penyakit itu tidak akan mematahkan semangatnya menjalankan amanah yang lain, kerana selagi insan hidup, amanah tetap dipikulnya. Dan amanah menjaga badan itu tetap perlu dipikulnya. Sama juga dengan amanah seperti solat, jihad, dakwah, dan sebagainya.

Adakah insan perlu berubat untuk sembuh? Tidak juga, kerana berubat adalah sebagai 'proses menjalankan amanah'. Yang akan menyembuhkan adalah Allah.

Manusia kini tersasar pemikirannya kerana terpengaruh dengan kerangka Pandangan Alam yang bukan Islami. Mereka terpengaruh dengan sekularisme, yang membawa makna 'kini' dan 'sini'. Maknanya, mereka hanya memikirkan 'apa yang berlaku sekarang' dan 'apa yang berlaku di sini'. Ia secara tidak langsung menafikan kewujudan 'Kuasa Allah' dan 'Hakikat' sesuatu itu.

Inilah serba sedikit yang saya faham tentang Pandangan Alam Islam...

0 comments

Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta