Denyutan nadi, aliran darah dan seluruh
juzuk bahagian badan manusia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seorang
jururawat. Tugas dan tanggungjawab tergalas dibahu tatkala seorang pesakit datang
untuk mendapatkan rawatan. Tanggungjawab itu tidak mudah kerana mereka berdiri sejajar
dengan para doktor dalam memastikan kelangsungan kesihatan pesakit. Selepas
sahaja para doktor merekod rawatan untuk pesakit, jururawat menjadi tangan kedua untuk melaksanakan misi yang dirancang. Setiap
rawatan harus dipantau untuk melihat perkembangan positif daripada pesakit.
Bidang
kejururawatan memaksa para jururawat berhadapan dengan pelbagai cabaran. Mereka
berisiko untuk dijangkiti penyakit yang dibawa oleh pesakit semasa memberikan rawatan.
Selain itu, layanan dan khidmat akan menjadi ukuran tatkala perkhidmatan diberikan.
Jururawat terpaksa bertungkus-lumus untuk memastikan para pesakit mendapat khidmat
terbaik walaupun kadangkala mereka sendiri terpaksa mengorbankan diri dan berpenat
lelah atas khidmat yang diberi. Namun, sebagai seorang jururawat Muslim, niat harus
menjadi langkah pertama dalam memulakan kerja sebagai satu ibadah. Mungkin,
hasil yang diperolehi tidaklah seberapa, namun jika diniatkan atas dasar ibadah,
kita tidak tahu berapa banyak nilai catatan yang bakal diperolehi.
Menjadi
jururawat Muslim bukanlah sesuatu yang mudah. Bidang ini mampu menjana saham akhirat
tertinggi bagi seseorang individu. Namun, untuk mencapainya memerlukan mujahadah
yang tinggi. Seruan untuk solat menjadi alunan paling susah ketika sakit.
Seakan sudah menajdi ‘trend’ bagi pesakit untukmeninggalkan solat ketika sakit.
Lebih-lebih lagi, bagi yang mengalami kemalangan dan melibatkan anggota yang
patah dan berbalut. Begitu juga dengan mereka yang terlantar di katil atau mengalami
strok. Kesukaran untuk bergerak menjadi alasan buat mereka untuk tidak solat. Sudah
tentu ia menjadi satu bonus buat jururawat yang mampu membawa pesakit-pesakit mereka
mengerjakan sembahyang. Hanya rawatan spiritual yang mampu mengubati seluruh tubuh
manusia.
Ketika
nama Florence Nightingale diangkat oleh pihak Barat, kita seakan kehilangan ikon
untuk menjadi rujukan. Florence dikenali
sebagai jururawat pertama di dunia. Namun, 1400 tahun dahulu, kita telah
mempunyai Rufaydah Al Aslamiyyah yang menjadi sayap kiri dalam setiap peperangan
yang berlaku. Mujahidah ini bekerja di
belakang tabir dalam membantu tentera-tentera Islam mendapatkan rawatan. Setiap
kecederaan diubati supaya panji-panji Islam masih terus dikibarkan. Rufaydah menjadi
jururawat Islam pertama ketika zaman Rasulullah s.a.w. Walaupun namanya kurang didengari,
jasanya di medan juang harus menjadi satu lakaran untuk generasi kini.
Bidang
kejururawatan punya citranya yang tersendiri. Pada setiap zaman anggapan dan tafsiran
masyarakat terhadap bidang ini berbeza. Bidang ini juga mengalami transformasinya.
Setiap dasawarsa membawa maklumat dan sejarah berbeza. Buku-buku lama perlu diselak untuk mengkaji watak sebenar jururawat
Muslim sebagai rujukan untuk pelapis muda. Pesakit bukan hanya perlu dirawat fizikalnya
tetapi juga spiritualnya. Meminjam kata-kata Hassan al-Banna, “Nahnu Ruhyasri fi jasadil ummah”
(kami adalah ruh yang mengalir di dalam jasad ummah). Begitulah seharusnya nilai seorang jururawat Muslim.



0 comments