Lembut sapaan bayu menyapa, desiran ombak menghempas pantai, kehijauan alam sejuk mata memandang, Subhanallah begitu indah ciptaan Tuhan.

Hanya dengan melontarkan pandangan sejenak melihat alam ciptaan-Nya rasa kedamaian dan ketenangan menyelinap masuk memenuhi qalbu..ajaibnya hati ciptaan Rabbul Izzati. Hati bukanlah termasuk dalam kategori 5 deria manusia, namun hati mampu mempengaruhi hidup seorang insan. Tanpa kaki kita masih mampu bergerak, tanpa tangan kita masih mampu menulis, tanpa penglihatan dan pendengaran ia tidak membantaskan kita untuk terus menjalani kehidupan, tetapi andai kita tidak punya hati kita bisa menjadi seperti bangkai hidup yang tiada arah tuju.Sedar tak sedar hati selalu kita jadikan permulaan kepada sesuatu. Hati sering kita kaitkan dalam setiap tindakan yang kita lakukan. Sayang, cinta, suka, rindu, benci, kecewa, marah dan gelisah terletak di hati. Betapa besar peranan yang dimainkan oleh hati dalam kehidupan kita. Syukur kita manusia menjadi makhluk terbaik ciptaan-Nya yang punya akal untuk berfikir dan hati untuk merasa. Persoalannya di sini sudahkah kita berjaya memimpin hati kita dengan baik sebagai tanda syukur seorang hamba kepada Penciptanya? Tepuk dada tanyalah HATI…
Jiwa atau hati adalah raja dalam diri manusia. Ia umpama pemerintah yang menentukan buruk dan baik sifat seseorang. Hati juga ada keperluannya, namun kerana sifatnya yang abstrak (maknawi), maka keperluannya juga bersifat abstrak. Keperluan hati ialah iman dan taqwa. Jika jasad perlukan makan minum, akal perlukan ilmu, maka hati pula perlukan iman(keyakinan). Iman memberi arah tuju kepada segala aktiviti manusia. Ilmu yang tinggi sahaja tidak mampu membawa ke mana-mana tanpa iman yang mantap. Contohnya, “ tahu Allah Maha Melihat” hanya di akal , tetapi untuk merasai Allah Maha Melihat adalah soal hati. Kita kadangkala mementingkan keperluan fizilkal dan akal semata –mata hingga terlupa keperluan hati. Oleh sebab memandang enteng akan keperluan inilah, kita sedang berdepan dengan pelbagai masalah. Maka tidak hairanlah jika kita dapati ramai remaja yang terjerumus ke lembah kejahatan walaupun telah mendapat kemewahan hidup dan ilmu agama yang mencukupi. Persoalkan pada diri sudahkah kita memenuhi keperluan hati kita? Adakah kita meletakkan Allah di hati? Jangan kita biarkan hati kehausan dan kelaparan daripada iman sehingga mati bukan pada masanya.

Seorang ulama terkenal, Ibn Qayyim al-Jauziah dalam kitabnya yang masyur, al-Tibb al-Nabawi, membahagikan penyakit manusia kepada dua bahagian; penyakit hati dan penyakit jasmani. Penyakit hati pula dibahagikan kepada dua. Pertama, penyakit syubhah yang disertakan dengan ragu-ragu. Kedua, penyakit cinta yang disertai dengan kesesatan. Allah s.w.t menjelaskan mengenai penyakit syubhah yang disertakan dengan ragu-ragu, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dalam hati mereka (golongan munafik) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), lalu Allah menambahkan lagi penyakit mereka ( dengan manurunkan al- Quran yang mereka ingkari itu ) dan mereka pula akan beroleh azab yang pedih (lagi menyakitkan) disebabkan mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).” (Surah al-Baqarah 2:10). Antara penyakit syubhah dan keraguan yang dijelaskan Allah s.w.t ialah mereka yang diajak untuk melaksanakan hukum Allah , lalu mereka menolak dan berpaling daripada ajakkan tersebut.
Allah s.w.t juga menjelaskan penyakit cinta sebagaimana firman-Nya : “ Wahai isteri-isteri nabi , kamu sekalian tidaklah sebagaimana wanita lain , jika kamu bertaqwa. Jadi, janganlah kamu tunduk dalam bercakap hingga menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit di hatinya…..”
(surah al-Ahzab 33:32).
Di dalam tafsir Al-Azhar, Profesor Dr. Hamka menjelaskan, orang yang dalam hatinya ada penyakit itu ialah orang yang syahwat dan nafsu berahinya mudah sensitif apabila melihat tingkah laku perempuan yang kadang-kadang melalui ucapan dan kata-kata yang seakan-akan menggoda. Hati hanya boleh menjadi baik jika mengenali Tuhan atau Penciptanya, mengenali nama-nama dan sifat-Nya, perbuatan dan hukum-hukum yang ditetapkan-Nya. Orang yang berpenyakit hati, perlulah berubat dengan melakukan segala yang diredhai-Nya, menjauhi segala larangan dan perkara-perkara yang dimurkai-Nya. Orang yang yang tidak dapat membezakan antara kesihatan hati yang penuh syahwat kebinatangan dan kesihatan hati yang sebenarnya, hendaklah ia menangisi hatinya sendiri, kerana hatinya sudah mati. Nur penyuluh hatinya telah tenggelam dalam kegelapan yang tebal.

Ramai orang yang mengimpikan kebahagian yang letaknya di hati. Mari kita renung sejenak, adakah kita memiliki hati yang sihat dan bahagia? Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia di hati dalam kehidupan ini? Apakah sakit,cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan pelbagai ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.
Oleh sebab itu, ujian hidup bukanlah penyebab hilangnya bahagia. Sebagai analoginya, jika air limau diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Adakah air limau itu yang menyebabkan rasa pedih atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya tangan yang luka itu. Air limau itu umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit.
Hati yang sakit ialah hati yang penuh dengan sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa. dendam, takut, cinta dunia, gila pujian,tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang melanda diri kita hakikatnya hanyalah menzahirkan sifat mazmumah yang telah lama bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta , muncullah sifat tamak, gila pujian dan takbur. Justeru, cercaan manusia, kegagalan dan pelbagai lagi ujian bukanlah penyebab hati hilang rasa bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Faktor kesihatan hati jelas begitu dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding faktor luaran lain. Hal ini jelas menunjukkan rasa bahagia itu lahirnya daripada dalam ke luar-soal hati.
Kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam mengharungi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti kebahagiaan yang sebenar. Firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud:
“ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang .”
(Surah al-Ra’du:28).
Rasulullah s.a.w juga bersabda, bermaksud:
“ Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik , baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati.”
( Riwayat Bukhari dan Muslim)
Baginda bersabda lagi yang bermaksud:
“ Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang ada. Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara kesihatannya agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti sabar, syukur, reda pemaaf dan sebagainya. Apabila hati kita mampu mendorong kita melakukan kebaikan dan menghindari kemungkaran yang ditetapkan oleh Islam dengan mudah maka itulah kemuncak kebahagiaan.
Untuk berubah menjadi insan yang lebih baik pasti bermula dari hati. Hati yang menjadi persoalannya. Usaha memperbaiki diri bukan suatu suratan tetapi suatu perjalanan. Hati sifatnya sentiasa berbolak-balik. Setiap hari proses perubahan sentiasa berlaku. Jika tidak menaik, kita pasti sedang menurun. Pintu kepada perubahan diri ialah kesedaran. Kesedaran yang dimaksudkan ialah bila seseorangg itu nampak dengan mata hati- pandangan hidup (worldview) yang sebenar. Celik mata hati inilah yang dinyatakan oleh Allah s.w.t melalui firman-Nya:
“ Sesungguhnya penglihatan (mata kasar) itu tidaklah buta, tetapi yang buta ialah hati yang ada di dalam dada (mata hati).”
(Surah al-Hajj 22:46)
Orang yang celik mata hati dapat melihat arah,tujuan, jalan, bekalan,dorongan, halangan dan akhiran hidupnya menurut pandangan Pencipta. Kesedaran adalah gerbang awal ke arah perubahan diri. Manusia umpama orang yang sedang tidur, tidak mungkin kita mampu mengajaknya terus bertindak tanpa mengejutkannya terlebih dahulu. Kata Sayidina Ali k.wj.: “manusia kebanyakkannya tidur, apabila mati barulah dia terjaga (sedar).”
Kita perlu kembali kepada pangkal- back to basic. Bermulalah dengan diri sendiri. Mari kita selami dan kenali siapa kita sebenarnya? Kita hayati kata-kata hukama ini: “ Untuk membaiki dunia, baiki manusianya. Dan untuk membaiki manusia, baiki hatinya.” Masalah manusia bermula dan berpunca daripada hati. Justeru, suatu masalah yang bersifat tersirat mesti diselesaikan dengan kaedah yang bersifat tersirat juga. Jalan dan proses untuk berubah itu panjang. Walau apa pun, langkah pertamanya ialah celik mata hati!
Konklusinya, hatilah yang mengemudi kehidupan kita di dunia yang bersifat sementara. Jagalah hati jangan biar ia dikotori. Hati umpama gelas, jika tidak dipenuhi dengan air maka molekul-molekul udaralah yang akan mengisinya. Begitu jugalah hati jika tidak diisi dengan iman dan taqwa pasti godaan syaitan memenuhinya. Kita terkadang terlalu sibuk untuk menjadi cantik secara lahiriah sehingga lupa untuk mencantikkan hati. Rasulullah s.a.w bersabda: “ Allah tidak melihat kepada rupamu. tetapi Allah melihat hatimu”
(Riwayat Muslim)

Akhir kalam jaga iman, jaga solat ,jaga akhlak. Moga jadi insan bertaqwa yang membawa diri dan HATI dekat pada-Nya..SOALNYA HATI..
Nukilan daripada hamba-Nya,
Norhidayu binti Mat. (19/7/11)