PKPIM KUANTAN. Dikuasakan oleh Blogger.

Seni tangan tinggi seorang doktor gigi!

oleh Hanna Disember 24, 2012




Mengambil jurusan pergigian bagi sesetengah pihak adalah sebagai satu alternatif kepada bidang perubatan dan menganggap bidang ini adalah cara mudah untuk  mendapat gelaran doktor. Pengalaman saya hampir 5 tahun  sebagai pelajar pergigian bagaimanapun  membuktikan sebaliknya. Hal ini  kerana berbanding perubatan yang hanya mementingkan teori, kursus pergigian memerlukan pelajarnya untuk mempunyai kemahiran tangan yang baik untuk berjaya.
Kursus pergigian seperti juga perubatan mengambil masa selama 5 tahun. Kursus ini terbahagi kepada 2 bahagian, praklinikal dan klinikal. Dalam tahun pertama pelajar hanya didedahkan dengan teori semata-mata. Selain subjek pergigian, pelajar tahun satu juga perlu mempelajari subjek kursus perubatan seperti anatomi, fisiologidan biochemistry.

Dalam tahun kedua, pelajar mula dikenalkan dengan bahagian klinikal. Selain perlu menghadiri kuliah, mereka juga akan terlibat di makmal untuk melakukan latihan klinikal kepada patung atau `phantom head ‘. Di sinilah  sebenarnya bermula kehidupan  pelajar pergigian. Mereka haruslah lulus kedua-dua bahagian; teori dan klinikal untuk membolehkan mereka menaiki tahun tiga.

Tahun ketiga adalah tahun klinikal yang pertama. Dalam tahun inilah mereka mula memberikan rawatan kepada pesakit sebenar. Cabaran sebagai pelajar pergigian tahun ini bukan sahaja tertumpu kepada teori dan kemahiran tangan semata-mata tetapi juga merangkumi kemahiran menguruskan pesakit. Di UIA, pelajar harus menghubungi sendiri pesakit untuk membuat temujanji mengikut jadual yang ditetapkan. Komunikasi dan layanan yang baik amatlah penting bagi memastikan kerjasama yang baik daripada pesakit. Kerenah pesakit seperti lewat tiba, membatalkan temujanji di saat akhir, tidak mengikut arahan yang diberikan adalah antara cabaran yang perlu dihadapi oleh pelajar klinikal. Ketiadaan pesakit yang sesuai juga mendatangkan masalah kepada pelajar. Pelajar tahun tiga bekerja sebagai pasangan dimana satu kerusi (dental chair) dikongsi oleh dua pelajar. Mereka akan bergilir-gilir bekerja sebagai operator dan pembantu.

Di tahun ini juga pelajar perlu mengambil dua subjek perubatan iaitu perubatan  (medical) dan pembedahan (surgical). Ini memerlukan mereka menghadiri kelas di wad hospital dan mengambil peperiksaan amali dan teori seperti pelajar perubatan. Pengurusan masa yang betul amat penting supaya pelajar dapat memenuhi kehendak kedua-dua bahagian, perubatan dan pergigian.
Dalam tahun empat pelajar hanya tertumpu kepada subjek pergigian dan klinikal. Pelajar di dedahkan dengan latihan klinikal yang lebih tinggi tahap kesukarannya sesuai dengan peningkatan tahun. Dalam akhir tahun empat, mereka harus menduduki tiga peperiksaan amali yang dikenali sebagai ‘promotional examination’. Peperiksaan tersebut merangkumi subjek prostetik, pembedahan mulut dan restoratif. Ketiga-tiga ujian ini perlu dilakukan ke atas pesakit sebenar. Selain lulus ketiga-tiga ujian, mereka juga harus menyiapkan segala tugasan klinikal sebelum  berjaya naik ke tahun 5.

Tahun lima merupakan tahun kritikal bagi pelajar pergigian. Mereka harus bertungkus lumus menyiapkan semua tugasan yang ditetapkan bagi mengelakkan dihalang daripada menduduki peperiksaan professional akhir. Klinik yang bermula jam 10 pagi higga jam 5 adakalanya menuntut pelajar untuk pulang jam enam petang. Hal ini kerana mereka harus melakukan kerja-kerja makmal pula. Selain itu mereka juga haruslah mengulangkaji pelajaran dari tahun tiga hinga tahun lima yang merangkumi 8 subjek kesemuanya.  Lulus dalam peperiksaan professional akhir melayakkan pelajar untuk bergelar seorang doktor pergigian.  

Meskipun ada yang menganggap bahawa bidang ini agak membebankan, namun sebenarnya bidang pergigian adalah sebuah bidang yang mendatangkan kepuasan kepada penuntutnya terutama apabila pelajar dapat merawat pesakit dengan baik, mereka sebenarnya telah memberikan kegembiraan yang besar kepada pesakit. Mendapat tampalan yang baik sehingga member keyakinan diri atau mendapat gigi palsu yang selesa dipakai, sebenarnya amat bermakna kepada pesakit. Rawatan yang diberikan tanpa disedari telah memperbaiki kualiti kehidupan mereka. Disebabkan itu, sesetengah pesakit amat menghargai kerja yang dilakukan dengan memberikan hadiah dan cenderamata sebagai tanda penghargaan. Hubungan baik antara pesakit dan pelajar juga boleh membantu apabila pesakit-pesakit tersebut membawa keluarga dan rakan-rakan mereka mendapatkan rawatan daripada pelajar tersebut. Semakin ramai pesakit, semakin mudah pelajar dapat menghabiskan tugasan yang ditetapkan.

Sebagai pelajar yang  telah melalui pahit manis di kuliyah pergigian UIAM, ingin saya catatkan beberapa peringatan penting yang harus diberi perhatian. Bidang ini amat menuntut kekuatan fizikal dan mental . Kesihatan diri perlulah dijaga kerana masa amat berharga. Sebarang masalah kesihatan yang menyebabkan pelajar gagal datang ke klinik amat merugikan.Kesibukan menghadiri kelas dan memenuhi tugasan di klinik juga boleh menjejaskan kesihatan jika pelajar tidak mempunyai fizikal yang sihat. Pelajar juga terdedah kepada tekanan perasaan yang biasa berlaku kepada pelajar klinikal. Masalah dengan pesakit, masalah dengan tugasan, masalah dengan pasangan kerja, semuanya mampu memberikan tekanan yang boleh melemahkan semangat pelajar untuk meneruskan pengajian. Rasa kecewa dan putus asa adalah sesuatu yang pasti menjengah setiap pelajar. Oleh itu pelajar haruslah membuat persiapan mental yang baik sebelum menjejakkan kaki didalam bidang ini. Sokongan daripada keluarga, rakan dan juga pensyarah amatlah penting untuk terus bermotiwasi sebagai pelajar pergigian.

Satu perkara yang perlu diingatkan ialah kemahiran tangan banyak bergantung kepada sifat semulajadi pelajar selain latihan yang cukup. Oleh itu , pelajar yang sememangnya bagus dalam kemahiran tangan biasanya akan lebih kehadapan dalam menyiapkan tugasan. Pelajar yang lemah dari segi kemahiran tangan biasanya memerlukan usaha dan latihan yang lebih untuk meningkatkan kualiti kerja mereka. Hal ini berbeza dengan bidang lain dimana siapa yang berusaha gigih mengulangkaji pelajaran dialah yang akan berjaya mendapat keputusan yang baik. 

Apapun kursus yang dipelajari, semuanya menuntut kegigihan dan semangat juang yang tinggi. Sesuatu yang berharga itu pastilah sukar untuk diperolehi. Namun sebagai seorang muslim kita haruslah mempunyai keyakinan yang tinggi kepada Allah sebagai pengatur segala urusan hambaNya. Tetapkan niat yang ikhlas, pasti perjalanan itu akan menjadi lebih mudah, insya Allah.

Farhanah Foa’ad
Pelajar pergigian tahun lima,
Kuliyah pergigian UIAM.




0 comments

Al-Waqtu Kas-Soif

Bersama Permata Tinta