PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Perkongsian usrah naqibat (Pandangan Alam Islam)

oleh Ili Hazwani Januari 10, 2010

Pandangan Alam
Pandangan alam ialah bagaimana persepsi seorang terhadap hidupnya. Dengan pandangan alam itulah secara sedar atau tidak seseorang itu membentuk perinsip-perinsip dalam hidup dan menjalani kehidupan berlandaskan perinsip itu. Maka, pandangan alam akan menentukan apakah matlamat atau apa yang ingin dicapai dalam kehidupan dan seterusnya bagaimana seseorang itu menjalani kehidupan.


Manusia sentiasa mencari pedoman untuk memandu kehidupan. Oleh sebab itu terdapat pelbagai pandangan alam yang dicipta oleh manusia menggunakan akal fikiran. Ini termasuklah komunisme, materialisme, kapitalisme, sekularisme, Darwinisme, dan sebagainya. Pandangan-pandangan alam ini semuanya ada kekurangan dan kelemahan menyebabkan manusia yang hidup dengan berpegang pada pandangan-pandangan alam ciptaan mereka sendiri atau manusia lain tidak berjaya menemui kebahagian dalam hidup dan tidak dapat hidup dengan harmoni.


Terdapat juga pandangan alam yang dicipta berdasarkan agama. Walaubagaimanapun, timbul pula persoalan, dari manakah asalnya agama itu? Adakah ia benar-benar daripada Tuhan atau ia merupakan rekaan atau olahan manusia yang mendakwa agama itu dari sumber ‘divine’.


Pandangan Alam Islam

Islam adalah agama yang bukan ciptaan manusia. Islam adalah ciptaan Tuhan yang menciptakan manusia, yang Maha mengetahui apakah yang diperlukan oleh makhluknya yang bernama manusia. Seorang Muslim mestilah mempunyai pandangan alam Islam jika dia benar-benar memahami dan meyakini hakikat Islam. Sesungguhnya tiada cara yang lebih baik untuk hidup di alam ini melainkan menjadikan Islam sebagai pedoman.


Islam merupakan ‘Aqidah, yang
menjelaskan pengertian yang benar terhadap alam in serta manusia dan kehidupannya. ‘Aqidah ini menegaskan kepada manusia, bagaimana kewujudan dirinya, bagaimana rahsia kejadiannya, dan untuk apa dia diciptakan.


Jika kita renungi ajaran-ajaran Islam, jelas pada kita bahawa Islam adalah
pedoman hidup yang paling lengkap dalam tinjauan yang menyeluruh. Islam berisikan Undang-undang, yang mengatur bagaimana hubungan individu dengan jiwanya sendiri, bagaimana hubungannya dengan keluarganya, dan bagaimana pula hubungannya dengan masyarakat.

Islam mengandungi ajaran
yang lengkap, tentang teori dan ‘amal, tentang dasar dan prinsip. Dan di atas dasar dan prinsip itu ditegakkan peraturan-peraturan yang lengkap, yang menetapkan bagaimana pedoman hidup bagi masyarakat dan bagi ummat manusia seluruhnya.

Dalam dunia ini ada tiga kategori manusia:

i. Golongan Yang Hidup Untuk Dunia Sahaja.

Golongan ini ialah golongan kebendaan (materialis), samada berdasarkan falsafah mahupun golongan "Dahriyyin". Pandangan Dahriyyin ini dijelaskan oleh Al-Quran sebagaimana berikut:

Dan tentulah mereka akan berkata pula: Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati.
(Surah Al-An'aam, Ayat: 29).

Sebenarnya apabila manusia mengingkari wujudnya kehidupan selepas alam nyata, mengingkari adanya hari perhitungan terhadap segenap perilaku malah seluruh cita dan usahanya akan tertumpu hanya untuk merangkul dunia yang fana ini. Ilmunya pun sekadar itu juga.


ii)
Golongan Yang Sesat Antara Dunia dan Akhirat.

Mereka ini adalah terdiri dari golongan minoriti, akidah mereka bersimpang siur dan usaha mereka di dunia ini adalah usaha yang sia-sia, tanpa berkat dan restu Allah. Namun mereka menyangka yang mereka telah berbuat baik. Orang ini walaupun percaya pada Allah dan hari Akhirat, namun akidah mereka tidak lebih dari gambaran palsu yang terpisah dan terputus dari realiti kehidupan.


Mereka ini pada hakikatnya termasuk dalam golongan yang menganut fahaman kebendaan sekalipun pada zahirnya mereka melakukan sebahagian dari upacara-upacara kerohanian.


iii. Golongan Yang Menganggap Dunia ini Adalah Ladang Tanaman Untuk Di Akhirat.

Mereka inilah golongan yang benar-benar beriman, mereka mengetahui hakikat hidup ini. Mereka menginsafi nilai hidup di dunia ini dibandingkan dengan akhirat kerana firman Allah s.w.t:

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? (Surah Al-An'aam, Ayat: 32).


Ekoran dari rendahnya nilai dunia jika dibandingkan dengan akhirat maka kehidupan dunia tidaklah sampai menghalang dan menyibukkan mereka daripada melaksanakan tujuan dan matlamat mereka diciptakan oleh Allah.

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Surah Az-Zariyaat, Ayat: 56).


Orang-orang yang benar menggabungkan dirinya dengan Islam menganggap dunia ini sebagai medan untuk mereka berbakti mentaati Allah dan memperolehi keredaan-Nya. Seluruh hidup mereka baik ilmu pengetahuan, perniagaan, harta kekayaan, rumah tangga, masa dan waktu serta pemikiran mereka semuanya dicurahkan untuk tujuan mentaati Allah.

Bagaimana Caranya Hidup Untuk Islam:
Supaya hidup ini terarah menurut lunas-lunas Islam maka beberapa masalah pokok haruslah difahami serta dihayati sebagai satu kewajipan.
Contohnya:

i. Mengenali Tujuan Hidup.

Firman Allah Yang bermaksud: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Surah Az-Zaariyaat, Ayat: 56).


ii. Menginsafi Nilai Dunia Ini Dibandingkan Dengan Akhirat.

Firman Allah Yang bermaksud: Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. (Surah At-Taubah, Ayat: 38).


iii. Menginsafi Bahawa Maut Pasti Tiba.

Abu Zar Al-Ghiffari r.a berkata: "Saya berkata kepada Rasulullah s.a.w: Apakah kandungan Suhuf Nabi Musa?" Baginda menjawab: "Keseluruhannya adalah pengajaran". Aku merasa hairan terhadap orang yang yakin kepada kematian tetapi ia masih terus bergembira, Aku hairan kepada orang yang yakin tentang neraka tetapi ia masih ketawa, Aku hairan terhadap orang yang meyakini qadar ketentuan Allah tetapi masih kecewa, Aku hairan terhadap orang yang melihat dunia yang membolakbalik penghuninya tetapi ia masih merasa aman terhadap dunia, Aku juga merasa hairan terhadap orang yang meyakini adanya hisab di kemudian hari tetapi masih tetap tidak beramal (untuk bekalan)".


iv. Mengetahui Hakikat Islam.

Iaitu dengan mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu agama, dasar-dasar, hukum-hakam, yang halal dan yang haram. Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya ilmu itu hanya diperolehi dengan belajar dan kefahaman pula hanya didapati dengan mendalaminya, sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan pada dirinya, diberikan kefahaman yang mendalam di dalam urusan agama". (Riwayat Tabrani).


v. Mengetahui Hakikat Jahiliah.

Iaitu dengan meneliti ciri-ciri pemikiran jahiliah, aliran-aliran dan perancangannya. Di samping menyingkap akibat-akibat dan keburukannya. Dengan memahami hakikat ini kita tidak terperangkap ke dalam jaring-jaringnya selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w:

"Sesiapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum itu ia akan terselamat
daripada tipu helah mereka".


Sifat-sifat Orang yang Hidup untuk Islam

i.
Benar-benar Terikat dan Menurut Ajaran Islam.
ii. Mencari denagn teliti sesuatu yang mendatangkan maslahat kepada Islam

iii. Merasa bangga dengan kebenaran dan kepercayaan kepada Allah

iv. Beriltizam dengan amal-amal Islam dan bekerjasama dengan orang-orang yang beramal untuk Islam.


Rujukan:

Apa Ertinya Saya Menganut Islam- Al-Marhum Fathi Yakan

Bagaimana Kita Menyeru kepada Islam – Almarhum Fathi Yakan

Lecture Notes Islamic Worldview-UNGS

0 comments

Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta