PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Isu Guna Nama Allah

oleh Permata Tinta PKPIM Januari 06, 2010

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penggunaan perkataan "Allah" oleh akhbar mingguan, Herald-The Catholic Weekly pada 31 Disember 2009 yang lalu mengundang suasana yang tegang dalam kalangan umat Islam di Malaysia. Pelbagai reaksi dapat dilihat daripada rakyat biasa, badan bukan kerajaan, ahli politik termasuk pemimpin negara. Terbaru, Perdana Menteri, Dato' Najib Tun Abdul Razak, memberi jaminan akan mengadap Yang Di-pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk menyelesaikan isu ini.

Fahami Isu Dengan Betul

Penggunaan kalimah "Allah" oleh orang kafir bukanlah sesuatu yang asing. Sebelum kedatangan Nabi sekalipun, kelompok ini mengenali Allah sebagai Tuhan Semesta Alam, yang menurunkan hujan, memberi rezeki dan sebagainya. Ia bermaksud mereka mengakui keagungan Allah sebagai Yang Maha Berkuasa. Malah, semasa perjanjian Hudaibiyah, mereka memulakan surat perjanjian dengan menulis, "Dengan Nama-Mu Ya Allah".

Di dalam Al-Quran sendiri turut memperakui fenomena ini. Semasa alam roh sekalipun, kesaksian tentang Allah sebagai Tuhan telah diakui oleh seluruh manusia. Fitrah bertuhan sudah sedia ada di dalam diri manusia. Maka, ia bukan sesuatu yang ganjil jika kita mendengar orang bukan Islam menyebut perkataan "Allah".

Di mana perbezaannya?

Perkara yang menjadi isu ialah perkataan "God" dalam bahasa Inggeris ingin diterjemahkan sebagai "Allah" dalam Bahasa Melayu. Di sini titik perbezaannya.

Jika perkataan human ingin diterjemahkan, maka perkataan yang sebenarnya ialah manusia, bukan Yusof atau nama seseorang yang lain.

Jika God yang ingin diterjemahkan, maka perkataan yang paling tepat ialah Tuhan, bukan Allah atau nama khas yang lain.

Allah ialah nama khas yang merujuk kepada Tuhan Yang Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan. Inilah sifat khusus yang diterangkan di dalam Al-Quran.

Andai terjemahan God kepada Allah diguna pakai, ia akan membawa kepada keterangan-keterangan yang menyeleweng.

Perkara ini yang sebenarnya menjadi kekhuatiran kita. Kalau pun pihak tertentu menganggap ia tidak membawa apa-apa, ia pasti memberi kesan buruk dalam tempoh jangka masa panjang.

Kalau pun bukan kita yang merasainya, generasi akan datang akan menerima padahnya.

Jadilah Muslim yang realiti.

Sudah semestinya sebagai Muslim yang benar, kita hanya meletakkan segala bentuk pengabdian diri hanya kepada ALLAH.

Jangan asyik merebut itu dan ini, setuju itu dan ini, tanpa disedari aqidah dan keyakinan turut tergadai.

Pastikan emosi tidak mengawal diri.

Pastikan juga aqidah sentiasa subur di hati.

Sumber: Muhammad Ukasyah Azhari

0 comments

Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta